BAI’AH MENCERAI ISTERI SEOLAH-OLAH ISTERI ITU BARANGAN

BAI’AH MENCERAI ISTERI SEOLAH-OLAH ISTERI ITU BARANGAN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Mula-mula saya terbaca mengenai calon-calon PAS dikehendaki melafaz bai’ah sekiranya mereka “… meninggalkan/melompat ke parti lain dengan kerelaan (mereka) sendiri setelah terpilih menjadi ahli dewan negeri/dewan rakyat, maka akan TERTALAKLAH isteri/isteri-isteri (mereka) dengan TIGA TALAK. Dan segala perbelanjaan (mereka) dengan menggunakan wang elaun ahli dewan tersebut adalah HARAM”, saya dapati sukar untuk memepercayainya.

Nampaknya itu bukannya reaksi saya sahaja. Datuk Zulkifli Noordin bekas Ahli Parlimen PKR Kulim-Bandar Baharu juga pernah mengatakan bahawa beliau yang pada mulanya tidak percaya dengan laporan media terbabit berasa terkejut selepas perkara itu diakui rakannya dalam PAS yang pernah mengangkat bai’ah itu.

YB Khalid Abdul Samad, Ahli Parlimen PAS Shah Alam berkata, sumpah bai’ah mula diperkenalkan antara 2006 hingga 2007 di Kelantan. Suasana politik di Kelantan ketika itu agak terumbang-ambing. Jadi, sumpah bai’ah ini digunakan untuk mengikat pemimpin PAS Kelantan. Beliau seterusnya dilaporkan berkata, “Pada 2008, sumpah bai’ah diamalkan di semua negeri kecuali Terengganu. Selepas ada perbincangan peringkat dalaman, PAS pada 2013 memutuskan sumpah bai’ah hanya dilaksanakan di Kelantan.”

Datuk Phahrolrazi Zawawi, bekas Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah (2009-2013), sekarang Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, pula menjelaskan bahawa bai’ah PAS diubahsuai mengikut kehendak negeri masing-masing, Kedah tidak melibatkan aspek talak isteri mahupun wang dalam sumpah itu.

YB Ir. Amiruddin Hamzah, ADUN PAS Anak Bukit, Kedah yang keluar PAS dan menyertai PPBM dilaporkan berkata bahawa bai’ah mencerai isteri tidak di buat di Kedah.

Nampaknya untuk hampir satu dekad, PAS telah berjaya menyimpan rahsia adanya bai’ah seperti itu. Walau bagaimana pun mengikut Datuk Phahrolrazi, “…..apabila berlaku ‘lompat parti’, habis terdedah,”

Mengikut Adun Pengkalan Kundor, Kedah itu lagi, “Bai’ah dibuat secara sulit, bukan secara terbuka. Syarat-syarat bai’ah juga sulit…..”. Beliau juga dilaporkan berkata bahawa wakil rakyat PAS enggan mendedahkan intipati bai’ah kerana masyarakat akan mengecam tindakan PAS yang melaksanakan bai’ah seumpama itu.

YB Khalid Abdul Samad seterusnya menyatakan bahawa hampir keseluruhan pemimpin dan ahli PAS tidak bersetuju ketika sumpah bai’ah dilaksanakan, namun mereka mendiamkan diri bagi menjaga perpaduan parti.

“Apa pun, sumpah baiah ini hanya helah politik dan sepatutnya tidak perlu dilakukan,” katanya.

Datuk Phahlulrazi seterusnya dilaporkan berkata seperti berikut:

“Kami rujuk ulama sebelum ambil tindakan begitu. (Rujukan itu tentulah dilakukan selepas beliau keluar PAS – penulis). Kebanyakan ulama tegaskan bai’ah talak tiga isteri tidak sah kerana libatkan pihak ketiga. Isteri tidak terlibat dalam urusan parti, kenapa perlu dipertaruhkan dalam ikatan itu, seolah menjadi mangsa,” katanya.

Datuk Zulkifli Noordin menambah, “Malah ada di antara mereka (calon-calon PAS itu – penulis) menceritakan bagaimana mereka sendiri menggigil apabila mengangkat bai’ah berkenaan,” katanya. Beliau menyambung, “Yang paling sedih, ada di antara isteri yang dikehendaki hadir dalam majlis bai’ah ini menangis dan menggeletar mendengar ikatan perkahwinan mereka dijadikan bahan tebusan demi untuk kepentingan politik kepartian yang terlalu sempit dan jumud,” katanya.

Mengikut laporan Harakahdaily, “Sumpah dan bai’ah dibuat mantan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat bagi mengelakkan wakil rakyat PAS melompat parti dan membawa lari kerusi PAS.

Ini disahkan oleh Datuk Dr Mahfodz Mohamed Ketua Dewan Ulama PAS, yang dilaporkan berkata:

“…..kandungan sumpah bai’ah itu akan diselaraskan bagi setiap negeri dan dijangka tidak lagi menyentuh perceraian.

“…. tindakan itu dilaksanakan berikutan parti tidak lagi berdepan keadaan genting seperti pernah berlaku dalam politik Kelantan.”

Katanya lagi, Kelantan sebelum ini pernah berdepan keadaan genting ibarat telur di hujung tanduk hingga memaksa bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat memasukkan kandungan sumpah bai’ah yang boleh menggugurkan talak ke atas isteri mereka.”

Itu apa yang dikatakan oleh pemimpin dan bekas pemimpin-pemimpin PAS (selain daripada Datuk Zulkifli Noordin) yang, antaranya, mengaku mereka sendiri melafaz bai’ah, tetapi tidak termasuk syarat menceraikan isteri. Bagaimana dengan mereka yang bertanding di Kelantan seperti YB Dr Hatta Ramli, Salahuddin Ayub dan Mohamad Sabu?)

Dalam kes Dr Hatta, Menteri Besar Kelantan yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob, mengeluarkan kenyataan bahawa Dr. Hatta telah, secara otomatik, menceraikan isterinya kerana keluar PAS dan menyertai PAN. Beliau seterusnya menasihatkan Dr. Hatta supaya mendaftarkan perceraiannya di Mahkamah Syariah.

PAS Cawangan Klewek, Tanah Merah Kelantan meluluskan usul mendesak PAS Pusat atau Badan Perhubungan PAS Kelantan supaya mendakwa mana-mana bekas pemimpin parti itu di mahkamah syariah jika mereka melanggar bai’ah tersebut.

Saya sengaja memetik kata-kata pemimpin dan bekas pemimpin PAS sendiri kerana ini urusan dalaman PAS dan mereka tentu lebih mengetahui mengenainya.

Sekrang kita tahu bahawa bai’ah menceraikan isteri memang dibuat di Kelantan. Ia dibuat oleh mantan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat mulai tahun 2006 dan hanya dipakai di Kelantan.

Alasannya ialah kerana pada masa itu, kedudukan PAS terumbang ambing kerana ada ahli yang melompat parti. Maka, ia diadakan dengan tujuan untuk mengelak ADUN dan ahli parlimen PAS melompat parti. Kebanyakan pemimpin, ulama dan ahli PAS di luar Kelantan tidak bersetuju dengannya tetapi tidak atau tidak berani menentangnya.

Saya tidak hairan jika bai’ah itu dibuat oleh Nik Aziz. Tetapi, saya hairan bagaimana ulama-ulama PAS termasuk Tuan Guru Hadi Haji, Datuk Dr. Harun Din, Datu Harun Taib, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed dan lain-lain semuanya tidak menyebut mengenainya. Adakah mereka juga bersetuju dengannya atau, adakah kerana ia dibuat oleh Tuan Guru Nik Aziz, maka, mereka mendiamkan diri kerana hormat atau takut kepadanya?

Sekarang, nampaknya Datuk Dr. Mahfodz Mohamed cuba menjustifikasi tindakan Tuan Guru Nik Aziz itu atas alasan keperluan pada masa itu. Sekarang, setelah Tuan Guru Nik Aziz meninggal dunia, setelah perkara itu terbongkar, setelah bekas pemimpin-pemimpin PAS mencabarnya, setelah ulama-ulama di luar PAS termasuk mufti mengecamnya, setelah orang ramai termasuk ahli-ahli PAS sendiri terkejut, beliau berkata “kandungan sumpah bai’ah itu akan diselaraskan bagi setiap negeri dan dijangka tidak lagi menyentuh perceraian.”

Jika keadaan genting pada masa itu dijadikan justifikasi ijtihad Tuan Guru Nik Aziz untuk mengadakannya, sekarang beliau (Datuk Dr. Mahfodz) menggunakan alasan keadaan itu sudah tidak ada lagi untuk berijtihad menggugurkannya. Soalannya, adakah alasan itu satu alasan yang cukup kuat untuk mengadakan bai’ah itu dan adakah PAS lebih kuat sekarang daripada tahun 2006-2007? Saya hairan bagaimana orang-orang yang berlagak dan disanjung sebagai ulama boleh dengan begitu mudah menetapkan hukum semata-mata untuk kepentingan diri dan parti.

Bagi calon-calon berkenaan, keinginan menjadi ADUN atau Ahli Parlimen nampaknya sudah cukup untuk melafaz bai’ah itu, apatah lagi apabila ia ditetapkan oleh Tuan Guru mereka! Begitu murahkah perjuangan mereka atau begitu taksubkah mereka kepada Tuan Guru mereka?

Kenyataan Datuk Ahmad Yaakob itu bukan sahaja mengesahkan wujudnya bai’ah itu, tetapi ia menunjukkan betapa seriousnya PAS mengenainya. Yang anihnya Datuk Daud Muhamad, Ketua Hakim Syar’ie Kelantan dipetik sebagai memberi pendapat bahawa bai’ah it sah. Jika benar apa yang dikatakan itu, Datuk Daud tidak sepatutnya membuat kenyataan itu kerana beliau adalah Ketua Hakim Syar’ie Kelantan dan kes itu mungking dibawa ke Mahkamah, melainkan pada masa membuat kenyataan itu beliau telah bersara, seperti saya.

Laporan itu juga memetik Datuk Shukri Muhamad, Mufti Kelantan sebagai berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi. Adalah digaharapkan bahawa beliau hanya akan mengeluarkan kenyataannya selepas mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri yang beliau menjadi pengerusinya.

Mufti tidak sepatutnya mengeluarkan pendapat secara terbuka, walau pun atas sifat peribadinya, kerana Mufti adalah Pengerusi Jawatankuasa Fatwa. Bagaimana jika perkara itu dibawa ke Jawatankuasa Fatwa sedangkan beliau telah memberi pendapatnya? Beliau akan terpaksa menarik diri daripada mengambi bahagian semasa jawatankuasa itu menimbang isu itu. Jika mufti-mufti ingin memberi pendapat mereka kepada media massa, eloklah mereka menunggu sehingga mereka bersara atau mereka boleh meletak jawatan.

Mula-mula, apabila saya hendak menulis rencana ini saya terfikir mengenai reaksi terhadap apa yang saya akan katakan mengenai bai’ah mencerai isteri itu. Tetapi, apabilah saya membuat sedikit carian, saya dapati apa yang saya hendak katakan itu telah pun dikatakan oleh orang lain, termasuk ulama dan bekas ahli PAS yang telah mengamil bai’ah tersebut.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata “…tindakan itu jelas mempersendakan kemuliaan isteri apabila menjadikan pasangan sebagai barang gadaian dan jaminan politik….Isteri bukannya barang gadaian dan jaminan.”

Saya bersetuju dengannya. Cuma, sebagai Mufti, adalah lebih baik jika beliau tidak membuat kenyataan terbuka kerana khuatir isu itu mungking dibawa ke Jawatankuasa Fatwa yang beliau menjadi pengerusi.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut, menyifatkan bai’ah itu tidak bertamadun dan boleh menjatuhkan imej Islam.

“Talak juga dibenci oleh Allah, bai’ah seperti ini adalah budaya orang yang tidak bertamadun. Perempuan mahal harganya dan bukan boleh dijual beli dan bab agama jangan dipolitikkan sehingga isteri menjadi mangsa.

“Sanggupkah dengan (sic) politik kita biarkan rumah tangga yang dibina hancur. Bagaimana jika pemimpin itu melompat parti pada usia 65 tahun, sudah punyai ramai cucu, anak dan menantu. Apa yang berlaku jika mereka bercerai, cuba bayangkan,” katanya.

Saya juga bersetuju dengannya.

Nampaknya, pemikiran Tuan Guru Nik Aziz pada masa itu masih terpengaruh dengan budaya orang Arab di zaman jahilliah yang menyifatkan isteri sebagai barangan suaminya yang boleh dinikahi dan diceraikan sesuka hati, yang tidak mempunyai perasaan. Nampaknya, pandangannya diterima oleh semua peringkat ahli PAS di Kelantan atau mungkin juga keadaan memaksa mereka menerimanya.

Ulama dan pemimpin PAS di negeri-negeri lain, walaupun kurang senang dengannya, mendiamkan diri kerana tidak mahu dilihat sebagai bercanggah pendapat dengan Tuan Guru Nik Aziz. Lagi pun, versi itu hanya diamalkan di Kelantan.

Bagi pemimpin-pemimpin dari luar Kelantan yang bertanding di Kelantan, peluang untuk bertanding di Kelantan adalan satu-satunya peluang bagi mereka menjadi ahli Parlimen. Untuk itu, mereka sanggup melafazkan bai’ah itu. Akhirnya, apabila mereka tidak mendapat tempat lagi dalam PAS kerana mereka bukan daripada golongan ulama dan mereka keluar dari PAS dan menubuh parti baru, mereka tersepit dengan bai’ah itu. Maka, pergilah mereka merujuk kepada ulama-ulama lain untuk mendapat pandangan mereka untuk menjadi alasan menolaknya.

Panas dengan reaksi orang ramai, Ketua Dewan Ulamanya pun mencari alasan (atau helah?) untuk menjustifikasi pengwujudannya dahulu dan penggurannya sekarang.

Biar apa pun, dalam hal ini, kita nampak perbezaan pendapat di antara pemimpin PAS Kelantan dengan pemimpin PAS dari Pantai Barat, malah di antara ulama Kelantan dengan ulama Pantai Barat. Pemimpin PAS dan ulama Pantai Barat nampak lebih terbuka pemikiran mereka daripada rakan-rakan mereka di Kelantan.

Anihnya, semenjak tahun 1980an, pemikiran orang Melayu Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu, hampir berjaya dikelantankan oleh PAS atas nama Islam. Maka, sudahlah tiba masanya bagi mereka menyedari bahawa politik tidak boleh disamakan dengan agama dan parti berjenama Islam tidak boleh disamakan dengan Islam.

Peristiwa ini patut membuka mata ahli-ahli PAS supaya tidak terlalu taksub dengan pemimpin dan parti mereka.

14 02 2018

tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

58 visits