KE ARAH KEBERKESANAN JAKSA PENDAMAI MENJALANKAN TUGAS DAN TANGGUNGJAWABNYA

KE ARAH KEBERKESANAN JAKSA PENDAMAI MENJALANKAN TUGAS DAN TANGGUNGJAWABNYA
(Ipoh Perak, 3 Jun 1993)

Oleh

Dato’ Abdul Hamid bin Hj. Mohamed
Hakim, Mahkamah Tinggi
Pulau Pinang

 

Tuan Pengerusi, Dato’-Dato’, Tuan-Tuan yang saya hormati sekalian,

Saya ini “bidan tarik”. Oleh sebab saudara-saudara saya di Perak tidak dapat mengambil bahagian dalam Senarai ini, saya telah diminta mengganti mereka. Dan bagi diri saya dan keluarga saya, undangan untuk datang ke Perak terutama sekali oleh Dato’ Seri Azizul, adalah amat sukar ditolak.

Saya tidak bercadang untuk mengulangi apakah sejarah perlantikan Jaksa Pendamai di England dan sebagainya. Kerana, pertama tuan-tuan telah banyak kali mendengarnya.

Kedua, apa yang berlaku di England itu, seperti biasa, adalah akibat peristiwa-peristiwa sejarah di negara itu.

Ketiga, apa yang dilakukan di England tidak semestinya patut diikuti bulat-bulat di Malaysia memandangkan kepada keadaan yang berlainan.

Saya juga tidak bercadang menyenaraikan tugas-tugas Jaksa Pendamai di negara kita kerana pertama, tuan-tuan telah banyak kali mendengarnya. Dan kedua, kerana tuan-tuan lebih tahu daripada saya.

Tuan-tuan tahu apakah tugas dan tanggungjawab (harus ditambah “kuasa”) tuan-tuan sebagai Jaksa Pendamai. Cuma seperti yang dibayangkan oleh tajuk Seminar ini, apa yang ingin difikirkan dan dibincangkan ialah cara-cara yang lebih berkesan untuk Jaksa-Jaksa Pendamai menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

Saya akan menyentuh beberapa bidang kuasa Jaksa Pendamai yang diperuntukkan oleh undang-undang dan memberi pandangan saya. Pandangan saya mungkin berlainan daripada pandangan-pandangan yang telah diberi di seminar-seminar seperti ini. Mungkin pandangan saya tidak popular. Tidak mengapa. Saya akan memberi pandangan ikhlas saya dan saya serahkan kepada tuan-tuan untuk menimbangnya, bersama-sama dengan pandangan lain yang mungkin berlainan. Terserahlah kepada tuan-tuan untuk membuat keputusan sendiri.

Kuasa/tugas sebagai Majistret Kelas Kedua

Kita tahu bahawa Jaksa Pendamai mempunyai bidangkuasa sebagai Majistret Kelas Dua. Kita tahu bahawa di England Jaksa Pendamai bersidang sebagai Majistret dengan dibantu oleh seorang kerani yang berkelulusan undang-undang. Kerapkali kita dengar masalah “back log” kes-kes di Mahkamah Majistret. Maka kerapkali pula terdapat cadangan supaya Jaksa Pendamai digunakan untuk membicarakan kes-kes untuk menolong menyelesaikan kes-kes tunggakan itu.

Dalam menimbang cadangan ini saya ingin menarik perhatian tuan-tuan kepada beberapa perkara.

Pertama, pada hakikatnya Mahkamah Majistret Kelas Dua sudah tidak ada lagi sekarang ini. Majistret-Majistret Kelas Dua sudah tidak bersidang lagi untuk membicarakan kes-kes. Kes-kes tuntutan kecil (sekarang tidak melebihi RM5000 manakala bidangkuasa sivil Majistret Kelas Dua tidak melebihi RM3000) yang pada suatu masa dulu didengar oleh Majistret Kelas Dua, yang terdiri daripada Pendaftar-Pendaftar Mahkamah Sesyen, sekarang ini didengar oleh Majistret Kelas Satu.

Walau bagaimana pun, Pendaftar-Pendaftar, sebagai Majistret Kelas Dua masih menjalankan tugas-tugas yang lebih bersifat pentadbiran seperti membuat perintah tahanan (remand), menandatangani bon jaminan dan sebagainya.

Kedua, kes-kes yang termasuk di bawah bidangkuasa Majistret Kelas Dua, bukanlah yang menjadi beban kepada Mahkamah Majistret pada masa ini. Mungkin kerana nilai wang telah turun, mungkin kerana rakyat Malaysia lebih mewah.

Diperturunkan di sini angka-angka mengenai kes-kes tuntutan kecil di Pulau Pinang bagi tahun 1991.

Bagi Mahkamah Majistret di George Town, sebanyak 219 kes didaftarkan. 197 kes (89.9%) diselesaikan dalam tahun itu juga. Daripada 197 kes itu, 146 kes (74.1%) diselesaikan dalam masa 3 bulan.

Di Balik Pulau, cuma 6 kes yang didaftarkan. Kesemuanya diselesaikan dalam masa 6 bulan.

Di Butterworth cuma 28 kes yang didaftarkan dan 19 kes diselesaikan dalam masa 9 bulan. Daripada jumlah 19 kes yang diselesaikan itu 16 kes (84.2%) diselesaikan dalam masa 3 bulan.

Di Bukit Mertajam sebanyak 61 kes didaftarkan. Kesemuanya diselesaikan dalam masa 6 bulan, dengan 55 kes (90.1%) dalam masa 3 bulan.

Di Jawi, cuma 3 kes didaftarkan dan 2 daripadanya diselesaikan dalam masa 3 bulan.

Ini menunjukkan bahawa kes-kes tuntutan kecil bukanlah menjadi beban kepada Mahkamah Majistret.

Bagi kes-kes jenayah, terutama kes-kes saman, (yang mungkin termasuk dalam bidang kuasa Majistret Kelas 2) di George Town, beratus-ratus kes ditetapkan untuk sebutan setiap hari. Bilangan Defendan yang hadir amat sedikit. Waran tangkap dikeluarkan. Saya difahamkan sedikit sangat (lebih kurang 2-3% sahaja yang disampaikan). Yang lainnya dibatalkan setelah beberapa kali disebut.

Dari sini kita dapat lihat bahawa masalahnya bukan masalah Mahkamah tak cukup Majistret atau tak ada masa untuk membicarakan kes-kes itu. Masalahnya ialah untuk menyampaikan saman atau waran tangkap itu, yang dilakukan oleh pihak polis dan Jabatan-Jabatan yang mengeluarkan saman itu seperti JPJ, Majlis Perbandaran dan lain-lain. Dengan kata-kata lain pertolongan yang diperlukan bukanlah untuk membicarakan kes-kes itu, tetapi untuk menyampaikan saman dan waran tangkap itu.

Satu perkara lagi patut disebut. Kalau kes lambat selesai, itu bukan kerana Mahkamah (terutama sekali Mahkamah Majistret) tidak dapat memberi tarikh perbicaraan yang awal, atau sekurang-kurangnya yang berpatutan. Umumnya Mahkamah dapat membicarakan kes itu dalam masa 6 bulan. Yang menjadi masalah ialah kerapkali kes-kes itu tidak dapat berjalan pada hari yang ditetapkan untuk perbicaraan terutama sekali di mana ada peguam. Sebab utama ialah peguam-peguam tidak dapat hadir atas berbagai-bagai alasan, saksi-saksi tidak dapat hadir, dan lain-lain.

Kesimpulannya, pada pandangan saya, keperluan untuk mendapatkan tenaga manusia tambahan daripada Jaksa Pendamai untuk bersidang sebagai Majistret Kelas Dua tidak timbul.

Ketiga, jika Jaksa Pendamai hendak bersidang sebagai Majistret Kelas Dua, mereka memerlukan bangunan Mahkamah tambahan, kakitangan tambahan dan peralatan tambahan. Tidak ada faedahnya jika mereka hendak menggunakan Mahkamah, kakitangan dan peralatan yang sedia ada, kerana itu akan menggendalakan persidangan Majistret-Majistret Kelas Satu. Hari ini pun, di George Town, kita mempunyai lebih banyak Majistret daripada bilik Mahkamah! Memandangkan beban tugas yang sedikit, yang boleh dijalankan oleh Majistret Kelas Satu tanpa membebankan mereka, adalah tidak “economical” mengadakan Mahkamah-Mahkamah, kakitangan dan peralatan baru untuk mereka.

Keempat, Perbicaraan hari ini telah menjadi lebih teknikal dan rumit. Tanpa latihan undang-undang mungkin sukar bagi seseorang memahmi acara perbicaraan dan undang-undang keterangan (law of evidence). Juga mungkin sukar bagi mereka menulis alasan-alasan penghakiman.

Kelima, daripada pengamalan kita, dari segi pentadbiran pegawai-pegawai sepenuh masa adalah lebih produktif dan lebih mudah dikawal dan diambil tindakan tatatertib, apabila perlu.

Kuasa menangkap, memeriksa dan menggeledah

Beberapa undang-undang seperti Kanun Acara Jenayah, Akta Rumah Judi Terbuka, Akta Dadah Berbahaya memberi kuasa, dalam keadaan tertentu kepada Jaksa Pendamai untuk membuat tangkapan, memeriksa memasuki dan menggeledah. Pada pandangan saya, dalam keadaan hari ini, di mana orang ramai sudah tidak takut atau kurang takut kepada pihak berkuasa, adalah lebih baik kuasa ini dijalankan bersama-sama pihak polis. Rasanya eloklah dibincang dengan pihak polis tentang cara mana Jaksa Pendamai boleh bekerjasama dengan polis dalam menjalankan tugas ini. Oleh sebab Ketua Polis Negeri pun ada hari ini, tidaklah perlu saya menyentuh mengenainya dengan panjang lebar.

Tugas di bawah seksyen 5 dan 32 Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (1947)

Mengikut seksyen 5, seorang Jaksa Pendamai boleh memberikuasa kepada seseorang untuk membawa seseorang kanak-kanak ke tempat selamat yang terhadapnya satu kesalahan di bawah Akta itu telah dilakukan. Mengikut seksyen 32, Jaksa Pendamai boleh juga membuat aduan kepada Majistret berkenaan kesalahan yang dilakukan di bawah Akta itu.

Saya berpendapat ada banyak ruang yang boleh dilakukan oleh Jaksa Pendamai berhubung dengan penganiayaan terhadap kanak-kanak. Penganiayaan terhadap kanak-kanak senantiasa berlaku baik dulu atau sekarang. Cuma bezanya sekarang Menteri selalu bercakap mengenainya, media massa banyak mencerita mengenainya. Oleh itu orang ramai pun lebih banyak bercakap mengenainya. Masalahnya siapa yang akan buat laporan. Kanak-kanak itu tidak boleh buat laporan. Jiran-jiran takut atau tak ambil kesah. Polis biasanya akan menyiasat apabila ada laporan. Pegawai Kebajikan Masyarakat juga besar kemungkinan tidak tahu kejadian-kejadian itu.

Dalam hal ini, saya berpendapat tuan-tuan boleh memain peranan penting. Tuan-tuan mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat. Tuan-tuan mungkin lebih tahu tentang penganiayaan terhadap kanak-kanak lebih daripada Pegawai Kebajikan Masyarakat. Saya percaya tuan-tuan boleh menjadi orang perantaraan dengan pihak polis dan Pegawai-Pegawai Kebajikan Masyarakat dalam hal ini. Mungkin orang ramai patut diberitahu bahawa, jika mereka tahu penganiayaan seperti itu, mereka boleh secara senyap-senyap dan tidak rasmi melaporkan kepada tuan-tuan. Saya percaya mereka akan lebih bersedia memberi maklumat seperti itu daripada membuat laporan polis.

Dalam hal ini saya syorkan supaya perbincangan dilakukan di antara wakil-wakil Jemaah Jaksa Pendamai, pihak Polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat tentang cara mana Jaksa-Jaksa Pendamai boleh memberi kerjasama dan tindakan-tindakan susulan yang akan diambil.

Tugas-tugas lain

Tugas-tugas lain termasuklah melawat penjara, mengesahkan “promissory notes” dan surat kuasa wakil dan melaksanakan ikrar dan sumpah. Rasanya tugas-tugas itu memang senantiasa tuan-tuan jalankan. Tidak perlulah saya menyentuhnya dengan lebih panjang.

Akhir Kata

Jaksa Pendamai adalah satu warisan sejarah dari England yang dibawa masuk ke Malaysia. Di Malaysia undang-undang yang memberi kuasa kepada Jaksa Pendamai adalah undang-undang sebelum Merdeka. Tidak boleh dinafikan bahawa ini adalah akibat perubahan zaman dan keadaan. Dunia makin sehari semakin canggih. Oleh sebab itu Kerajaan terpaksa mengadakan Jabatan-Jabatan yang khusus dengan pegawai-pegawai yang mempunyai latihan khusus untuk menjalankan sesuatu tugas. Mungkin sebab itulah undang-undang negara kita yang baru tidak menambahkan kuasa-kuasa Jaksa Pendamai. Malah kuasa yang telah diberi pun, banyak yang tinggal sebagai kuasa sahaja.

Oleh itu, saya berpendapat bahawa institusi Jaksa Pendamai pun harus berubah mengikut peredaran zaman dan perubahan keadaan.

Saya berpendapat, di samping kerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan yang berkenaan untuk melaksanakan undang-undang yang Jaksa Pendamai mempunyai kuasa melakukannya, Jaksa Pendamai boleh memberi tumpuan kepada menyedari masyarakat supaya mematuhi undang-undang.

Negara kita tidak kekurangan undang-undang. Yang kurang ialah pelaksanaan undang-undang dan pematuhan undang-undang. Kekurangan mematuhi undang-undang lebih ketara di bandar-bandar.

Saya sendiri tidak dapat memikirkan apakah cara bertindak yang tuan-tuan boleh buat dalam hal ini. Mungkin tuan-tuan boleh bersama-sama memikirkannya. Walau bagaimanapun, memandangkan bahawa tuan-tuan mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat, tuan-tuan boleh menggunakan kedudukan dan pengaruh tuan-tuan untuk memimpin anggota-anggota masyarakat supaya lebih menghormati dan mematuhi undang-undang dan juga supaya bersikap lebih bertimbang rasa dalam tingkah laku mereka yang melibatkan anggota-anggota masyarakat lain.

3.6.93.

598 visits