UCAPAN PEMBUKAAN DI SESI DIALOG KURSUS JURUBAHASA

UCAPAN PEMBUKAAN DI SESI DIALOG KURSUS JURUBAHASA
(Prosedur dan Peraturan Mahkamah)
18 Januari 2002, 11.00 pagi
Bilik Kuliah ILKAP

Oleh
Dato’ Abdul Hamid bin Haji Mohamad

(Hakim Mahkamah Rayuan, Malaysia)


Saya ingin memulakan sesi dialog ini dengan suatu ucapan pembukaan. Walau pun topik dialog ini ialah “Prosedur dan Peraturan Mahkamah”, dalam ucapan pembukaan saya, saya tidak akan bercakap mengenai prosedur dan peraturan mahkamah. Ini kerana prosedur mahkamah tidak boleh diajar dan dipelajari dalam masa satu jam. Malah, setelah belajar selama empat tahun di universiti dan telah berkhidmat di mahkamah dan di jabatan-jabatan yang yang berkaitan dengan mahkamah selama 33 tahun pun, sehingga ke hari ini saya masih menemui perkara-perkara yang saya tidak tahu dan masih belajar. Kedua, prosedur bukan masalah jurubahasa. Itu masalah Pendaftar, Majistret dan Hakim di mana tuan-tuan berkhidmat. Tetapi, jurubahasa mahkamah perlu tahu sedikit sebanyak dalam menjalankan tugasnya.

Pertama saya akan sentuh mengenai peranan tuan-tuan dalam badan kehakiman.

Sebuah negara demokrasi seperti Malaysia mempunyai tiga badan kerajaan: Perundangan, Eksekutif dan Kehakiman. Badan Perundangan membuat undang-undang. Badan Eksekitif menjalankan tugas-tugas pemerintahan dan melaksanakan undang-undang. Badan Kehakiman menghakimkan perbalahan antara orang awam dengan orang awam atau orang awam dengan Eksekutif atau mana-mana Jabatan atau anggota kerajaan.

Kedua-dua Badan Perundangan dan Eksekutif dianggotai oleh orang politik. Selain daripada mengambil kira kepentingan awam mereka tidak boleh mengelak daripada mengambil kira juga kepentingan politik kepartian dalam membuat sesuatu keputusan atau sesuatu undang-undang. Badan Kehakiman dianggotai oleh hakim-hakim professional yang tidak berpolitik dan tidak berparti. Mereka dikehendaki memutuskan kes-kes di hadapan mereka dengan adil, berdasarkan keterangan yang dikemukakan di Mahkamah dan mengikut undang-undang yang berkuatkuasa pada masa itu, tanpa takut atau menyebelahi mana-mana pihak. Itulah yang dinamakan kebebasan mahkamah.

Saya berpendapat bahawa Badan Kehakiman adalah benteng terakhir pertahanan sesebuah kerajaan. Selagi Badan Kehakiman masih boleh menjalankan tugasnya dengan berkesan dan bebas, selagi ianya masih diyakini oleh orang awam, negara itu masih selamat: orang awam tidak akan bertindak sendirian, segala perbalahan akan diselesaikan di mahkamah dan kenteraman akan kekal. Sebaliknya, jika keyakinan sudah tidak ada lagi terhadap Badan Kehakiman, maka huruharalha jawapannya.

Tuan-tuan dan puan-puan adalah anggota Badan Kehakiman. Jangn fikir bahawa hakim-hakim sahaja adalah anggota Badan Kehakiman. Hakim-hakim mungkin lebih penting. Tetapi, tuan-tuan dan puan-puan juga penting. Peranan tuan-tuan dan puan-puan juga penting dalam perkhidmatan kehakiman. Ibarat badan manusia, semua anggota badan itu perlu ada dan berfungsi dengan baik, barulah badan itu sihat. Jika tidak ada cacatnya.

Badan Kehakiman perlu cekap, telus dan bebas. Untuk telus, kita mesti jujur. Bagi saya, sifat yang paling penting yang patut ada pada setiap anggota kerajaan adalah kejujuran. Tidak pandai boleh belajar. Tetapi jika tidak jujur, lagi pandai, lagi merbahaya.

Sebab itu saya senentiasa menekankan tentang perlunya semua anggota Badan Kehakiman bersifat jujur. Orang awam datang kepada kita untuk mendapat keadilan. Tugas kita ialah untuk melakukan keadilan. Jika kita sendiri tidak jujur, bagaimana kita bolek melakukan keadilan?

Ketidakjujuran dalam menjalankan tugas keadilan adalah satu perkara yang tidak boleh diterima sama sekali.

Mengenai kejujuran, saya ingin menceritakan apa yang saya pernah lihat sendiri, di Switzerland. Petani-petani di sana membungkus sayur-sayuran mereka yang hendak di jual, meletakkannya di tepi jalan raya, tanpa ditunggu. Mereka juga menyediakan satu kotak untuk orang yang hendak membeli sayur-sayur itu memasukkan wangnya. Kalau kita tidak ada wang kecil, kita boleh buka kotak itu dan mangambil tukarannya.

Saya menceritakan hal itu kepada seorang kawan. Katanya, “Kalau di sini, dengan sayur, dengan kotak sekali lesap.”

Apabila saya melihat keadaan itu dan mengenangkan keadaan di negara kita, saya merasa amat malu dan sedih. Kita kuat beragama, “bermoral” tetapi kejujuran amat kurang, seolah-olah kejujuran itu bukan sebahagian daripada agama dan “morality”.

Kedua, kita mesti ingat bahawa kita menerima gaji untuk buat kerja. Maka kita perlu menjalankan tugas kita sehabis baik yang boleh kita lakukan untuk berhak menerima gaji itu. Allah Ta’ala pun memberi pahala kepada seseorang mengikut banyak dan mutu amalannya bukan mengikut kadar yang telah ditepkan setiap bulan, tidak kira berapa banyak amalan yang dilakukan oleh setiap orang dan mutu amalannya. Sebaliknya kita dibayar gaji tetap, mengikut jawatan dan kekananan setiap bulan tidak kira berapa banyak dan mutu kerja kita.

Mengikut pemerhatian saya, di Malaysia ini terlalu banyak masa kerja terbuang sama ada kerana tidak ada apa-apa kerja dilakukan, ia dilakukan secara sambil lewa atau kerana melakukan perkara-perkara lain atau sampingan yang di luar bidang tugas. Di negeri-negeri yang lebih maju, gaji kerapkali dibayar mengikut jam. Tetapi, kalau mereka berkerja sejam, mereka betul-betul membuat kerja dalam masa sejam itu. Sebab itu produktiviti mereka tinggi. Sebab itu mereka boleh dibayar gaji yang tinggi.

Pada pandangan saya, kita perlu mengubah budaya kerja kita.

Lagi satu perkara yang saya hendak sebut ialah mengenai sikap. Mungkin tuan-tuan berpendapat ini perkara remeh. Tetapi, bagi saya ia penting.

Saya beri satu misalan. Jika kita pergi ke sebuah pejabat kerajaan untuk sesuatu urusan, walau pun tidak ada orang lain yang berbaris di hadapan kita, amat jarang kita akan ditanya oleh kakitangan yang bertugas, “Ada apa yang boleh saya tolong Encik?” Kerapkali dia “buat dak” saja. Malah, kadang-kadang kita tanya sekali, dua kali dia masih “buat dak”, seolah-olah tak dengar. Setalah tiga kali bertanya, dia menunjuk dengan mulut untuk pergi ke kaunter yang lagi satu. Terlalu susah untuk membuka mulut. Terlalu susah untuk kata ”terima kasih” selepas sesuatu pembayaran dibuat, misalnya.

Saya tidak faham mengapa budaya kita demikian. Biar apa pun sebabnya, sikap itu perlu diubah. Bukankah Rasul Allah s.a.w. pun pernah bersabda bahawa senyum itu pun satu sedekah.

Sekian dahulu. Terima kasih.

69 visits