MAHKAMAH SIVIL DAN SYARIAH DI MALAYSIA: PERCANGGAHAN BIDANGKUASA (BM)

MAHKAMAH SIVIL DAN SYARIAH DI MALAYSIA: PERCANGGAHAN BIDANGKUASA
(Ringkasan Bahasa Melayu)

 

Malaysia adalah sebuah negara persekutuan. Undang-undang Persekutuan dibuat oleh Parlimen Persekutuan. Undang-undang Negeri dibuat oleh Dewan Undangan Negeri di setiap Negeri.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Senarai Persekutuan dan Senarai Negeri. Senarai Persekutuan mengandungi perkara-perkara yang Parlimen Persekutuan berkuasa membuat undang-undang. Senarai Negeri mengandungi perkara-perkata yang Dewan Undangan Negeri berkuasa membuat undang-undang.

Antara perkara-perkara yang termasuk di bawah Senarai Persekutuan ialah undang-undang dan acara mal dan jenayah, kontrak, menentukan Hukum Syarak dan lain-lain undang-undang diri bagi maksud undang-undang persekutuan dan pertaruhan dan loteri.

Antara perkara-perkara yang termasuk di bawah Senarai Negeri ialah Hukum Syarak termasuk Hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat; wakaf; mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut agama Islam terhadap rukun-rukun Islam, kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, penyusunan dan acara bagi mahkamah-mahkamah Syariah, yang akan mempunyai bidangkuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut agama Islam mengenai mana-mana perkara yang tersebut dalam perenggan 1 Senarai Negeri itu, tetapi tidak mempunyai bidangkuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang persekutuan.

Utuk menghalang mahkamah sivil membicarakan kes-kes yang termasuk di bawah bidangkuasa mahkamah syariah Perkara 121 Perlembagaan Malaysia dipinda dalam tahun 1988. Kesannya ialah jika sesuatu perkara itu termasuk dalam bidangkuasa mahkamah syariah, mahkamah sivil tidak mempunyai bidangkuasa mengenainya.

Sekarang ini nampaknya telah jelas bahawa untuk menentukan sama ada mahkamah syariah mempunyai bidangkusa dalam sesuatu perkara atau tidak, mahkamah sivil yang berhadapan dengan persoalan itu hendaklah melihat kepada undang-undang negeri sama ada ia memberikan bidangkuada dalam perkara itu kepada mahkamah syariah atau tidak. Jika mahkamah syariah mempunyai bidangkuasa mengenainya, mahkamah sivil tidak mempunyai bidangkusa. Jika tidak, ada.

Mengenai murtad nampaknya telah jelas bahawa di mana kesemua pihak dalam sesuatu kes itu adalah orang-orang Islam, mahkamah syariah mempunyai bidangkuasa mengenainya, bukan mahkamah sivil.

Walau bagaimana pun, dalam kes-kes mal, masih terdapat dua kawasan yang bermasalah. Pertama, di mana salah satu pihak dalam sesuatu kes itu bukan orang Islam seperti dalam kes Dalip Kaur. Mahkamah syariah tidak mempunyai bidangkuasa terhadapnya kerana dia bukan beragama Islam. Mahkamah sivil mempunyai bidangkuasa terhadapnya, tetapi perkara (subject matter) kes itu, ia itu murtad, terletak di bawah bidangkuasa mahkamah syariah.

Kedua, di mana dalam satu kes terdapat perkara-perkara atau persoalan-persoalan yang terletak di bawah bidang kuasa mahkamah sivil dan terdapat juga perkara-perkara atau persoalan-persoalan yang terletak di bawah bidangkuasa mahkamah syariah, seperti dalam kes Rethinasamy. Mahkamah mana mempunyai bidangkuasa membicarakan kes seperti itu?

Mengenai kes-kes jenayah, percanggahan timbul kerana, selepas pindaan kepada Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan, Dewan-Dewan Undangan Negeri membuat undang-undang mengujudkan kesalahan-kesalahan yang serupa atau bertindih dengan kesalahan-kesalan yang telah pun ujud dalam undang-undang jenayah persekutuan semenjak sebelum Merdeka lagi, seperti liwat dan bermain judi. Maka, percanggahan seperti dalam kes Sukma Darmawan cuma menunggu masa untuk timbul.

Soalannya bukankah kesalahan-kesalahan itu “undang-undang jenayah” yang terletak dalam Senarai Persekuatuan?

Bagaimana mengatasi masalah-masalah ini?

Mengenai kes-kes jenayah, Parlimen Persekutuan dan Dewan-Dewan Undangan Negeri perlulah lebih berhati-hati semasa menggubal sesuatu undang-undang mengujudkan kesalahan supaya tidak membuat undang-undang dalam perkara yang terletak di luar bidangkuasanya.

Mengenai kes-kes mal, dalam kes Lim Chan Seng dan kes Abdul Shaik saya telah mengesyorkan dua cara. Pertama, kes-kes itu dibicarakan oleh mahkamah sivil dengan dibantu oleh seorang hakim mahkamah syariah. Keputusan mengenai hukum syarak dibuat oleh hakim mahkamah syariah. Keputusannya mengikat hakim mahkamah sivil. Hakim mahkamah sivil membuat penemuan fakta, memutuskan persoalan-persoalan undang-undang mal lain yang terlibat dan mebuat keputusan muktamad kes itu.

Cara kedua ialah menyatukan kedua-dua mahkamah sivil dan syariah yang juga bererti menjadikan mahkamah syariah mahkamah persekutuan (bukan mahkamah negeri lagi). Ini melibatkan semua peringkat mahkamah. Halkim-hakim di semua peringkat dilantik daripada orang-orang yang terlatih dalam jurusan undang-undang sivil dan juga orang-orang yang terlatih dalan jurusan hukum syarak. Kes-kes yang melibatkan hukum syarak dibicarakan oleh hakim-hakim yang terlatih dlam jurusan hukum syarak. Kes-kes yang melibatkan undang-undang sivil dibicarakan oleh hakim-hakim yang terlatih dalam jurusan undang-undang sivil. Jika, dalam sesuatu kes, terdapat persoalan hukum syarak dan juga undang-undang sivil, dua orang hakim, seorang daripada setiap jurusan, membicarakannya bersama. Keputusan boleh dibuat seperti dalam syor pertama, atau mereka boleh memberi keputusan bersama. Cara ini akan juga dapat mengatasi banyak maslah yang pada masa ini dihadapi oleh mahkamah syariah. Tajuk ini memerlukan satu kertas kerja berasingan.

24 Oktober 2000

885 visits