PENYATUAN PERSATUAN-PERSATUAN MEMANCING: SATU CADANGAN

PENYATUAN PERSATUAN-PERSATUAN MEMANCING: SATU CADANGAN

Oleh

Dato’ Abdul Hamid bin Haji Mohamad

 

Dalam tempoh sepuluh tahun yang lepas kita melihat perkembangan yang hebat kepada populariti memancing sebagai satu sukan atau hobi. Saya tidak akan meneka bilangan pemancing di Malaysia walau pun ada orang yang membuat kajian mengikut kaedahnya sendiri mengatakan satu juta. Tiada siapa yang tahu bilangan pemancing di negara ini yang sebenarnya. Namun demikian saya percaya semua orang bersetuju bahawa jumlahnya amat besar.

Pemancing-pemancing itu mempunyai minat yang sama: pancing dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Maka tertubuhlah persatuan-persatuan memancing. Pada anggapan saya lebih banyak persatuan memancing yang ditubuhkan dalam tempoh sepuluh tahun yang lepas daripada sepanjang masa sebelumnya. Persatuan-persatuan itu juga mempunyai tujuan yang serupa: semua perkara yang barkaitan dengan pancing termasuk mengadakan pertandingan-pertandingan memancing, mengatur trip memancing dan mengadakan seminar pancing.

Pemancing-pemancing juga sedar bahawa untuk boleh memancing mestilah ada ikan. Oleh itu tidak hairanlah jika pemancing-pemancing dan persatuan-persatuan memancing mengambil berat mengenai masalah berkurangnya ikan dan kerosakan habitatnya. Mereka juga amat mengambil berat mengenai keadaan alam sekitar terutama sekali sungai, tasik, pantai dan laut.

Tetapi, hingga ke hari ini, persatuan-persatuan itu bergerak secara bersendirian. Ativiti masing-masing terhad kepada mangatur trip memancing untuk ahli-ahlinya dan mengadakan pertandingan-pertandingan memancing tahunan. Hubungan antara satu sama lain di perigkat persatuan amat sedikit. Akibatnya, tarikh-tarikh pertandingan memancing yang dianjurkan oleh mereka pun ada kalanya bertindih.

Ahli-ahli persatuan-peratuan ini mempunyai pandangan yang seruapa dalam banyak hal seperti mengenai berkurangnya ikan, pencemaran air, aktiviti pukat tunda di kawasan larangan dan lain-lain. Tetapi, oleh sebab kurangnya perhubungan antara mereka, mereka tidak dapat menyampaikan pandangan mereka secara bersepadu mengenai apa-apa persoalan. Pihak-pihak berkuasa juga sukar menghubungi mereka dan meminta pendapat mereka sebabagai sebuah badan yang mewakili pemancing-pemancing di seluruh negara.

Pada pandangan saya, tidak boleh dinafikan bahawa adalah untuk kepentingan pemancing-pemancing bahawa perlu ada satu badan di peringkat kebangsaan untuk mewakili mereka semua.

Pada pandangan saya terdapat dua pilihan. Saya akan bincangkan kebaikan dan ketidak-baikan kedua-duanya dan memberi pandangan saya pilihan mana satu yang lebih baik.

Pilihan pertama ialah mengadakan satu persatuan memancing untuk seluruh negara. Kedua ialah mengadakan satu persekutuan persatuan-persatuan memancing.

Mengenai pilihan pertama, keahlian persatuan itu adalah terbuka kepada semua pemancing di seluruh negara. Itulah yang telah dilakukan oleh Persatuan Memancing Malaysia(PEMM). Sambil usaha itu patut dipuji, pada padangan saya ketidak-baikannya adalah lebeh banyak daripada kebaikannya. Pertama, oleh sebab persatuan itu terletak di Lembah Kelang, hanya pemancing-pemancing di kawasan itu yang lebih tertarik menyertainya. Pemancing-pemancing dari luar Lembah Kelang mendapatinya terlalu jauh dan mahal untuk pergi ke Kuala Lumpur sama ada untuk menghadiri mesyuarat atau menyertai aktivitinya. Adalah lebih mudah, murah dan menguntungkan mereka untuk menyertai prsatuan-persatuan yang berdekatan tempat tinggal mereka. Selain dari itu, jika kita cuma mempunyai satu persatuan sahaja bagi seluruh negara, maka semua persatuan-persatuan lain, selain dari PEMM, kenalah di bubarkan. Ini tentu tidak di gemari.

Oleh itu, pada pandangan saya, pilihan ini kurang baik.

Mengenai pilihan kedua. Di bawah susunan ini, pemancing-pemancing boleh menyertai persatuan-persatuan yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka yang sedia ada atau menubuh persatuan-persatuan baru, seberapa banyak yang disukai, lebih banyak lebih baik. Semua persatuan-persatuan itu akan menjadi ahli peresekutuan itu di peringkat kebangsaan, Persekutuan Persatuan-persatuan Memancing Malaysia, atau apa juga nama yang hendak diberi.

Di bawah susunan ini, setiap persatuan itu adalah satu entiti yang berasingan dengan perlembagaan dan jawatankuasanya sendiri. Tetapi, setiap persatuan itu akan melantik/memilih, katakanlah , dua orang wakilnya untuk mewakilinya dalam Persekutuan itu. Setiap persatuan itu bebas menjalankan aktivitinya sendiri.

Ahli-ahli persekuatan itu bukan terdiri dariapada orang-orang perseorangan seperti persatuan-persatuan. Ahli-ahlinya terdiri daripada persatuan-persatuan dari seluruh Malaysia. Wakil-wakil persatuan-persatuan itu menjadi ahli majlis atau jawatankuasa Persekutuan itu. Majlis itu akan menjadi jurucakap tunggal bagi pihak semua persatuan atas nama Persekutuan mengenai isu-ise kebangsaan. Ia akan menyelaras aktiviti-aktiviti persatuan-persatuan yang menjadi ahlinya, misalnya mengenai tarikh-tarikh pertandingan memancing untuk mengelak pertindihan dan menyelaraskan paraturan-peraturan pertandingan. Ia akan membuat representasi kepada pihak-pihak berkuasa mengenai undang-undang yang berkenaan dengan pancing dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Ia akan mengadakan seminar di peringkat kebangsan dan lain-lain.

Jika cadangan ini diteriama, beberapa perkara perlu dilakukan oleh persatuan-persatuan memancing yang sedia ada. Semua persatuan perlulah mengadakan peruntukan dalan perlembagaannya untuk membolehkannya bergabung. Setakat yang saya tahu, perlembagaan persatuan-persatuan yang sedia ada pun sudah mempunyai peruntukan seperti itu. Jika tidak ada pun pindaan yang perlu dibuat adalah mudah dan sedikit. PEMM perlu membuat sedikit pengorbanan: ia perlu menukar namanya dengan menggugurkan perkataan “Malaysia”. Jika tidak seolah-seolah terdapat dua badan yang mewakili Malaysia. Terserahlah kepadanya untuk memilih nama barunya. Pada pandangan saya pengorbanan ini amat kecil dan akan membawa PEMM lebih dekat kapada kenyataan.

Dato’ Abdul Hamid bin Haji Mohamad.
13.12.2000

Perkembangan terkini

Cadangan ini telah dibincang dalam Seminar Pancing Malaysia yang diadakan di Bukit Merah Lake Town Resort pada 21 dan 22 Oktober 2000. Dalam Seminar itu wakil-wakil daripada PEMM memaklumkan bahawa berbangkit daripada rencana ini, PEMM telah mengambil tindakan untuk meminda perlembagaannya untuk membolehkannya menjadi badan induk di peringkat Kebangsaan. Dengan pindaan itu orang-orang individu tidak lagi akan menjadi ahli PEMM. Mereka akan menjadi ahli Cawangan-Cawangan PEMM yang akan ditubuhkan di mereta-merata tempat. Atau mereka boleh menjadi ahli persatuan-persuatuan yang telah ada atau akan ditubuhkan. Cawangan-cawangan PEMM dan persatuan-persatuan itulah yang akan menjadi ahli PEMM, masing-masing menghantar sebilangan wakil yang ditetapkan.

145 visits