PENUBUHAN “PUTRA” MERUGIKAN MELAYU/ISLAM

PENUBUHAN “PUTRA” MERUGIKAN MELAYU/ISLAM

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Saya membaca berita penubuhan Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) dengan perasaan sedih dan kecewa kerana “Malays never learn”. Saya terpaksa menggunakan ayat ringkas itu dalam bahasa Inggeris kerana saya tidak dapat menterjemahkannya dengan tepat. Paling dekat ialah “Melayu tak pernah belajar”. Tetapi ia tidak memberi makna yang tepat. Saya percaya kebanyakan pembaca memahami maksudnya, ia itu orang Melayu tidak tahu mengambil iktibar daripada apa telah berlaku untuk mengelak daripada ia berulang, apatah lagi menjadi lebih buruk. Mereka juga tidak belajar daripada orang Cina, misalnya, yang membuat perkiraan untung-rugi sebelum berbuat sesuatu, tetapi lebih didorong oleh perasaan dan semangat yang tidak rasional.

Saya mula mengenali Dato’ Ibrahim Ali dalam tahum 2014 apabila beliau datang ke rumah saya untuk meminta saya menjadi pengerusi jawatankuasa yang ditubuh oleh NGO-NGO Melayu yang diterajui oleh PERKASA untuk menyediakan satu memorandum yang akan disampaikan kepada kerajaan BN pada masa itu. Memorandum itu adalah alternatif kepada usaha yang dilakukan oleh Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) melalui apa yang dikenali sebagai RUU Harmoni yang, antaranya, bertujuan memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Walaupun keberatan, saya menerimanya atas syarat-syarat saya. Lihat “Bersama-sama Mempertahankan Perlembagaan Malaysia” (14 Mac 2014).

Pada 23 November 2014 saya menyampaikan ucapan khas di Konvensyen Perpaduan Nasional. Empat hari kemudian, Dato’ Seri Najib membuat U-turn menyatakan bahawa Akta Hasutan 1948 tidak akan dimansuhkan. Tidak dapat dinafikan bahawa konvensyen itu, NGO-NGO Melayu/Islam yang diketuai oleh Perkasa dan Dato’ Ibrahim Ali dan, mengikut Dato’ Seri Azman Ujang , ucapan saya itu, telah mempengaruhi keputusan DS Najib itu.

Pada14 Disember 2014, saya menyampaikan ucapan perasmian persidangan agung tahunan Perkasa kali ke-5. (Kehadiran saya di majlis itu menyebabkan saya dicop sebagai rasis. Tidak mengapa.) Ini yang saya katakana mengenai Perkasa dalam ucapan itu:

“PERKASA juga boleh memain peranan memperbaiki keadaan ini, demi agama, bangsa dan negara. Kita cuba perbetulkan UMNO, tetapi jangan sekali-kali, kerana marahkan nakhoda, kita bakar kapal. Itu kerja orang bebal yang mengamuk dan tidak berfikir. Dalam kata-kata lain, itu kerja bodoh. Malangnya kerapkali orang Melayu bertindak demikian.

Selain dari itu, PERKASA hendaklah jangan menjadi sebab bertambahnya perpecahan orang Melayu. Dalam keadaan sekarang, PERKASA hendaklah terus menyokong UMNO; PERKASA hendaklah cuba memperbetulkan UMNO; PERKASA hendaklah cuba menarik penyokong atas pagar dan penyokong naive PAS, malah PKR juga, termasuk orang muda, supaya menyertai UMNO; dan/atau PERKASA hendaklah berusaha untuk menggabungkan atau menyatukan atau mewujudkan kerjasama di antara UMNO dan PAS, sekurang-kurangnya di peringkat Persekutuan, bersama-sama parti-parti anak negeri Sabah dan Sarawak dan parti-parti dalam Barisan Nasional lain yang sehaluan. Itu sahajalah jalan untuk mencapai sebuah negara Malaysia yang aman, tenteram, bersatupadu dan makmur.

Tetapi, PERKASA hanya boleh memain peranan itu jika pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya sendiri bersih dan berintegriti. Janganlah masuk PERKASA kerana tidak dapat projek untuk mendapat projek. Orang seperti itu patut disingkir daripada PERKASA. Lebih baik PERKASA mempunyai bilangan ahli yang kecil tepai bersih, disegani dan berintegriti daripada mempunyai ahli yang ramai tetapi berulat. Saya pun tidak mahu datang ke majlis PERKASA jika ia berulat.”

Dalam rencana saya, “Siapa Patut Memimpin UMNO Untuk Menghadapi PRU 15?” (16 April 2019) pun saya ulangi lagi:

“UMNO telah bangkit semula. UMNO akan bersama-sama dengan PAS dalam menghadapi PH dan PRU 15. Untuk menguatkan lagi perpaduan Melayu, ahli-ahli PERKASA lebih baik menyertai atau menyokong UMNO atau PAS. Saya masih berpendapat PERKASA tidak sepatutnya menjadi sebuah parti politik. Ia hanya akan memecahkan lagi perpaduan orang Melayu dan melemahkan kuasa politik orang Melayu.’

Dalam kenyataan akhbarnya yang disiarkan oleh The Malay Mail pada 9 Mei 2019, beliau menolak pandangan bahawa penubuhan Putra akan memecahbelahkan orang Melayu/Islam. Hujahnya, pertama, terdapat lebih banyak parti orang India daripada parti orang Melayu.

Saya tidak pasti sama ada fakta itu benar atau tidak. Andainya ia benar sekalupun, itu bukanlah alasan yang boleh menjadi sandaran. Parti-parti orang India itu terlalu kecil, tidak bertanding dalam pilihanraya, maka ia tidak memecahbelahkan undi orang India. Lagipula, di hampir kesemua kawasan, peratusan undi mereka terlalu sedikit untuk menentukan kemenangan parti orang India.

Kedua, adakah menubuhkan banyak parti itu satu perkara yang baik yang patut kita ikuti?

Ketiga, dalam kenyataan itu beliau berkata:

“Dalam konteks perpecahan, itu hanya persepsi, kerana dalam pilihan raya kita akan mempunyai strategi kita.

“Orang hanya mengatakan bila ada parti baru, ada perpecahan,” katanya.
…….

“Selagi kita mengamalkan demokrasi, akan ada lebih banyak parti politik.

“Jadi isu orang Melayu dipecahkan, walaupun berapa banyak parti ditubuh, saya rasa ia tidak akan menjadi masalah kerana tidak akan ada perpecahan seperti itu.

“Sebab ada perpecahan adalah kerana parti-parti politik tidak memenuhi matlamat parti mereka,” tambahnya.

Dengan hormat, logic hujah beliau sukar difahami. Bagaimana perpecahan dikatakan satu persepsi dan berapa banyak pun parti ditubuh, perpecahan tidak akan berlaku? Jika ada dua parti yang mengharapkan undi Melayu dalam satu pilihanraya, undi Melayu akan terbahagi dua, jika tiga tigalah, jika empat empatlah, tidak kiralah berapa banyak undi setiap parti itu akan memperolehinya. Itu satu kenyataan (reality), bukan persepsi.

Hujahnya bahawa:

i. Perpecahan tidak akan berlaku kerana dalam menghadapi pilihanraya, Putra mempunyai strateginya; dan

ii. Walau berapa banyak pun parti ditubuh, perpecahan tidak akan berlaku,

adalah non-sequitur (tidak mengikut atau tidak logic).

Tidak disebut apakah strateginya yang boleh menyebabkan orang Melayu hanya akan mengundi satu parti (mungkin Putra) seperti orang Cina bersatu mengundi DAP.

Daripada pemerhatian saya, Putra adalah parti Dato’ Ibrahim Ali, sama seperti Bersatu parti Tun Dr. Mahathir. Tetapi, bezanya Dato’ Ibrahim Ali bukan Tun Dr. Mahathir. Tun Dr. Mahathir, menubuh Bersatu sebelum pilihanraya umum. Beliau berjaya mempengaruhi DAP dan PKR (Amanah mengikut sahaja) untuk bersamanya menubuh Pakatan Harapan dan mendapat persetujuan mereka untuk beliau dilantik menjadi Perdana Menteri, jika menang.

Dato’ Ibrahim Ali tidak mempunyai pengaruh untuk berbuat demikian, malah, jika Putra betul-betul mengikut tujuan penubuhannya, Putra tidak sepatutnya melutut kepada PH, apatah lagi DAP untuk diterima sebagai parti komponen PH dan/atau “merangkak” kepadanya untuk mendapat derma. Lagipun, beliau sudah terlewat. Parti-parti komponen PH telah pun membahagikan sesama sendiri kawasan untuk masing-masing bertanding. Sama ada mereka menang atau tidak di kawasan-kawasan tertentu itu, saya tidak fikir mereka bersedia memberikannya kepada Putra.

Maka, kemungkinan Putra menyertai PH adalah sifar.

Bagaimana dengan kemungkinan Putra menyertai BN? Putra ditubuh untuk mengganti UMNO. Bahawa namanya yang menggunakan sebahagian daripda nama Tunku Abdul Rahman Putra dan perlembagaannya yang diceduk daripda perlembagaan UMNO, adalah bukti yang jelas. Tetapi, jika Dato’ Ibrahim Ali mengharapkan untuk menarik ahli-ahli UMNO dan ahli-ahli Parlimennya untuk menyertai Putra, beliau perlu ingat bahawa beliau bukan Perdana Menteri (seperti Tun Dr Mahathir); Putra bukan sebuah parti komponen yang membentuk kerajaan (seperti Bersatu) dan Putra tidak mempunyai satu kerusi pun di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (seperti Bersatu). Siapa akan tertarik untuk menyertai Putra? Lagi pula, beliau patut mengambil perhatian bahawa rancangan Tun Dr Mahathir untuk menarik ahli Parlimen, DUN dan ahli biasa UMNO kepada Bersatu pun nampaknya sudah terbantut.

Dengan wajah Putra yang ditonjolkan, saya tidak nampak ada apa-apa sebab untuk UMNO bersetuju menerima Putra ke dalam BN. Apatah lagi kerjasama UMNO dan PAS atas nama “perpaduan ummah” semakin erat dan telah mula menunjukkan hasil. Kedatangan Putra hanya mengacau perkembangan itu. Jangan lupa, Dato’ Ibrahim Ali pernah bertanding atas tiket BN dan PAS dan kemudiannya beliau meninggalkan kedua-duanya. Saya percaya kedua-dua PAS dan UMNO akan keberatan untuk bekerjasama dengan parti beliau. (Tetapi, saya percaya UMNO akan menerimanya sebagai ahli UMNO semula, jika beliau memohon. Malah, UMNO patut menerima beliau dan semua ahli Perkasa sebagai ahli UMNO). PAS tentu lebih serik daripada UMNO untuk bekerjasama dengan Dato’ Ibrahim Ali.

Maka, Putra terpaksalah bersendirian. Ia hanya boleh mengharapkan undi orang Melayu yang, jika tidak, akan pergi kepada UMNO atau PAS. Saya tidak fikir ia boleh menarik undi orang Melayu yang akan mengundi PH, apatah lagi undi orang Cina. Nama Ibrahim Ali pun sudah cukup untuk mereka menjauhkan diri daripadanya dan juga Putra.

Maka, jika Putra bercita-cita merampas Perak dan Selangor ia hanya boleh mengharapkan orang-orang Melayu yang, jika tidak, akan mengundi UMNO atau PAS, untuk mengundi Putra. Cita-cita menawan Selangor dan Perak itu hanya akan tinggal angan-angan.

Cara untuk merampas Perak dan Selangor daripada PH ialah dengan mengelakkan pertandingan antara UMNO dan PAS. NGO-NGO Melayu patut menyokong. Di sinilah peranan Pekasa jika ia tidak menjadi sebuah parti politik. Sekarang, oleh sebab ia telah menjadi sebuah parti politik, tentu ia hendak bertanding. Jika tidak untuk apa menjadi parti politik? Jika ia bertanding, walaupun UMNO dan PAS bersetuju untuk hanya salah satu daripadanya akan bertanding di sesuatu kawasan itu, jika tiada calon bebas pun, undi akan berpecah tiga, bukan (instead of) dua. Apa yang berlaku dalam PRU14 akan berulang lagi. Malays never learn. Apatah lagi jika UMNO dan PAS pun tidak bersetuju untuk mengelak pertandingan sesama sindiri? Saya give up. Malays will never learn. Saya tidak akan menulis lagi, jika hayat masih ada sekalipun.

Analisis saya ini akan salah jika, selepas penubuhan Putra, orang Melayu yang menjadi ahli UMNO, PAS, NGO-NGO Melayu dan yang tidak berparti akan berduyun-duyun menyertai dan/atau menyokong Putra seperti apa yang berlaku kepada UMNO selepas Malayan Union dulu. Saya tidak fikir ia akan berlaku. Sebaliknya, adalah lebih berkemungkinan Putra akan mengikuti nasib parti-parti serpihan lain seperti IMP, National Convention Party, KITA, HAMIM, dan lain-lain. Jika ia tidak dapat mengulangi apa yang berlaku kepada UMNO itu, adalah lebih baik ia menerima nasib parti-parti yang saya sesubut terkemudian itu, lebih awal, supaya ia tidak banyak dan tidak lama melakukan kerosakan kepada politik orang Melayu.

Sahabat tetap sahabat. Tetapi, dalam keadaan sekarang, perpaduan ummah dan kerjasama antara UMNO, PAS dan NGO-NGO Melayu adalah lebih penting bagi politik orang Melayu, maka saya perlulah menyatakan pendapat saya untuk dipertimbangkan oleh orang Melayu/Islam.

13 Mei 2019 / 08 Ramadan 1440

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

63 visits