MEMPERTAHANKAN PERLEMBAGAAN SEBAGAI ASAS PERPADUAN NEGARA

WACANA ISLAM DAN CABARAN SEMASA DAN MAJLIS IFTAR NGO-NGO ISLAM


Semenanjung Tanah Melayu tetah dijajah daripada orang Melayu. Yang menentangnya, baik Dato Bahaman, Dato Sagor, Dato Maharaja Lela, Dol Said, Tok Janggut atau Rusli Dhobi, adalah orang Melayu. Yang menentang Malayan Union adalah orang Melayu. Yang berkorban nyawa menentang pengganas Kominis semasa darurat adalah orang Melayu. Yang menuntut kemerdekaan adalah orang Melayu. Orang bukan Melayu menyertai gerakan menuntut kemerdekaan apabila mereka melihat ianya akan menjadi kenyataan untuk menjaga kepentingan mereka. Pada masa itu pun tujuan mereka sudah berlainan.

Lojiknya, Semenanjung Tanah Melayu yang dijajah daripada orang Melayu hendaklah dipulangkan kepada orang Melayu. Tetapi tidak, orang Melayu diminta berkongsi kuasa yang akan diserah balik oleh penjajah British. Pada masa itu pun orang Melayu telah diminta mengorbankan hak mereka “untuk menjaga perpaduan”. Orang Melayu bersetuju, sehinggakan dalam PIlihan Raya Umum (PRU) 1955, untuk memberi lebih banyak representasi kepada orang bukan Melayu, kawasan-kawasan majoriti Melayu di berikan kepada calun-calun bukan Melayu untuk bertanding. Keadaan ini berterusan demi untuk memastikan kemenangan pemimpin-pemimpin utama bukan Melayu, sehinggalah PRU 12 apabila kemenangan UMNO sendiri dalam kawasan majority Melayu sudah tidak terjamin.

Semasa rundingan kemerdekaaan, PAS menuntut supaya Pulau Pinang dan Melaka dijadikan Negeri-Negeri Melayu demi manjaga hak keistimewaan orang Melayu. Semasa Malaysia hendak ditubuhkan PAS menentangnya kerana ia akan mengurangkan paratusan orang Melayu dan takut kiranya orang Melayu akan hilang kuasa politik dan dengan itu kedudukan orang Melayu dan agama Islam akan tergugat. Malah, selama beberapa dekat PAS senentiasa mengkritik UMNO kerana “tak cukup Melayu dan tak cukup Islam”. Begitu prihatin PAS terhasap nasib bangsan Melayu dan agama Islam pada masa itu.

Semasa rundingan kemerdekaan juga, Parti Boroh Malaya menuntut supaya ditubuhkan kerajaan unitari kerana, mengikut mereka, mengekalkan Sultan-Sultan dan Negeri-Negeri Melayu akan mewujudkan sebuah kerajaan beraja. Dalam kata-kata lain mereka hendak menghapuskan sistem beraja di Malaya. Siapakah majority ahli-ahli Parti Boroh? Tidakkah tuan-tuan terhidu bau yang serupa sekarang?

Parti Kominis Malaya mengangkat senjata untuk menubuhkan kerajaan kominis ala-China. Beberapa orang pemimpin parti-parti kiri Melayu lari ke hutan dan menyertai Parti Kominis Malaya kerana takut ditangkap British. Mereka diperalatkan oleh Chin Peng untuk mempengaruhi orang Melayu menyokong perjuangan mereka. Nasib baik, pada masa itu orang Melayu tidak terpengaruh degan mereka. Soalan: Tidakkah orang Melayu ternampak perancangan yang serupa sekarang oleh “kominis bandar” meminjam istilah Tan Sri Rahim Noor, mantan Ketua Polis Negara?

Biar apa pun, akhirnya peruntukan-peruntukan Perlembaagn dipersetujui dan ia menjadi undang-undang utama kita. Pada detik 12.00 tengah malam Semenanjung Tanah Melayu pun merdeka. Orang-orang yang sebaya dengan saya masih terdengar pekikan “Merdeka” itu dengan perasaan penuh semangat dan kegembiraan.

Tetapi, pada detik yang sama, satu perkara berlaku, yang kita tidak sedar. Ini digambarkan dengan jelas oleh Professor Shad Saleem Farouqi dalam bukunya yang bertajuk “Document of Destiny: The Constitution of the Federation of Malaysia” di muka surat 710. Katanya:

“As a result of the “social contract” between the various races, millions of migrants to British Malaya were bestowed with citizenship by the Merdeka Constitution. It is believed that the number of citizens in Malaya doubled at the stroke of midnight on August 31, 1957 due to the constitutional grant.”

“Akibat “kontrak sosial” di antara berbagai kaum, berjuta-juta pendatang ke Malaya yang diperintah oleh British itu diberi kerakyatan oleh Perlembagaan Merdeka. Adalah dipercayai bahawa jumlah warga negara Malaya bertambah sekali ganda pada detik tengah malam 31 Ogos 1957 disebabkan oleh pemberian Perlembagaan itu.” (Terjemahan saya).

Dalam tahun 1963, Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia. Kedudukan anak negeri Sabah dan Sarawak hampir serupa dengan kedudukan orang Melayu di Semenanjung. Maka peruntukan yang serupa dibuat untuk mereka – lihat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Semenjak Merdeka hinggalah sekarang, Kerajaan Persekutuan dipimpin oleh sekumpuln parti berbagai-bagai bangsa dengan seorang Melayu sebagai Perdana Menterinya. Biar apa pun kelemahan mereka, negara berada dalam keadaan aman, tenteram membolehkannya maju dalam semua bidang dan dinikmati oleh semua orang dan semua kaum. Mana satu kaum yang boleh berkata bahawa mereka tidak menekmati kamakmuran Malaysia walau sedikit pun? Negara kita adalah diantara beberapa buah negara sahaja dalam dunia ini yang Perlembagaan asalny masih berkuatkuasa. Malah Malaysia disifatkan sebagai model negara membangun dan negara Islam moden.

Jika kaum minority hendak complain mengenai kebebasan mereka, tunjukkan kepada saya sebuah negara yang memeberi lebih banyak hak kepada kaum minoriti. Apa jadi kepada orang Islam Rohinga di Myanmar? Di negeri-negeri jiran, nama mereka pun perlu diubah. Tunjukkan kepada saya sebuah negra yang bukan sahaja membenarkan sekolah-sekolah vernacular diadakan, malah membiyainya. Dari segi kebebasan beragama, pernahkah Kerajaan menghalang mereka daripada mengamalkan agama mereka. Pernahkah terfikir oleh mereka bagaimana mudahnya mereka membina rumah-rumah ibadat mereka di Malaysia, termasuk di atas tanah Kerajaan tanpa sebarang tindakan, diberi bantuan kewangan dan tanah gentian apabila dikehendaki pindah? Bandingkan dengan halangan yang di hadapi oleh orang Islam untuk membuat sebuah masjid di Eropah atau U.S.

Kecuali seketika di sekitar tahun 1969, keadaan bertahan selama lebih kurang 50 tahun. Ia disebabkan Kerajaan Persekutuan kukuh, pemimpin-pemimpin yang tegas dan ekonomi yang senentiasa berkembang. Kerajaan Persekutuan kuat sebab ia menerima sokongan orang Melayu dan bukan Melayu yang mencukupi, walau pun lebih banyak orang Cina senentiasa menyebelahi pembangkang. Mereka mahu lebih. Itu sahaja sebabnya. Dan mereka menduh orang Melayu “tamak” kerana hendak mencapai 30% ekonomi negara! Bagaimana dengan mereka yang sudah mempunyai 80% tetapi mahu lebih? Mungkin itu “dermawan” mengikut istilah mereka. Anihnya ada juga orang Melayu yang mempercayainya.

Tetapi, keadaan berubah di kebelakangan ini. Orang Melayu berpecah kerana leka dengan sedikit kemakmuran yang baru dirasa, kataksuban kepada parti dan pemimpin dan kehadiran pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong yang opportunist yang tidak kira apa yang akan terjadi kepada bangsa, negara dan agama asalkan cita-cita mereka tercapai. Maka orang Melayu berpecah dengan seriusnya. Kumpulan pengundi majoriti menjadi minoriti. Kumpulan minoriti memperalatkan sebahagian pengundi Melayu untuk kepentingan mereka dan orang Melayu tidak sedar.

Melihat keadaan itu, kumpulan-kumpulan yang memang pandai mengira untung-rugi, terus mengatur perancangan merka. Mereka membuat perancangan teratur untuk merampas kuasa melalui peti undi, dengan bersatu padu sesama sendiri sambil memperalatkan parti-parti Melayu dan orang Melayu yang naive itu. Mereka hampir berjaya.

Sambil itu kumpulan-kumpulan ekstremis mula membuat tuntutan-tuntutan yang bukan-bukan, meyerang hak-hak orang Melayu, menghina lagu Kebangsaan, menghina bendera Malaysia, menghina Institusi Raja-Raja, menghina pemimpin-pemimpin Melayu dan menghina agama Islam. Ketiadaan tindakan tegas terhadap mereka dilihat oleh mereka sebagai tanda kelemahan dan mereka menuntut lebih lagi.

Pendekatan mereka adalah bersifat ugutan dan bisnes: jika mahu perpaduan berikan kami hak yang sama dan kebebasan sepenuhnya. Dalam kata-kata lain, mereka mahu faedahn yang diberikan kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dihapuskan. Ertinya, mereka mahu perizaban kadar dalam perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa, keistimewaan pendidikan dan latihan, permit, lessen dan sebagainya dihapuskan. Semua mesti diberi atas dasar merit. Mereka tahu mareka menguasai ekonomi dan berada di hadapan dalam bidang pelajaran. Mereka tinggal di bandar-bandar besar di mana terdapat semua kemudahan dan exposure. Apabila pemilihan cuma dibuat berdasarkan kelulusan akademik, merekalah yang akan membolotnya. Tak cukup dengan itu, mereka mahu UiTM juga dibuka kepada mereka!

Rata-rata orang bukan Islam di Malaysia tidak senang dengan kedudukann agama Islam sebagai agama Perekutuan. Mereka mahu agama-agama mereka juga diberi kedudukan yang sama. Mengikut mantan Mufti Pulau Pinang, di Pulau Pinang telah berlaku satu peristiwa di mana di perasmian sebuah bangunan oleh Timbalan Ketua Menteri, do’a dibacakan oleh seorang Padri Kristian, seorang Sami Hindu dan Imam Masjid Negeri. Saya amat hairan mengapa Imam Besar pun turut menyertainya.

Saya amat sedih melihat orang Melayu dan Islam begitu naïve sehingga mereka begitu mudah diperlatkan sehingga sanggup bertakbir dan bergolek di atas jalan raya sedangkan orang bukan Islam yang untung.

Saya juga hairan mengapa ada orang-orang yang dikenali sebagai ulama’ tidak nampak muslihat gereja Roman Katholik yang hendak memakai kalimah “Allah” dalam bible Bahasa Melayu dan upacara gereja dalam Bahasa Melayu slepas 500 tahun kecewa mengkristiankan orang Melayu secara besar-besaran. Mereka merujuk kepada penggunaan kalimah Allah di bumi Arab tanpa menganalisis berbezaannya. Kita perlu lihat isu itu dalam konteks Malaysia.

Hinggakan, apabila sami Budha mengadakan upacra sembahayang di surau di sebuah hotel pun, ada “ilmuan Shariah” yang mengatakan Rasul Allah pernah membenarkan orang Kristian bersembahayang dalam masjid. Tidakkah mereka nampak perbezaannya?

Kisah itu melibatkan ahlil-kitab yang beriman dengan Allah dan di peringkat awal kerasulan Muhammad s.a.w. dan cara mereka bersembahyang pun tidak mencemarkan kesucian masjid. Jika dibenarkan penganut-penganut agama yang ada di Malaysia bersembahayang dalam masjid, apa akan jadi? Bukan sahaja masjid akan busuk dengan bau gaharu, babi panggang pun mungkin akan di bawa masuk ke dalam masjid, sebab di bulan hantu lapar, “menjamu” hantu lapar adalah sebahagian daripada upacara sembahayang mereka.

Mantan Mufti Pulau Pinang juga memberitahu saya adalah susah mendapat peruntukan untuk aktiviti agama Islam di Pulau Pinang, kerana pemimpin-pemimpin agama-agama lain juga menuntut hak yang sama. Jika kita tidak membendungnya, perkara seperti ini akan merebak ke seluruh Malaysia. Di waktu itu, waktu penyiaran rancangan-rancangan agama Islam di televisyen pun akan terpaksa dikongsi dengan agama-agama lain. Jabatan-jabatan Kerajaan dan kampus-kampus universiti kerajaan yang menyediakan surau akan terpaksa menyediakan gereja, to’kong-to’kong dan gurdwara, memeberi hanya dua misalan. Ertinya, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sudah tidak bermakna lagi. Peruntukan agama Islam sebagai agama Persekutuan mungkin dimansuhkan atau kesemua agama akan dijadikan agama Persekutuan.

Kumpulan ini sangat tidak puas hati dengan peruntukan Perlembagaan yang tidak membenarkan orang bukan Islam menyebarkan agama mereka kepada orang Islam. Selain dari itu, mereka pergi ke merata dunia untuk memburukkan Islam kerana Islam tidak membenarkan penganutnya murtad, kerana Islam membolehkan poligami, kerana Islam mengharamkan liwat, membuat tuduhan Islam mendiskriminasikan orang perempuan kerana pembahagian pesaka yang tidak samarata dan lain-lain. Soalan saya: Mengapa mereka membantah hal-hal mengenai agama Islam pada hal kita tidak pernah membantah mereka membakar kereta kertas, duit neraka (hell money) atau mencucuk pipi mereka dengan besi dan lain-lain.

Mereka juga tidak puas hati dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Mereka mahu Bahasa mereka juga diberi kedudukann yang sama. Ke manakah perginya “kontrak sosial”?

Ringkasnya mereka mahukan atau mahu menghapuskan apa yang ada pada orang Melayu tetapi mereka tidak mahu melepaskan apa yang ada pada mereka. Sanggupkah syarat kerakyatan dikaji semula? Sanggupkah syarikat-syarikat milik mereka dibuka kepada orang Melayu, baik sebagai pemilik saham, ahli Lembaga atau pengurusan atasan?

Kumpulan itu menjadi lebih berani kerana:

1. Mereka telah melihat orang Melayu berpecah-belah. Kumpulan majoriti telah menjadi minoriti.

2. Mereka telah berjaya mempengaruhi pemimpin-pemimpin parti-parti orang Melayu untuk berkerjasama dengan mereka.

3. Mereka telah berjaya memanfaatkan pengundi Melayu yang menentang BN yang tidak sedar bahawa mereka diperalatkan.

4. Ketiadaan tindakan terhadap mereka dilihat sebagai kelemahan Kerajaan.

5. Pemansuhan Deklarasi Darurat dan undang-undang yang dibuat dibawahnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan pengumuman bahawa Akta Hasutan 1948 juga akan dimansuhkan dilihat sebagai satu kemenangan mereka. Mereka telah sekian lama menuntut perkara itu dilakukan dan mereka berjaya sekaang.

6. Persepsi rasuah di kalangan pemimpin politik Kerajaan yang tinggi memudahkan orang ramai mempercayai hasutan mereka.

Pada masa yang sama, Kerajaan semakin mengambil sikap lebih lembut dan “liberal”, mungkin dalam usha untuk memenangi semula sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu yang telah lari kepada pembangkang. Jika itulah tujuannya, nyata sekali bahawa harapan itu adalah satu kesilapan. Bukan sahaja mereka tidak kembali dan tidak berterima kasih, tetapi mereka melihatnya sebagai satu kelemahan di pihak Kerajaan dan kejayaan bagi mereka.

Saya boleh faham mengapa Deklarasi Darurat dan undang-undang yang dibuat di bawahnya dimansuhkan.

Dalam tahun 1970an, seorang Hakim dari Afrika yang datang ke Malaysia untuk menghadiri satu persidangan undang-undang bertanya kepada saya: “Malaysia berada dalam keadaan darurat bukan? Saya tidak lihat sekatan jalan raya oleh tentera mahupun kereta kebal di jalan raya.” Saya jawab, “Ya, itu darurat di Malaysia. Bayangkan jika tidak.” Untuk mengatakan selepas tahun 2000 kita masih berada di bawah keadaan darurat adalah tidak munasabah. Demikian juga melaksanakan undang-undang yang dibuat khas untuk menangani keadaan semasa darurat juga sukar untuk dibela walau pun dari segi undang-undangn ia adalah sah.

Tetapi saya dapati sukar sedikit untuk memahami mengapa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) juga turut dimansuhkan. Perlu diambil perhatian bahawa ISA bukanlah satu undang-undang yang dibuat di bawah peruntukan Perkara 150, ia itu semasa Deklarasi Darurat berkuat kuasa. ISA dibuat di bawah Perkara 149 yang membolehkan undang-undang seperti ISA dibuat untuk menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya.

Memanglah undang-undang yang membolehkan penangkapan dan tahanan tanpa perbicaraan bukanlah undang-undang yang baik. Tetapi, sudahkah kita lupa 13 Mei? Adakah keadaan yang menggugat ketenteraman negara, tidak kira oleh siapa, kominis, militant Islam, kumpulan pelampau dan lain-lain sudah tidak ada lagi? Mana lebih baik ISA atau Quantinamo? (Untuk perbincangan mengenai ISA dan Quantinamo, sila baca ucapan dan kertas kerja saya bertajuk “Conflict of Interests Between Different Basic Rights” dan “Legal and Judicial Transformation in Malaysia” yang boleh didapati dalam lman web saya.)

Saya faham bahawa Kerajaan mahu melihat Malaysia berada di kedudukan yang baik di mata dunia. Tetapi, Singapura yang mengekalkan ISA, berada di kedudukan yang lebih baik, hampir dalam semua hal. ISA bukanlah sebab utama yang menentukan kedudukan itu.

Sekarang ISA telah “digantikan” dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Secara ringkas, perbezaan utama di antara keduanya ialah ISA membolehkan tahanan tanpa perbicaraan. (Tetapi tangkapan dan penahanan itu boleh dicabar di mahkamah melalui semakan kehakiman (judicial review)). Sebaliknya, di bawah SOSMA seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah akta itu mestilah dituduh di mahkamah atas tuduhan tertentu dan dibicarakan sama seperi kes jenayah lain.

Setakat ini sebanyak 38 orang telah dihadapkan ke mahkmah di bawah SOSMA, dengan 30 daripadanya di Lahat Datu. Perbicaraan sedang berjalan. Pendakwaan dilakukan oleh Peguam Negara sendiri. Kebanayakan pertuduhan adalah di bawah Chapter VIA Kanun Keseksaan yakni kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan keganasan (offences relating to terrorism).

Ertinya “terrorism” yang memungkinkan kewujudan ISA masih ada. Apa yang dilakukan sekarang memang cantik di atas kertas. Tetapi soalnya, mampukan SOSMA menangani masalah terrorism? Dari segi kesalahan-kesalahan yang diwujudkan ia nampaknya lengkap. Soalnya, dapatkah pertuduhan-pertuduhan itu dibuktikan? Sama- samalah kita melihat perkembangannya.

Bagi saya ukurannya bukan sangat ISA ada atau tidak tetapi bagaimana ia dilaksanakan. Undang-undang apa pun boleh disalahgunakan. ISA pun jika dilaksanakan dengan berhemah dan menepati peraturan-perturannya, boleh membawa hasil yang lebih baik dari SOSMA jika SOSMA disalahgunakan. Sebaliknya, jika SOSMA dilaksankan dengan berhemah dan ia memberi kesan yang serupa, tentulah SOSMA lebih baik.

Selain daripada itu Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah juga mengumumkan bahawa Akta Hasutan 1948 juga akan dimansuhkan.

Akta ini dibuat oleh British apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan untuk mengekang penentangan kepada pemerintahan British. Secara ringkas, ia mengandungi kesalahan-kesalahan kerana menghasut untuk membangkitkan kebencian dan tidak taat setia kepada Raja atau Kerajaan, menghasut rakyat untuk mendapat perubahan dengan cara yang tak sah, menghasut orang supaya benci kepada pentabiran keadilan, menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Malaysia dan megembangkan perasaan permusuhan antara kaum. Seksyen 3(1)(f) memperuntukkan:

“…….mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogative yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan.”

Bahgian III adalah mengenai kewarganegaraan. Perkara 152 ialah mengenai Bahasa Kebangsaan. Perkara 153 adalah mengenai “perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu atau anak negeri Sabah dan Sarawak.

Pruntukan ini dimasukkan akibat peristiwa 13 Mei. Ringkasnya, ia menghalang sesiapa sahaja daripada mempersoalkan perkara-perkara yang disebutkan itu untuk mengelak daripada berulangnya peristiwa 13 Mei.

Bagi saya, pengwujudan seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan itu adalah kemuncak kejayaan politik orang Melayu dan Tun Abdul Razak Bin Hussain. Maka kepada anaknya saya meminta supaya beliau berfikir semasak-masaknya sebelum memansuhkan apa telah dilakukan oleh ayahnya itu.

Bagaimana dengan RUU Harmoni yang JPNIN sedang buat itu?

Mereka mengaitkan Akta Hasutan dengan RUU Harmoni. RUU Harmoni akan menggantikan Akta Hasutan seperti mana SOSMA menggantikan ISA. Ertinya, mengikut mereka, untuk mencapai perpaduan dan harmoni (“perpaduan”) Akta Hasutan perlulah dimansuhkan kerana ia menjadi penghalang perpaduan. Dalam kata-kata lain, berikan kebebasan kepada sesiapa sahaja untuk menghasut orang ramai supaya membenci Raja, menghapuskan sistem beraja, mempersoalkan kedudukn Bahasa Melayu sebagi Bahasa Kebangsaan, mempersoalkan hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kerakyatan, perpaduan akan tercapai. Lojik apa ini? Ia samalah dengan lojik seorang yang berkata “Kalau mahu tebuan berda di dalam sarangnya, jolokkan sarangnya.” Cubalah!

Maka kita perlu faham bahawa alasan bahawa Akta Hasutan perlu dimansuhkan demi untuk mencapai perpaduan itu tidak berasas lansung. Ia hanyalah helah untuk memansuhkan Akta Hasutan oleh orang-orang yang tidak sukakannya. Apatah lagi yang menggubalnya adalah Majlis Peguam. Itulah yang mereka mahu. Diberi peluang, terus mereka memanfaatkannya. Kita jangan terperangkap dengan helah seperti itu.

Apa untungnya orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak jika larangan-larangan mempersoalkan hak-hak yang diberi kepada mereka oleh Perkara 153 itu dihapuskan? Apakah untungnya orang Melayu jika hasutan mengenai kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dibenarkan? Yang untung hanyalah orang-orang yang tidak sukakan peruntukan-peruntukan itu. Tanpa Akta Hasutan mereka bebas menghasut orang ramai untuk menghapuskan pemerintahan Raja Berperlembagaan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, hak-hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Itu kita mesti faham.

Selain dari itu, ada beberapa perkara yang sangat menghairankan saya mengenai usaha menggubal RUU Harmoni untuk menggantikan Akta Hasutan itu. Pertama, Akta Hasutan terletak di bawah portfolio Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang Menterinya ialah YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Sepatutnya, semua perkara yang berkenaan dengan akta itu, sama ada hendak memindanya atau memansuhhkannya, hendaklah datangnya dari kementerian itu. Ini penting bukan sahaja kerana akta itu terletak di bawah kementerian itu, tetapi kerana kementerian itu mempunyai mahklumat-maklumat, termsuk maklumat rahsia, mengenai kententeraman negara yang akan menentukan dasar mengenainya.

Soalan saya: Mengapa dalam hal ini tugas itu diambil alih oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang menterinya YB Tan Sri Joseph Kurup yang nampaknya berkerjasama dengan YB Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Mentri? Adakah satu “rampasan” (highjacking) belaku di sini?

Mengikut prosedur biasa, penetapan dasar dilakukan oleh kementerian berkenaan sebelum ia diputuskan oleh Kabinet. Dalam hal ini, penentuan dasar, sekurang-kurangnya di pringkat permulaan, diserahkan kepada JUU&D yang ditubuh oleh MKPN yang ditubuh pula oleh JPNIN. Pengerusi JUU&D adalah YB Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen PAS Parit Buntar dan Timbalan Pengerusinya adalah Encik Lim Chee Wee, mantan Presiden Majlis Peguam. Kita semua tahu bahawa Majlis Peguam adalah penyokong kuat parti-parti pembangkang terutama sekali DAP dan PKR. Adakah ini “rampasan” (highjaking) yang kedua?

Mengikut prosedur biasa juga, setelah dasar ditentukan oleh kementerian berkenaan, gubalan dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara. Dalam hal ini, gubalan dilakukanoleh Mjlis Peguam. Adakah ini “rampasan” (highjaking) yang ketiga?

Disebabkan oleh kesuntukan masa, untuk tujuan wacana ini, memadailah jika saya memberi dua misalan mengenai isi kandungan RUU Harmoni.

Pertama, rang undang-undang itu menekankan peruntukan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 2(i) National Harmony and Reconciliation Bill mengatakan bahawa tujuan rang undang-undang itu adalah:

“2(i) To give effect to the letter and spirit of the Federal Constitution, in particular Article 8.”

“Untuk memberi kesan kepada apa yang tertulis dan semangat Perlembagaan Persekutuan, khususnya perkara 8.” – (Terjemahan saya.)

Apa kata Perkara 8? Perkara 8(1) memperuntukkan:

“8. (1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang- undang.”

Mereka mahu mahkamah memberi keutamaan kepada Perkara 8 dalam mentafsir atau memakai (interpretation or application) undang-undang itu jika ada kes.

Sepanjang ingatan saya, saya belum penah temui satu akta yang memperuntukkan bahawa sesuatu perkara dalam Perlembagan itu kena diberi perhatian yang lebih daripada yang lain-lain. Dari situ kita dapat lihat tujuan mereka yang yang tersirat.

Kedua, nampaknya matlamat utama penggubal RUU Harmoni adalah untuk memansuhkan Akta Hasutan. Seksyen 8(1), Draft Racial and Religious Hate Crimes Bill memperuntukkan:

“8(1) The Sedition Act 1948 [Act No. 15] is repealed.”

Siapakah yang membuat tuntutan supaya Akta Hasutan dimansuhkan? Tidakkah apa yang hendak dilakukan itu untuk memenuhi kehendak mereka?

Patutkah Akta Hasutan dimansuhkan? Jawapan saya: tidak. Patutkah ia dipinda? Jawapaan saya: Ya. Apakah pindaan yang perlu dibuat? Jawapan saya: Masukkan Perkara 3 Perlembagaan Malaysia (agama Islam) ke dalam seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan. Sekarang menghhasut terhadap kedudukan agama Islam bukanlah satu kesalaan di bawah Akta Hasutan. Mungkin kerana itu, mereka sangat berani. Semua orang Islam, sama ada dalam UMNO, PAS, PKR, NGO dan individu hendaklah bersatu dalam hal ini.

Kedua, pada pandangan saya, adalah lebih baik bagi kerajaan kiranya kesalahan menghasut terhadap kerajaan dimansuhkan. Maksud saya hanya mengenai kerajaan tetapi terhadap Raja mestilah dikekalkan. Ini lebih demokratik, lebih telus dan lebih terbuka. Hari ini pun, walapun larangan itu ada, setakat yang saya tahu, kerajaan tidak peranah mengambil tidankan terhadap orang yang mengkritiknya kerana itu sebahagian daripada proses demokrasi. Untuk apa dikekalkan peruntukan itu?

Pada pandangan saya, itulah pendirian yang semua orang Islam, parti politik Islam dan NGO Islam, patut ambil.
Kita bukan mahukan hak orang lain. Kita bukan menuntut supaya Perlembagaan dirombak kerana kita mahu lebih. Kita cuma memperthankan Perlembagaan Persekutuan. Kita cuma mahu apa yang telah dipersetujui dikekalkan untuk mengekalkan perpaduan dan harmoni. Rasiskah kita?

Pemimpin-pemimpin Melayu dan Islam, tidak kira dalam parti mana hendaklah bersatu dalam mempertahankan kepentingan bangsa, agama dan negara, dengan mempertahankan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Malaysia yang sedia ada. Caranya ialah dengan menguatkan Kerajaan Persekutuan. PAS patutlah berkerjasama dengan UMNO dan BN di peringkat pusat. Di peringkat negeri ia boleh kekal seperti sekarang. Saya membuat seruan ini kerana saya percaya bahawa, dalam keadaan sekarang, mengikut hemat saya, itu sahaja cara yang yang boleh kita mempertahankan Perlembagaan dan kepentingan bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia.

Anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak patut ingat bahawa apa yang menjamin nasib mereka ialah Perlembagaan Persekutuan dan mereka juga sepatutnya bersama mempertahankannya.

Sebenarnya semua pemimpin-pemimpin negera, tidak kira apa parti politiknya, apa bangsa dan agamanya, sama-sama mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia untuk kepentingan bersama.

Kesimpulannya:

  1. Janganlah mansuh Akta Hasutan 1948.
  2. Segala urusan mengenai Akta Hasutan hendaklah dilakukan oleh kementerian yang bertanggungjawab mengenainya ia itu KDN.
  3. JPNIN tidak septutnya mengambil alih perkara yang terletak dalam bidangkuasa KDN dan Peguam Negara.
  4. Prosedur biasa di mana Kementerian berkenaan menentukan dasar dan gubalan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara manakala keputusan muktamat dibuat oleh Kabinet hendaklah diikuti.
  5. Akta Hasutan hendaklah dipinda untuk memasukkan Perkara 3 dan 11 (agama Islam) ke dalan seksyen 3(1)(f).
  6. Eloklah kerajaan memikirkan untuk meminda Akta Hasutan untuk mengeluarkan kesalahan menghasut terhadap kerajaan supaya kerajaan nampak lebih telus, terbuka dan demokratik.
  7. Ketepikan draf RUU yang dibuat oleh Majlis Peguam itu.
  8. Jika JPNIN berfikir bahawa perpaduan boleh dicapai melalui undang-undang, sila sediakan drafnya. Ikutlah peraturan biasa.
  9. Semua orang Melayu, Islam dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan semua parti-parti politik, NGO dan pertubuhan Melayu, Islam dan anak negeri Sabah dan Sarawak, hendaklah bersatu dalam hal ini.
  10. Kita bukan hendak meminggir mana-mana kaum. Kita hanya hendak mempertahankan Perlembagaan supaya perpaduan akan berkekalan. Malah, kaum-kaum lain juga sepatutnya sebersama-sama mempertahankan Perlembagaan kerana hanya dengan cara itu perpaduan dan harmoni dapat dikekalkan.

Sekian. terima kasih.