PENGGUNAAN BAHASA MANDARIN UNTUK TUJUAN RASMI KEMENTERIAN KEWANGAN

PENGGUNAAN BAHASA MANDARIN UNTUK TUJUAN RASMI KEMENTERIAN KEWANGAN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Saya merujuk kepada laporan akhbar bertajuk “It’s the ‘new Malaysia’: Guan Eng defends use of Mandarin in statements” (Ini “Malaysia baru”: Guan Eng mempertahankan penggunaan bahasa Mandarin dalam kenyataan-kenyataan.”

“PETALING JAYA: Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini bersandar kepada Perlembagaan Persekutuan bagi mempertahankan penggunaan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi kementeriannya, selepas dituduh oleh penyokong pembangkang sebagai melemahkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dalam bahasa Mandarin, setiausaha agung DAP itu berkata menggunakan bahasa itu mencerminkan pengiktirafan kerajaan semasa mengenai pelbagai bahasa dan globalisasi (multilingualism and globalisation.)

“Di bawah Perlembagaan Persekutuan, tiada siapa yang dicegah dari bercakap, mengajar, atau belajar bahasa lain. Dengan semangat perlembagaan, apakah yang salah dengan mengeluarkan kenyataan akhbar yang diterjemahkan dalam bahasa Cina atau bahasa lain? ” tanya Lim.

Tambahnya, pengkritiknya membuat “tuduhan rasis”, Lim berkata dia tidak akan tunduk kepada mereka.

“Kenyataan menteri kewangan akan terus diterbitkan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris,” katanya, sambil menambah bahawa terjemahan bahasa Cina akan dimasukkan jika perlu.

Beliau juga berkata beliau berharap pegawai tinggi lain akan mengikutinya.

“Malaysia baru adalah negara yang inklusif, penuh hormat dan pelbagai. Walaupun memelihara status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kita juga perlu menguasai penggunaan bahasa lain untuk meningkatkan daya saing kita.” (Terjemahan saya)(FMT Reporters June 25, 2018)

Ada tiga dokument yang saya akan rujukkan:

1. Kenyataan Rasmi Kementerian Kewangan (KRKK);

2. Kenyataan bertarikh 24 Jun 2018 yang dikeluarkan bagi membela KRKK itu;

3. Kenyataan bertarikh 25 Jun 2018.

KRKK berkenaan di keluarkan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, tetapi terjemahan dalam bahasa Mandarin juga disediakan. Isinya tidak diketahui kerana ia tidak disebut dalam laporan di atas.

Apabila KRKK itu dikritik kerana menggunakan bahasa Mandarin, Lim Guan Eng telah mengeluarkan satu kenyataan (kenyataan kedua) hanya dalam bahasa Mandarin untuk membelanya. Kenyataan kedua inilah yang menjadi isi laporan di atas.

Oleh sebab beliau bersandar kepada Perlembagaan bagi membela KRKK, mari kita lihat dahulu apa yang dikatakan oleh Perlembagaan.

Perkara 152, antara lain, memperuntukkan (Saya perturunkan terjemahan bahasa Melayunya):

“152. (1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:

Dengan syarat bahawa—

(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan”

Perhatikan bahawa klausa ini menyatakan bahawa, pertama, bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu.

Kedua, peruntukan bahawa tiada sesiapa dilarang daripada mengguna, mengajar atau belajar bahasa-bahasa lain itu adalah selain daripada maksud rasmi (official purpose). Maka, untuk maksud rasmi, larangan itu tidak terpakai. Ertinya, bagi maksud rasmi, bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) hendaklah digunakan.

Maksud rasmi ditakrifkan dalam Klausa (6) seperti berikut:

“(6) Dalam Perkara ini, “maksud rasmi” ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.”

Ringkasnya, apa-apa maksud kerajaan adalah maksud rasmi.

Adakah KRKK itu bagi “maksud rasmi”?

Tidak dinafikan dan tidak boleh dinafikan bahawa KRKK itu adalah bagi “maksud kerajaan”. Ia dikeluarkan oleh Menteri Kewangan dari Kementerian Kewangan berkenaan tugas rasminya sebagai Menteri Kewangan. Maka ia hendaklah dibuat dalam bahasa Melayu. Perkara ini juga ditegaskan oleh seksyen 2 Akta 32; yang, setakat yang berkeenaan mengatakan:

“……bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.”

Setakat ini sudah jelas bahawa Menteri Kewangan itu silap dalam sandarannya kepada Perlembagaan. Apa yang tidak dilarang ialah yang bukan untuk maksud rasmi. Untuk maksud rasmi, bahasa Melayu mestilah digunakan.

Perlembagaan tidak menyebut mengenai penggunaan bahasa lain di samping bahasa Melayu. Tetapi, ia diperuntukkan oleh seksyen 3 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 32).

“3. Tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh menyentuh hak Kerajaan Persekutuan atau hak Kerajaan mana-mana Negeri untuk menggunakan apa-apa terjemahan dokumen atau perutusan rasmi dalam mana-mana bahasa lain bagi apa-apa maksud yang difikirkan perlu demi kepentingan awam.”

Seksyen ini membenarkan terjemahan dalam bahasa lain bagi maksud yang difikirkan perlu bagi kepentingan awam. Apa yang dibenarkan ialah terjemahan, ertinya versi rasminya tetap versi bahasa kebangsaan. Itu pun, kebenaran itu diberi jika perlu untuk kepentingan awam.

Maka, peruntukan inilahi yang akan menentukan kedudukan KRKK, khususnya, adakah ia perlu bagi kepentingan awam.

Adakah mengadakan terjemahan dalam bahasa Mandari itu perlu bagi kepentingan awam?

Persekutuan Tanah Melayu (itu nama rasmi negara kita sebelum Malaysia ditubuhkan) telah merdeka selama 61 tahun. Malaysia sudah berumur 55 tahun. Orang-orang Cina yang datang dari negeri Cina atau yang lahir sebelum Merdeka, yang masih ada, besar kemungkinan tidak melayari media social Lim Guan Eng untuk membaca KRKK dalam Bahasa Mandarin.

Orang-orang yang lahir selepas Merdeka, berpeluang belajar bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, walaupun jika mereka bersekolah Cina. Mereka semua telah menjadi rakyat negara ini yang salah satu syaratnya ialah “bahawa dia mempunyai pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu. (Perkara 19(1)(c), Perlembagaan Persekutuan).

Dalam tempoh 61, atau 55 tahun itu (mana yang berkenaan), mereka telah maju dalam semua bidang, mengatasi masyarakat lain dan menjadi kaya raya. Tan Sri Loh Boon Siew, Tan Sri Lim Goh Tong, Tan Sri Ting Pek Khiing, hanya menyebut tiga nama, yang tidak boleh membaca dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris boleh menjadi billionaire.

Saya yakin dalam tempoh itu tidak ada satu KRKK pun dikeluarkan dalam bahasa Mandarin. Tan Sri Rais Yatim, dalam kenyataannya berkata, “…dalam tempoh lebih daripada 40 tahun beliau berkhidmat dalam kerajaan, hanya bahasa Melayu dan Inggeris digunakan….”.(freemalaysiatoday.com 25 Jun 2018). Ahli-ahli politik, baik dari MCA, Gerakan mahu pun DAP tidak pernah menuntut ia disertai dengan terjemahan bahasa Mandarin. Tidak pernah siapa mengadu bahawa oleh sebab itu tetah berlaku ketidakadilan kepada mereka untuk berdaya saing.

Selain dari itu, orang-orang yang membaca KRKK bukanlah peniaga-peniaga kecil tetapi syarikat-syarikat besar. Syarikat-syarikat itu, walaupun dimiliki oleh orang Cina, mempunyai pegawai-pegawai professional dalam berbagai bidang yang menguasai bahasa Melayu dan Inggeris.

Kesemua ini membuktikan bahawa terjemahan ke bahasa Mandarin tidaklah perlu untuk kepentingan awam. Ertinya, seksyen 3 Akta 32 juga tidak tidak boleh diguna untuk mempertahankan tindakan Lim Guan Eng itu.
Saya percaya, inilah yang menyebabkan Tan Seri Rais Yatim dilaporkan berkata “….beliau tidak fikir mengeluarkan kenyataan akhbar dalam Bahasa Mandarin itu sesuai.” Tambahnya, “Bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu adalah mencukupi.” (Terjemahan saya).
Soalannya, mengapa, apabila sahaja PH berkuasa, DAP menyertai kerajaan dan Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, ia terus dilakukan?

Jawabnya, itu adalah agenda politik DAP. Kita tidak perlu pergi jauh untuk melihatnya. Baca sahaja kenyataan kedua Lim Guan Eng. Beliau bercakap mengenai “pengiktirafan kerajaan semasa mengenai pelbagai bahasa dan globalisasi” (multilingualism and globalisation),”Malaysia baru adalah negara yang inklusif, penuh hormat dan pelbagai”.

Selain dari itu, perhatikan, pertama, setelah dikeritik kerana mengeluarkan terjemahan dalam bahasa Mandarin, beliau sengaja mengeluarkan kenyataan keduanya hanya dalam bahasa Mandarin, menunjukkan betapa bongkaknya beliau.

Kedua, perhatikan bahasanya dan bandingkan dengan bahasa yang digunakan oleh Tan Sri Rais Yatim.

Ketiga, seperti biasa, beliau terus menyerang sesiapa sahaja yang mengkritiknya dan peluru kegemarannya ialah “rasis”. Dalam hal ini, Tan Sri Rais Yatim, rakan sepakatannya, juga termasuk alam golongan itu.

Keempat, beliau menghendaki pegawai-pegawai tingginya turut melakukan seperti yang dilakukannya, ia itu mengeluarkan terjemahan kenyataan rasmi kementeriannya dalam bahasa Mandarin. Ambil ingatan, bahawa hampir kesemua pegawai-pegawai di kementerian itu adalah orang Melayu yang tidak tahu bahasa Mandarin. Adakah itu akan menjadi alasan untuk menggantikan mereka dengan pegawai-pegawai yang berbahasa Mandarin? Adakah kelayakan bahasa Mandarin akan menjadi satu syarat bekerja di kementerian itu?

Sikapnya itu lebih jelas jika kita lihat kenyataan yang dikeluarkannya pada 25 Jun 2018 (kenyataan ketiga) . Dalam kenyataan itu beliau sedikit pun tidak menunjukkan perasaan ralat berkenaan apa yang telah dilakukannya, malah beliau langsung tidak menghiraukan pendekatan Tun Dr Mahathir yang cuba berdalih bahawa itu adakah satu kesilapan.

Sebaliknya, beliau terus mempertahankan tindakannya itu sambil, sekali lagi, merujuk kepada Perlembagaan untuk memberi justifikasi kapadanya. Dalam kata-kata lain, alasan kesilapan yang diberi oleh Tun Dr Mahathir itu nyata tidak betul. Ia memang disengajakan dan, baginya, apa yang beliau lakukan itu adalah betul. Hanya orang lain yang memutar belit apa yang dilakukannya dan membesar-besarkanya. Pendek kata beliau menyalahkan pengkritiknya.

Tidak cukup dengan itu:

“Beliau berkata versi bahasa Mandarin akan dihantar kepada akhbar Cina atau dimuat naik di media sosial, dan tidak akan digunakan di portal web kementerian.

Lim berkata kenyataan yang dikeluarkan dalam bahasa Mandarin pada 24 Jun tidak menggunakan kepala surat rasmi kementerian itu.” (Terjemahan aaya).

Merujuk kepada ayat pertama, ertinya versi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris diletakkan dalam portal rasmi kementerian dan diberi kepada media. Tetapi versi bahasa Mandarin diletakkan dalam media sosialnya dan diberikan kepada akhbar-akhbar Cina.

Soalan saya, pertama, jika terjemahan dalam bahasa Mandarin itu dibuat kerana ia perlu bagi kepentingan awam, mengapa ia tidak diletakkan bersama-sama versi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam portal rasmi kementerian? Ia adalah terjemahan kenyataan rasmi kementerian, bukan surat peribadinya.

Kedua, mengapa kenyataan rasmi kementerian (dalam Bahasa Mandarin) diletakkan dalam media sosial peribadinya? Siapa menterjemahnya? Siapa mengesah terjemahan itu? Adakah ia sama dengan versi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris? Mengapa pengguna bahasa Mandarin diberi layanan berasingan dan istimewa daripada bukan-pengguna bahasa Mandarin? Adakah sesuatu yang hanya hendah disampaikan kepada pengguna bahasa Mandarin?

Ketiga, sebanyak dua kali beliau mengelurkan kenyataan untuk membela tindakannya itu, sekali pun beliau tidak menyebut bahawa ia dibuat kerana ia perlu bagi kepentingan awam. Ini menunjukkan bahawa itu bukanlah sebab dan tujuannya.

Kita sampai kepada ayat kedua, ia itu: “kenyataan yang dikeluarkan dalam bahasa Mandarin pada 24 Jun tidak menggunakan kepala surat rasmi kementerian itu.”

Saya percaya maksudnya ialah, ia (kenyataan kedua) bukanlah kenyataan rasmi kementerian, sebab ia tidak menggnakan kepala surat rasmi kementerian.

Ini satu helah baru yang sangat lemah. Kita perlu melihat kandungannya, bukan kertasnya. Kenyataan kedua itu dikeluarkan oleh beliau sebagai Menteri Kewangan untuk menjawab kritikan terhadap apa yang dilakukannya dalam menjalankan tugasnya sebagai Menteri Kewangan. Yang mengkritik KRKK adalah orang-orang yang bukan-pengguna bahasa Mandarin. Tujuan kenyataan itu adalah untuk menjelaskan tindakannya yang dikritik itu. Itu adalah satu dokumen rasmi dan mesti dikeluarkan dalam Bahasa Melayu.

Tun Dr. Mahathir telah memberi pandangannya. Beliau mengatakan bahawa itu satu kesilapan kecil yang tidak disengajakan dan tidaklah perlu baginya untuk menasihatkan Lim Guan Eng.

Kita faham bahawa sebagai PM beliau tidak mahu dilihat berbeza pendapat dengan menterinya. Tetapi, reaksi Lim Guan Eng apabila dikritik dan cara beliau mengeluarkan kenyataan kedua, hanya dalam Bahasa Madarin, dan isi kandungannya langsung tidak selaras dengan seorang yang merasakan bahawa dia telah membuat satu kesilapan.

Beliau menyerang orang yang mengkritiknya dan meminta pegawai-pegawai kananya mengikutinya mengeluarkan KRKK dengan menggunakan terjemahan bahasa Mandarin. Beliau terang-terang mencabar mereka. Beliau langsung tidak mengaku bahawa tindakannya itu satu kesilapan yang tidak disengajakan. Soalan timbul, adakan DAP hendak menunjukkan siapa yang menerajui PH?

Presiden PKR merangkap Timbalan Perdana Menteri juga telah mengeluarkan kenyataan menidak-apakan perbuatan Lim Guan Eng itu.

Apa kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Tan Sri Muhyiddin Yasin, Timbalan Presiden PPBM? Nampaknya ketiga-tiga parti berasaskan Melayu (Malay-based) itu tidak berupaya walaupun hanya sekadar untuk menegur Lim Guan Eng.

29 06 2018

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

629 visits