WAWANCARA OLEH MINGGUAN MALAYSIA

WAWANCARA TUN ABDUL HAMID MOHAMAD
(Mantan Ketua Hakim Negara)
Oleh
HAFIZAHRIL HAMID
(Wartawan Mingguan Malaysia)
(Disiarkan pada 10hb Mac 2013)


Mingguan Malaysia:

1. Baru-baru ini Tun meminta supaya masyarakat di negara ini berhenti berbahas sama ada negara ini adalah negara Islam atau tidak, berlandaskan peruntukan jelas Perkara 3(1) Perlembagaan yang memperuntukkan Islam adalah agama Persekutuan. Boleh Tun jelaskan dengan lebih lanjut hujah Tun mengenai perkara ini supaya masyarakat di negara ini lebih jelas?

Tun Abdul Hamid:

Kerapkali orang-orang yang berbahas sama ada Malaysia sebuah negara Islam atau negara Secular itu sendiri tidak jelas difikiran mereka apakah yang dimaksudkan dengan “negara Islam” atau “negara sekular”. Cuba tanya mereka apakah ukuran sama ada sesebuah negara itu “negara Islam” atau “negara sekular”? Adakah sebuah negara yang mengisytiharkan dalam Perlembagaannya bahawa ia adalah sebuah “Negara Islam” semestinya sudah menjadi sebuah negara Islam? Nama rasmi Korea Utara ialah “Republik Demokratik Rakyat Korea”. Adakah ia lebih demokratik daripada Korea Selatan yang namanya hanya “Republik Korea”?
Kelantan telah diperintah bersilih ganti oleh Perikatan/Barisan Nasional dan PAS. Apakah perbezaan-perbezaan dari segi Islamnya yang ketara di bawah kedua-dua pemerintahan itu? Adakah Kelantan di bawah pemerintahan PAS (dahulu, jika tidak sekarang) sebuah Negara Islam dan semasa ia diperintah oleh Perikatan/Barisan nasional sebuah negara sekular? Apabila kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Perak ditumbangkan oleh Barisan Nasional dalam tahun 2009, penyokong-penyokong PAS marah kerana Barisan Nasional telah menumbangkan sebuah “Kerajaan Islam” manakala penyokong-penyokong DAP pula marah kerana Barisan Nasional telah menumbangkan sebuah “Kerajaan Cina”. Padahal mereka daripada kumpulan yang sama dan bercakap mengenai Kerajaan yang sama. Maka perkataan “negara Islam” dan “negara sekular” itu boleh diberi mengikut persepi, malah kadang-kadang mengikut kepentingan, seseorang. Maka saya tidak nampak apa faedahnya menghabiskan masa berbahas mengenainya.

Adalah lebih baik jika kita melihat isinya. Ambil Malaysia sebagai misalan. Oleh sebab Malaysia mempunyai Perlembagaan, kita patut lihat apakah peruntukan Perlembagaannya. Perkara 3(1) menyatakan bahawa “Islam adalah agama bagi Perekutuan…..”. Terdapat peruntukan mengenai Ketua Agama Islam. Ada pembahagian kuasa untuk membuat undang-undang Islam, pentadbiran institusi-institusi seperti masjid, baitul mal, wakaf, penubuhan mahkamah Syariah, membuat undang-undang menghalang pengembangan agama-agama lain kepada orang-orang Islam, dan lain-lain. Peruntukan-peruntukan seperti itu tidak ada bagi agama-agama lain. Adakah semua peruntukan itu sekular?

Lihat pula apa yang dilakukan oleh kerajaan. Kerajaan membina beribu-ribua buah masjid dan surau, Univeriti-universiti, kolej-kolej, Jabatan-Jabatan dan Majlis-Majlis Agama Islam dan sekolah-sekolah agama, menubuh Tabung Haji, Baitul mal, membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mengembangkan perbankan Islam, kewangan Islam dan takaful hingga Malaysia beada ditempat pertam dalam dunia dalam hal itu. Imam, bilal dan pegawai-pegawai masjid, guru-guru yang mengajar pelajaran agama Islam malah guru Qur’an pun dibayar gaji atau diberi elaun oleh Kerajaan. Kerajaan mengeluarkan perbelanjaan dan menggunakan pegawai awam di waktu pejabat untuk mengadakan tilawah Al-Qur’an, majlis-majlis agama, termasuk maulidur rasul, malah untuk mengadakan muzakaran, ceramah, tahlil dan berbagai-bagai lagi. Semua ini tidak dilakukan bagi agama-agama lain. Adakah semua ini juga sekular? Kerajaan telah Berjaya membangunkan negara dari segi ekonomi, pelajaran, sains dan teknologi, perindustrian dan perdaganan, menjaga kebajikan rakyat seperti memberi perkhidmatan perubatan, biasiswa malah bantuan baja dan buku dan berbagai-bagai lagi. Adakah semua ini bercanggah dengan ajaran Islam? Tunjuk kepada saya sebuah negara yang berbuat seperti itu.

Jika kita benar-benar hendak melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang bersifat Islam, kita kenalah sama-sama berusaha mengisinya dengan sifat-sifat Islam. Semenjak Merdeka orang bercakap mengenai “menggantikan undang-udang ciptaan manusia” dengan “undang-undang ciptaan Allah” , “menegakkan hukum Allah” dan sebagainya. Tolong tunjuk kepada saya draf undang-undang mana untuk menggantikan undang-undang mana? Mahkamah Syari’ah wujud lebih kurang dua dekad tanpa acara jenaya dan mal yang lengkap. Tiada siapa boleh mengemukakan draf undang-undang acara jenayah dan mal mengikut Syari’ah. Akhirnya, acara yang dipakai di mahkaha sivil diubah-suai, diberi nama “Syari’ah” dan dipakai di mahkamah Syari’ah. Adakah peruntukan yang sama apabila dipakai di mahkamah sivil manjadi sekular dan apabila dipakai di mahkamah Syari’ah menjadi Syari’ah? Ini menunjukkan bahawa apa yang kerapkali dicap sebagai “sekular” itu tidak bercanggah dengan Syari’ah. Saya banyak menulis mengenai perkara ini. Sila layari laman web saya: www.tunabdulhamid.my

Mingguan Malaysia:

2. Sebagai bekas Ketua Hakim Negara, boleh Tun jelaskan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan serta hak yang boleh digunapakai oleh mereka yang bukan beragama Islam dalam soal hak kebebasan beragama?

Tun Abdul Hamid:

Perlembagaan tidak menggunakan perkataan “rasmi” tetapi mengatakan bahawa “Islam adalah agama bagi Persekutuan…” Bagi saya perbezaan itu tidak memberi apa-apa kesan. Yang jelas Malaysia ada agama, ia itu Islam. Mengenai kedudukan Islam saya telah sebut dalam soalan pertama: lihat isinya.

Perkara 3(1) bukan sahaja mengatakan “Islam ialah agama bagi Persekutuan”, tetapi ia juga mengatakan, “tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”

Ini bukan peruntukan kosong. Lihatlah di sekeliling kita berapa banyak kuil, tokong, gereja, gurdwara, wat dan sebagainaya. Mungkin jumlahnya lebih banyak daripada masjif dan surau. Adakah penganut agama lain dihalang daripada mengamalkan agama mereka atau membena rumah ibadat mereka? Sebaliknya, lihatlah berbagai-bagai halangan terhadap orang Islam yang hendak membina masjid di Negara-Negara Barat yang kononya mengamalkan kebebasan beragama dan sama rata (equality).

Perkara 11 menekankan lagi:

“11. (1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang- undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Perlembagaan melarang orang bukan Islam mengembangkan agama bukan Islam kepada orang Islam. Mereka hendaklah mematuhinya. Apa sebab mereka hendak menentang sedangkan apa yang memihak kepada mereka mereka mempertahankannya bermati-matian?

Mingguan Malaysia:

3. Sekarang ini keadaan menjadi lebih rumit apabila terdapat pihak-pihak yang seolah mencabar kedudukan Islam melalui penggunaan kalimah Allah di dalam bible oleh pihak bukan beragama Islam. Tidakkah ini boleh menjadi ancaman kepada Perkara 3(1) Perlembagaan tentang kedudukan Islam di negara ini?

Tun Abdul Hamid:

Saya menentang tindakan Gereja Roman Katolik di Malaysia hendah menggunakan perkataan “Allah” dalam terjemahan bible dalam Bahasa Melayu kerana saya mempersoalkan tujuan dan keikhlasan mereka. Apa tujuan mereka yang tersirat? Agama Kristian Roman Katholik telah datang ke Malaysia semenjak 500 tahun dahulu. Tidak pernah mereka menyebut bahawa Tuhan mereka adalah Allah. Selama itu mereka menganggap “Allah” sabagai Tuhan orang-orang Islam, malah kadang-kadang mempersendakannya. Selama 500 tahun mereka tidak berjaya untuk “convert” orang-orang Melayu dengan banyaknya. Sekarang mereka hendak menggunakan perkataan “Allah” hanya apabila mereka menggunakan Bahasa Melayu? Adakah Tuhan mereka mempunyai nama yang berlainan mengikut bahasa yang digunakan? Adakah nama Pope Benedict diubah mengikut bahasa apa seorang itu bercakap? Mengapa selepas 500 tahun baru hendak menukarnya? Jika “Allah” itu Tuhan Roman Katholik, mengapa tidak minta Pope mengeluarkan arahan bahawa mulai hari ini semua penganut Roman Katholik di seluruh dunia hendaklah menggunakan perkataan “Allah” bagi Tuhan mereka? Saya tidak akan membantah jika mereka berbuat demikian. Saya akan menyokong mereka jika mereka mengatakan Isa a.s. itu Rasul Allah. Saya akan memeluk mereka jika mereka kata Muhammad s.a.w. adalah Rasul Allah yang terakhir. Saya cabar mereka berbuat demikian.

Apa yang mendukacitakan saya dalam isu ini ialah ada orang-orang yang dipanggil “ulamak” yang sanggup mengkafirkan sesama Islam, bersungguh-sungguh pula mempertahankan usaha Gereja Roman Katolik itu. Naif sangatkah mereka hingga mereka tidak boleh nampak niat yang tersirat di sebalik usaha itu?

Bagi saya yang lebih penting ialah ancaman kepada umat Islam dan agama Islam. Bayangkan scenario ini. Dengan menggunakan nama Allah sebagai Tuhan mereka, mereka boleh berkata kepada pemuda pemudi Melayu: “Sebenarnya Tuhan Islam dan Tuhan Roman Katholik adalah sama. Kamu bukan menolak Allah dengan menjadi penganut Roman Katholik. Walau pun bersembahayang di gereja, kamu masih manyembah Allah. Kamu tidak perlu sembahayang lima kali sehari dan berpuasa sebulan dalam setahun. Sebaliknya, kamu hanya perlu datang ke gereja sekali seminggu, bersama rakan lelaki atau perempuan kamu, memakai pakaian bare-back, berpegang tangan sambil menyanyi. Kamu boleh tinggal serumah dan tidak boleh ditangkap khalwat. Kamu boleh pergi ke kelab malam tanpa ditangkap oleh Pegawai Peguatkuasa Agama Islam, kamu boleh minum arak dan lain-lain lagi.” Semua ini, jika ditambah lagi dengan “bantuan kewangan” semestinya amat menarik kepada banyak pemuda pemudi yang suka berhibur.

Mingguan Malaysia:

4. Dari sudut perundangan adalah jelas bahawa terdapat Enakmen Kawalan Agama bukan Islam di 10 negeri namun tidak meliputi Sabah, Sarawak, Pulau Pinang danWilayah Persekutuan. Namun pihak ini tetap berdegil dan cuba melawan arus. Apakah dari sudut perundangan negara ia dibenarkan?

Tun Abdul Hamid:

Adanya peruntukan undang-undang yang melarang orang-orang bukan Islam mengembangkan agama mereka kepada orang-orang Islam, menunjukkan perbuatan itu tidak bibenarkan oleh undang-undang. Maka sesiapa yang melanggarnya hendaklah di bawa ke muka pengadilan. Pihak yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan udang-undang itu hendaklah melaksanakannya.

Mingguan Malaysia:

5. Boleh Tun kongsikan pengalaman Tun dalam mengendalikan beberapa kes yang cuba menggugat kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan antaranya mungkin dalam kes Lina Joy atau kes-kes lain. Bagaimana bentuk tekanan yang cuba dilakukan oleh pihak-pihak yang cuba menggugat kedudukan Islam di negara ini?

Tun Abdul Hamid:

Saya membicarakan beberapa kes murtad dan ajaran sesat seperti Kamariah Bt Ali v Kerajaan Negeri Kelantan [2002] 3 AMR 3512; Abdul Kahar Bin Ahmad v Kerajaan Negeri Selangor DE (2009) 4 AMR 677 dan Sulaiman Bin Takrib v Kerajaan Negeri Trengganu (2009) 1 AMR 644). Saya tidak hairan bahawa ada orang Melayu yang hendak murtad atau yang mengajar atau mengikuti ajaran sesat. Tetapi, apa yang saya hairan ialah, apabila ada sahaja kes-kes seperti itu, bergegarlah peguam-peguam dari Kuala Lumpur ke Terengganu malah ke Kuala Kerai Kelantan untuk membela mereka hingga ke Mahkamah Persekutuan. Saya ingin tahu mengapa mereka terlalu gemar untuk membela kes-kes seperti itu. Saya percaya orang-orang berkenaan tidak mampu membayar fi mereka. Saya ingin tahu siapa yang membayarnya dan apa muslihatnya.

Di sisi undang-undang, kes Lina Joy juga hanyalah mengenai bidangkuasa mahkamah untuk membicaranya. Soalan saya, mengapa orang-orang bukan Islam mengambil berat sangat apabila ada orang Islam yang keluar daripada agama Islam? Mengapa mereka tidak kisah jika orang-orang yang menganut agama selain daripada Islam hendak menukar agama kepada agama selain daripada Islam? Apa agenda mereka?

Mingguan Malaysia:

6. Pada pandangan Tun apa yang perlu dilakukan bagi meyakinkan masyarakat bukan Islam di negara ini bahawa undang-undang Islam adalah adil dan saksama untuk dilaksanakan kepada semua kaum di negara ini?

Tun Abdul Hamid:

Sebenarnya ummat Islam sendiri tidak tahu undang-undang mana yang dikatakan undang-undang yang hendak mengganti undang-undang yang sedia ada itu. Semua hanya sekadar bercakap secara umum dan rhetoric. Kita sendiri perlu tahu dahulu. Apabila kita tahu baru kita boleh yakin dan selepas itu meyakinkan orang bukan Islam.

Saya tidak kisah sangat sama ada orang bukan Islam yakin atau tidak bahawa undang-undang Islam itu adil. Mereka menolak agama Islam, apa yang hendak diharapkan daripada mereka? Yang penting ialah, jika undang-undang Islam dilaksanakan, ia hendaklah dilaksanakan dengan adil. Jangan fikir jika kita melaksanakan apa yang kita panggil undang-undang Islam ia secara automatic akan berjalan dengan adil. Undang-undang apa sekalipun, walau bagaimana baiknya sekalipun, jika dilaksanakan dengan cara yang tidak cekap dan tidak adil akan menjadi tidak adil. Ada Negeri yang melaksanakan hukum hudud, tetapi selepas beberapa tahun, akibat salah pelaksanaan, ia menyebabkan berlaku ketidakadilan yang ketara. Maka ia terpakssa dipinda dan sebahagian daripadanya di kembalikan semula di bawah undang-undang sivil dan mahkamah sivil. Pada pandangan saya, jika kita melaksanakan undang-undang Islam di Malaysia sekali pun, lebih daripada 90% undang-undang yang sedia ada akan kekal kerana ia sudah pun mematuhi kehendak Syari’ah dan tidak ada sesiapa yang boleh mengmukakan undang-undang Syari’ah asli untuk menggantinya.

Mingguan Malaysia:

7. Pada pandangan Tun bagaimana masa depan undang-undang Islam di negara ini, apakah boleh dilakukan atau terdapat halangan yang menyebabkan ia mustahil untuk dilaksanakan?

Tun Abdul Hamid:

“Halangan” pertama bukanlah orang-orang bukan Islam atau undang-undang yang sedia ada. Apa yang lebih penting ialah kita sendiri pun tidak tahu apakah yang dikatakan “undang-undang Islam” yang hendak dilaksanakan itu. Kita sendiri tidak ada drafnya dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan.

Mingguan Malaysia:

8. Apa harapan Tun dalam isu ini dan mungkin Tun ada pandangan bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini tanpa perlu menyakitkan hati mana-mana pihak?

Tun Abdul Hamid:

Orang-orang Melayu/Islam hendaklah sedar bahawa jika merka terus berpecah-belah kerana parti politik dan kepentingan diri, bangsa dan agama mereka akan tergugat. Orang Melayu/Islam mestilah mempunyai pendirian yang sama dalam hal yang mencabar kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam. Janganlah hanya menghabiskan masa dan tenaga mengkafirkan sesama sendiri, mencari salah sama sendiri tetapi tidak peka mengenai apa yang dilakukan oleh orang lain yang mempunyai agenda untuk melemahkan bangsa Melayu dan agama Islam di negara kita. Orang Melayu/Islam patut bersyukur dengan keadaan di negara kita semenjak Merdeka, baik mengenai kedudukan bangsa Melayu mahupun agama Islam. Di samping itu, sama-samalah kita mengisi keislaman Malaysia. Jika hendak tahu bagai mana, sila layari laman web saya: www.tunabdulhamid.my