PELANTIKAN MENTERI BESAR: BUDI BICARA BUKAN SESUKA HATI

PELANTIKAN MENTERI BESAR: BUDI BICARA BUKAN SESUKA HATI

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Pada 14 03 2022, saya mengakhiri rencana saya “PRN Melaka dan Johor Petunjuk Pengundian Melayu Dalam PRU15” dengan nada gembira Akhir kata, satu perkara yang patut dipuji ialah istiadat mengangkat sumpah Menteri Besar tidak diadakan pada malam kiraan undi itu juga seperti yang dilakukan di beberapa buah negeri… Pihak istana tidak sepatutnya melayan cubaan berbuat demikian. Kemuliaan[i] Raja mestilah dijaga.”

Esoknya, saya terbitkan rencana tersebut. Pada hari yang sama, keluar berita bahawa DYMM Sultan Johor tidak memperkenankan Dato’ Seri Hasni Mohammad, nama yang dikemukakan oleh BN, parti yang memenangi lebih daripada dua pertiga kerusi DUN Johor, untuk dilantik menjadi Menteri Besar. Sebaliknya, Baginda melantik Dato’ Hafiz Onn, pilihan Baginda sendiri. Berikutan dengan itu, keluar pula berita bahawa 39 daripada 40 orang DUN BN telah menandatangani akuan bersumpah menyokong Dato’ Seri Hasni sebagai Menteri Besar.

Jika episod ini berlanjutan, maka akan berlakulah krisis perlembagaan sekali lagi. Nampaknya, di Malaysia ini krisis perlembagaan tidak pututs-putus. Jika ia tidak disebabkan oleh ahli-ahli politik, ia disebabkan oleh Raja-Raja. Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura akan terus menerus mendapat hiburan percuma daripada drama lucu politik Malaysia.

Apakah kesan tindakan Ahli-Ahli DUN Johor, kecuali Dato’ Hafiz Onn, itu? Itu bererti Dato’ Hafiz Onn tidak mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli DUN Johor sedangkan syarat untuk seseorang itu dilantik sebagai Menteri Besar ialah dia adalah orang yang mungkin mendapat sokongan majoriti dalam DUN. Sebagai seorang ahli parti UMNO/BN, Dato’ Hafiz Onn sepatutnyalah meletak jawatan. Malah, mengetahui bahawa partinya telah mengemukakan nama Dato’ Seri Hasni untuk dilantik sebagai Menteri Besar, beliau tidak sepatutnya menerima pelantikan itu jika Baginda Sultan mahukannya, tanpa beliau melobi, sekalipun.

Sebagai ahli parti yang bertanding dan menang atas nama parti, beliau sepatutnya  menghormati kehendak partinya, bukanlah berselindung di sebalik kata-kata “menjunjung titah perintah Tuanku.”

Ini satu lagi misalan sikap sesetengah ahli politik kita yang hanya memikirkan kepentingan diri tanpa mempeduli ia akan melemahkan kerajaan sendiri. Baharu sahaja PRN diadakan untuk mengatasi masalah sebuah kerajaan yang lemah kerana majoriti kecil, sebaik sahaja menang dengan majoriti besar, kerajaan baharu menjadi lemah semula kerana Menteri Besar tidak mendapat sokongan DUN partinya, walaupun dalam kes ini Istana lebih boleh dipersalahkan.

Oleh sebab ADUN-ADUN itu telah menandatangani akuan bersumpah menyokong Dato’ Seri Hasni sebagai Menteri Besar, sepatutnya, jika mereka konsisten, mereka tidak akan menerima pelantikan sebagai Ahli Exco, jika ia ditawarkan kepada mereka sekalipun. Tetapi, saya tidak hairan jika ada yang menerima, malah melobi, dengan itu memecahbelahkan parti sekali lagi. Mereka juga akan memberi alasan “menjunjung titah perintah Tuanku.”

Jika mereka berprinsipal dan tidak menerima jawatan Exco, bagaimana kerajaan hendak ditubuh? Dalam keadaan itu, Dato’ Hafiz Onn sepatutnya meletak jawatan dan Baginda Sultan hendaklah melantik Dato’ Seri Hasni sebagai Menteri Besar.

Dalam keadaan biasa, jika Menteri Besar kehilangan sokongan majoriti, jalan terakhir untuk menyelesaikan kisis perlembagaan ini ialah dengan mengadakan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar di DUN. Tetapi, bagaimana hendak memanggil persidangan DUN jika kerajaan pun tidak tertubuh? Lihatlah bagaimana leceh akibatnya.

Perkara 4(2) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, memperuntukkan DYMM Sultan hendaklah melantik seorang ahli DUN yang pada pendapat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan itu menjadi Menteri Besar.

Perkara 7(2)(a) Bahagian Kedua itu juga memperuntukkan, dalam melantik Menteri Besar, Baginda boleh bertindak atas budi bicara Baginda.

Perlu dijelaskan bahawa budi bicara bukanlah sesuka hati. Ia bererti orang yang pada fikiran Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli DUN.

Dalam demokrasi berparlimen, apabila sebuah parti atau gabungan parti-parti memenangi bilangan kerusi majoriti dalam sesuatu pilihan raya dan ia mencadangkan seseorang untuk menjadi Menteri Besar, maka  orang itulah yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli DUN. Melantik orang lain mungkin mengakibatkan seperti yang berlaku dalam kes Johor ini.

Tidak mengikuti cadangan parti yang memenangi majoriti kerusi DUN itu juga akan memecahbelahkan parti dan melemahkan kerajaan.

Sebenarnya, berlainan daripada monarki mutlak (absolute monarchy), Menteri Besar adalah lebih kepada Menteri Besar kerajaan parti yang memerintah, bukan Menteri Besar Sultan yang bertakhta. Baik buruk Menteri Besar tidak reflect baik buruk Sultan, tetapi ia akan reflect kerajaan parti yang memerintah. Pengundi yang marah kepada seorang Menteri Besar mungkin vote out sebuah kerajaan, bukan Sultan. Maka, Sultan tidak sepatutnya menganggap seorang Menteri Besar itu sebagai Menteri Besarnya dan, oleh itu, melantik orang yang disukainya menjadi Menteri Besar.

Bagaimana mengatasi kebuntuan ini? Dato’ Hafiz Onn eloklah meletak jawatan dan DYMM Sultan hendaklah melantik Dato’ Seri Hasni sebagai Menteri Besar.

17 03 2022

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

[i] Perkataan “Kehormatan” digantikan dengan “Kemuliaan” pada 16 03 2022

148 visits