UCAPAN PERPISAHAN SEBAGAI KETUA HAKIM NEGARA

UCAPAN PERPISAHAN SEBAGAI KETUA HAKIM NEGARA
ISTANA KEHAKIMAN
17 Oktober 2008
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Dalam tahun 2004, saya pernah berkata kepada Ketua Hakim Negara pada masa itu: I am prepared to retire as a Federal Court Judge. Dalam tahun 2006, saya ada berkata kepada Presiden Mahkamah Rayuan pada masa itu: Whatever happens I will never beg.

Hari ini, dengan kehendak Allah s.w.t., saya tidak bersara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. Tetapi, hari ini, dengan kehendak Allah s.w.t. juga, saya masih boleh berkata: Saya tidak pernah meminta-minta atau melobi. Saya tidak pernah mengkompromi kebebasan mahkamah sambil saya menghormati pembahagian kuasa. ( I have never begged nor lobbied. I have never compromised the independence of the Judiciary while I have always respected the separation of powers.)

Pengalaman saya meyakinkan saya bahawa apabila Allah s.w.t. menghendaki sesuatu itu berlaku, tidak ada manusia yang boleh manghalangnya. Qadha dan qadar Allah tetap berlaku juga.

Tugas kita ialah melakukan sehabis baik yang kita boleh lakukan, dengan jujur. Serahkan kepada Allah s.w.t. untuk memberi ganjaran kepada kita mengikut apa kita layak terima. Kita tidak patut mengharap lebih daripada apa yang kita layak terima. Menerima sesuatu yang kita tidak layak terima atau dengan cara yang tidak betul, mungkin akan membawa kecelakaan. HAMKA berkata: “Mati adalah permulaan harga hidup”. Saya berkata: Persaraan adalah saat penilaian keseluruhan kerjaya. Mungkin ada kalanya kita merasakan bahawa kita layak menerima sesuatu tetapi kita tidak memperolehinya. Dalam keadaaan, itu kita patut menerima qadha dan qadar Allah. Mungkin ada hikmah yang kita tidak tahu.

Mengimbas ke belakang, saya fikir saya telah mengambil pendirian yang betul.

Maka pada pukul 5.00 petang ini, insya Allah, saya akan mengetip kad perakam waktu saya bagi kali yang terakhir sambil berkata kepada diri saya bahawa:

  • Saya telah melakukan sehabis baik yang saya boleh lakukan.
  • Saya serahkan kepada orang ramai untuk menghakimkan sama ada sehabis baik saya itu cukup baik atau tidak.
  • Mungkin saya ada membuat kesilapan, tetapi saya bersedia berdiri di hadapan Tuhan saya untuk disoal tentang keikhlasan saya.
  • Saya bersyukur dan redha dengan qadha dan qadarNya.

Kepada penganti saya, kepada semua Hakim-Hakim dan warga Badan Kehakiman, saya cuma ada satu permintaan: Jagalah Badan Kehakiman dengan baik. Ia adalah benteng terakhir masyarakat sivil Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi mengadakan majlis ini. Saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama yang tuan-tuan dan puan-puan telah berikan kepada saya sepanjang kerjaya saya. Saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan maaf zahir dan batin kepada semua yang hadir. Saya ucapkan selamat maju jaya dalam kerjaya masing-masing. Semoga Allah s.w.t. merahmati tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Akhir sekali, jika ada apa-apa kesilapan saya ,saya pohon ampun dan maaf.

Terima kasih.

125 visits