MEMPERKASAKAN TANAH RIZAB MELAYU DAN PERMASALAHAN INSTITUSI KEWANGAN

JABATAN PEGUAM NEGARA MALAYSIA
KURSUS ISU PERUNDANGAN DAN PRAKTIKAL BERKAITAN TANAH RIZAB MELAYU
3 September 2013

MEMPERKASAKAN TANAH RIZAB MELAYU DAN PERMASALAHAN INSTITUSI KEWANGAN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad
(Mantan Ketua Hakim Negara)

 


Tanah rizab Melayu (TRM) diwujudkan untuk mengelak tanah milikan orang Melayu daripada terlepas ke tangan orang bukan Melayu. Itu tujuan utamanya yang masih relevan hari ini biar apa pun yang dihujahkan mengenai kesan negatifnya oleh orang-orang yang tidak puas hati dengan kewujudan TNM itu.

Mahkamah perlulah memberi kesan kepada undang-undang TRM. Dalam kes Robert Lee v. Wong Ah Yap (2007) 4 AMR 1 FC, saya menolak hujah bahawa mahkamah patut mengiktiraf hak ekuiti orang bukan Melayu ke atas Tanah Adat Melaka. Alasan saya ialah, jika kita mengiktirafnya, yang akan tinggal kepada orang Melayu hanyalah namanya di atas geran, tanggungjawab membayar cukai tanah dan tanggungjawab di bawah undang-undang tort, sedangkan faedahnya dinikmati oleh orang bukan Melayu.

Kita mesti peka tentang kesan penerimaan prinsip-prinsip common law dan ekuiti England. Penerimaannya hendaklah dalam linkungan yang dibolehkan oleh peruntukan seksyen 3(1) Civil Law Act 1956 yang bermula dengan kata-kata:

“Save so far as other provision has been made or may hereafter be made by any written law in force in Malaysia….”

Dan berakhir dengan proviso yang berbunyi:

“Provided always that the said common law, rules of equity and statutes of general application shall be applied so far only as the circumstances of the States of Malaysia and their respective inhabitants permit and subject to such qualifications as local circumstances render necessary.”

Dalam kes Jasa Keramat Sdn Bhd v Monatech (M) Sdn Bhd [2001] 4 AMR 4241; [2001] 4 MLJ 577, saya menjelaskan:

“In other words, in West Malaysia, the common law of England (we are only referring to the “common law” here) as administered in England on April 7, 1956 applies, unless provisions have been made before or after that date by any written law in force in Malaysia on the subject.

But, even if no provisions have been made by any written law in Malaysia on the subject, such principles are applicable only in so far as the circumstances of the State of Malaysia and their respective inhabitants permit. Furthermore, even if it is “permissible” to apply such principles they may still be subject to such qualifications as local circumstances render necessary.”

Dalam kes Robert Lee, saya berkata:

“The Ordinance and the Malay Reserve Enactments are laws made with a definite objective. No rules of equity (or common law) should be applied that would defeat such objective. What more when the effect is to give effect to a transaction declared to be invalid by the statute.”

Di akhir penghakiman itu saya memperingatkan:

“The British, having colonized “Tanah Melayu” (as Peninsular Malaysia was then known in the Malay language) leading to the influx of immigrants (this is a historical fact), saw it necessary to make laws to protect the ownership of the Malays over some areas of land. The law was enacted by legislature as a matter of policy. It is preserved by the Constitution. If at all it should be repealed or amended, let it be decided, as a matter of policy, by the legislature, not the court through its decision.”

Bagi saya, kewujudan TRM mestilah dipertahankan. Tetapi, kita tidak sepatutnya membiarkan keadaan itu merugikan orang Melayu sendiri. Pemilik TRM sepatutnya boleh menikmati faedah pemilikannya sama seperti pemilik tanah bukan rizab Melayu. Dalam hal ini, saya hanya akan menumpukan kepada kaitannya dengan perbankan dan kewangan, khususnya perbankan dan kewangan Islam, itu pun secara ringkas sahaja.

Perbankan dan kewangan Islam diwujudkan oleh orang Islam dengan tujuan mengadakan satu alternative kepada orang-orang Islam untuk mengelak daripada terlibat dalam amalan riba’ yang dilarang oleh Syari’ah. Dalam masa 40 tahun, perbankan dan kewangan Islam telah berkembang dengan begitu pesat. Negara-negara yang selama ini mempunyai pandangan yang amat negative terhadap Islam dan Syari’ah pun berusaha untuk menjadi hab perbankan dan kewangan Islam. Malaysia, sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam dan perlembagaannya mengisytiharkan bahawa Islam adalah agamanya, tidak sepatutnya ketinggalan dalam perlumbaan ini. Kerajaan Malaysia sedang berusaha ke arah ini.

Di Malaysia pun, atas sebab-sebab tersendiri, orang bukan Islam juga mengambil faedah daripada perbankan dan kewangan Islam. Ini satu petanda baik asalkan ia bukannya berlaku kerana kelemahan sistem dan pelaksanaannya oleh industri perbankan dan kewangan Islam sendiri.

Namun, manfaat perbankan dan kewangan Islam tidak dapat dinikmati oleh kesemua pihak. Di sini, saya merujuk secara khusus kepada pemilik-pemilik TRM. Ini adalah disebabkan oleh kekangan-kekangan undang-undang TNM itu sendiri yang melarang pajakan TRM kepada institusi-institusi kewangan melainkan institusi terbabit telah diwartakan sebagai institusi yang tersenarai dibawah Jadual-Jadual tertentu yang membolehkan penerimaan pajakan. Walaupun tujuan dan kesannya baik kerana ia menghalang TRM daripada dilelong dan terlepas ke tangan orang bukan Melayu, ada juga kesan negatifnya. Ia tidak membolehkan pemilik-pemilik TRM sendiri menggunakan TRM untuk berurusan bagi mendapat pembiayaan sama ada untuk memajukan tanah itu sendiri atau untuk tujuan lain.

Maka, kita perlulah mencari jalan untuk melonggarkan kekangan itu sambil tidak sekali-kali menyebabkan TRM jatuh ke tangan orang bukan Melayu, termasuk institusi kewangan.

Setakat ini, Law Harmonisation Committee (LHC) mencadangkan jalan keluar seperti berikut. Kita kecualikan pemakaian perutukan-peruntukan berkenaan daripada terpakai kepada transaksi-transaksi perbankan dan kewangan Islam. Ertinya, TRM boleh dipajak kepada Institusi Kewangan Islam tetapi semata-mata untuk tujuan dan sepanjang tempoh pembiayaan berkenaan sahaja. Jika berlaku kegagalan membayar dan lelongan dijalankan, TRM tersebut hanya boleh dibeli dan dimiliki oleh orang Melayu sahaja.

Pada masa ini, cadangan-cadangan ini masih berada di peringkat awal gubalan. Sebarang ulasan dan cadangan untuk menambahbaiknya sangat-sangatlah dialu-alukan.

Saya sedar bahawa betapa baiknya cadangan dan draf kita sekalipun, ianya tidak akan dapat dilaksanakan tanpa persetujuan dan tindakan oleh semua pihak yang berkepentingan, termasuk Kerajaan Pusat dan Negeri-Negeri. Saya akui bahawa untuk mendapat persetujuan semua pihakberkuasa itu adalah lebih sukar daripada menggubal cadangan itu. Mungkin kita tidak akan berjaya akhirnya. Tetapi, jika kita tidak mencuba langsung kita telah pun gagal dari awal-awal lagi. Bagi saya, jika kita gagal sekalipun, asalkan saya boleh berkata “Kita telah mencuba”, saya berpuas hati.

Sebelum kita gagal, saya memohon kerjasama semua pihak untuk sama-sama berusaha menjayakannya.

Kami juga sedar bahawa, jika cadangan ini tidak mati di tengah jalan sekali pun, ia akan mengambil masa yang panjang untuk melaksanakannya. Maka, sebagai langkah jangka pendek, kami juga mencadangkan supaya semua Negeri bersetuju untuk menselaraskan syarat-syarat kelayakan Institusi Kewangan untuk disenaraikan dalam Jadual Enakmen TRM sebagai “Melayu” bagi tujuan pajakan. Adalah diharapkan bahawa cadangan jangka pendek akan dipersetujui terlebih dahulu.

Sekian. Terima kasih.