UCAPAN DI MAJLIS MAKAN TENGAH HARI BERSAMA PELAJAR-PELAJAR UNDANG-UNDANG UKM

UCAPAN DI MAJLIS MAKAN TENGAH HARI BERSAMA PELAJAR-PELAJAR UNDANG-UNDANG UKM
Di Aroi Dee Thai Restaurant, Palm Garden Hotel
IOI Resort, Putrajaya
16 Oktober 2008
oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad
Ketua Hakim Negara

 


Ini adalah kali terakhir saya berucap kepada pelajar-pelajar undang-undang sebagai Ketua Hakim Negara. Esok saya akan bersara. Saudara saudari telah berjaya “menangkap” saya hanya sehari sebelum saya bersara. Saudara saudari akan masuk ke dalam profesyen undang-undang selepas saya keluar. Demikianlah jarak tempoh waktu antara saudara saudari dengan saya. Ini menyebabkan saya tertanya-tanya sama ada saya masih relevan.

Oleh sebab saya akan bersara esok, mungkin saya boleh dimaafkan jika saya bercakap mengenai diri saya. Mungkin ada pengajaran yang boleh diambil.

Memandang ke belakang, kisah hidup saya adalah kisah “survival” dan “kebetulan” atau, “qadha” dan “qadar”. Saya dilahirkan semasa pemerintahan Jepun di sebuah kampung yang bernama Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Seberang Perai. Suatu pagi saya bangun dan berkata kepada ayah saya: saya hendak pergi ke sekolah. Ayah saya memberi kebenaran. Beberapa hari kemudian, apabila sekolah dibuka semula, saya pun memakai baju abang saya dan mengikutnya ke sekolah, berkaki ayam mengharungi sawah padi. Sekolah itu ialah Sekolah Melayu Paya Keladi, Kepala Batas, Seberang Perai. Semasa dalam darjah tiga, waktu membuat gasing, saya tertetak jari telunjuk kanan saya hingga putus. Selepas seminggu, saya belajar menulis dengan tangan kiri dan mengambil peperiksaan tahun itu menulis dengan tangan kiri. Pengajaran pertama: Kita ada dua tangan. Tak boleh guna tangan kanan, guna dengan tangan kiri.

Suatu hari, guru darjah saya berkata bahawa dia hendak menghantar saya ke sekolah Inggeris. Saya masuk ke sekolah Inggeris, iaitu St. Mark’s Branch School, Prai. Untuk ke sekolah setiap hari saya terpaksa mengayuh basikal sejauh dua batu, menaiki bas sejauh sebelas batu, berjalan kaki sejauh satu batu, menyeberang sungai Perai dengan sampan dan berjalan kaki sejauh satu per empat batu lagi.

Semasa di Tingkatan Lima di Sekolah Menengah St Mark’s saya menjadi pelajar Melayu pertama dilantik sebagai Ketua Pengawas di sekolah itu. Dalam tahun itu juga saya menjadi johan syarahan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat kebangsaan bahagian pelajar Melayu lelaki. Johan bahagian pelajar bukan Melayu perempuan ialah seorang pelajar keturunan Baba Melaka, bernama Choong Giok Hee. Hari ini Choong Giok Hee itu adalah Toh Puan Hamidah Choong Binti Abdullah, isteri saya dan ibu kepada anak-anak saya. Saya tidak merancangnya.

Di Tingkatan Enam di St. Xavier’s Institution, Pulau Pinang. Bersama-sama beberapa orang kawan, ada yang belajar di Methodist Boys’ School, ada yang belajar di Madrasah Al-Masyhur, ada yang belajar di Choong Ling High School, saya menyewa bilik di sebuah rumah seorang Cina tua di kawasan yang terkenal dengan kumpulan kongsi gelap. Suatu malam semasa membeli buah, penjual buah yang berbangsa Cina itu memberi tahu saya bahawa rusuhan kaum telah berlaku di Bukit Mertajam. Beliau khuatir dengan keselamatan saya. Syukur tiada apa yang tidak diingini berlaku. Pengajaran kedua: kemanusiaan ada di mana-mana, cuma banyak atau sedikit.

Dalam darjah kami hanya ada tiga orang pelajar Melayu. Antara rakan sedarjah saya ialah Lilian Too yang pada masa ini adalah seorang pakar Feng Shui yang terkenal di seluruh dunia. Pernah beliau membonceng motosikal saya untuk balik dari sekolah. Ada orang berkata sebab itulah Feng Shui saya baik! Tetapi, dia cuma berkata demikian selepas saya menjadi Ketua Hakim Negara!

Walaupun saya mendapat biasiswa Persekutuan untuk ke Universiti Malaya dalam bidang kesusasteraan, bersama-sama beberapa orang pelajar Cina sedarjah, saya memohon untuk mempelajari undang-undang di Universiti Singapura. Saya masuk ke Universiti Singapura.

Sampai di sana, saya dapati terdapat 180 pelajar tahun pertama. Di akhir tahun pertama hanya 54 orang yang lulus untuk naik ke tahun dua. “Kebetulan” saya adalah salah seorang daripadanya dan antara 38 orang yang “graduate” dalam masa empat tahun. Pengajaran ketiga: Dengan usaha yang gigih, Insya Allah, doa kita akan termakbul.

Pada awal bulan Mei 1969, saya memasuki Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. Beberapa hari kemudian, saya terperangkap dalam peristiwa 13 Mei di Kampung Baru, Kuala Lumpur di mana saya menumpang di rumah seorang kawan.

Saya berkhidmat dalam Perkhidmatan itu selama 21 tahun sebelum saya dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman. Dalam tempoh tersebut saya berkhidmat selama tujuh tahun di bawah Tun Mohamed Suffian dan Raja Azlan Shah (pada masa itu). Pengajaran keempat (daripada Tun Mohamed Suffian): “If you can choose between a simple word and a bombastic word, choose a simple word. If you can choose between a short sentence and a long sentence, choose a short sentence. If you have any doubt, delete.Pengajaran kelima (daripada Raja Azlan Shah): “If you have no time, make time!

Dalam tahun 2004, saya dikehendaki mempengerusikan Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan kes liwat Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Di hari pertama, peguam beliau mengusulkan supaya saya menarik diri daripada membicara kes itu atas alasan besar kemungkinan saya akan berat sebelah. Saya menolak. Dato’ Seri Anwar Ibrahim bangun dan dengan suara yang lantang “mengutuk” saya di mahkamah terbuka. Dua hari sebelum penghakiman di sampaikan, pemandu saya meletak jawatan dengan serta merta. Malam itu cermin tingkap dua buah kereta anak-anak saya (cuma Kancil dan Iswara buruk sahaja) kena pecah. Tingkap dapur rumah saya juga kena kopak. Tetapi tidak ada barang-barang yang hilang. Dua hari selepas itu saya memandu sendiri dari Gombak ke Putrajaya dan menyampaikan penghakiman saya yang jujur mengikut undang-undang dan fakta yang dikemukakan di mahkamah. Saya sanggup menerima padahnya, jika ada.

Dalam tahun 2006, saya adalah Hakim Mahkamah Persekutuan yang paling kanan. Terdapat dua kekosongan jawatan yang lebih tinggi, tetapi Hakim yang lebih “junior” dilantik untuk memangku satu daripadanya. Yang satu lagi dibiarkan kosong. Kemudiannya, apabila kekosongan hendak di isi, saya diketepikan juga. Pada masa itu saya teringat apa yang Tun Mohamed Suffian, secara beseloroh, dalam konteks pada masa itu, pernah berkata kepada saya: “You know Hamid, when the Bar Council thinks we are pro-government and the government thinks we are anti-government, it means that we are independent.” Kemudian, kebetulan, keluar video tape V.K.Lingam. Lepas itu, saya terpilih, bukan kerana meminta pertolongan Lingam tetapi kerana saya tidak terlibat dengannya. Pengajaran keenam: apabila Allah s.w.t. menghendaki sesuatu itu berlaku, tidak ada siapa yang boleh menghalangnya.

Beberapa hari kemudian, saya menerima sepucuk surat daripada rakan seasrama saya semasa di Universiti Singapura dulu yang bernama Christopher Song dari Kuching, Sarawak yang saya tidak berjumpa atau mendengar khabar selama 40 tahun. Di akhir suratnya, beliau memetik sebuah sajak yang saya pernah tulis dan tampal di pintu bilik saya lebih daripada 40 tahun dahulu yang berbunyi:

Today is not my day
Tomorrow may not be my day
But, a day will come
When all debts will be settled
And every hair will be counted

This heart is still bleeding
This fire is still burning.

Di akhir suratnya, beliau menulis: “Today is your day”.

Sebenarnya, sajak itu asalnya saya tulis dalam Bahasa Melayu semasa di Tingkatan Enam: Bunyinya begini:

Hari ini bukan hari aku
Esok juga mungkin bukan hari aku
Tetapi, akan tiba harinya
Segala hutang piutang akan diselesaikan
Maka setiap bulu ruma akan aku kira

Hati ini masih berdarah
Api ini masih membara

Beberapa bulan kemudian, semasa berada di Kuching, saya berkesempatan berjumpa dengan Christopher Song yang telah pun bersara. Saya bertanya beliau bagaimana beliau boleh mengingati sajak itu. Jawabnya apabila beliau melihat gambar saya di muka hadapan akhbar, secara otomatik beliau teringat semula sajak itu.

Mungkin kebetulan lagi, penghakiman terakhir dalam kerjaya saya ialah penghakiman Mahkamah Khas di mana salah satu pihak yang terlibat adalah seorang Raja dan bekas Yang Di Pertuan Agong. Semasa menyampaikan penghakiman itu kelmarin, dua perkara terlintas difikiran saya: pertama, di Malaysia, Raja pun tertakluk kepada undang-undang. Kedua, hakim yang mempengerusikan perbicaraan Raja itu adalah anak seorang peladang. Dan terfikir pula: ini hanya boleh berlaku di Malaysia! Maka saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Malaysia. Pengajaran ketujuh: bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Malaysia.

Saudara saudari sekalian,

Hari ini, sehari sebelum saya bersara, saya masih boleh berkata: saya tidak pernah melutut atau melobi. Saya tidak pernah mengkompromi kebebasan mahkamah baik untuk kepentingan diri atau kerana membalas dendam. Pengajaran kelapan: buat sehabis baik yang kita boleh lakukan, dengan jujur. Serahlah kepada Allah s.w.t. untuk memberi ganjaran yang kita layak terima.

Saudara saudari sekalian,

Jika saudara saudari adalah antara pelajar terbaik dalam kelas, bagus. Ia akan memberi kedudukan yang baik di garisan permulaan. Jika saudara saudari tidak termasuk dalam golongan itu, jangan kecewa. Kebanyakan peguam yang terkenal di Malaysia hari ini adalah daripada golongan itu. Di samping itu, Bill Gates adalah seorang “drop out” University of Harvard. Tetapi, jika saudara saudari bukan seorang “Bill Gates” tak usahlah berfikir untuk “drop out”.

Winston Churchill tidak tamat pengajian sekolah menengahnya. Suatu hari, dalam kelas Tingkatan Enam saya, apabila guru kami marah kerana pelajar-pelajar membuat bising dan tidak belajar, seorang pelajar berkata: “Sir, even Churchill did not complete his secondary education.” Guru itu menjawab, “Remember. There is only one Churchill. The rest are all church mice.” Kebetulan, kemudiannya, pelajar tersebut membunuh diri apabila tidak mendapat sijil penuh Sijil Tinggi Persekolahan.

Daripada pengalaman saya, saya dapati bahawa orang yang berjaya akhirnya adalah orang yang paling kental peribadinya yang mempunyai ketahanan mental yang kuat, jujur, ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugasnya.

Saudara saudari sekalian,

Bukan semua orang sesuai untuk semua kerja. Bukan semua orang pandai dalam semua bidang. Setelah tamat pengajian kelak, pilihlah kerjaya yang lebih sesuai dengan kebolehan anda. Bukan setiap siswazah undang-undang mesti menjadi peguam, sama ada peguam swasta atau kerajaan. Graduan falsafah tidak berkerja sebagai ahli falsafah untuk mencari makan. Banyak perkara lain yang boleh dilakukan.

Bagi yang memilih untuk menjadi peguam, nasihat saya ialah jangan terus membuka firma sendiri. Terlalu banyak perkara yang anda tidak ketahui malah professor-professor anda pun tidak tahu dan tidak mengajar anda. Bekerjalah dengan firma yang sudah “established” dahulu untuk mendapat pengalaman, sekurang-kurangnya dapat mengetahui apa yang tidak patut dilakukan. Jangan terlalu cepat hendak kaya. Jalanilah kehidupan anda sekadar kemampuan kita.

Selepas mendapat pengalaman yang diperlukan, pilihlah bidang tertentu yang sesuai dengan kebolehan anda. Di zaman ini, firma-firma kecil tidak lagi dapat menarik anak guam yang besar-besar. Pengetahuan mengenai undang-undang tempatan sahaja tidak akan dapat menarik anak guam antarabangsa. Seseorang tidak dapat menguasai semua bidang undang-undang. Maka gabungan pelbagai kepakaran adalah perlu.

Satu pesanan saya kepada saudara saudari ialah: get into the main stream and swim in it. Jangan hanya duduk di tebing memerhati arus berlalu. Kita tidak akan sampai ke mana.

Akhir sekali, saya ingin mengulangi apa yang saya katakan dalam ucapan pelantikan saya sebagai Ketua Hakim Negara:

Percayalah bahawa dalam hidup ini, akhirnya, kebenaran akan terserlah jua.
Percayalah bahawa dalam hidup ini, akhirnya, kejujuran akan mengatasi segala-galanya.

Dan: Buat Kerja.

Saya ucapkan selamat maju jaya kepada saudara saudari sekalian.

“Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” – Al-Insyirah: 5 dan 6.

Sekian. Terima kasih.

205 visits