CADANGAN MENGADAKAN AKTA PARLIMEN BERPENGGAL TETAP PATUT DITOLAK

CADANGAN MENGADAKAN AKTA PARLIMEN BERPENGGAL TETAP PATUT DITOLAK

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Saya merujuk kepada cadangan DS Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri supaya satu rang undang-undang (RUU) baharu digubal untuk memperuntukkan “sekiranya sesebuah kerajaan itu diwujdukan sama ada sesebuah parti itu dominan, atau gabungan parti itu dominan serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, maka ia harus dikekalkan sehingga akhir penggal.

“Jika tidak, kita akan mengalami perkara yang pernah berlaku sebelum ini dan ia tidak baik untuk negara serta rakyat keseluruhannya,”

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada gerakan ‘Langkah Dubai’ yang dikatakan bertujuan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Biarlah saya terus memberi pandangan saya mengenai cadangan ini. Kita perlu bermula dengan Perlembagaan. Perkara 4(1) memperuntukkan:

“(1) Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.”

Perkara 40(2) antara lain memperuntukkan:

“(2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri;”

Perkara 43, antara lain, memperuntukkan:

“(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam penjalanan fungsinya.

(2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:

(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu; dan”.

Perlu diingati bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bukan sahaja bertanggungjawab melantik Perdana Menteri selepas diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) tetapi juga apabila Baginda percaya bahawa Perdana Menteri telah hilang kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat kerana kalah undi tidak percaya di Dewan Rakyat atau dengan cara-cara lain yang menyakinkan Baginda.

Hal in boleh berlaku pada bila-bila masa dalam sesuatu penggal. Undang-undang ini, jika dibuat, akan menghalang Baginda melantik seorang Perdana Menteri baru. Akibatnya, seorang Perdana Menteri dan sebuah kerajaan yang telah kehilangan sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen akan terus memerintah. Ini juga bercanggah dengan prinsip demokrasi berparlimen yang kita amalkan. Atas alasan ini saya hujahkan ia takberperlembagaan (unconstitutional).

Bahawa cadangan ini datang daripada DS Zahid Hamidi tidaklah menghairankan. Lebih awal,  beliau  telah melanjutkan tarikh pemilihan jawatan-jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan lain-lain selama 18 bulan. Ini diperuntukkan oleh Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.

Selepas itu beliau meminda Fasal 10.16.1 Perlembagaan UMNO untuk membolehkan Majlis Kerta Tertinggi (MKT) melanjutkan pemilihan jawatan-jawatan tersebut “tidak lebih daripada lapan belas (18) bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan ATAU tidak lebih daripada enam (6) bulan selepas diadakan  sesuatu Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat) yang mana terkemudian.” Lihat “Pindaan Perlembagaan  UMNO 2022 menggalakkan kediktatoran dalam UMNO”. (20 05 2022)

Apabila Perhimpunan Agung terpaksa diadakan untuk memilih jawatan-jawatan itu, resolusi dikemukakan dan diluluskan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dikecualikan. Dengan cara-cara itu beliau dapat terus memegang jawatan Presiden hingga sekarang tanpa perlu dipilih semula dalam Perhimpunan Agung UMNO.

Apabila UMNO kalah PRU15 beliau membawa UMNO, melanggar resolusi-resolusi Perhimpunan Agung lebih awal, untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan menubuh Kerajaan Perpaduan atas alasan ia dititahkan YDPA.

Beliau juga terlibat dalam membuat undang-undang anti-lompat parti. Orang yang paling banyak  mendapat faedah daripada undang-undang itu adalah DS Zahid Hamidi sebab undang-undang itu menghalang Ahli-Ahli Dewan Rakyat UMNO yang tidak bersetuju menyertai Pakatan Harapan daripada keluar dari UMNO.

Udang-undang anti-lompat parti sebenarnya tidak perlu diadakan jika Ahli-Ahli Yang Berhormat ada sedikit hormat diri. Saya  tidak faham bagaimana seorang yang dipilih oleh partinya menjadi calon partinya, memperjuangkan dasar partinya, dibiayai oleh partinya, disokong dan diundi oleh ahli dan penyokong partinya dan diarak oleh mereka apabila menang; beberapa hari kemudian meninggalkan mereka dan menyeberang ke parti lawan yang dicacinya habis-habisan semasa berkempen dan memeluk pemimpin dan penyokongnya, cuma kerana ditawar menjadi Menteri atau Timbalan Menteri! Tidakkah mereka merasa terhutang budi dan malu kepada orang-orang yang telah membantunya memenangi pilihan raya itu?

Saya masih ingat rungutan yang saya dengar dalam tahun1980 semasa saya menjadi Penasihat Undang-undang Negeri Kelantan oleh seorang penyokong calon yang menang pilihan raya dan melompat ke parti lawan tidak lama kemudian. Katanya, “Melecar di dada saya panjat pokok ikat bendera belum baik, dia dah masuk parti lawan.” Itu suara rakyat dan pengundi.

Sekarang, DS Zahid Hamidi adalah Timbalan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan. Kerajaan itu goncang. Maka beliau mencadangkan diadakan undang-undang untuk menghalang sebarang cubaan menjatuhkannya.

Tujuannya adalah sama. Apa yang dilakukan sebelum ini adalah untuk melanjutkan tempoh beliau memegang  jawatan Presiden UMNO dan mendapat faedah daripadanya. Cadangan yang terbaru ini adalah untuk melanjutkan tempoh beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan menerima faedahnya.

Sama ada beliau membawa  UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan dengan tujuan supaya pendakwaan terhadap beliau tidak diteruskan itu betul  atau tidak, hakikatnya ialah Pendakwa Raya telah pun tidak meneruskan pendakwaan terhadapnya. Beliau telah memperolehi apa yang beliau mahu semasa menyertai Kerajaan Perpaduan  jika tidak dengan menyertainya pun.

Kepentingan rakyat dijadikan alasan untuk mengadakan undang-undang ini. Sebenarnya rakyat tidak  memperolehi apa-apa faedah daripada undang-undang ini, jika ia dibuat. Yang mendapat faedah adalah kerajaan dan Ahli-Ahli Kabinet kerajaan yang tidak mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat. DS Zahid Hamidi dapat terus  menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Saya katakan undang-undang ini hanya akan membantu mengekalkan Perdana Menteri dan kerajaan yang tidak baik dan tidak disukai rakyat. Jika ia baik dan disukai rakyat, tentu sekali Perdana Menteri dan kerajaan itu akan berada dalam keadaan yang kukuh. Mereka tentu akan mendapat sokongan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan tidak memerlukan undang-undang ini untuk mengekalkan mereka sebagai Perdana Menteri dan kerajaan.

Yang memerlukannya hanyalah Perdana Menteri dan kerajaan yang tidak disukai rakyat dan tidak mendapat sokongan padu Ahli-Ahli Parlimen. Merekalah yang menghadapi ancaman diguling dan merekalah yang akan dipertahankan (that will be  protected) oleh undang-undang ini! Mengapa mempertahankan mereka? Mereka patut diguling.

Hujah bahawa undang-undang itu akan mengelakkan berulangnya pertukaran Perdana Menteri sekejap-sekejap yang merugikan rakyat adalah meleset.
Pertukaran Perdana Menteri itu bukanlah disebabkan oleh apa yang dilakukan oleh rakyat. Ia adalah kerana tidak ada pemimpin politik yang mempunyai sokongan yang kukuh daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri.

Satu lagi kesan undang-undang ini ialah jika kita memperolehi seorang Perdana Menteri seperti Netanyahu pun, kita tidak boleh menukarnya sebelum tamat penggal Parlimen. Ertinya apabila selepas PRU, sebuah kerajaan ditubuh dan Perdana Menteri dilantik, kerajaan dan Perdana Menteri itu kekal sehingga akhir penggal tersebut tidak kira apa yang dilakukan atau tidak dilakukannya. YDPA tidak boleh melantik Perdana Menteri baru atau mengisytiharkan  PRU. Rakyat tidak boleh mengundi parti baru untuk memerintah.

Perlu diingati bahawa undang-undang ini, apabila dibuat, akan terpakai selagi ia tidak dimansuhkan. Maka, selama itulah ia akan mempertahankan Perdana Menteri dan kerajaan yang tidak disukai rakyat dan tidak mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Saya terkejut membaca kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bahawa DAP menyokong cadangan itu “kerana, saranan tersebut adalah baik untuk mengurangkan masalah atau isu politik yang timbul dalam tempoh satu penggal Parlimen.” Sudahkah beliau  lupakan perkataan  “Demokratik” dalam nama DAP?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) DS Azalina Othman Said berkata pihaknya menyambut baik cadangan itu.

Beliau berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan meneruskan kajian terperinci termasuk kajian impak, dan mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan akta tersebut. Dapatan daripada kajian itu kemudian akan diguna pakai bagi pertimbangan dasar oleh Kabinet.

Response beliau itu boleh difahami memandangkan  pencadangnya adalah Presiden partinya dan Timbalan Perdana Menteri.

Ditanya oleh pemberita, Perdana Menteri, DS Anwar Ibrahim berkata, “Kami (pemimpin kerajaan perpaduan) belum membincangkannya lagi. Agak awal (untuk mengulas). Ia bukanlah keutamaan.”

Jawapan beliau itu memanglah sesuai pada masa ini, Saya harap beliau tidak akan bersetuju menjadikan cadangan itu  satu undang-undang kelak. Saya khuatir ia akan merosakkan imej beliau. Beliau akan dilihat sebagai amat desperate untuk terus menjadi Perdana Menteri hingga sanggup berbuat demikian. Imej beliau telah tercalar dengan menerima UMNO sebagai rakan dalam gabungan kerajaannya; melantik DS Zahid menjadi Timbalan Perdana Menterinya pada masa beliau sedang menghadapi berpuluh-puluh pertuduhan jenayah kewangan dan, sama ada beliau terlibat mengenainya atau tidak, selepas itu, pendakwaan tidak diteruskan terhadap DS Zahid oleh Pendakwa Raya.

Dari apa yang kita dapat lihat dan dengar dari luar, semenjak dilantik menjadi Perdana Menteri, DS Anwar Ibrahim sedang melaksanakan tugasnya dengan baik. Jika beliau terus berbuat demikian, saya percaya beliau akan terus mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen. Itu adalah cara yang lebih terhormat untuk  terus menjadi  Perdana Menteri daripada terus menjadi  Perdana Menteri kerana kuat kuasa undang-undang yang dibuatnya yang tidak membenarkan kedudukannya dicabar.

Sementara itu, setakat ini, pandangan yang tepat dan hujah yang kuat diberi oleh Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Karim yang berkata saranan Timbalan Perdana Menteri itu tidak sesuai dalam konteks Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi iaitu parti atau gabungan mempunyai kerusi terbanyak boleh menjadi kerajaan.

“Demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan dipandu Perlembagaan Persekutuan sudah teruji sesuai sejak merdeka.

“Sistem tempoh kerajaan yang tetap hingga cukup penggal ada keburukannya kerana boleh membawa kediktatoran, pemerintah korup tidak boleh diganti,” katanya kepada FMT.”

Ahli Parlimen PAS Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari menyokong saranan Zahid itu, namun mahu ia dilaksanakan selepas Kerajaan Perpaduan ditukar.

Reaksi Ahli Parlimen PAS itu menunjukkan beliau hanya mengira untung-rugi kepada partinya/dirinya. Beliau eloklah belajar berfikir seperti Ahli Parlimen PKR dari Pasir Gudang  itu.

Bagi saya, saya lebih menanti-nanti pandangan Peguam Negara jika dan apabila cadangan itu dikemukakan kepadanya untuk mendapat nasihat: sama ada beliau akan mengatakan undang-undang yang dicadangkan itu berperlembagaan atau tidak dan alasan beliau.

21 Januari 2024

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

 

6 visits