TERIMA DENGAN WASPADA

KONGRES TOLAK ICERD
25 November 2018 (PWTC)
UCAPTAMA
TERIMA DENGAN WASPADA
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

Kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan PH pada hari Jumaat 23 November 2018 menyebabkan saya terpaksa menulis semula ucapan saya. Tetapi, tidak mengapa. Ia adalah satu perkembangan yang positif. Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan PH. Bagi saya, kita patut terima kenyataan itu, tetapi kita perlu terus berwaspada. Jangan terlalu cepat bertakbir dan gembira. Lebih penting lagi, kita janganlah leka.

Beberapa persoalan telah timbul apabila saya menerima kenyataan itu. Pertama adakah kenyataan itu sah atau palsu? Kita terima sekarang, ia adalah sah.

Kedua, adakah kandungannya memuaskan? Mari kita perhatikan kandungannya:

“Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination – ICERD). Kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak soaial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.”

Ia bermula dengan berkata, “Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi….ICERD”. Perhatikan, ia berkata, “tidak akan meratifikasi.” Ini adalah satu kenyataan yang positif. Ia tidak berkata “akan ditangguh.” Maka, bagi saya, kita boleh terima bahawa Kerajaan PH tidak akan meratifasi ICERD, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Kerajaan tidak boleh memberi jaminan konvensyen itu tidak akan diratifikasikan di masa hadapan. Perdana Menteri mungkin bertukar. Malah, kita sudah pun ada Perdana Menteri menunggu. Kita tidak tahu apa pendiriannya. Jika Perdana Menteri tidak bertukar pun, mungkin tekanan terhadapnya di dalam kerajaannya sendiri, terlalu kuat hingga beliau terpaksa membuat U-turn. Semenjak 9 Mei 2018 pun, kita telah melihat beberapa kali U-turn dibuat. Satu lagi bukanlah mustahil. Sebab itu kita perlu terus berwaspada dan bangun menentang semula, jika perlu.

Sekarang, mari kita lihat pula alasan yang diberi. Sebelum kenyataan ini dikeluarkan, Tun Dr. Mahathir cuma mengatakan ICERD tidak mungkin boleh diratifikasi, sebab PH tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.

Alasan itu memang tidak memuaskan saya. Sebab, kerajaan PH tidak meratifikasinya kerana ia tidak mempunyai majoriti yang cukup, bukan kerana ia meolak ICERD. Ia tetap berhasrat untuk mertifikasinya dan apabila ia mempunyai majoriti yang cukup, ia akan melakukannya.

Tetapi, melalui kenyataan itu, setelah berkata Kerajaan PH tidak akan meratifikasi ICERD, kenyataan itu disambung dengan ayat “Kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan…” Tafsiran saya ialah, kerajaan PH tidak akan meratifikasi ICERD kerana ia hendak mempertahankan Perlembagaan. Ertinya, ia mengakui bahawa jika ia meratifikasi ICERD, maka peruntukan Perlembagaan akan terjejas. Dalam kata-kata lain ia menerima hujah kita bahawa peruntukan ICERD memang bercanggah dengan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Tidak kurang pentingnya, kenyataan itu menyatakan “…..Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.”

Ertinya, kerajaan PH, melalui kenyataan ini mengaku tentang wujudnya kontrak sosial; bahawa ia telah dipersetujui oleh wakil semua kaum; bahawa ia mengikat semua orang sebab ia telah termaktub dalam Perlembagaan dan, oleh itu, mestilah dihormati oleh semua kaum.

Oleh sebab itu, saya berpuas hati dengan kenyataan itu.

Tetapi, apa yang mendukacitakan ialah, selepas kenyataan itu dikeluarkan, Lim Guan Eng telah memanggil pengarang-pengarang akhbar Cina dan memberi peringatan kepada mereka. Ini apa yang dilaporkan oleh FMT Reporters pada jam 7.40 petang, hari Jumaat 23 November 2018, hari kenyataan itu dikeluarkan:
“Lim menemui pengarang akhbar-akhbar Cina selama 90 minit hari ini dan memberitahu mereka bahawa beberapa parti politik dan individu sedang memainkan sentiment masyarakat Melayu dengan menggunakan….isu ICERD dan isu-isu perkauman lain.” (Terjemahan saya).
Soalan saya yang pertama, mengapa beliau hanya memanggil pengarang-pengarang akhbar Cina jika beliau hendak membuat kenyataan akhbar? Adakan sesuatu yang tersembunyi yang beliau tidak mahu orang Melayu tahu?
Mengapa selepas kenyataan itu dikeluarkan pun, orang-orang yang menentang ICERD masih dicap sebagai “sedang memainkan sentiment masyarakat Melayu” dengan menggunakan isu ICERD.
Kita menentang ICERD kerana kita percaya ia bercanggah dengan Perlembagaan dan kerana kita percaya ia akan menghakis, malah menghapuskan hak keisimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak. Kita bukan “memainkan sentiment masyarakat Melayu” dengan menggunakan isu ICERD. Untuk apa hendak “memainkan sentiment masyarakat Melayu” tanpa sebarang tujuan? Mengapa menjolok sarang tebuan?
Saya perhatikan, setiap penulis mengenai parti-parti Melayu, NGO-NGO Melayu dan individu Melayu, macam saya, yang menentang ICERD mengecapkan kesemua parti, NGO dan individu itu sebagai rasis. Yang peliknya, orang Melayu yang mempertahankan hak mereka seperti yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan dikatakan rasis. Tetapi orang bukan Melayu yang hendak mengambil hak orang Melayu tidak rasis.
Dari awal lagi kita berkata bahawa kita menentang ICERD kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan; kita tidak mahu peruntukan-peruntukan mengenai hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak dimansuhkan. Dalam kata-kata lain, kita mempertahan Perlembagaan Persekutuan.
Melalui kenyataan itu, Kerajaan PH menyatakan bahawa ia akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Ertinya, apa yang kita lakukan dan apa hendak dilakukan oleh Kerajaan PH adalah sama, iaitu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Maka, jika kerana mempertahankan Perlembagaan Persekutuan kita rasis, adakan Kerajaan PH juga rasis? Jika Kerajaan PH tidak rasis, mengapa menuduh kita rasis, sedangkan kedua-duanya melakukan perkara yang sama, iaitu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan? Itu adalah logic yang sangat mudah, yang sepatutnya mereka boleh faham.
Saya berseru kepada semua rakyat Malaysia, termasuk Lim Guan Eng dan Waytha Moorthy, marilah kita terima kenyataan Kerajaan PH yang mereka sendiri menjadi anggota kabinetnya dan jangan lagi menuduh penentang ICERD sebagai rasis dan pelampau, jika mereka mahu cuba mewujudkan perpaduan.
Kita mungkin telah memenangi satu pertempuran, tetapi perang belum lagi tamat. Saya percaya, kumpulan yang tidak senang adanya hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, tidak akan berdiam diri.
Dalam tahun 2014, melalui Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) atau National Unity Consultative Council (NUCC) dan Jawatankuasa Kecil Undang-Undang dan Dasar yang dipengerusikan oleh Dato’ Seri Mujahid dan Lim Chee Wee, bekas Presiden Majlis Peguam sebagai timbalannya, mereka cuba memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan mengemukakan tiga rang undang-undang yang dikenali sebagai Rang Undang-Undang Harmoni. Melalui Konvensyen Perpaduan Nasional anjuran NGO-NGO Melayu/Islam pada 23 November 2014 di mana saya menyampaikaan ucapan khas bertajuk “Demi Agama Bangsa dan Negara Melayu Perlu Bersatu”, kita berjaya memaksa Dato’ Seri Najib membuat U-turn dan menggagalkan usaha mereka.
Akibat perpecahan Melayu, selepas PRU 14, beberapa muka yang sama menjadi ahli kabinet kerajaan PH. Sekarang mereka berkuasa, apatah lagi, sekarang mereka di sokong oleh rakan-rakan mereka daripada DAP dan HINDRAF, maka mereka menghidupkan semula rancangan mereka itu. Walau pun bukan dalam portfolionya, sebelum isu ICERD ini menjadi heboh, Dato’ Seri Mujahid telah pun bercakap semula mengenai hasratnya untuk membawa Rang Undang-Undang Harmoni ke Parlimen, untuk dijadikan undang-undang.
Kali ini, mereka hendak melakukannya melalui ratifikasi ICERD. Percayalah, selepas ICERD diratifikasikan, mereka akan membawa Rang Undang-Undang Harmoni ke Parlimen untuk dijadikan undang-undang. Mereka akan melakukan semula apa yang mereka gagal empat tahun dahulu.

Hari ini, selepas genap empat tahun 2 hari, bukan sahaja NGO-NGO Melayu/Islam tetapi dua buah parti politik Melayu/Islam terbesar, bergabung untuk mengadakan kongres ini, kali ini untuk menolak ICERD yang akan membuka pintu bagi Rang Undang-Undang yang sama dihidupkan semula oleh orang-orang yang sama. Jika empat tahun dua hari dahulu saya pergi bertungkat untuk menyampaikan ucapan saya, hari ini saya datang dengan menaiki ambulans. Walau pun akibat beberapa pembedahan, saya telah kehilangan suara sebanyak dua kali dan hanya sebelah pita suara sahaja yang masih berfungsi, di luar dugaan para doctor, Allah s.w.t telah memberi balik suara saya, antara lain, saya percaya, untuk membolehkan saya menyampaikan ucapan ini. Maka, dengan izin Alah s.w.t. saya menyampaikan ucapan ini dengan suara saya yang ketiga, demi agama, bangsa dan negara.

Perjuangan kita masih belum selesai. Ada beberapa konvensyen lagi yang perlu diberi perhatian. Insya Allah, selagi tenaga untuk memegang Ipad masih ada, selagi terdaya untuk berfikir, walau pun sambil melentang, saya akan menulis mengenainya untuk membantu tuan-tuan dan puan-puan memahaminya, seperi yang saya telah lakukan berkenaan ICERD ini dan lain-lain sebelumnya.

Sila layari laman-laman web saya dan tular seluas-luasnya seperti yang tuan-tuan dan puan-puan telah lakukan dengan rencana mengenai ICERD ini. Itu sahajalah yang saya masih boleh lakukan. Yang lainnya, saya serahkan kepada tuan-tuan dan puan-puan.

Sekian. Terima kasih.

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

929 visits