DS ANWAR TELAH GAGAL, ADAKAH KERAJAAN PN SELAMAT?

DS ANWAR TELAH GAGAL, ADAKAH KERAJAAN PN SELAMAT?

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Walaupun selepas menghadap DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong (YDPA), DS Anwar berkata “Muhyiddin telah jatuh”, sebenarnya beliau telah gagal. Tidak perlu menghabiskan banyak perkataan dan ruang menulis mengenainya lagi. Beliau telah menjadi budak yang melaung “serigala”. Noktah.

Beliau tidak Berjaya menjatuhkan TS Muhyiddin dan kerajaan PN. Tetapi, adakah kerajaan PN selamat?

Perhatian kita perlu beralih ke PWTC. Pada petang yang sama (13 10 2020), Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO telah bermesyuarat, dipengerusikan oleh DS Zahid Hamidi, Presiden UMNO. Mesyuarat itu, antara lain, memutuskan:

“1. UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri dari menyokong Perikatan Nasional dan akan memberi syarat baru kepada Kerajaan Perikatan Nasional bagi meneruskan Kerjasama politik, secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

2. UMNO akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) agar Muafakat Nasional didaftar dengan segera sebagai sebuah gabungan politik yang sah”.

 Saya terpaksa membaca perenggan 1 beberapa kali untuk memahaminya. Apa yang saya faham ialah UMNO akan meletakkan syarat baru kepada Kerajaan PN yang akan dijadikan perjanjian bertulis sebelum UMNO akan meneruskan kerjasama dengan Kerajaan PN. Jika syarat itu tidak dipersetujui oleh Kerajaan PN, maka UMNO akan menarik diri daripada menyokong Kerajaan PN. Jika UMNO menarik diri, maka Kerajaan PN akan hilang majoriti. Dua kemungkinan akan berlaku: sama ada DS Anwar atau orang lain akan dijemput oleh YDPA untuk menubuhkan kerajaan baru atau Baginda akan membubar Parlimen dan PRU akan terpaksa diadakan.

Kita bincang keputusan ini dahulu. Tidak syak lagi bahawa keputusan itu adalah berbangkit daripada rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO terhadap pemberian jawatan dalam Kerajaan PN dan bilangan kerusi dalam pilihan raya, sebagai misalan, dalam PRN Sabah yang baru lepas. Ini ditujukan kepada TS Muhyiddin dan Bersatu.

Rasa tidak puas hati itu bermula dengan penubuhan Kerajaan PN, terutama sekali di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak terpilih menduduki jawatan-jawatan dalam Kabinet TS Muhyiddin. Mereka menghujahkan UMNO yang mempunyai kerusi terbanyak dalam gabungan PN telah dipinggirkan oleh TS Muhyiddin.  Ini diburukkan lagi oleh sabitan terhadap DS Najib yang menyebabkan DS Zahid mengeluarkan  kenyataan bahawa UMNO akan mengambil keputusan politik yang besar.  Kenyataannya itu dilihat sebagai bayangan bahawa UMNO mungkin keluar daripada Kerajaan PN akibat keputusan mahkamah itu, yang juga membayangkan apa yang akan berlaku kepada DS Zahid sendiri.

Nampaknya jerami terakhir yang mematahkan belakang unta adalah PRN Sabah. UMNO merasakan  pembahagian kerusi untuk ia bertanding adalah tidak adil dan jawatan Ketua Menteri sepatutnya diberi kepada UMNO.

Maka, apabila DS Anwar mengeluarkan kenyataan beliau telah mempunyai majoriti untuk menubuh kerajaan baru, DS Zahid pun mengeluar kenyataan mengatakan ramai ahli-ahli Parlimen UMNO yang menyokong DS Anwar, beliau menghormati tindakan mereka dan beliau tidak boleh menghalang mereka.

Pada masa itu, terdapat tiga kumpulan dalam UMNO berhubung isu ini:

  1. Kumpulan yang menyokong DS Anwar untuk menggulingkan Kerajaan PN dan mahukan DS Anwar menjadi Perdana Menteri.
  1. Kumpulan yang hendak menggulingkan Kerajaan PN tetapi mahukan pilihan raya diadakan.
  1. Kumpulan yang menyokong Kerajaan PN dan TS Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Saya percaya kumpulan DS Zahid pada awalnya berada dalam kumpulan Pertama. – lihat “Komplot September 2020: Apa Kesannya?” (01 10 2020). Tetapi, mereka kemudiannya berundur seorang demi seorang apabila melihat ia tidak akan berjaya. Hingga, apabila sampai tarikh DS Anwar diterima menghadap YDPA, hampir semua nama yang dikatakan menyokong DS Anwar itu menafikan sokongan mereka. Kenyataan Media Istana Negara selepas majlis menghadap itu, membunuh segala harapan DS Anwar.

Maka, pada petang hari yang sama, DS Zahid mempengerusi Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO. Dari apa yang saya faham, ia adalah satu biro Majlis Tertinggi dan keputusannya mestilah disahkan oleh Majlis Tertinggi sebelum ia menjadi suatu dasar. Dalam hal ini nampaknya, keputusan itu tidak dibawa kepada Majlis Tertinggi untuk diluluskan. Sebaik sahaja ia diluluskan ia terus diumumkan, diikuti dengan kenyataan bahawa syarat baru itu akan dikemukakan pada esoknya dalam pertemuan antara DS Zahid dan TS Muhyiddin.

Soalan: Mengapa DS Zahid menggunakan biro itu untuk meluluskan keputusan itu dan tidak Majlis Tertinggi atau membawa keputusan itu kepada Majlis Tertinggi untuk diluluskannya? Adakah DS Zahid takut Majlis Tertinggi tidak akan meluluskannya?

Sama ada keputusan itu mengikat UMNO atau tidak, kesannya sudah dirasa. UMNO, atau lebih tepat, kumpulan DS Zahid telah mengancam menarik diri keluar daripada Kerajaan PN sebaik sahaja DS Anwar selesai menghadap YDPA. Tarikh mesyuarat itu tentu telah ditetapkan lebih awal. Ia tentulah telah dirancang oleh DS Zahid untuk memberi sokongan kepada DS Anwar. Walaupun perancangan DS Anwar nampaknya gagal, kumpulan DS Zahid, yang kononnya mewakili UMNO telah menghidupkan semula harapan DS Anwar. Ia juga telah berjaya menambah keretakan dalam gabungan PN. Bendahari PAS Pusat telah pun mempertikaikan syarat baru itu, walaupun belum tahu apa syarat itu. Nampak seperti Kerajaan PN akan berpecah dan tumbang, bukan kerana kejayaan DS Anwar tetapi kerana tindakan DS Zahid, atas nama UMNO, memberi faedah kepada DS Anwar.

Soalan saya kepada Majlis Tertinggi ialah, apakah pendirian Majlis Tertinggi terhadap DS Zahid yang membelakangkan Majlis Tertinggi itu? Apakah pendirian Majlis Tertinggi terhadap keputusan itu?

Saya berpendapat, biar apa pun perbezaan pendapat dan rasa tidak puas di antara parti-parti komponen PN, mereka sepatutnya cuba mengekalkan Kerajaan PN sehingga pilihan raya diadakan. Yang paling penting adalah mengelak PH berkuasa semula, walaupun dengan DS Anwar sebagai Perdana Menteri. Ini bukanlah masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya. Kerajaan PN perlulah disokong sehingga masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya.

Sampai kepada keputusan kedua, cadangan supaya MN didaftarkan sebagai sebuah gabungan politik yang sah. Saya bersetuju dengan cadangan itu. Dari awal saya berkata UMNO dan PAS hendaklah memberi keutamaan kepada MN. Tetapi, PAS yang nampaknya mula membelakangkan MN, pertama kerana hendak mengambil hati Tun Dr. Mahathir; selepas TS Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, kerana hendak mengambil hati beliau sehingga menyertai pendaftaran PN. Sekarang, nampaknya PAS perlulah memilih untuk didaftarkan dalam gabungan PN atau MN.

Walau bagaimana pun, saya harap Bersatu, UMNO dan PAS akan mempertahankan Kerajaan PN sehingga diadakan pilihan raya.

16 10 2020

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

75 visits