PINDAAN AKTA 355: KESAN SEBENAR

PINDAAN AKTA 355: KESAN SEBENAR
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Saya akui bahawa dalam keadaan terlentang di atas katil hampir sepanjang masa dan sepanjang masa dalam kesakitan, bezanya hanya kurang atau lebih, saya tidak mempunyai maklumat sepenuhnya mengenai apa yang sedang berlaku mengenai cadangan PAS untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) itu. Daripada jemputan untuk menghadiri seminar mengenainya yang saya tidak dapat hadir kerana keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan dan daripada laporan akhbar yang saya temui sekali-sekala, nampaknya perbincangan hangat sedang berlaku mengenainya.

Malangnya, sekali lagi, saya tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai apa yang sedang dibincangkan itu. Daripada apa yang saya tahu sehingga 2 Jun 2016 apabila saya menulis rencana bertajuk “Rang Undang-Undang Persendirian PAS: Apa Tujuannya” dan daripada apa yang saya “dengar” ialah, ada pihak yang mengatakan bahawa pindaan itu adalah sekadar menambah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan tidak ada kena mengena dengan pelaksanaan hudud. Satu pihak lagi mengatakan bahawa tujuannya ialah untuk membolehkan hukuman hudud diperundangkan dan oleh itu mereka menentangnya. Kedengaran juga yang berkata, “Ini soal agama Islam, mengapa hendak dibawa ke Parlimen?” (Saya akui saya tidak faham apa yang dimaksudkan oleh mereka.) Mungkin ada pula yang melihat daripada jurusan lain yang saya tidak tahu dan tidak boleh faham alasannya. Perlu ditegaskan bahawa ini adalah persoalan undang-undang, biarlah orang undang-undang yang mentafsirkannya.

Apakah pindaan yang dihebohkan itu?

Kita semua tahu bahawa PAS ada mengemukakan satu usul di Parlimen untuk meminda Akta tersebut. Daripada carian saya, sehingga ke hari ini belum ada rang undang-undang dibuat untuk tujuan itu. Yang ada hanyalah usul PAS yang ringkas itu. Jagi, segala perbincangan mengenainya hanyalah berdasarkan usul itu. Itu pun saya percaya banyak orang, termasuk ahli-ahli politik yang membuat kenyataan mengenainya, tidak membacanya.

Pindaan itu bertujuan untuk menggantikan seksyen 2 Akta berkenaan dengan seksyen 2 dan 2A baru.

Seksyen 2 baru memperuntukkan:

“2. Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang-Undang Persekutuan.”

Seksyen 2A baru memperuntukkan:

“2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan diatas, selain dari hukuman mati.”

Jelas sekali bahawa seksyen 2 baru itu tidak memperuntukkan apa-apa perkara baru. Ia hanya mengulangi undang-undang yang sedia ada.

Tetapi, yang lebih penting ialah seksyen 2A baru yang dicadangkan itu. Perbezaan yang paling ketara antara pindaan yang dicadangkan dengan seksyen 2 yang ada sekarang ialah bahawa undang-undang yang ada sekarang mengandungi syarat (proviso) seperti berikut:

“Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.”

Kesan pemansuhan syarat dalam seksyen 2 yang ada sekarang ialah bahawa tidak ada lagi sekatan mengenai jenis dan had hukuman yang Dewan Undangan Negeri boleh peruntukkan kepada Mahkamah Syariah. Dewan Undangan Negeri boleh membuat undang-undang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan semua hukuman yang dibenarkan oleh hukum syarak (dan fiqh) termasuk hukuman hudud dan qisas, kecuali hukuman mati. Itulah kesannya. Tetapi, setakat mana Dewan Undangan Negeri boleh mewujudkan kesalahan-kesalahan untuk dikenakan hukuman-hukuman itu adalah satu perkara lain.

Dalam hal ini, PAS mengatakan bahawa pindaan itu hanyalah untuk menaikkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan tidak kena mengena dengan agenda hududnya. Kenyataan seperti itu boleh berbangkit daripada dua sebab. Pertama, pemimpin-pemimpin PAS sendiri tidak faham kesan pindaan yang dicadangkan oleh mereka. Kedua, mereka faham dan tahu kesannya yang sebenar, tetapi mereka berkata demikian (kepada bukan ahli PAS) semata-mata kerana tujuan politik: untuk mengelirukan orang-orang yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud (Islam dan bukan Islam) dan memudahkan UMNO menyokongnya. Kepada ahli PAS, semestinya mereka akan mengatakan tujuan sebenar pindaan itu dan kesannya.

Saya yakin, sebenarnya pemimpin-pemimpin PAS faham dan tahu kesan pindaan yang dicadangkan oleh mereka itu. Mereka bukan bodoh, malah dalam isu hudud itu, dari segi politik, PAS lebih cerdik daripada UMNO. Maka, saya menolak alasan pertama. Oleh itu, alasan PAS berkata demikian adalah alasan kedua.

Nampaknya pemimpin-pemimpin UMNO juga turut melaungkan (echoing) apa yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin PAS itu. Saya percaya mereka berbuat demikian atas sebab atau sebab-sebab yang saya sebutkan di atas. Di sini, saya percaya, ada pemimpin-pemimpin UMNO itu yang tidak faham dan turut mengulangi apa yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin PAS kerana mereka tidak mahu UMNO dilihat sebagai “menentang hudud”, satu lagi salah anggapan. Maka, mereka termasuk ke dalam perangkap PAS sekali lagi. Saya percaya ada pemimpin-pemimpin UMNO yang faham kesannya yang sebenar, tetapi mereka juga ingin berada dalam arus utama. Maka, mereka juga turut melaungkan kenyataan yang sama dengan harapan ia akan memuaskan semua pihak yang, bagi saya, adalah satu anggapan yang meleset.

Selain daripada itu, ada pula yang mengatakan bahawa pindaan itu hanya akan melibat negeri Kelantan sahaja. Ini juga tidak betul. Akta 355 adalah undang-undang Persekutuan. Ia terpakai di seluruh Malaysia. Usul tersebut tidak berkata ia hanya akan terpakai di Kelantan sahaja.

Satu perkara lagi yang dikatakan ialah ia hanya mempunyai kesan terhadap orang Islam sahaja. Itu betul kerana kesalahan-kesalahan di bawah Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan hanya terpakai kepada orang Islam sahaja dan Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam sahaja.

Apa yang PAS boleh buat jika pindaan itu diluluskan? Jawabnya, Kerajaan PAS Kelantan bolehlah menggerakkan Dewan Undangan Negeri Kelantan untuk meluluskan undang-undang memperuntukkan hukuman hudud kepada kesalahan-kesalahan hudud yang termasuk di bawah Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan seperti berzina, menuduh perempuan berzina, meminum minuman yang memabukkan dan murtad. (Saya tidak mahu berhujah sama ada kesalahan-kesalahan itu kesalahan hudud atau tidak. Untuk tujuan rencana ini, saya terima bahawa ianya adalah kesalahan hudud). Undang-undang itu hanya terpakai kepada orang Islam sahaja. Memanjangkannya kepada kesalahan-kesalahan undang-undang jenayah yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan dan juga kepada orang bukan Islam akan menjadikan peruntukan-peruntukan berkenaan tak keperlembagaan, tak sah dan batal. (Perlu diingati bahawa, negeri-negeri lain juga boleh melakukan perkara yang sama)

Saya ulangi bahawa saya tidak mahu mengulas mengenai pendirian yang diambil oleh PAS dan UMNO mengenai pindaan itu dan mengenai pelaksanaan hudud. Saya serahkan hal itu kepada parti-parti itu. Itu soal dasar parti masing-masing. Saya cuma mahu melihat pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS memahami kesannya yang sebenar, membuat keputusan berdasarkan pemahaman yang betul, menceritakan kepada orang ramai pendirian masing-masing yang sebenar dan tidak terkeliru dan mengelirukan orang ramai. Tidak kurang pentingnya juga, ahli-ahli akademik yang membentang kertas kerja di seminar-seminar perlulah memahami isu perundangan dan keperlembagaan dalam perkara ini dan tidak membawa peserta-peserta seminar-seminar dan menyesatkan mereka dalam hutan belantara “ilmu”. Akhirnya, terserahlah kepada orang ramai untuk menilainya dan mengambil pendirian masing-masing.

Untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari laman-laman web saya.

26 September 2016.

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

996 visits