RINGKASAN PANDANGAN SAYA MENGENAI PEMANSUHAN AKTA HASUTAN 1948 DAN CADANGAN MENGADAKAN RANG UNDANG-UNDANG HARMONI

RINGKASAN PANDANGAN SAYA MENGENAI PEMANSUHAN AKTA HASUTAN 1948 DAN CADANGAN MENGADAKAN RANG UNDANG-UNDANG HARMONI
(Dikemaskini pada 3 Oktober 2014)

 

1.Akta Hasutan 1948 tidak sepatutnya dimansuhkan. Memansuhkan Akta Hasutan tidak akan membantu untuk mewujudkan perpaduan rakyat dan ketenteraman negara. Sebaliknya, ia akan menyebabkan ketegangan hubungan antara kaum, menyebabkan permusuhan dan pergaduhan antara kaum dan menggugat ketentraman negara.

2. Akta Hasutan hendaklah dipinda untuk memasukkan Perkara 3 (agama Islam sebagai agama Persekutuan), Perkara 8(4)(c) (perlindungan, kesentosaan dan pemajuan orang asli), Perkara 8(4)(f) (menghadkan Regimen Askar Melayu kepada orang Melayu) dan Perkara 89 (tanah simpanan Melayu) ke dalam seksyen 3(1)(f).

3. Elok juga Kerajaan memikirkan untuk memansuhkan kesalahan menghasut terdap Kerajaan. Kewujudan peruntukan itu tidak consistent dengan amalan demokrasi. Malah, untuk berkempen pilihan raya pun tidak boleh. Sebab itulah selama ini tidak ada sesiapa pun yang dituduh kerana kesalahan itu. Jika demikian untuk apa kesalahan itu dikekalkan dalam undang-undang. Ia hanya memberi gambaran bahawa Kerajaan bersifat autocratic.

4. Mengekalkan Akta Hasutan dengan menukar nama sahaja. misalnya kepada Akta Harmoni adalah tidak wajar. Saya khuatir ada pihak yang akan mejadiknnya satu helah, untuk mengambil pendekatan baharu yang lebih liberal untuk membebaskan tertuduh. Mereka akan menghujahkan bahawa Parlimen semestinya mempunyai tujuan mengapa ia meminda tajuk itu, memberi tujuan yang difikirkan oleh mereka sendiri dan memberi tafsiran yang memihak kepada tertuduh. Lagi pun, dari perspektif politik, saya percaya Kerajaan akan dikecam kerana cuba mengkabui mata rakyat.

5. Segala urusan mengenai Akta Hasutan hendaklah dilakukan oleh kementerian yang bertanggungjawab mengenainya ia itu (Kementerian Dalam Negeri (KDN).

6. Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) tidak septutnya mengambil alih perkara yang terletak dalam bidangkuasa KDN dan Peguam Negara.

7. Prosedur biasa di mana kementerian berkenaan menentukan dasar dan gubalan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara manakala keputusan muktamat dibuat oleh Kabinet hendaklah diikuti.

8. Ketepikan draf Rang Undang-Undang Harmoni (RUU Harmoni) yang digubal oleh Majlis Peguam itu.

9. Jika JPNIN berfikir bahawa perpaduan boleh dicapai melalui undang-undang, sila sediakan drafnya. Ikutlah peraturan biasa dan jangan kaitkan dengan Akta Hasutan. Saya tidak fikir perpaduan boleh diwujudkan dengan kuatkuasa undang-undang. Dalam kata-kata lain hanya dengan mewujudkan sebuah akta, rakyat tidak akan bersatu padu. Lebih penting adalah tindakan tegas terhadap peghasut yang mengambil tindakan-tindakan yang boleh menyatu-padukan rakyat berbagai kaum seperti mengurangkan jurang berbezaan ekonomi. Menekankan kesama-rataan dari segi hak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan undang-undang juga tidak akan mewujudkan perpaduan, malah ia akan memberi kesan sebaliknya. Ia hanya helah untuk menghapuskan hak-hak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan bagi orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

10. Akta Hasutan hedaklah dilaksanakan dengan tegas.

11. Bubarkan Majlis Konsultasi Perpadun Negra (MKPN) dan sekaligus Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar (JUU & D). Kerja JPNIN hendaklah dibuat oleh JPNIN. JPNIN boleh consult sesiapa sahaja tetapi terajunya mestilah dipegang oleh JPNIN sendiri. Keputusan dasar hendaklah dibuat oleh JPNIN manakala keputusan muktamat mengenainya dibuat oleh Kabinet.

12. Anak negeri Sabah dan Sarawak perlulah sedar bahawa kedudukan mereka adalah serupa dengan kedudukan orang Melayu. Jika hak orang Melayu terhakis, hak mereka juga akan terhakis.