SYABAS SPRM

SYABAS SPRM

 

Semata-mata berdasarkaan laporan di akhbar-akhbar (saya tidak ada sumber lain untuk mendapat maklumat), nampaknya SPRM memang bersungguh-sungguh dalam memerangi rasuah di sektor perkhidmatan awam. Tahniah diucapkan. Kita harap ia akan diikuti dengan penyiasatan yang teliti dan pendakwaan yang cekap supaya tidak ada apa-apa sebab teknikal yang akan memungkinkan tertuduh dilepas dan dibebaskan.

Pada masa yang sama, kita juga mengharapkan, jika pertuduhan terbukti mahkamah akan mengambil pandangan yang serius dalam menjatuhjan hukuman. Biarlah hukuman-hukuman itu benar-benar memberi kesan deterrent kepada semua yang terlibat dan mungkin akan terlibat.

Kita harus faham, bersimpati dan bekerjasama dengan SPRM dalam usahanya untuk menghapuskan rasuah. Mengutuknya tidak akan membantu.

Sekurang-kurang, dalam keadaan di Malaysia sekarang, biarlah SPRM menumpukan perhatian membersihkan perkhidmatan awam. Moga-moga akan lahirlah sekumpulan pegawai-pegawai awam yang akan berani berikrar “Kami tidak terlibat dengan rasuah dan tidak akan membantu perbuatan rasuah.” Semoga kumpulan itu akan berani berdiri di hadapan Menteri-Menteri dan tokoh-tokoh swasta dan berkata demikian, sambil menolak rasuah atau membantu ianya dilakukan.

Adalah juga diiharapkan, kumpulan itu akan berani berkata kepada Menteri-Menteri, malah Raja-Raja, bahawa mereka tidak akan membantu melakukan pembaziran wang negara (pembayar cukai) yang berleluasa pada masa ini.

Sekali lagi, saya menyeru CUEPACS untuk mengadakan majlis ikrar anti rasuah. Jika CUEPACS tidak berani berbuat demikian, saya seru persatuan-persatuan pegawai-pegawai kerajaan yang bergabung dengan CUEPACS untuk melakukannya secara bersendirian.

Dengan integriti yang diperolehi, saya yakin mereka akan dapat mengepung, memalukan dan meminggirkan persatuan-persatuan yang tidak berani berbuat demikian.

Bila sudah ada sekumpulan pegawai-pegawai yang dengan terang-terang berani berkata “Tidak” kepada ketua-ketua mereka, Menteri-Menteri, malah Raja-Raja, suara mereka akan bergema ke seluruh negara dan akan memberangsangkan rakan-rakan mereka sambil memalukan pihak-pihak yang terlibat dengan rasuah dan pembaziran.

Pada masa yang sama, saya harapkan supaya SPRM menambah usaha mereka untuk memerangi rasuah di kalangan tokoh-tokoh swasta (pemberi). Ini tidak terlalu sukar.

Lebih sukar adalah memerangi rasuah di kalangan ahli-ahli politik. Profesyen mereka adalah satu profesyen yang paling terdedah kepada rasuah. Untuk mendapat tempat dalam parti memerlukan wang untuk disogok kepada penyokong dalam parti. Untuk menang pilihanraya memerlukan wang untuk diberi kepada penyokong, pembantu, pekerja dan juga dihadiahkan kepada bakal pengundi. Silapnya di Malaysia ialah, dari awal-awal lagi, ahli-ahli politik tetah mendekati orang ramai dengan hadiah dan mendekati penyokong dengan sogokan. Sekarang ia telah menjadi satu budaya yang sukar diubah lagi.

Tempoh perkhidmatan mereka singkat. Mereka tidak tahu apa aka berlaku selepas, paling lama, lima tahun, sama ada parti mereka sendiri akan memilih  mereka untuk bertanding semula dan, jika dipililih, sama ada mereka akan menang. Dalam tempoh mereka menjadi ahli Parliamen atau ADUN pun kedudukan mereka tidak menentu. Rakan-Rakan separti senentiasa mencari jalan untuk menjatuhkan mereka. Mereka perlu wang untuk menjaga penyokong, lebih daripada pengundi-pengundi supaya tidak lari kepada  lawan politik separti mereka.

Menteri-menteri lebihlah lagi. Harapan penyokong daripada mereka tentulah lebih. Mereka sendiri secara tiba-tiba mengalami cara hidup mewah, banyak pula orang yang bersedia untuk berbelanja, malah memberi rasuah, untuk balasan tertentu.

Isteri-isteri mereka pula berlumba-lumba untuk menunjukkan kemewahan.

Dalam semua keadaan itu, banyak ahli politik yang tercebur dalam rasuah. Semasa kadudukan parti mereka kuat, mereka merasakan bahawa mereka seolah-olah tidak boleh disentuh. Keadaan sekarang berlainan. Mereka sendiri tidak tahu sama ada parti mereka boleh menang lagi. Maka, ibarat orang yang hampir lemas, mereka memegang apa sahaja yang boleh dipegang.

Mengikut teladan ketua mereka, ada pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam yang tidak mahu terlepas peluang. Ia diikuti oleh pegawai-pegawai bawahan: kepimpinan melalui teladan.

Biar apa pun, saya yakin masih ada ahli-hli politik yang reasonably kurang rasuah. Saya percaya, majoriti pegawai-pegawai awam berpangkat tinggi, menengah dan rendah tidak terlibat dengan rasuah. Kepada merekalah saya meletakkan harapan untuk keluar menyokong usaha SPRM itu di samping mengepung dan memalukan kumpulan yang rasuah.

Orang ramai juga perlu bekerjasama dengan SPRM dalam usaha memerangi rasuah ini.

 

Tun Abdul Hamid Mohamad

27 05 2017

tunabdulhamid@gmail.com

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me