PERIKATAN NASIONAL PERLU JAUHI DAN JAUHKAN TUN DR. MAHATHIR

PERIKATAN NASIONAL PERLU JAUHI DAN JAUHKAN TUN DR. MAHATHIR

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

(Saya siap menulis rencana in pada 28 03 2020. Disebabkan negara sedang menghadapi wabak Covid-19, saya tidak menyiarkannya. Sekarang (29 05 2020), dua bulan telah berlalu. Perkembangan yang berlaku di kebelakangan ini menunjukkan rencana ini masih relevan. Maka, saya menaikmuatkan rencana ini tanpa apa-apa pindaan.)

Sepanjang kerjaya politiknya, Tun Dr. Mahathir sentiasa bergaduh. Tanpa mengatakan ianya justified atau tidak, senarainya bermula semenjak beliau menjadi ahli biasa UMNO; sepanjang tempoh beliau menjadi Perdana Menteri (PM) kali pertama; setelah bersara; apabila menjadi PM semula dan selepas meletakkan jawatan.

Antaranya, semasa menjadi ahli UMNO biasa, beliau bergaduh dengan Tunku Abdul Rahman; semasa menjadi PM kali pertama, beliau menyebabkan krisis Perlembagaan dengan Raja-Raja Melayu sebanyak dua kali; menyebabkan UMNO diharamkan; menyingkirkan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas; bergaduh dengan Tun Musa Hitam; bergaduh dengan Tengku Razaleigh; bergaduh dengan DS Anwar; selepas bersara, marah kepada Tun Abdullah Badawi; marah kepada DS Najib; semasa menjadi PM kali kedua, bergaduh dengan DS Anwar semula; selepas meletak jawatan (2020), menyebabkan krisis Perlembagaan sekali lagi; mempersoalkan keputusan YDPA mengenai pelantikan TS Muhyiddin dan lain-lain. Itu belum lagi mengambil kira di peringkat antarabangsa.

Untuk menjatuhkan DS Najib, beliau sanggup bekerjasama dengan musuh-musuh lamanya DS Anwar, Lim Kit Siang dan Mat Sabu.[i] Mereka berjaya dan tumbanglah DS Najib dan bersama-samanya kerajaan BN. Tun Dr. Mahathir menjadi PM kerajaan PH sehingga jawatan itu diserahkan kepada DS Anwar, pada mulanya, kita difahamkan, selepas dua tahun.

Kita percaya perjanjian itu wujud. Itulah yang dikatakan oleh PKR, DAP dan Amanah dari awal lagi. Tun Dr. Mahathir tidak pernah menafikannya. Tetapi, dari awal lagi beliau berdolak-dalik. Ada kalanya beliau berkata boleh jadi dua tahun, boleh jadi tiga.  Ada kalanya beliau kerkata beliau akan menjadi PM selagi dikehendaki rakyat. Pernah juga beliau berkata beliau hanya boleh menyerahkan jawatan itu jika DS Anwar mempunyai majoriti dalam Parlimen. Semua itu menyebabkan orang beranggapan bahawa beliau tidak akan menyerahkan jawatan PM itu kepada DS Anwar. Apatah lagi, apabila beliau berjinak-jinak dengan DS Azmin Ali, yang semakin hari semakin lantang menentang DS Anwar, hingga menyebabkan anggapan bahawa DS Azminlah yang akan mengganti beliau.

Pada masa yang sama, untuk mengelak DS Anwar menjadi PM, penyokong-penyokong tegar Tun Dr Mahathir bergerak untuk mendapat sokongan Pas dan UMNO. Pas lebih awal memberi sokongan penuh kepada Tun Dr. Mahathir sebagai PM sehingga Pilihan Raya Umum15 (PRU 15).  Perisytiharan ini dibuat secara terbuka olah Pas dan pertemuan antara DS Haji Hadi, Presiden Pas dan Tun Dr. Mahathir mendapat liputan media massa yang meluas.

Sepanjang masa hubungan itu berlaku, kita nampak seolah-olah Tun Dr. Mahathir tiada masalah menerima Pas sebagai sebuah parti komponen pakatan baru itu.

Tetapi, berlainan pula halnya dengan UMNO. Dari awal-awal lagi Tun Dr. Mahathir berkata beliau tidak boleh bekerjasama dengan UMNO, yang dilabelnya sebagai parti perompak dan penyamun itu. Tetapi, beliau mahu ahli-ahli Parlimen UMNO melompat kepada Bersatu, walaupun ia ditentang keras oleh DS Anwar dan Lim Kit Siang. Beliau hendak menapis siapa yang hendak atau tidak hendak diambilnya. Pada suatu masa, beliau berkata beliau boleh menerima kesemua mereka, melainkan DS Najib dan DS Zahid.

Sebahagian ahli-ahli Parlimen UMNO nampak seolah-olah bersetuju dan hanya menunggu masa untuk melompat. Tetapi, sebahagian lagi mahu UMNO menyertai kumpulan baru sebagai satu parti komponen.

Penyokong-penyokong tegar Tun Dr Mahathir mengadakan pula Kongres Maruah Melayu pada 23 10 2019. Ia dihadiri oleh Tun Dr. Mahathir, DS Haji Abdul Hadi Awang (DS Haji Hadi), pemimpin-pemimpin UMNO dan DS Azmin Ali (DS Azmin). DS Anwar dan Lim Kit Siang menentang hehadiran Tun Dr Mahathir di kongres itu. (Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, sila baca “Kongres Maruah Melayu: Yang Dirancang Dan Yang Terjadi” di laman- laman web saya.”

Dengan kehadiran beliau di kongres itu nampak seolah-olah Tun Dr. Mahathir sudah bersetuju untuk bekerjasama dengan UMNO dan Pas dan bersedia meninggalkan PH. Maka, tidak hairanlah jika Lim Kit Siang, DAP dan NGO-NGO pro-DAP begitu lantang mengkritik Tun Dr. Mahathir dan kongres itu.

Dalam keadaan itu, tidak hairan jika terdapat reaksi daripada kem DS Anwar, DAP dan Amanah. Mula-mula mereka hanya sekadar mengingatkan Tun Dr. Mahathir mengenai perjanjian di antara mereka sebelum PRU 14. Kemudian, mereka mendesak Tun Dr. Mahathir menetapkan tarikh peralihan kuasa itu, malah mengugut untuk mengadakan tunjuk perasaan untuk mencapai tujuan mereka itu.

Suara DS Anwar, Lim Kit Siang dan Mat Sabu juga semakin lantang menyokong peralihan kuasa itu.

Ia sampai ke kemunck pada 21 02 2020. Dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH pada hari itu, mesyuarat sebulat suara memutuskan Tun Dr Mahathir akan melepaskan jawatan PM kepada DS Anwar selepas Sidang APEC 2020, tarikhnya akan diumumkan kemudian.[ii]

Persetujuan itu tidak sedikit pun meredakan keadaan. Apa yang berlaku dalam masa seminggu selepas itu sungguh memeningkan kepala. Gerakan menubuh kerajaan baru dan menggulingkan kerajaan PH  semakin rancak.

Dua hari kemudian, pada 23 Februari 2020, terbongkar berita majoriti ahli-ahli Parlimen menyokong Tun Dr. Mahathir untuk terus menjadi PM sehingga PRU 15. Mengikut perancangan itu, Tun Dr. Mahathir akan membentuk kerajaan baru dengan sokongan UMNO, PAS, Bersatu, kumpulan DS Azmin daripada PKR dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak. Kerajaan PH nampak akan terguling dan kerajaan baru yang diketuai Tun Dr. Mahathir, tanpa DAP, Amanah dan PKR kumpulan DS Anwar.

Jika rancangan itu berjaya, ia bereti:

  1. Tun Dr. Mahathir berjaya memecahbelahkan PKR, dengan menarik kumpulan DS Azmin menyertai Bersatu.
  1. PKR (kumpulan DS Anwar) akan tersingkir daripada kerajaan dan peluang DS Anwar menjadi PM sebelum PRU 15 berkecai.
  1. DAP juga tersingkir daripada kerajaan. Jika dalam kempen PRU 14, penceramah-penceramah DAP dengan bangga mengatakan mereka akan memperalatkan Tun Dr Mahathir, sekarang ternyata Tun Dr Mahathirlah yang memperalatkan mereka.
  1. Sekali lagi, Tun Dr Mahathir mungkir janji kepada DS Anwar dan PH.

DS Anwar dan Lim Kit Siang terkejut mendengar perkembangan itu. Mengikut cerita, DS Anwar, Lim Kit Siang dan Mat Sabu telah pergi menemui Tun Dr Mahathir. Mengikut cerita, mereka merayu Tun Dr. Mahathir supaya terus memegang jawatan PM kerajaan PH sehingga PRU 15. Ertinya, mereka menarik balik desakan supaya Tun Dr. Mahathir menyerah jawatan PM kepada DS Anwar selepas APAC. Ertinya, mereka mengalah.

Mengapa DS Anwar dan Lim Kit Siang (Mat Sabu cuma menumpang tuah mereka) berbuat demikian? Pada masa itu, mereka tahu bahawa Tun Dr. Mahathir telah mempunyai sokongan majoriti, (mengikut Muafakat Nasional (MN), dua pertiga), kerajaan PH akan terkubur, kerajaan MN (kemudiannya mereka menggunakan nama Perikatan Nasional, PN) akan tertubuh dan semua menteri-menteri DAP, PKR dan Amanah akan kehilangan jawatan. Maka, mereka bersetuju Tun Dr Mahathir terus menjadi PM kerajaan PH sehingga PRU 15.

Selepas pertemuan Tun Dr. Mahathir dengan DS Anwar, Lim Kit Siang dan Mat Sabu itu, PKR, DAP dan Amanah mengeluar kenyataan bahawa mereka memberi sokongan penuh kepada Tun Dr. Mahathir sebagai PM sehingga PRU15. Pada masa itu, nampak seolah-olah Tun Dr. Mahathir bersetuju untuk terus menjadi PM kerajaan PH sehingga PRU15 pula.

Tun Dr. Mahathir nampak seolah-olah sudah termakan umpan yang dihulur oleh DS Anwar, Lim Kit Siang dan Mat Sabu itu. Dengan persetujuan itu, nampaknya Tun Dr. Mahathir telah membuat U-turn dan menikam  MN dari belakang pula.

Pada 24 02 2020, peristiwa-peristiwa ini berlaku:

  1. Pada jam 1.00 petang Tun Dr. Mahathir menghantar surat peletakan jawatan sebagai PM kepada YDPA.
  1. Beberapa jam selepas itu, TS Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar dari PH.
  1. Tun Dr. Mahathir sangat marah dengan perbuatan TS Muhyiddin dan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu.
  1. Malam itu, mesyuarat MPT Bersatu diadakan dan ia sebulat suara menolak peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu itu.[iii]

Saya percaya tetapi saya tidak pasti tarikhnya, apabila Tun Dr. Mahathir meletak jawatan, nama DS Anwar dikemukakan sebagai calon PM PH.

Pada 25 02 2020 Ahli-ahli MPT Bersatu dan TS Muhyiddin telah bertemu dengan Tun Dr. Mahathir dan memujuk beliau untuk menjadi Pengerusi Bersatu semula. Tun Dr. Mahathir bersetuju.[iv]

Di sebelah petangnya, ahli-ahli Parlimen UMNO dan Pas dipanggil menghadap YDPA.[v]

Pada 26 02 2020, ahli-ahli Parlimen Bersatu dan PH dipanggil menghadap YDPA.[vi]

Tidak diketahui tarikhnya, tetapi, besar kemungkinan pada 25 atau 26 02 2020, nama TS Muhyiddin dikemukakan sebagai calon MN.

Pada 27 02 2020 Tun Dr. Mahathir telah dipanggil oleh YDPA dan YDPA memberitahu beliau bahawa tiada sesiapa mempunyai majoriti untuk dilantik sebagai PM.[vii] Ini kerana terdapat tiga calon untuk jawatan itu, ia itu Tun Dr Mahathir yang telah meletak jawatan tetapi mahu balik jawatan itu yang mengharapkan sokongan ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak dan sebahagian daripada ahli-ahli Parlimen Bersatu; DS Anwar mewakili PH (tanpa Bersatu) dan TS Muhyiddin yang mewakili Bersatu, UMNO dan Pas.

Pada 28 02 2020 malam, PH menyatakan pendiriannya bahawa ia menyokong Tun Dr Mahathir sebagai calon PM.[viii] Ertinya, sekali lagi DS Anwar menarik balik pencalonannya sebagai PM untuk mengelak kerajaan PH  jatuh dan TS Muhyiddin menjadi PM.

Pada 29 02 2020, Tun Dr Mahathir mengumumkan bahawa majoriti ahli-ahli Parlimen menyokongnya.[ix] Ada cerita yang mengatakan beliau memohon untuk menghadap YDPA untuk membuktikan dakwaannya itu tetapi tidak diperkenan oleh YDPA. Jika cerita itu benar dan jika ada pembaca yang merasakan bahawa ketidakadilan telah dilakukan terhadap Tun Dr. Mahathir, memadailah sekadar saya memetik apa yang saya katakan dalam rencana saya bertajuk “Melayu Tertipu Lagi”) (28 02 2020) – yang boleh didapati dalam laman-laman web saya:

“Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa budibicara kepada YDPA untuk melantik seseorang menjadi PM – Perkara 40(2)(a). Perlembagaan  tidak menyebut bagaimana budibicara itu patut digunakan. Tetapi, dalam sistem berparlimen ala-British, baginda kenalah melantik seorang yang, pada pendapatnya, mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen. Jika tidak, selepas dilantik, satu undi tidak percaya mungkin dikemukakan. Jika kalah, mengikut konvensyen, PM itu akan terpaksa meletak jawatan, dan masalah itu berulang semula.”

Meneruskan naratif, Istana Negara mengumumkan TS Muhyiddin sebagai PM ke-8.[x]

Pada hari yang sama, TS Muhyiddin selaku Presiden Bersatu telah mengeluarkan kenyataan bahawa Tun Dr. Mahathir bukan lagi Pengerusi Bersatu.[xi]

Pada 01 03 2020 TS Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai PM Malaysia Ke-8.[xii]

Sekarang, mari kita lihat detik-detik peristiwa itu dengan lebih dekat. Walaupun, Tun Dr. Mahathir meletak jawatan sebagai PM, tindakan beliau tidaklah selaras dengan seorang yang hendak mengosongkan jawatan itu untuk membolehkan YDPA melantik penggantinya, DS Anwar. Ini kerana, pertama, namanya dikemukakan semula, mula-mula untuk bersaing dengan DS Anwar dan, kemudiannya bertiga dengan TS Muhyiddin. Jika beliau ikhlas hendak menyerahkan jawatan itu kepada DS Anwar, beliau tidak sepatutnnya menjadi calon lagi. Jika ada pertandingan, ia sepatutnya hanya di antara DS Anwar dan TS Muhyiddin. Dalam keadaan itu DS Anwar mungkin mendapat majoriti dan dilantik menjadi PM ke-8.

Kedua, sebaik sahaja Tun Dr. Mahathir meletakkan jawatan dan diminta menjadi PM sementara (interim) sehingga YDPA melantik seorang PM tetap, keluar  berita bahawa beliau akan menubuh sebuah Kerajaan Perpaduan, terdiri daripada menteri-menteri yang dipilihnya sebagai individu, bukan mewakili parti. Tommy Thomas pula menambah bahawa “interim” tidak ada had masa, ertinya bolehlah sehingga diadakan PRU 15. Jika demikian, maka Tun Dr. Mahathir menikam kedua-dua pihak, PH dan MN dari belakang pula.

Rancangan Tun Dr. Mahathir itu ditentang oleh semua pihak kerana ia bererti penubuhan kerajaan peribadi beliau, seperti Raja berkuasa mutlak, tanpa parti, dengan menggunakan ahli-ahli Parlimen semua parti tanpa mewakili parti mereka. Sebenarnya itu adalah sebuah kerajaan diktator kerana kesemua ahli-ahli kabinetnya akan menjadi “yes-men” semata-mata.

Soalan: Beliau mungkin boleh mempengaruhi ahli-ahli kabinetnya, tetapi bolehkah beliau mempengaruhi ahli-ahli Parlimen lain dan parti-parti mereka? Parlimen masih ada. Mereka boleh membuat undi tidak percaya dan beliau dan kerajaannya mungkin tumbang. Boleh jadi beliau tidak sempat memikirkan kemungkinan itu?

Mengapa Tun Dr. Mahathir tiba-tiba meletak jawatan? Mengikut kenyataan Tun Dr. Mahathir sendiri yang dikeluarkan pada 26 02 2020 (dua hari selepas beliau meletak jawatan) beliau meletak jawatan kerana beliau tidak boleh bekerjasama dengan UMNO (tetapi beliau bersedia menerima ahli-ahli UMNO yang melompat masuk ke partinya.)

Soalan: Jika beliau tidak bersetuju menubuh kerajaan baru bersama-sama UMNO, mengapa tidak tolak sahaja cadangan itu dan terus menjadi PM kerajaan PH, dengan sokongan penuh oleh DS Anwar dan Lim Kit Siang. Mengapa letak jawatan?

Saya fikir adalah lebih munasabah beliau meletak jawatan untuk menunjukkan bahawa beliau menunaikan janjinya kepada DS Anwar dan PH untuk menyerah jawatan PM kepada DS Anwar.

Beliau sendiri tidak boleh menyerahkan jawatan itu kepada DS Anwar. Beliau perlu meletakkan jawatan supaya jawatan itu kosong untuk membolehkan YDPA melantik DS Anwar jika DS Anwar mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

Dengan meletak jawatan, beliau boleh berkata beliau telah menunaikan janjinya kepada DS Anwar dan PH. Tetapi, dengan bilangan statutory declaration yang ada padanya, beliau merancang untuk meyakinkan YDPA bahawa orang yang sebenarnya mempunyai sokongan majoriti adalah beliau, bukan DS Anwar. Maka, beliaulah yang patut dilantik untuk menjadi PM.

Jika itu berlaku, DS Anwar terlepas juga.

Tetapi, mungkin suatu perkara Tun Dr. Mahathir tidak menduga. Beberapa jam selepas beliau meletak jawatan, TS Muhyiddin telah mengisytiharkan Bersatu keluar daripada PH dan namanya dikemukakan sebagai calon PM. Marah kerana tindakan TS Muhyiddin itu, Tun Dr. Mahathir meletakkan jawatan Pengerusi Bersatu pula.

Itu adalah satu tindakan berani yang dilakukan oleh TS Muhyiddin. Sebenarnya, pada masa itu, kerjaya politik Tun Dr. Mahathir berada di saat paling lemah: beliau tiada jawatan dalam kerajaan (kerajaan pun sudah tidak  ada) dan beliau tiada jawatan dalam parti.

Pada masa itu, TS Muhyiddin sudah boleh menolak sahaja Tun Dr. Mahathir (tidak perlu tumbukan knock out). Tetapi, sifat Melayu, hangat-hangat tahi ayam, kasihan, menghormati orang tua dan mudah merasa bersalah telah memakan diri TS Muhyiddin sendiri dan memberi semula nafas politik kepada Tun Dr. Mahathir.

Ingat kembali, pada malam hari Tun Dr. Mahathir meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu (24 02 2020), mesyuarat MPT Bersatu diadakan dan ia sebulat suara menolak peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Bersatu.

Esoknya, (25 02 2020) Ahli-ahli MPT Bersatu dan TS Muhyiddin bertemu dengan Tun Dr. Mahathir dan memujuk beliau untuk menjadi Pengerusi Bersatu semula. Tun Dr. Mahathir bersetuju.

Kita masih ingat dalam tahun 2002, semasa Tun Dr. Mahathir menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung UMNO di PWTC, tiba-tiba beliau mengisytiharkan peletakan jawatannya sebagai Presiden UMNO.

Maka melompatlah TS Rafidah Aziz dan pemimpin-pemimpin UMNO ke atas pentas . TS Rafidah bertanya “Why? Why”. Tun Dr. Mahathir menangis seperti kanak-kanak sambil berkata “Tak mau dah. Tak mau dah.”

Setelah di bawa ke bilik rehat dan, saya percaya, dipujuk, beliau menerima balik jawatan Presiden UMNO itu. Sejarah berulang lagi.

Saya percaya TS Muhyiddin menyaksikan peristiwa itu tetapi gagal mengambil iktibar daripadanya lapan belas tahun kemudian.

Reaksi TS Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin Bersatu itu menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin Bersatu sama ada termakan budi, bergantung kepada Tun Dr. Mahathir, tidak boleh berfikir sendiri atau tidak boleh berdiri di atas kaki sendiri atau kesemuanya: jika tidak ada Tun Dr. Mahathir, habislah Bersatu dan habislah mereka. Mungkin itu yang sebenarnya pun. Akibatnya, mereka terlepas peluang menyingkir Tun Dr. Mahathir dan beliau terus menimbulkan masalah kepada TS Muhyiddin dan Bersatu.

Kita perhatikan, sehingga Istana Negara mengisytiharkan TS Muhyiddin sebagai PM ke-8, malah sehingga selepas TS Muhyiddin mengangkat sumpah, entah sehingga ke akhir hayatnya, Tun Dr. Mahathir tidak puas hati dengan keputusan yang dibuat oleh YDPA itu kerana beliau mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen.

Pada 13 03 2020, DS Anwar mengeluar kenyataan bahawa Tun Dr. Mahathir tidak lagi berada dalam PH. Nampaknya, setelah dikecewakan berulang-ulang kali, barulah, akhirnya, beliau membuat kepututan, cukuplah.

Sekarang, Tun Dr. Mahathir sudah tidak ada dalam PH lagi. PH mungkin lebih aman, walau pun sebagai pembangkang. Tetapi, saya tidak fikir Bersatu dan PN boleh mengambil mudah.

Setelah, akhirnya, ditolak oleh PH, beliau hanya  boleh membuat kacau dalam Bersatu dan PN yang, jika gagal ditangani, mungkin menjatuhkan kerajaan PN dan menyerah balik kuasa kepada PH dengan beliau atau DS Anwar sebagai PM ke-9! Itu bukan mustahil.

Kita berhenti di sini sejenak untuk melihat, setakat ini, siapa untung dan siapa rugi. Maka, kita akan dapati:

  1. Tun Dr. Mahathir terlepas jawatan PM.
  1. DS Anwar terlepas peluang menjadi PM.
  1. TS Muhyiddin, tanpa diduga menjadi PM ke-lapan.
  1. PKR berpecah dua dan kumpulan DS Anwar tersingkir daripada kerajaan.
  1. DAP dan Amanah tersingkir daripada kerajaan.
  1. Bersatu, UMNO, PAS, PKR kumpulan Azmin dan penyokong-penyokong TS Muhyiddin dari Sabah (selain Warisan, parti DSP Shafie Apdal) dan Sarawak berada dalam kerajaan PN.

Berapa lama keadaan ini akan kekal? Tiada sesiapa yang tahu, melainkan Allah. Kita manusia hanya boleh mengagak mengikut analisis fakta yang ada pada kita.

Fakta yang relevan pada masa ini ialah:

  1. Tun Dr. Mahathir sudah tidak berada dalam PH lagi.
  1. Tun Dr. Mahathir masih menjadi Pengerusi Bersatu. Beliau tidak akan dicabar dalam pemilihan jawatan tertinggi Bersatu yang terdekat.
  1. TS Muhyiddin, Presiden Bersatu akan dicabar oleh DSU Mukhriz, anak Tun Dr. Mahathir. Pencadangnya ialah abangnya, seorang billionaire.

Dengan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Bersatu yang terhutang budi dan menumpang tuah kepada Tun Dr. Mahathir, dengan gandingan tiga beranak itu, saya tidak hairan jika  DSU Mukhriz akan menang. Ke manakah Bersatu akan dibawanya?

Saya fikir Tun Dr. Mahathir akan membawa anaknya pergi melutut semula kepada DS Anwar dan Lim Kit Siang supaya Bersatu diterima semula ke dalam PH, kali ini mungkin dengan DS Anwar sebagai PM dan DSU Mukhriz selepasnya.

Mereka akan terpaksa berbuat demikian kerana, pertama, mereka tidak boleh menyertai PN kerana Tun Dr. Mahathir tidak boleh bekerjasama dengan UMNO, melainkan jika sebilangan besar ahli-ahli Parlimen UMNO sanggup melompat kepada Bersatu.

Kedua, saya tidak fikir UMNO, Pas dan Bersatu kumpulan TS Muhyiddin akan bersetuju jika DSU Mukhriz, sebagai Presiden Bersatu, menuntut supaya TS Muhyiddin menyerahkan jawatan PM kepadanya.

Ketiga, ingat bahawa walaupun Bersatu telah keluar dari PH, DSU Mukhriz masih bekerjasama dengan DAP di Kedah untuk mengekalkan kerajaan PH di negeri itu, dan menolak kerjasama dengan Pas dan UMNO. Ini nyata bercanggah dengan pendirian rasmi Bersatu dan beliau patut dikenakan tindakan tatatertib. Malangnya TS Muhyiddin tidak berani melakukannya. Biar apa pun, itu menunjukkan sebelah kaki DSU Mukhriz masih berada dalam PH.

Mungkinkah PH menerima Bersatu? Saya tidak menolak kemungkinan itu kerana ia  akan membolehkan PH berkuasa semula dengan DS Anwar sebagai PM. Bagi DAP, ia memberi peluang untuknya berada dalam kerajaan sekali lagi.

Jika itu berlaku, maka, dengan syarat ia memperolehi majoriti (saya tidak hairan jika Sabah dan Sarawak akan menyokongnya pula), maka PH (dan DAP) akan berkuasa semula.

Tetapi, soalnya berapa banyakkah ahli-ahli Parlimen Bersatu yang akan menyebelahi Mahathir-Mukhriz dan berapa banyak yang akan kekal Bersama TS Muhyiddin? Jika bilangannya seperti sekarang, maka kerajaan PN boleh kekal.

Bagaimana jika PH menolak cadangan mereka itu? Mereka terpaksa kembali kepada PN, kerana berada di luar PN dan PH mereka hanya satu kumpulan kecil yang akan dilenyapkan dalm PRU 15. (Apa yang saya akan katakan bagi menjawab soalan berikutnya terpakai dalam hal ini.) Apabila mereka kembali kepada PN, masalah lama berulang lagi.

Bagaimana jika TS Muhyiddin dan penyokong-penyokongnya disingkir daripada Bersatu oleh DSU Mukhriz?

Mari kita ambil ingatan terlebih dahulu. Melainkan di beberapa kawasan di mana orang mengundi calonnya, seperti Tun Dr. Mahathir dan TS Muhyiddin, di kebanyakan kawasan, dalam PRU 14, calon Bersatu menang kerana tsunami Melayu marah kepada DS Najib dan DS Rosmah; undi orang Cina (DAP) dan kerana pertandingan tiga pejuru, UMNO-Pas-Bersatu. Dengan tsunami patah balik sekarang; tanpa undi Cina (DAP); dengan UMNO dan Pas mengelak bertanding antara satu sama lain, Bersatu, di bawah DSU Mukhriz atau TS Muhyiddin, walaupun disokong oleh DS Azmin, bertanding sendiri, tidak mungkin akan memenangi lebih daripada bilangan jari sebelah tangan. Bersatu perlu bersama PH atau PN.

Maka, jika TS Muhyiddin dan penyokong-penyokongnya disingkir oleh DSU Mukhriz, TS Muhyiddin perlu kekal bersama PN. Mereka janganlah menubuh parti baru pula kerana ia akan memecahbelahkan lagi orang Melayu/Islam dan menyukarkan pembahagian kerusi dalam PRU-PRU yang akan datang. Mereka sepatutnya masuk semula ke dalam UMNO dan UMNO sepatutnya menerima mereka. Sistem pemilihan dalam UMNO patut disemak semula untuk membolehkan mereka bertanding dengan adil. Kepentingan diri dan hasad dengki hendaklah digantikan dengan kepentingan agama, bangsa dan negara. Jika tidak, UMNO dan nasib orang Melayu tidak akan berubah.

Bagaimana jika TS Muhyiddin menang pemilihan Presiden Bersatu? Pertama, beliau perlu kekal bersama PN.

Kedua, beliau perlu memberi kata dua kepada DSU Mukhriz (malah kepada Tun Dr. Mahathir juga), ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN Bersatu: mereka menyebelahi PH atau PN? Jika mereka menyebelahi PH, tindakan tatatertib hendaklah diambil terhadap mereka.

Kita telah lihat, selagi Tun Dr Mahathir berada dalam Bersatu, masalah yang sama yang melanda PN akan berterusan sehinga PN berkecai dan Kerajaan PN tumbang. Maka, tidak ada jalan lain melainkan kumpulan Mahathir-Mukhriz disingkirkan daripada Bersatu dan PN. Jika bilangan mereka seperti sekarang, besar kemungkinan, kerajaan PN akan kekal sehingga PRU 15.

Akhir kata, PN perlulah fokus kepada isu yang paling utama yang menghadapinya iaitu untuk mengelakkan kerajaan PN daripada tumbang dan menghalang PH berkuasa semula. Yang lainnya adalah sampingan. Dalam hal ini, musuh utamanya adalah Tun Dr. Mahathir. Beliau tidak akan puas hati selagi PN tidak dapat ditumbangkan dan selagi  UMNO tidak terkubur. Maka beliau hendaklah dijauhi dan dijauhkan. Berhentilah bergantung kepadanya seolah-olah beliau indispensable. Belajarlah berfikir sendiri dan berdiri di atas kaki sendiri. Tanpa beliau, masalah mungkin menjadi lebih mudah dan politik negara lebih tenteram.

28 03 2020

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

NOTA

[i] Bahawa DS Najib patut dijatuhkan adalah justifiable, tetapi apa yang dilakukan dan dibiar dilakukan oleh kerajaan PH  setelah berkuasa, terhadap orang Melayu, hak-hak mereka, kedudukan agama Islam dan Raja-Raja Melayu dan tuntutan orang Cina, terutama sekali, yang melampau, adalah harga yang terlalu mahal untuk dibayar oleh orang Melayu. Nyata tujuan mereka bukanlah sekadar menjatuhkan DS Najib.

[ii] Ulya Awamah Husamuddin, ahli Majlis PimpinanTertinggi (MPT) Bersatu).

[iii] ibid

[iv] ibid

[v] ibid

[vi] ibid

[vii] ibid

[viii] ibid

[ix] ibid

[x] ibid

[xi] ibid

[xii] Ibid

130 visits