DEMI AGAMA, BANGSA DAN NEGARA MELAYU PERLU BERSATU

KONVENSYEN PERPADUAN NASIONAL
23 November 2014
DEMI AGAMA, BANGSA DAN NEGARA MELAYU PERLU BERSATU
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Kemuncak perpaduan orang Melayu adalah dalam tahun 1946. Pada masa itu orang Melayu bersatu padu menentang Malayan Union. Mereka bersatu menentang ancaman dari luar. Akhirnya Baritish menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Orang Melayu bersatu padu menentang ancaman pengganas Komunis. Beberapa orang pemimpin kiri Melayu lari ke hutan dan menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) kerana takut ditangkap British. Mereka diperalatkan oleh PKM untuk mempengaruhi orang Melayu menyokong perjuangan komunis. Mereka gagal. Akhirnya PKM terpaksa menyerah kalah.

Orang Melayu juga bersatu padu dalam pejuangan menuntut kemerdekaan. Walaupun pada masa itu orang Melayu sudah berpecah kepada tiga buah parti politik nasional iaitu UMNO, Parti Negara dan PAS, semuanya sekata dalam menuntut kemerdekaan. Malah, pada masa itu, PAS nampaknya lebih Melayu daripada UMNO. Sebab itulah PAS menuntut supaya Pulau Pinang dan Melaka dijadikan Negeri-Negeri Melayu demi menjaga hak keistimewaan orang Melayu. Atas alasan yang sama jugalah PAS menentang penubuhan Malaysia, apatah lagi termasuk Singapura. Begitu prihatin PAS kepada orang Melayu dan agama Islam pada masa itu.

Biar apa pun, seperti yang dibuktikan dalam Pilihan Raya Umum 1955, UMNO adalah parti Melayu yang dominan dan orang Melayu tetap sekata dalam menuntut kemerdekaan. Dari segi itu, perpaduan Melayu tidak terjejas.

Rundingan kemerdekaan berjalan dengan orang Melayu diwakili oleh UMNO. UMNOlah, bersama-sama wakil-wakil Raja-Raja Melayu, yang menuntut supaya kedudukan Raja-Raja Melayu dikekalkan. UMNOlah yang membuat tuntutan-tuntutan supaya agama Islam dijadikan agama rasmi Persekutuan (walaupun perkataan “rasmi” digugurkan oleh penggubal-penggubal Perlembagan.) UMNOlah yang menuntut supaya Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan, kedudukan istemewa orang Melayu, Regiment Askar Melayu dan tanah simpanan Melayu dikekalkan. Maka kesemuanya termaktub di dalam Perlembagaan kita, dan kita menjadi apa yang kita jadi hari ini. Jika tidak di mana kita?

Maka, pada detik 12.00 tengah malam 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu pun merdekalah. Tetapi, di sebalik emosi, semangat dan kegembiraan pada malam itu, satu perkara berlaku, yang kebanyakan orang tidak tahu. Pada malam itu, warganegara Persekutuan Tanah Melayu bertambah sekali ganda akibat pemberian kerakyatan oleh Perlembagaan Kemerdekaan itu. Akibatnya, jika dalam Pilihan Raya Umum 1955, pengundi Melayu adalah sebanyak 84.2%, dalam Pilihan Raya Umum 1959, hanya dua tahun selepas Merdeka, pengundi Melayu jatuh kepada 57.1%.

Dalam Pilihan Raya Umum 1959 juga Perikatan kehilangan dua buah negeri di Pantai Timur, iaitu Kelantan dan Trengganu, kepada PAS. Nyata sekali penonjolan PAS bahawa ia bukan sahaja lebih Melayu dari UMNO, malah PAS Islam dan UMNO tidak, telah dapat mempengaruhi orang Melayu di Kelantan dan Trengganu. Namun demikian, itu tidak menggugat perpaduan orang Melayu di peringkat nasional kerana PAS hanya tertumpu kepada dua buah negeri Pantai Timur itu sahaja.

Dalam tahun 1963, Malaysia tertubuh. Walau pun orang Melayu merasakan kedudukannya tergugat dengan adanya Singapura dalam Malaysia, Konfrontasi Indonesia dan Malaysian Malaysia Lee Kuan Yew telah menyatupadukan orang Melayu dalam menghadapi “ancaman luar”.

Malah dalam peristiwa 13 Mei dalam tahun 1969, orang Melayu tetap bersatu kerana ia merasakan bahawa ia menghadapi “ancaman luar”.

Peristiwa 13 Mei membawa kepada pindaan kepada Akta Hasutan 1948 yang sangat penting, iaitu dengan memasukkan seksyen 3(1)(f) yang menjadi satu kesalahan bagi sesiapa yang mempersoalkan isu kerakyatan, kedudukan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan hak-hak tertentu yang diberi kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Perlu diambil perhatian bahawa ini dilakukan oleh Tun Abdul Razak untuk mengelak berulangnya pristiwa yang serupa.

Selepas itu keadaan di Malaysia tenang dan negara membangun. Nikmatnya dirasai oleh semua rakyat, Melayu atau bukan Melayu. Tidak ada sesiapa yang boleh menafikannya.

Selama lebih kurang dua dekat selepas penubuhannya, PAS telah memain peranan yang berfaedah kepada bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia. PAS tidak terlalu besar untuk menjadi ancaman kepada UMNO di peringkat nasional. Saya tidak kisah ia memerintah negeri seperti Kelantan. Hakikatnya di Kelantan cuma ada PAS dan UMNO, kedua-duanya Melayu dan Islam. Perbezaan di antara keduanya hanya siapakah pemimpinnya. Lagi pula, adanya PAS menyebabkan UMNO lebih berhati-hati berkenaan isu Melayu dan Islam.

Untuk beberapa dekad selepas penubuhannya, PAS menonjolkan diriya sebagai lebih Melayu dan lebih Islam daripada UMNO. Ia survive atas asas itu. Tetapi, pada masa yang sama, perubahan juga berlaku dalam UMNO. UMNO juga menunjukkan bahawa ia juga tidak kurang Islamnya daripada PAS, malah ia boleh menunjukkan apa yang dilakukannya, bukan sahaja setakat bercakap.

Untuk survive, PAS perlu tunjuk bahawa ia berlainan daridapa UMNO. Maka bermulalah “pengkafiran” UMNO dan orang UMNO; PAS memperjuangkan Islam, UMNO memperjuangkan “asabiah”; dan, oleh itu, PAS Islam, UMNO tidak. Hinggakan menyebut perkataan “Melayu” dan ungkapan “hak orang Melayu” yang diperuntukkan dalam Perlembagaan pun solah-olah bercanggah dengan ajaran Islam dan berdosa. Kepada mereka, saya bertanya: Kita dilahirkan Melayu dan Islam. Itu taqdir Allah S.W.T. terhadap kita. Salahkah jika kita katakan kita Melayu dan Islam? Salahkah jika kita katakan kita hendak mempertahankan hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan? Bukankah, dalam konteks Malaysia, apa yang merugikan orang Melayu juga merugikan umat Islam?

Siapa yang ketawa? DAP dan NGO-NGO bukan Melayu. Maka sesiapa sahaja yang mempertahankan peruntukan Perlembagaan mengenai hak orang Melayu dituduh “racist”. Saya pun dituduh “racist”. PAS harus sedar bahawa ia juga bertanggungjawab menjadikan orang-orang bukan Melayu itu bersikap demikian. Demikian juga dalam hal kalimah “Allah”. Sekurang-kurangnya pada peringkat awalnya ulama’ dan pemimpin PAS mengambil pendirian yang memihak kepada gereja Katholik membolehkan mereka menuduh bahawa yang menentang hanya UMNO. Kepentingan siapa yang PAS perjuangkan?

Lebih kurang mulai tahun 1980an, PAS mula berkembang dari kampung ke bandar dan dari Pantai Timur ke Pantai Barat. Beberapa faktor luaran dan dalaman membantu perkembangan PAS itu. Antara faktor-faktor luaran ialah seperti Revolusi Iran dan perjuangan Mujahidin Afghanistan menentang Russia. Antara faktor-faktor dalaman pula ialah umrah yang lebih mudah dan penonjolan jenama “Islam” yang mengubah fesyen pakaian orang Melayu kepada pakaian ala-Arab, ala-Pakistan malah ala-Afghanistan yang dianggap sebagai “pakaian Islam”. Ini termasuk menyimpan jangut sebagai identiti Islam atau seseorang itu telah menjadi lebih warak. Dalam keadaan demikian, memilih parti politik yang berjenama Islam adalah natural.

Di samping itu, wujud pula penglipur-penglipur lara di kalangan pemimpin-pemimpin PAS yang memberi hiburan percuma kepada pendengar-pendengar ceramah mereka dengan mencaci musuh-mush politik mereka di samping menjanjikan pahala kepada sesiapa yang mendengarnya. Tidak kurang juga peranan pegawai-pegawai masjid yang terdiri dripada orang-orang PAS. Setiap tahun, beribu-ribu graduan keluar daripada universiti-universiti, kolej-kolej dan fakulti-fakulti Islam dan yang pulang dari univeriti-universiti Timur Tengah, banyak di antara mereka menghadapi masalah untuk memasuki pasaran pekerjaan. PAS menjadi tarikan mereka, sekurang-kurangnya untuk meluahkan frustration.

Bagi orang muda yang idealistic itu, rhetoric PAS adalah lebih menarik daripada fakta-fakta yang dikemukakan oleh UMNO. Semua pencapaian dianggap sebagai tanggungjawab kerajaan. Yang diangan-angankan adalah lebih menarik, tidak kira ianya realistic atau tidak. Tanya mereka apakah yang mereka akan lakukan jika mereka memerintah, selain daripada melaksanakan hudud? Besar kemungkinan tidak ada jawapan.

Keadaan menjadi lebih buruk dengan kehadiran Parti Keadilan Rakyat. Pada mulanya, orang Melayu yang emosi “merasakan” (“rasa” bukan “fikir”) bahawa penganiayaan telah berlaku. Sekarang mereka patut sedar hal yang sebenar.

Sampai ke millennium kedua. Orang Melayu telah terbahagi tiga. Terutama sekali di Pantai Barat Semenanjung, di mana majoriti pengundi Melayu tidak sebesar di Pantai Timur, pengundi Melayu berpecah teruk dan pengundi bukan Melayu menjadi penentu.

Melihat perpecahan orang Melayu, orang Cina khususnya, yang memang pandai membuat perkiraan, telah bersatu di belakang DAP, mengambil faedah daripada undi penyokong PKR dan PAS untuk menjatuhkan BN dan menjadi parti dominan dalam Pakatan Rakyat yang akan memerintah. Perak selepas PRU12 adalah misalan yang baik. ADUN PAS dijadikan sebagai Menteri Besar menyebabkan penyokong-penyokong PAS merasa bahawa mereka telah berjaya menubuhkan sebuah “Kerajaan Islam”. Hakikatnya majoriti ahli Exco adalah ahli-ahli DAP dan merekalah yang sebenarnnya berkuasa.

Pada pandangan saya, Kerajaan telah membuat satu kesilapan dengan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Saya boleh faham mengapa Deklarasi Darurat dan undang-undang yang dibuat di bawahnya dimansuhkan. Untuk mengatakan selepas tahun 2000 kita masih berada di bawah keadaan darurat adalah tidak munasabah. Demikian juga melaksanakan undang-undang yang dibuat khas untuk menangani keadaan semasa darurat juga sukar untuk dibela walau pun dari segi undang-undang ia adalah sah.

Tetapi saya dapati sukar untuk memahami mengapa ISA juga turut dimansuhkan. Perlu diambil perhatian bahawa ISA dibuat di bawah Perkara 149 untuk menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya.

Memanglah undang-undang yang membolehkan penangkapan dan tahanan tanpa perbicaraan bukanlah undang-undang yang baik. Tetapi, sudahkah kita lupa 13 Mei? Adakah keadaan yang menggugat ketenteraman negara, tidak kira oleh siapa, komunis, militant Islam, kumpulan pelampau dan lain-lain sudah tidak ada lagi? Mana lebih baik ISA atau Quantinamo? (Untuk perbincangan mengenai ISA dan Quantinamo, sila baca ucapan dan kertas kerja saya bertajuk “Conflict of Interests Between Different Basic Rights” dan “Legal and Judicial Transformation in Malaysia” yang boleh didapati dalam laman web saya: http://www.tunabdulhamid.my)

Saya faham bahawa Kerajaan mahu melihat Malaysia berada di kedudukan yang baik di mata dunia. Tetapi, Singapura yang mengekalkan ISA, berada di kedudukan yang lebih baik, hampir dalam semua hal. ISA bukanlah sebab utama yang menentukan kedudukan itu.

Adalah mendukacitakan bahawa pemansuhan ISA dibuat tanpa memberi peluang kepada orang ramai, terutama sekali orang Melayu dan NGO Malayu, malah UMNO juga, untuk menyuarakan bantahan mereka. Pembangkang, Majlis Peguam dan Ngo-Ngo bukan Melayu memang dari awal lagi menentang ISA. Ertinya, hanya merekalah yang didengar.

Berikutnya, NGO-NGO bukan Melayu membuat tuntutan-tuntutan yang tidak berpatutan yang melanggar peruntukan-peruntukan Perlembagaan khususnya mengenai hak orang Melayu dan kedudukan Islam. Tindakan Gereja Katholik juga sangat merbahaya. Individu-individu mula menghina agama Islam dengan terang-terangan temasuk iklan berbuka puasa dengan sup babi. Lagu Kebangsan dihina; hak orang Melayu dipersoalkan; mahkamah diugut, termasuk oleh ahli-ahli yang berhormat yang seolah-olah tidak tahu atau tidak menghormati undang-undang yang dibuat oleh Parlimen yang mereka sendiri menjadi ahli. Sabah diceroboh oleh pasukan bersenjata dari luar negara dengan kerjasama penduduk tempatan yang asalnya pelarian dan berbagai-bagi lagi. Malah, makin sehari nampaknya keadaan di negara kita semakin hampir dengan keadaan di Thailand sebelum rampasan kuasa yang terbaru. Adakah itu corak “demokrasi” yang hendak ditiru? Jika mahu demokrasi kekal ia hendaklah diamalkan dengan cara yang berhemah dan bertamadun. Ambillah pengajaran daripada apa yang berlaku di Thailand itu.

Semua perbuatan itu bukan sahaja boleh menggugat perpaduan negara, malah ketenteraman negara. Perbuatan itu mesti dibendung. Untuk itu Kerajaan hendaklah memikir semula mengenai keperluan mengadakan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kita tidak patut takut kepada kritikan mengenainya.

Di samping itu, Kerajaan tidak patut terlalu berlembut apatah lagi takut kepada mereka sehingga tidak berani mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka. Tidak guna mempuyai undang-undang jika tidak berani menggunanya. Pelampau tidak memahami diplomasi.

Selepas itu, Kerajaan membuat satu kesilapan lagi apabila ia hendak memansuhkan Akta Hasutan 1948. Akta Hasutan asalnya dibuat oleh British dalam tahun 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan untuk mengekang penentangan kepada pemerintahan British. Secara ringkas, ia mengandungi kesalahan-kesalahan kerana menghasut untuk membangkitkan kebencian dan tidak taat setia kepada Raja atau Kerajaan, menghasut rakyat untuk mendapat perubahan dengan cara yang tidak sah, menghasut orang supaya benci kepada pentadbiran keadilan, menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Malaysia, mengembangkan perasaan permusuhan antara kaum.

Bukan semua isi kandungan akta itu dibuat oleh penjajah British dalam tahun 1948. Itu kita mesti tahu. Peruntukan yang sangat penting, ia itu seksyen 3(1)(f) dibuat selepas peristiwa 13 Mei 1969 di era Tun Abdul Razak untuk mengelak berulangnya peristiwa yang serupa. Seksyen itu dimasukkan melalui Emergency (Essential Powers) Ordinance No. 45, 1970 (P.U. (A) 282/1970) berkuatkuasa pada 10.8.1970. Bagi saya, pengwujudan seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan adalah kemuncak kejayaan politik orang Melayu dan Tun Abdul Razak Bin Hussain.

Ringkasnya, seksyen 3(1)(f) memperuntukkan bahahwa adalah menjadi kesalahan bagi seseorang jika dia mempersoalkan hak kewarganegaraan, kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu atau anak negeri Sabah dan Sarawak dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Sekali lagi rancangan memansuhkan Akta Hasutan ini adalah hasil tuntutan pembangkang, Majlis Peguam dan NGO-NGO bukan Melayu. Ertinya, sekali lagi, suara mereka jugalah yang didengar sedangkan mereka tidak pernah mengundi UMNO dan BN dan tidak akan mengundi UMNO dan BN manakala orang Melayu yang mejadi penyokong setia UMNO dan BN dipinggirkan.

Kesilapan berlaku lagi dengan penubuhan Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) atau National Unity Consultative Council (NUCC). Lihatlah nama-nama ahlinya. Siapakah mereka dan apakah yang mereka perjuangkan? Kemudian dilantik pula Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar (JUU&D). Lihat pula siapa Pengerusi dan Timbalan Pengerusinya.

Dalam hal ini tiga “highjacking” telah berlaku. Pertama, Akta Hasutan terletak di bawah portfolio Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang Menterinya ialah YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Sepatutnya, semua perkara yang berkenaan dengan akta itu, sama ada hendak memindanya atau memansuhkannya, hendaklah datangnya dari kementerian itu. Ini penting bukan sahaja kerana akta itu terletak di bawah kementerian itu, tetapi kerana kementerian itu mempunyai mahklumat-maklumat, termasuk maklumat rahsia, mengenai ketenteraman negara yang akan menentukan dasar mengenainya. Bagaimana Menteri di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) boleh mengambil alih bidangkuasa ke atas Akta Hasutan itu dan menyerahkan kepada Majlis Peguam untuk menggubal undang-undang untuk memansuhkannya?

Kedua, mengikut procedure biasa, penetapan dasar dilakukan oleh kementerian berkenaan (dalam hal ini, KDN) sebelum ia diputuskan oleh Kabinet. Dalam hal ini, penentuan dasar, sekurang-kurangnya di pringkat permulaan, diserahkan kepada JUU&D. Pengerusi JUU&D adalah YB Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen PAS Parit Buntar dan Timbalan Pengerusinya adalah Encik Lim Chee Wee, mantan Presiden Majlis Peguam. Kita semua tahu bahawa Majlis Peguam adalah penyokong kuat parti-parti pembangkang terutama sekali DAP dan PKR. Mengapa lantik pembangkang untuk menentukan dasar, walaupun di peringkat awal?

Ketiga, mengikut procedure biasa, setelah dasar ditentukan oleh kementerian berkenaan, gubalan dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara. Dalam hal ini, gubalan dilakukan oleh Majlis Peguam. Mengapa?

Mendapat peluang itu, Majlis Peguam terus menggubal apa yang dikenali sebagai Rang Undang-Undang Harmoni. Isi kandungannya mirip tuntutan KOMANGO dan pemansuhan Akta Hasutan. Apa hubungannya perpaduan dengan pemansuhan Akta Hasutan? Adakah dengan membenarkan orang menghasut supaya membenci Raja, Bahasa Kebangsaan, hak-hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, rakyat akan persatu padu?

Selepas itu mereka terus mengadakan “Townhall Meetings” untuk menerangkan cadangan mereka. Siapa yang menghadiri “Townhall meetings” itu? Adakah “Townhall Meetings” diadakan di kampung-kampung, di rumah-rumah panjang dan di kawasan pendalaman?. Tak cukup degan itu, dari apa yang yang boleh dilihat dari laman web The Malaysian Bar dan laporan The Malaysian Insider, persatuan-persatuan peguam dari merata dunia memberi sokongan kepada Majlis Peguam dalam hal ini. Mengapa mereka harus campur tangan dalam hal ehwal dalaman Malaysia? Siapa yang meminta sokongan mereka? Tuan-tuan boleh teka sendiri. Singapura masih mempunyai Akta Hasutan (Sedition Act). Singapura tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap seseorang di bawah akta itu. Tiada pula sesiapa mengkritiknya. Mengapa persatuan-persatuan peguam itu tidak menuntut supaya ia dimansuhkan?

Mujurlah kali ini individu-individu dan NGO-NGO Melayu sempat sedar apa yang sedang berlaku. Akibat pembongkaran, bantahan dan penentangan mereka, orang Melayu, malah orang UMNO sendiri talah sedar. Orang-orang Melayu dalam PAS dan PKR juga patut sedar jika mereka masih menganggap diri mereka “Melayu”.

Orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak hendaklah sedar bahawa usaha untuk memansuhkan Akta Hasutan itu adalah sebahagian daripada perancangan untuk menghapuskan hak-hak mereka. Orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak hendaklah sedar bahawa mereka hanya baru keluar dari kampung dan kawasan pendalaman satu atau dua generasi. Sudahkah mereka lupa daratan?

Akta Hasutan hendaklah dikekalkan. Seterusnya saya mencadangkan supaya Akta Hasutan dipinda untuk memasukkan Perkara 3 (agama Islam sebagai agama Persekutuan), Perkara 8(4)(c) (perlindungan, kesentosaan dan pemajuan orang asli), Perkara 8(4)(f) (menghadkan Regimen Askar Melayu kepada orang Melayu) dan Perkara 89 (tanah simpanan Melayu) ke dalam seksyen 3(1)(f).

Elok juga Kerajaan memikirkan untuk memansuhkan kesalahan menghasut terhadap Kerajaan. Kewujudan peruntukan itu tidak consistent dengan amalan demokrasi. Malah, untuk berkempen pilihan raya pun tidak boleh. Sebab itulah selama ini tidak ada sesiapa pun yang dituduh kerana kesalahan itu. Jika demikian untuk apa kesalahan itu dikekalkan dalam undang-undang. Ia hanya memberi gambaran bahawa Kerajaan bersifat autocratic. Di samping itu, saya juga mencadangkan

1. Segala urusan mengenai Akta Hasutan hendaklah dilakukan oleh kementerian yang bertanggungjawab mengenainya ia itu Kementerian Dalam Negeri (KDN).

2. Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) tidak sepatutnya mengambil alih perkara yang terletak dalam bidangkuasa KDN dan Peguam Negara.

3. Procedure biasa di mana kementerian berkenaan menentukan dasar dan gubalan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara manakala keputusan muktamat dibuat oleh Kabinet hendaklah diikuti.

4. Ketepikan draf Rang Undang-Undang Harmoni (RUU Harmoni) yang digubal oleh Majlis Peguam itu.

5. Akta Hasutan hedaklah dilaksanakan dengan tegas.

6. Bubarkan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) dan sekaligus Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar (JUU & D). Kerja JPNIN hendaklah dibuat oleh JPNIN. JPNIN boleh consult sesiapa sahaja tetapi terajunya mestilah dipegang oleh JPNIN sendiri. Keputusan dasar hendaklah dibuat oleh JPNIN manakala keputusan muktamat mengenainya dibuat oleh Kabinet.

Masalah yang menghadapi orang Melayu sekarang bukan hanya sekadar pemansuhan ISA dan Akta Hasutan. Masalahnya ialah bahawa orang Melayu menghadapi ancaman akan menjadi Red Indians di tanahair sendiri. Percayalah bahawa ancaman yang dihadapi oleh orang Melayu sekarang adalah lebih serius daripada bila-bila masa dalam sejarah bangsa Melayu. Dulu sekurang-kurangnya orang Melayu bersatu menghadapi ancaman luar. Sekarang mereka berpecah dan diperalatkan.

Maka, PAS dan UMNO perlulah berfikir untuk bercantum, bergabung atau bekerjasama, sekurang-kurangnya di peringkat Persekutuan, untuk mempertahankan Kerajaan Persekutuan daripada jatuh kepada PKR dan DAP. PAS mesti sedar bahawa perjuangan asal mereka adalah untuk Melayu dan Islam; bahawa jika Pakatan Rakyat berkuasa DAP akan menjadi parti dominan, bukan PKR atau PAS; bahawa PKR tidak boleh diharap untuk membela orang Melayu dan agama Islam; bahawa DAP adalah lebih chauvinistic daripada MCA atau Gerakan; bahawa PKR atau PAS tidak boleh mengawal cita-cita DAP seperti UMNO mengawal MCA dan Gerakan. Maka jika PAS tidak mahu hxak orang Melayu dan kedudukan agama Islam digugat, ia hendaklah bekerjasama dengan UMNO.

Saya tidak menyebut Parti Keadilan sebab parti itu tidak pernah berkata ia berjuang untuk orang Melayu. Ia hanya berjuang untuk seorang Melayu, itu pun jika orang itu masih menganggap dirinya Melayu.

Sebenarnya, di antara PAS dengan UMNO sudah tidak ada apa-apa perbezaannya lagi. Apa bezanya Kelantan yang diperintah oleh PAS selama lebih kurang 40 tahun dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia selain daripada pengasingan lelaki dan perempuan di kaunter bayaran dan semasa menaiki bas dan beberapa sepanduk “Allahu Akbar”, “Subhanallah” dan “Alhamdulillah” di tepi jalan? Jika dulu Qari’ah haram mengambil bahagian dalam tilawah Al-Qur’an, sekarang sudah harus.

Semasa berkempen di Kelantan pemimpin-pemimpin UMNO pun memakai kopiah putih. Ertinya, semasa di Kelantan, pemimpin-pemimpin UMNO juga mahu nampak seperti orang PAS. Apa yang menjadi “penghalang” bukan ideology tetapi kepentingan diri. Pemimpin-pemimpin di kedua-dua buah parti takut hilang kedudukan, jawatan dan pendapatan masing-masing, jika kedua-dua parti itu bercantum, bergabung atau bekerjasama. Soalannya, itukah yang mereka perjuangkan?

Anak-anak negeri Sabah dan Sarawak juga patut sedar bahawa kedudukan mereka dalam Perlembagaan adalah serupa dengan kedudukan orang Melayu. Jika mereka mahu kedudukan mereka selamat, mereka hendaklah bersama-sama orang Melayu, UMNO dan BN. Bahawa sebahagian daripada mereka beragama Kristian tidak pernah menjadi masalah. Mereka boleh terus mengamalkan agama mereka seperti biasa. Apa yang dibantah oleh orang Islam ialah cubaan untuk menggunakan kalimah “Allah” dalam bible dan upacara agama dalam Bahasa Melayu, terutama sekali di Semenanjung, kerana motifnya adalah untuk mempengaruhi orang Melayu menganut agama Kristian.

Jika PAS dan parti-parti anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak boleh bersama-sama dengan UMNO dan BN, Kerajaan Persekutuan akan selamat walaupun orang Cina bersatu di belakang DAP. Apabila mereka merasa bahawa keadaan itu akan merugikan mereka, mereka akan mula berfikir semula untuk berkerjasama dengan BN. Orang Cina membuat perkiraan mengikut untung-rugi. Itu adalah prinsip mereka.

Kita sekali-kali tidak hendak meminggirkan orang Cina. Semenjak PRU 1955, UMNO memberi kawasan-kawasan majority Melayu yang selamat kepada calon-calon MCA dan MIC semata-mata untuk memberi representasi yang lebih kepada mereka. Apa yang berlaku selepas PRU13 pun adalah pilihan mereka sendiri. Mereka sendiri yang memilih untuk tidak menyertai Kerajaan. Sekarang mereka telah mengubah pendirian, setelah menimbang semula untung ruginya. Pengundi-pengundi Cina yang berdiri sebulat suara di belakang DAP juga mungkin akan mengubah pendirian mereka apabila mereka menimbang semula untung-ruginya. Jika tidak pun tidak mengapa. Itu pilihan mereka. Jangan salahkan orang lain.

Rakyat Malaysia keturunan India juga patut bertanya diri mereka sama ada Kerajaan Pakatan Rakyat akan menjaga kepentingan mereka lebih baik daripada rekod BN selama lebih daripada lima dekad.

Perlu ditekankan bahawa kita tidak menuntut kontrak sosial dikaji semula. Kita tidak menuntut hak-hak yang telah dipersetujui dan dipenuntukkan di dalam Perlembagaan disemak semula. Kita tidak menuntut hak yang telah diberi kepada orang lain diberi kepada kita. Kita cuma berkata, “Marilah kita sama-sama menghormati kontrak sosial yang kita telah persetujui. Marilah kita sama-sama menghormati hak-hak masing-masing seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan. Marilah kita sama-sama membina negara kita Malaysia. Sesunguhnya Malaysia mempunyai cukup untuk semua. Cuma orang yang tamak yang tidak akan cukup sampai bila-bila.

Sambil itu, pemimpin-pemimpin UMNO juga patut sedar diri. Sebenarnya UMNO sebagai sebuah parti Melayu dan Islam berada di atas landasan yang betul. UMNO sepatutnya terus menjadi parti dominan Melayu dan Islam. Masalahnya adalah pemimpin-pemimpinnya. Faktor nombor satu yang menyebabkan orang bencikan UMNO ialah persepsi rasuah yang tinggi. UMNO mestilah perbetulkan persepsi ini, bukan hanya dengan cakap dan kempen tetapi dengan mengelakkan perbuatan rasuah.

Golongan professional merungut mengenai kesukaran untuk memasuki dan memenangi apa-apa jawatan dalam hierarchy UMNO. Itu adalah antara faktor-faktor mengapa golongan professional tidak menyertai UMNO. Mereka lebih mudah mendapat tempat dalam PAS. Jika hal ini berterusan UMNO akan ketandusan pemimpin. Hal ini telah pun dirasai hari ini dan mestilah diperbetulkan jika UNMO tidak mahu terkubur.

Percayalah, apabila pemimpin-pemimpin sesuatu bangsa atau sesebuah negara lebih mementingkan diri sendiri daripada bangsa dan negaranya, maka itu adalah alamat kehancuran bangsa dan negara itu.

WAHAI MELAYU, FIKIRLAH. BUKAN RASA, BUKAN INGAT, FIKIR!

Terima kasih.

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my

296 visits