PERUTUSAN DI MAJLIS HARI RAYA PULAU PINANG 2009

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFIRTI JAWATANKUASA KECIL SYARIAH, JAWATANKUASA PEGUAM PULAU PINANG
11 October 2009

Perutusan Y.A. Bhg. Tun Abdul Hamid Mohamad
(Mantan Ketua Hakim Negara)

 


 

Saya mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Kecil Syariah, Jawatankuasa Peguam Pulau Pinang yang telah berusaha untuk menjayakan majlis ini.

Saya gembira apabila diperingatkan bahawa sayalah yang telah menyumbang idea untuk mewujudkan Jawatankuasa Kecil Syariah ini dan Majlis Aidilfitri seperti ini sewaktu saya menjadi Hakim Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang lebih dari sepuluh tahun dahulu. Saya lebih gembira kerana ia telah menjadi kenyataan dan masih diadakan hingga sekarang, walaupun setelah saya bersara sebagai Ketua Hakim Negara! Cuma, saya ralat sedikit kerana pada tahun ini saya tidak dapat menghadiri majlis ini. Walau bagaimana pun terimalah ucapan “Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin” daripada saya sekeluarga.

Sebenarnya, Encik Habib Rahman telah memaklumkan saya mengenai tarikh majlis ini beberapa bulan dahulu. Pada masa itu saya mempunyai kelapangan pada tarikh tersebut dan saya telah menjawab bahawa saya akan hadir. Tetapi suatu perkara telah berlaku baru-baru ini. Tanpa diduga isteri saya telah memenangi “Grand Prize” dalam “Maybank Deposit Campaign” . Hadiah ini menawarkan pelancungan untuk dua orang ke Taipeh, Los Angeles, London dan Dubai, selama 17 hari kesemuanya, termasuk “accommodation”. Kami terpaksa mengambilnya sebelum berakhirnya bulan Oktober 2009. Kebetulan tempoh tersebut termasuk tarikh majlis ini diadakan.

Saya dan Toh Puan memohon berbanyak-banyak ma’af kepada ahli-ahli Jawatankuasa Kecil Syariah dan kepada semua hadirin kerana tidak dapat menyertai tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis ini. Walau bagaimana pun, kami mendoakan ianya berjalan dengan jaya. Insya Allah, dalam masa yang terdekat saya akan pulang ke Pulau Pinang dan saya berharap saya akan dapat bertemu dengan seberapa banyak peguam-peguam Muslim di Pulau Pinang.

Walau pun secara ringkas, saya ingin menarik perhatian peguam-peguam Muslim, khasnya, mengenai perkembangan yang sedang berlaku di seluruh dunia yang berkait dengan undang-undang Islam dan merebut peluang yang diwujudkannya supaya kita tidak menjadi “an ummah of lost opportunity” seperti yang dikatakan oleh Sheikh Nizam Ya’akubi, seorang pakar perbankan dan kewangan Islam dan takaful dalam satu forum di Kuala Lumpur beberapa bulan yang lepas.

Perkembangan ini adalah mengenai minat terhadap mu’amalat Islam yang di sangka telah ketinggalan zaman itu. Tidak sesiapa menyangka bahawa di akhir abad dua puluh, akan timbul minat bukan sahaja di kalangan orang-orang Islam tetapi juga di kalangan orang-orang bukan Islam, bukan sahaja di negara-negara yang majoriti penduduknya beragama Islam malah di negara-negara di Timur dan Barat, Utara dan Selatan. Minat ini khususnaya adalah dalam bidang perbankan dan kewangan Islam dan takaful. Saya perhatikan dalam pesidangan-persidangan dan seminar-seminar yang saya hadiri di luar negara bahawa majoriti pembentang-pembentang kertas kerja dan perserta adalah orang-orang bukan Islam dari perbagai bangsa, warna kulit dan agama, termasuk juga dari Amerika Selatan yang penduduk Islamnya amat sedikit. Mereka ini adalah graduan-graduan university-universiti di Barat, tetapi telah mendalami perbankan dan kewangan Islam dan takaful, malah menjadi pakar-runding institusi-institusi kewangan antarabangsa yang menawarkan produk-produk patuh syariah itu. Sesetengah mereka pula telah dapat menguasai bahasa Arab dengan baik. Golongan yang ketara tidak nampak ialah ulamak-ulamak dan ustaz-ustaz tradisional. Kemana pergi mereka? Sudah ketinggalan zaman?

Dua minggu selepas saya bersara, saya telah dijemput untuk memberi syarahan umum mengenai “Harmonization of Shariah and Law” oleh Islamic Studies Department, Harvard Law School. Selepas itu National University of Singapore telah mengadakan satu worksyop untuk mewujudkan peguam-peguam syariah. Saya turut dijemput. Adalah jelas bahawa tujuan mereka adalah untuk mewujudkan peguam-peguam dan hakim-hakim common law untuk menangani isu-isu syariah dalam perbankan dan kewangan Islam dan takaful yang akan timbul dalam industry tersebut dan di mahkamah sivil dan bukanlah untuk mewujudkan paguam-peguam dan hakim-hakim syariah yang beramal diMahkamah Syariah. Ini kerana, industri perbankan dan kewangan Islam dan takaful adalah satu industri yang nilainya berbilion dollar, bukan seperti kes-kes keluarga di mahkamah syariah. Singapura sedang berusaha untuk merebut peluang itu, “not because of piety but because of money”.

Di Malaysia pun telah terdapat peguam-peguam dan professional bukan Islam yang sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menguasai bidang ini. Malah, terdapat syarikat-syarikat swasta bukan Islam yang pegawai-pegawainya sendiri tidak mengetahui apa pun mengenai perbankan dan kewangan Islam dan takaful yang “membuat business” dengan menganjurkan seminar-seminar perbankan dan kewangan Islam dan takaful!

Saya menyebut semua ini untuk menarik perhatian peguam-peguam Muslim supaya merebut peluang itu sebelum peluang itu terlepas daripada kita. Janganlah hanya asyik dengan isu-isu remeh, manakala orang-orang bukan Islam meraup keuntukan memberi perkhidmatan dalam industri perbankan, kewangan dan takaful yang berasaskan Islam. Hal yang serupa telahpun berlaku dalam industri makanan halal.

Bulan lepas, saya telah dijemput oleh Kementerian Agama Negara Brunei Darussalam untuk membantu mereka dalam usaha mereka untuk menyesuaikan undang-undang di negara itu dengan hukum syarak seberapa yang boleh. Mereka tertarik dengan ucapan saya di Universiti Harvard di mana saya mengketengahkan takrif “Islamic law” sabagai “Any law that is not unislamic”. Malah, mereka telah menerima takrif itu dalam projek mereka itu. (Sebenarnya, kita juga, tanpa menyedarinya, telah menerima pakai prinsip itu dalam menggubal undang-undang yang hari ini dipakai di Mahkamah Syariah kita. Contohnya ialah Enakmen Acara Jenayah Syariahdan Enakmen Acara Mal Syariah. ) Projek Kementerian Agama Brunei itu adalah satu projek yang besar dan akan mengambil masa yang panjang. Nampaknya, selagi perkhidmatan saya dikehendaki, saya akan berulang alik ke Brunei kerana projek itu. Saya akan bantu setakat yang termampu oleh saya.

Mungkin banyak orang tidak sedar, bahawa perkembangan di akhir-akhir ini menunjukkan bahawa syariah semakin masuk ke “main stream” perundangan dan kehakiman. Syariah juga semakin menjadi “global”. Perbezaan mazhab akan semakin kerkurangan. Bagi saya, akhir abad ke-20 adalah titik permulaan pembangunan semula undang-undang Islam dalam bentuk moden tetapi masih mengekalkan prinsip-prinsipnya.

Saya menyeru saudara saudari supaya merebut peluang ini. “There is money in piety” dan janganlah samapai menjadi “an Ummah of lost opportunity!”

Sekian. Terima kasih

96 visits