ULASAN BUKU “POLITIK BARU” OLEH DATO’ SAIFUDDIN ABDULLAH

ULASAN BUKU “POLITIK BARU” OLEH DATO’ SAIFUDDIN ABDULLAHUniversiti Utara Malaysia
11.2.2009Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 


 

Saya datang bukan untuk mempromosi buku Dato’ Saifuddin atau politiknya. Saya bebas semasa bertugas apatah lagi setelah bersara.

Saya kerap berada di tempat yang salah. Hari ini pun demikian. Saya bukan seorang pengulas politik atau pengulas buku. Saya pula mantan Ketua Hakim Negara. Apa kena mengena dengan ulasan buku politik. Tetapi, seperti kata Dr. Zhibago, “I am the people too”.

Sebenarnya apa yang dikatakan oleh Dato’ Saifuddin dalam bukunya bukanlah perkara baru yang tidak diketahui oleh umum. Yang barunya ialah Dato’ Saifuddin mengatakannya semasa beliau masih memegang jawatan politik. Di Malaysia, biasanya, seorang itu hanya akan mendedahkan perkara-perkara yang tidak baik dalam partinya apabila dia telah keluar parti.

Apakah yang membawa kepada perubahan ini? Dalam kata-kata lain, jika prestasi BN serupa dengan di masa-masa lepas, mungkinkah buku ini ditulis? Ini soalan “hypothetical”? Jawapannya hanyalah andaian. Kalau kita tanya Dato Saifuddin tentu sekali beliau akan berkata bahawa keputusan pilihanraya umum yang lepas bukanlah sebabnya. Dalam ulasan saya, saya berpendapat sebaliknya. Itu andaian saya. Setiap orang boleh membuat andaiannya sendiri.

Hakikatnya ialah, berikutan prestasi buruk BN dalam pilihan raya umum yang lepas, buku ini ditulis. Jika keputusan itu manjadi sebabnya, mungkin ia boleh disifatkan sebagai “a blessing in disguise.” “Blessing” kepada politik Negara.

Pada pandangan saya, bibit-bibit budaya tidak sihat yang disebut oleh Dato’ Saifuddin itu mula tersemai apabila Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli-Ahli Parlimen menonjolkan diri mereka sebagai “wakil rakyat”. Saya masih ingat bahawa gelaran ini mula digunakan semenjak pilihan raya umum yang pertama dalam tahun 1955. Ini adalah untuk mendekatkan mereka kepada “rakyat”, juga satu terma yang baru pada masa itu. Perlumbaan untuk “menarik hati rakyat” menjadi lebih sengit setelah Perikatan (pada masa itu) hilang dua buah negeri di pantai Timur, iaitu Kelantan dan Trengganu.

Di peringkat awal itu, caranya belum melibatkan banyak wang sebab “rakyat” belum “sophisticated” dan “wakil rakyat” pun tak banyak wang. Elaun Ahli Parlimen hanya RM500.00. Memadailah dengan menghadiri majlis perkahwinan (sepuluh sehari perkara biasa), menziarah kematian, mengangkat tangan apabila berselisih. Semasa saya menjadi Penasihat Undang-Undang di sebuah negeri di Pantai Timur, saya mendengar cerita mengenai seorang wakil rakyat yang sangat popular. Semasa berkereta, beliau akan mengangkat tangan kepada setiap orang yang berdiri di tepi jalan. Jika hujan, beliau akan turunkan cermin tingkap seketika, angkat tangan dan tutup semula. Ada seorang lagi, “confirmed bachelor” membuka rumahnya setiap hari. Sesiapa sahaja boleh pergi, masak (bahan-bahan disediakan), makan malah tidur! Saya juga mendengar cerita ada wakil rakyat yang meminjamkan tiket kereta api percuma yang diberikan kepadanya kepada penyokong-penyokongnya.

Keadaan ini berubah dengan kemakmuran negara dan pembangunan yang pesat. “Expectations” menjadi lebih besar. Kemampuan memberi juga bertambah.

Semua ini menyebabkan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli-Ahli Parilmen memberi lebih tumpuan kepada “kerja-kerja sosial” itu dan tidak kepada tugas asas mereka sebagai pembuat undang-undang. Berapa orangkah Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parliemen yang membaca rang undang-undang yang akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen?

Kemudian timbul satu aspek baru yang sekarang ini dikenali sebagai “politik wang”. Politik wang ini melibatkan ahli-ahli parti sendiri, terutama sekali yang mempunyai hak mengundi dalam pemilihan parti. Seorang rakan saya membuat cerita lawak bahawa di musim mesyuarat parti, kalau ada seorang ahli jawatankuasa yang sakit bisul pun, rumput di halaman rumahnya akan lumat dipijak oleh pengunjung-pengunjung yang bertanding untuk merebut jawatan dalam parti! Pesaing bukan pemimpin parti lawan, tetapi sama sendiri, yang bersaing untuk merebut jawatan parti yang sudah mempunyai nilai wang. Phenomena inilah yang diberi perhatian oleh Dato’ Saifuddin.

Saya tidak akan mengulangi apa yang saya telah sebut dalam ulasan saya yang boleh dibaca dalam buku itu.

Tetapi, saya ingin sentuh mengenai penyertaan orang awam dalam membuat keputusan. Saya bersetuju jika dikatakan bahawa kerajaan perlu memperolehi maklumat yang maksima, termasuk nasihat pakar dalam hal berkenaan sebelum membuat sesuatu keputusan. Tetapi, saya kurang selesa jika dikatakan orang ramai perlu mengambil bahagian dalam membuat sesuatu keputusan. Ini mungkin kerana latar belakang saya sebagai hakim. Judges must decide. Leaders must lead. Kepada saya orang yang diberi authority membuat keputusan itulah yang patut membuat keputusan, malah keputusan yang tidak popular, jika dia benar-benar yakin bahawa itu adalah untuk kebaikan negara. Saya amat menghormati Tun Dr. Mahathir yang berani membuat keputusan mengenai cara menangani krisis kewangan dalam tahun 1997-98. Beliau bukan sahaja ditentang oleh ahli-ahli jawatankuasa yang ditubuhnya untuk menangani masalah itu (ini mengikut cerita yang saya dengar) malah oleh ahli-ahli ekonomi seluruh dunia, termasuk IMF, World Bank d.l.l. Beliau tidak peduli. Beliau yakin dengan caranya. Hari ini seluruh dunia memuji tindakannya itu.

Saya khuatir jika pihak-pihak yang mempunyai kepentingan turut membuat keputusan, mereka akan “bias” untuk kepentingan jangka pendek mereka dan tidak mengutamakan kepentingan jangka panjang negara.

Apakah kesan buku ini? Kita tidak boleh mengharapkan ia akan mengubah sejarah dunia seperti Al-Qur’an atau Communist Manifesto. Mungkin ia tidak akan mengubah politik negara, malah politik UMNO. Rakan separtinya yang bersaing untuk merebut jawatan parti bulan Mac ini tentu tidak akan membacanya keraka mereka akan menyifatkannya sebagai propaganda politik Dato’ Saifuddin untuk mempopularkan diri. Tetapi, satu perkara yang pasti ialah bahawa Dato’ Saifuddin sendiri tidak akan melakukan apa yang dikiritiknya dalam buku ini. Jika beliau berbuat demikian kredibilitinya akan hilang. Lebih daripada itu, saya percaya, sedikit sebanyak, buku ini akan menolong meriuhkan perbincangan mengenai amalan itu. Majlis ini adalah buktinya. Ini akan menyebabkan seseorang itu lebih berhati-hati jika dia masih hendak melakukannya sekali pun.

Saya harap UMNO akan belajar daripada pilihanraya umum yang lepas. Jika tidak, mungkin kita boleh menempah batu nisan untuk UMNO. Saya harap ia tidakakan berlaku.

Sekian. Terima kasih.

112 visits