MENGAPA UMNO DAN PAS PATUT BERKERJASAMA (BM)

 

 

MENGAPA UMNO DAN PAS PATUT BERKERJASAMA
(Ringkasan Pandangan Saya)
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

1. British menjajah Semenanjung Tanah Melayu (STM) daripada orang Melayu.

2. Orang Cina dan India datang dengan ramainya, mula-mula untuk mencari kekayaan dan pulang ke negera asal, tetapi akhirnya terus tinggal di STM.

3. Orang Melayu bersatu menentang Malayan Union, menentang ancaman Pengganas Kominis dan menuntut “Kemerdekaan tanah air”.

4. Orang bukan Melayu menyertai pergerakan menuntut Kemerdekaan apabila mereka nampak Kemerdekaan akan menjadi kenyataan untuk menjaga kepentingan mereka, selepas Merdeka.

5. PAS ditubuh apabila Haji Ahmad Fuad Hassan kalah dalam pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO kepada Tunku Abdul Rahman Putra, mulanya sebagai satu cabang UMNO tetapi kemudiannya bertanding dalam PRU 1955.

6. Semasa Perlembagaan Persekutuan sedang digubal, PAS menuntut supaya Pulau Pinang dan Melaka dijadikan “Negeri Melayu” (bersultan) untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Parti Kominis Malaya (majority orang Cina) mengangkat senjata untuk menubuh sebuah kerajaan Kominis ala-China. Parti Boroh (majority orang Cina) menuntut supaya “Negeri-Negeri Melayu” dihapuskan untuk mengelak “Malaya” yang merdeka menjdi sebuah “Negara Feudal”. Orang-orang Cina mahukan dua warganegara (dual-citizenship), Malaya dan China dengan warganegara China sebagai warganegara utama. Ada satu kumpulan orang Cina di Pulau Pinang yang tidak mahu Puau Pinang merdeka dalam STM. Mereka mahu ia kekal di bawah jajahan British seperti Hong Kong.

7. Oleh sebab British menjajah STM daripada orang Melayu, logiknya ia dipulangkan kepada orang Melayu (seperti Brunei). Tetapi, orang Melayu sanggup berkongsi kuasa dengan orang bukan Melayu. Hasil tolak ansur persetujuan dicapai. Kandungannya tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan. Antara lain, kerakyatan diberi kepada orang bukan Melayu. Beberapa perkara yang dituntut oleh orang Melayu seperti, kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, jaminan mengenai “hak keistimewaa orang Melayu” (Perkara 153), Regimen Asykar Melayu dan Tanah Simpanan Melayu juga dipersetujuui dan diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

8. Dalam PRU 1955, kawasan majority pengundi Melayu diberi kepada calon-calon bukan Melayu dari parti komponen Perikatan untuk bertanding untuk melebihkan bilangan ahli-ahli Parlimen bukan Melayu. Amalan ini berterusan untuk memastikan mereka mencapai kemenangan sebab jika mereka bertanding dalam kawasn majority bukan Melayu (Cina), mereka akan kalah. Sebaliknya, Perikatan atau Barisan Nasional tidak pernah meletak calon Melayu di kawasan majority bukan Melayu, sebab pengundi-pengundi bukan Melayu tidak akan mengundi calon Melayu.

9. Pada 31 Ogos 1957, STM merdeka. Pada malam itu warganegara STM bertambah sekali ganda, akibat orang bukan Melayu menjadi warganegara mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Akibatnya, jika dalam Pilihan Raya Umum 1955, pengundi Melayu adalah sebanyak 84.2%, dalam Pilihan Raya Umum 1959, hanya dua tahun selepas Merdeka, pengundi Melayu jatuh kepada 57.1%.

10. PAS menentang penubuhan Malaysia, apatah lagi termasuk Singapura, kerana khuatir ia akan menjejas hak orang Melayu dan kududukan agama Islam.

11. Selama lebih kurang tiga dekat selepas penubuhannya, PAS telah memain peranan yang berfaedah kepada bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia. PAS tidak terlalu besar untuk menjadi ancaman kepada UMNO di peringkat Persekutuan. Pengaruhnya tertumpu di Pantai Timur STM. Tidak ada perbezaan kepada orang Melayu dan agama Islam sama ada UMNO atau PAS memeritah Kelantan. Lagi pula, adanya PAS menyebabkan UMNO lebih berhati-hati berkenaan isu Melayu dan Islam.

12. Selama lebih kurang lima dekat semenjak Merdeka, kecuali dalam 1969, tidak ada cabaran serius terhadap hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Sebabnya, sebilngan besar orang Melayu menyokong UMNO, kerajaan Persekutuan teguh di bawah Barisan Nasional dan UMNO dapat mengawal parti-parti sekutunya daripada membuat tuntutan-tunutan yang melampau. Negara aman dan makmur. Semua orang menikmati taraf kehidupan (standard of living) yang lebih tinggi.

13. Keadaan berubah dalam masa lebih kurang sepuluh tahun di kebelakangan ini. Orang Melayu berpecah tiga. Melihat keadaan itu, orang Cina yang memang pandai membuat perkiraan dan pakatan, bersatu di belakang DAP. PKR dan PAS setuju berkerjsama dengan DAP. Akibatnya, pengundi bukan Melayu menjadi suara penentu dalam pilhanraya.

14. Merasai mereka telah kuat, orang-orang bukan Melayu, terutama sekali orang Cina, mula membuat tuntutan-tuntutan yang melampau dan mencabar hal-hal mengenai agama Islam, termasuklah khotbah Jumaat. Mereka tidak puas hati dengan “kestimewaan” yang dinikmati oleh orang Melayu. Mereka mahu semuanya dibahagikan secara “sama rata”. Mereka tahu jika dibuat demikian, merekalah yang akan membolot seala-galanya kerana mereka mengawal ekonomi, kaya dan lebih maju dalam semua bidang. Sebenarnya mereka mahu hak orang Melayu tanpa mengorbakan hak mereka.

15. Jika Pakatan Rakyat (termasuk PAS) dapat menubuh kerajaan di peringkat Persekutuaan, DAPlah yang akan menjadi parti dominan. PKR tanpa Dato’ Seri Anwuar Ibrahim tidak akan dipandang serius oleh DAP. PAS lagilah tidak akan “didengar” oleh DAP.

16. Kerajaan Pakatan Rakyat semestiya akan menghakis hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Orang Cina bersatu di belakang DAP kerana DAP menjanjikan sesuatu yang lebih dan kerana mereka mahu lebih daripada yang mereka perolehi di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Dari mana bahagian “yang lebih” itu akan datang? Semestinya daripada bahagian orang Melayu.

17. Mungkin mereka tidak akan memperolehi majority dua pertiga di Parlimen dan persetujuan Majlis Raja-Raja (di mana diperlukan) untuk meminda Perlembagaan. Sambil itu kita mesti waspada tentang kemungkinan mereka akan melakukan perubahan kepada kawasan Parlimen dengan menambah bilangan kerusi di kawasan Cina yang padat penduduknya.

18. Namun demikian, perlu diingati bahawa hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam boleh dihakiskan secara pentadbiran sahaja. Sebagai misalan, peruntukan mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan hanya memberi manfaat jika dan apabila kerajaan yang memerintah melakukan sesuatu untuk meletakkan agama Islam di tempat yang sesuai dengan kedudukan itu. Apa yang kita lihat hari ini, baik universiti-universiti, institusi-institusi dan jabatan-jabatan Islam; Institusi-Institusi Kewangan Islam dan pembangunan perbankan dan kewangan Islam; pengajaran mata pelajaran agama Islam daripada tadika hingga ke university, masjid-masjid, rancangan-rancngan agama di talivisyen dan radio dan lain-lain adalah hasil daripada apa yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah selama ini. Jika tidak dilakukan, tidak akan ada apa-apa, hanya peruntukan dalam Perlembagaan.

19. Demikian juga dengan peruntukan mengenai hak-hak orang Melayu. Jika kerajaan yang memerintah tidak berbuat apa-apa, tidak ada apa yang akan dinikmati oleh orang Melayu. Kita menikmati faedahnya hari ini kerana kerajaan telah mengadakan berbagai-bagai rancangan seperti Dasar Ekonomi Baru dan menubuhkan berbagai-badan seperti Permodalan Nasional Berhad, Skim Amanah Saham Nasional, Bank Bumiputera, Lembaga Urusan dan Tabung Haji, MARA, FELDA, RISDA, FELCRA, UDA, PERNAS, DARA, JENGKA, KETENGAH, KESEDAR dan lain-lain. Kerajaan juga telah menetapkan dan melaksanakan dasar mengenai pemberian biasiswa, pengambilan pegawai-pegawai kerajaan dan lain-lain. Tanpa ini semua, peruntukan-peruntukan itu tidak bermakna.

20. Semenjak Merdeka, melalui dasar dan tindakan kerajaan Perikatan dan, kemudiannya Barisan Nasional, orang Melayu/Islam telah menikmati faedah peruntukan-peruntukan itu. Saya tidak fikir kerajaan Pakatan Rakyat akan atau akan dapat melakukan perkara yang sama. Ertinya, hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam akan terhakis jika kerajaan Barisan Nasional yang di terajui oleh UMNO, tumbang.

21. Demi mengelak perkara itu berlaku, kerajaan Barisan Nasional di peringkat Persekutuan mestilah dipertahankan.

22. Pada pendapat saya cara yang paling mudah ialah: Jika selepas PRU 14, didapati kerajaan Barisan Nasional di peringkat Persekutuan akan tumbang, PAS hendaklah menyertai kerajaan Barisan Nasional, sekurang-kurangnya di peringkat Persekutuan untuk menyelamatkannya. PAS mesti sedar bahawa dengan berkerjasama dengn DAP dan PKR ia akan mengorbankan kepentingan orang Melayu dan agama Islam. PAS perlu sedar bahawa, dalam konteks Malaysia, apa yang menguntungkan orang Melayu akan menguntugkan umat Islam dan apa yang merugikan orang Melayu akan merugikan umat Islam. Demikian juga, apa yang menguntungkan umat Islam akan menguntungkan orang Melayu dan apa yang merugikan umat Islam akan merugikan orang Melayu,

23. Sebenarnya, pada masa ini, di antara UMNO dan PAS sudah tidak ada apa-apa perbezaan ideology lagi unuk menghalang kerjasama itu. Yang menjadi penghalang hanyalah kekhuatiran pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong masing-masing jika kerjasama itu akan menggugat kepentingan diri mereka. Selain daripada itu adalah isu-isu yang dipolitikkan kerana ia adalah mudah, murah dan popular untuk membezakan UMNO dengan PAS dan memancing undi, misalnya asabiah dan hudud.

24. PAS telah memerintah Kelantan selama lebih kurang 40 tahun. Apa bezanya Kelantan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia? Undang-undang yang dipakai di Mahkkamah Syari’ah di Kelantan seperti Enakmen Acara Mal, Enakmen Acara Sivil dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dibuat semasa pemerinthan Barisan Nasional dan saya menjadi Penasihat Undang-Undangnya. Memang ia telah diganti tetapi, dari segi isi kandungannya, itu hanya pengemaskinian yang dilakukan untuk menyelaraskan dengan undang-undang yang di pakai di negeri-negeri lain yang diperintah oleh Barisan Nasional.

25. Jika Kelantan “lebih Islam” daripada negeri-negeri lain dan orang Kelantan mahu berada dalam sebuah “negara Islam”, mengapa orang Kelantan yang paling ramai berhijrah ke negeri-negeri lain unuk mencari makan?

26. UMNO juga perlu menangani masalah persepsi rasuh yang tinggi di kalangan pemimpinnya, faktor utama mengapa orang Melayu “bencikan” UMNO, sama ada persepsi itu betul atau tidak.

27. Maka, pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS yang sama-sama Melayu dan Islam, yang sama-sama untung dang rugi, perlulah menumpukan perhatian kepada ancaman besar yang berada di hadapan mereka, orang Melayu dan umat Islam di Malaysia. Mereka patutlah mengenepikan dahulu perbezaan yang diada-adakan untuk tujuan politik dan menumpukan usaha untuk menyelamatkan hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam.

28. Dengan cara yang saya cadangkan ini, UMNO dan PAS masing-masing boleh kekal seperti sekarang sebagai parti politik yang berasingan. (Saya tidak nampak kemungkinan PAS menyertai Barisan Nasional dalam masa yang terdekat.) Walau bagaimana pun, pada pandangan saya, PAS patut keluar daripada Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat merugikan orang Melayu dan umat Islam. Di perigkat negeri, PAS boleh bertanding bersendirian. PAS boleh memerintah negeri-negeri yang dimenanginya secara bersendirian. Tetapi, untuk mengelak sesebuah negeri terjatuh kepada PKR dan DAP, misalnya Perak, PAS patut berkerjasama dengan Barisan Nasional untuk menubuh kerajaan campuran. Di peringkat Persekutuan, PAS juga boleh bertanding bersendirian. Tetapi, UMNO dan PAS boleh juga mengadakan persefahaman mengenai kawasan-kawsan yang masing-masing akan bertanding. Tetapi, bagi kedua-dua Negeri dan Persekutuan, di mana PAS tidak bertanding, pengundi-pengundi PAS hendaklah mengundi Barisan Nasionl unuk mengelak PKR dan DAP memperolehi lebih banyak kerusi. Selepas Pilihanraya selesai, di peringkat Persekutuan, PAS boleh memilih untuk menyertai Kabinet dan ahli-ahli Parlimennya duduk bersama-sama ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional. Atau, PAS tidak menyertai Kabinet dan ahli-ahli Parlimennya duduk berasingan di Parlimen seperti ahli-ahli “bebas” tetapi, dalam isu yang melibatkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam, mereka akan menyokong kerajaan Barisan Nasional.

Terima kasih.

111 visits