MAHKAMAH SYARI’AH: REALITI DAN PENDEKATAN

KONVENSYEN PEGUAM SYAR’IE PULAU PINANG
5 Oktober 2013
MAHKAMAH SYARI’AH: REALITI DAN PENDEKATAN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad
(Mantan Ketua Hakim Negara Malaysia)

 

 


Saya mula terlibat dalam hal-hal yang berkaitan dengan mahkamah syari’ah semenjak tahun 1980, ia itu semasa saya menjadi Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan. Pada masa itu kita sedang menggubal undang-undang acara jenayah, acara sivil dan lain-lain untuk dipakai di mahkamah syari’ah. Semenjak itu saya terus terlibat dalam berbagai-bagai hal mengenainya, termasuklah menggerakkan pengwartaan Mahkamah Rayuan Syar’iah Pulau Pinang, pelantikan Ketua Hakim Syar’ienya yang pertama, menjadi ahli Panel Hakim Syar’ienya, mengadakan persidangannya yang pertama selepas tiga tahun dan duduk sebagai salah seorang ahli panel hakimnya. Selain daripada itu, saya juga berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Sivil dan Syari’ah Negeri Pulau Pinang dan kemudiannya sebagai ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Sivil dan Syari’ah di Perigkat Kebangsaan. Sebagai seorang hakim mahkamah sivil, saya telah menulis penghakiman mengenai percanggahan bidangkuasa mahkamah sivil dan syaria’h semenjak saya menjadi seorang Pesuruhjaya Kehakiman, seorang Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Persekutuan, malah Ketua Hakim Negara. Malah saya juga telah menulis satu penghakiman Mahkamah Rayuan Syari’ah Negeri Pulau Pinang, mungkin satu penghakiman yang paling panjang dalam sejarah mahkamah itu, hingga sekarang. Saya juga telah menulis, menyampaikan dan/atau membentangkan berpuluh-puluh rencana, ucapan, kertas kerja mengenainya di dalam dan luar negara, yang kesemuanya boleh didapati di dalam laman web saya: http://www.tunabdulhmid.my

Sekarang, lebih daripada tiga dekat kemudian, satu tempoh yang mungkin sama panjang dengan umur sesetengah peserta konvensyen ini, saya fikir, saya layak untuk bercakap daripada pengalaman dan pemerhatian saya.

Semasa penjajahan British pun, hal mengenai agama Islam dan adat istiadat Melayu dibiarkan berada di bawah kuasa Raja-Raja Melayu. Maka tidak hairanlah jika, apabila Perlembagaan Persekutuan digubal ia terus dikekalkan di bawah kuasa Raja-Raja Melayu. Raja-Raja Melayu tentu sekali tidak bersetuju dan tidak kan bersetuju untuk melepaskannya. Anehnya, di peringkat awal rundingan mengenai perlembagaan, Raja-Raja Melayu tidak bersetuju agama Islam dijadikan agama perekutuan. Mungkin mereka telah salah dinasihatkan jika agama Islam dijadikan agama persekutuan kuasa mereka mengenainya akan terhakis. Sebaliknya UMNO menuntut Islam dijadikan agama “rasmi” persekutuan. Maka ia termaktub dalam perlembagaan kita.

Walau pun, tanpa perkataan “rasmi”, syukurlah Islam diisytiharkan agama Persekutuan. Jika tidak bayangkanlah “landscape” Malaysia hari ini. (Untuk mengetahui lebih lanjut, sila baca kertas kerja saya bertajuk “Islam dan tafsiran keperlembagaan oleh mahkamah di Malaysia” http://www.tunabdulhamid.my)

Berikutan dari itu, kuasa perundangan dan pentadbirannya diletak di bawah bidangkuasa kerajaan negeri, melainkan bagi wilayah persekutuan yang diwujudkan kemudiannya dan penetapan “undang-undang Islam” untuk tujuan perundangan persekutuan. (Jadual Ke-9 Senarai I, Perenggan 4(k)).

Maka kuasa untuk menubuh mahkamah syari’ah, untuk membuat undang-undang mengegai “precept of Islam” dan hal-hal yang berkaitan dengannya juga diberi kepada Dewan Undangan Negeri. Maka jadilah mahkamah syari’ah mahkamah negeri, kesalahan-kesalan mengenai “precept of Islam” kesalahan di bawah undang-undang negeri yang dikuatkuasakan oleh mahkamah syari’ah, peguam-peguam syar’ie peguam untuk sesuatu negeri dan seterusnya.

Pada masa perlembagaan digubalkan, peruntukan seperti ini memang tidak dapat dielakkan kerana Raja-Raja Melayu semestinya tidak akan bersetuju kuasa itu diletakkan di bawah kerajaan persekutuan. Malah hari ini pun, saya percaya, pandangan itu masih tidak berubah.

Lagi pula, pada masa itu, hal-hal agama Islam itu dilihat sebagai hal-hal mengenai ibadat dan undang-undang keluarga sahaja yang melibatkan orang Melayu khasnya yang, pada masa itu, tinggal di kampung-kampung dan berkerja sebagai pasawah, penurih getah dan nelayan. Perkahwinan biasanya sama ada sama sekampung atau kampung-kampung berhampiran. Perkahwinan di antara orang-orang Melayu dengan orang bukan Melayu amat jarang dan apabila berlaku, yang bukan Melayu akan “masuk Melayu”. Orang-orang bukan Islam, apatah lagi yang terpelajar dan berada, jarang sekali memaluk Islam. Harta sepencarian dan pesaka biasanya melibatkan tanah pertanian dalam daerah yang sama. Zakat hanya zakat padi semusim setahun. Maka, pada masa itu, itulah pilihan terbaik dan sesuai.

Sekarang, 55 tahun kemudian, perubahan besar telah berlaku. Malaya talah menjadi Malaysia dan daripada sebuah negara pertanian ia telah menjadi sebuah negara peridustrian. Akibat pelajaran dan kedududkan ekonomi yang telah meningkat, masyarakat Melayu juga telah berubah. Pergerakan penduduk di antara negeri-negeri telah menjadi perkara biasa. Hampir setiap keluarga di setiap kampung ada ada saudara maranya di Kuala Lumpur atau di negeri lain. Perkahwinan di antara penduduk berlainan negeri, termasuk Sabah dan Sarawak dan keturunan yang berlainan bukan suatu perkara yang asing lagi. Penganutan agama Islam oleh orang-orang yang dilahirkan bukan Islam lebih kerap berlaku. Harta sepencarian dan pesaka kerapkali termasuk hartanah dan juga saham dalam syariakat-syarikat dan akaun bank di beberapa buah negeri dan di luar negara dan seterusnya.

Semua ini telah menimbulkan masalah-masalah baru yang tidak terfikir akan berlaku semasa penggubalan perlembagaan itu. Sebagai misalan, pertama, pada masa itu, apa yang difikirkan sebagai hukum syarak, khususnya mengenai ibadat dan undang-undang keluarga itu, adalah berkaitan dengan orang-orang yang menganut agama Islam, yang bererti manusia Muslim atau “orang-orang yang beriman”. Undang-undang Islam yang akan dikanunkan adalah undang-undang yang terpakai kepada atau akan dipakai kepada orang-orang (manusia) yang manganut (atau beriman dengan) agama Islam. Maka diperuntukkanlah bahawa undang-undang yang akan dibuat di bawah Senarai II dan akan dilaksanakan oleh mahkamah syari’ah itu hanyalah terhad kepada orang-orang yang menganut agama Islam. Tiada siapa terfikir bahawa Majlis Agama Islam akan terpaksa membuat permohonan seperti yang telah berlaku dalam beberapa kes murtad, sedangkan Majlis Agama Islam pun bukanlah “orang yang menganut agama Islam”.

Kedua, bidangkuasa yang terhad kepada sesebuah negeri telah menimbulkan masalah kerana perpindahan penduduk, perkahwinan di luar negeri sendiri dan pemilikan harta di lebih daripada sebuah negeri.

Ketiga, ada kes yang melibatkat isu syari’ah tetapi salah sau pihaknya bukan orang yag beragama Islam.

Keempat, ada kes yang didalamnya terdapat isu syari’ah dan isu undang-undang sivil, malah isu-isu keperlembagaan.

Mengenai percanggahan bidangkuasa di antara mahkamah sivil dan makamah syari’ah, banyak orang salah sangka bahawa masalah itu telah selesai dengan pindaan kepada Perkara 121 Perlembagaan Perekutuan dan pengwujudan Kalusa 121(1)(A). Sebenarnya tidak.

Saya hanya menyebut semua ini dengan ringkas sahaja kerana saya telah terlalu banyak menulis atau bercakap megenainya sama ada melalui penghakiman-penghakiman, kerta-kertas kerja, ucapan-ucapan dan rencana-rencana saya dalam tempoh yang lebih daripada dua dekad. Semuanya boleh didapati dalam laman web saya.

Kita perhatikan bahawa mahkamah sivil memberi kesan kepada pindaan tersebut. Jika sesuatu isu itu isu syari’ah dan terletak dalam bidangkuasa mahkamah syari’ah, mahkamah sivil tidak akan membuat keputusan bagi kes itu di atas meritnnya. Ia akan menolak permohonan itu atas alasan bahawa perkara itu terletak di dalam bidangkuasa mahkamah syariah. Ini dapat dilihat dalam kes-kes murtad. Walau pun pemohon mangatakan bahawa dia bukan lagi seorang Islam mahkamah sivil masih mengambil pendirian bahawa selagi mahkamah syari’ah tidak mengisytiharkannya sebagai seorang bukan Islam, mahkamah sivil akan terus menganggapnya seorang Islam dan oleh itu mahkamah syari’ah masih mempunyai bidangkuasa ke atasnya – Lihat Kamariah bt Ali lwn Kerajaan Negeri Kelantan, Malaysia & Yg Ln (dan 3 Rayuan Yg Ln) [2002] 3 AMR 3512 (MR); Lina Joy v Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & 2 Yg Ln [2007] 3 AMR 693 (MP).

Dalam kes Kamariah, keputusan itu dibuat berasaskan seksyen 102 Enakmen 4/1994 (Kelantan) yang mengatakan:

“(1)Tiada seorangpun yang telah diakui beragama Islam boleh mengaku bahawa dia bukan Islam melainkan setelah Mahkamah memberi pengesahan sedimikian.

(2) Sebelum Mahkamah membuat pengesahannya, seseorang itu hendaklah dianggap beragama Islam dan segala perkara yang berkaitan dengan Agama Islam adalah terkena ke atasnya.”

Tetapi, bagi negeri-negeri yang undang-undangnya tidak mempunyai peruntukan sedemikian, di mana mahkamah hendak menyandarkan keputusan itu?

Saya difahamkan bahawa permohonan-permohonan telah mula dibuat oleh orang-orang yang mengatakan mereka telah murtad di mahkamah syari’ah dan mahkamah syari’ah telah pun mendengarnya dan membuat perintah yang dipohon. Hal itu terletak dalam bidangkuasa mahkamah syari’ah dan mahkamah syari’ah perlulah memutuskan kes-kes itu. Sama ada seorang peguam syar’ie patut atau tidak patut mewakili pemohon-pemohon dalam kes-kes itu adalah soal hukum dan soal peribadi peguam-peguam syar’ie berkenaan. Saya tidak mahu beri pandangan mengeninya.

Tetapi, perlu diingati bahawa pendekatan yang diambil oleh mahkamah sivil itu pun tidak menyelesai semua masalah. Ia adalah sesuai jika pemohon itu orang yang sebelumnya beragama Islam dan mengatakan dia sudah murtad. Bagaimana jika seperti dalam kes Dalip Kaur di mana pemohon adah ibu si-mati yang dikatakan telah murtad itu? Mahkamah syari’ah tiada bidangkuasa terhadapnya kerana dia memang bukan seorang Islam. Maka, dia tidak boleh pergi ke mahkamah sivil kerana murtad terletak dalam bidangkuasa mahkamah syari’ah dan dia tidak boleh pergi ke mahkamah syari’ah kerana dia bukan seorang Islam.

Jadi, masalah bidangkuasa ini belum selesai dan tidak boleh diselesaikan oleh mahkamah, baik mahkamah sivil atau mahkamah syari’ah, sebab mahkamah bukan Parlimen. Mahkamah tidak boleh membuat undang-undang. Itu tugas Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Dalam kes Latifah Bte at Zin v Rosmawati Bte Sharibun (2007) 5 MLJ 101 (FC), saya berkata:

“The problem is, everyone looks to the court to solve the problem of the Legislature. Judges too, (including myself), unwittingly, took upon themselves the responsibility to solve the problem of the legislature because they believe that they have to decide the case before them one way or the other. That, in my view is a mistake. The function of the court is to apply the law, not (to) make or to amend (the) law….. Knowing the inadequacy of the law, it is for the Legislature to remedy it, by amendment or by making new law. It is not the court’s function to try to remedy it.”

Semenjak tahun 1996 lagi (tujuh belas tahun dahulu), semasa saya baru menjadi Hakim Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang ini, saya telah mencadangkan bagaimana kita hendak mengatasi masalah bidangkuasa ini. Ini saya lakukan dalam penghakiman saya dalam kes Lim Chan Seng v Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (1996) 3 CLJ 231. Saya mencadangkan bahawa untuk mengatasi masalah ini, dua cara boleh dilakukan. Pertama, di mana terdapat isu syari’ah dalam kes di mahkamah sivil, hakim mahkamah sivil hendaklah bersidang bersama seorang hakim syar’ie. Kedua, cantumkan kedua-dua mahkamah. Saya telah mengulanginya beberapa kali dalam penghakiman, rencana, kertas kerja, kuliah dan ucaptama sehinggalah yang terakhir sekali dalam bulan Mei lepas dalam kuliah umum di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya bertajuk “55 tahun pelaksanaan peruntukan-peruntukan mengenai Islam dalam Perlembagaan Persekutuan: masalah dan penyelesaian.” Saya tidak fikir apa-apa akan berlaku semasa hayat saya.

Faktor paling utama yang memberi kesan negatif kepada pembangunan mahkamah syariah ialah kerana ia terletak di bawah bidang kuasa negeri dan bukan di bawah bidangkuasa perekutuan. Untuk perbincangan lanjut sila lihat “Sistem Kehakiman dan Perundangan Di Malaysia: Satu Wawasan”. (lihat http://www.tunabdulhamid.my (Anihnya, kertas itu adalah yang kedua paling banyak dibaca oleh pengunjung walaupun ia ditulis dalam tahun 2001.) Akibatnya mahkamah syari’ah di sesebuah negeri itu kecil, baik dari segi bilangan kes yang didaftarkan, bilangan hakim dan seterusnya. Sebagai misalan, sebanyak 24 kes didaftarkan di Mahkamah Rayuan Syari’ah Pulau Pinang dalam tahun 2012 berbanding dengan 6,053 kes (daripada berbagai jenis) di Mahkamah Rayuan sivil. (Saya kembarkan sekeping gambar yang menunjukkan fail-fail bagi satu kes rayuan di Mahkamah Rayuan sivil – Lampiran “A”). Oleh sebab bilangan pegawai dan hakim kecil, bilangan jawatannya juga kecil. Peluang kenaikan pangkat mungkin berkurangan.

Di sebaliknya, adalah lebih mudah menjadi Ketua Hakim Syari’e daripada menjadi Ketua Hakim Negara. Ini kerana jawatan Ketua Hakim Negara cuma satu berbanding dengan 14 jawatan Ketua Hakim Syar’ie. Saya perhatikan, seseorang itu boleh menjadi Ketua Hakim Syar’ie pada umur yang lebih muda daripada umur seorang pegawai kehakiman dan perundangan atau peguam dilantik menjadi pesuruhjaya kehakiman di mahkamah sivil. Di Pulau Pinang ini, terdapat tiga orang Hakim Mahkamah Tinggi Syari’ah dan seorang Ketua Hakim Syar’ie. Ertinya setiap orang Hakim Mahkamah Tinggi Syar’iah di Pulau Pinang mempunyai satu pertiga peluang untuk menjadi Ketua Hakim Syar’ie. (Di Perlis mungkin seratus peratus!)

Dalam ucapan saya bertajuk “Sistem Kehakiman dan Perundangan Di Malaysia: Satu Wawasan”, saya menyatakan bahawa untuk memperbaiki keadaan di mahkamah syari’ah, mahkamah syaria’h perlulah diletakkan di bawah bidangkuasa Kerajan persekutuan.

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan (ini kali pertama saya mencritakanya), YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad, yang pada masa itu menjadi Perdana Menteri Malaysia, telah membaca kertas itu. Beliau menulis sepucuk surat ringkas kepada saya. Katanya (daripada ingatan saya) beliau telah membacanya dengan teliti dan beliau dapati hujah-hujah saya itu sangat lojik, tetapi, malangnya, di Malaysia ini orang ramai tidak berfikir demikian. Harapan beliau adalah pada suatu masa kelak orang ramai akan berfikir dengan rasional.

Terus terang saya katakan, saya tidak mengharapkan apa-apa akan berlaku semasa hayat saya. Bukan sahaja orang Melayu/Islam umumnya tidak berfikir dengan rasional dalam hal ini, di kebelakangan ini, dalam hal-hal yang menggugat hak-hak orang Melayu dan Agama Islam pun, orang Melayu tidak dapat berfikir dengan rasional. Mereka diselubungi oleh ketaksuban dan emosi.

Peguam-peguam syar’ie juga berada dalam keadaan yang serupa dengan hakim-hakim mahkamah syari’ah. Berapa kes seorang peguam syar’ie boleh dapat setahun? Apa jenis-jenis kes-kes itu? Berapa fi yang boleh dikenakan bagi sesuatu kes? Sekurang-kurang hakim-hakim mahkamah syari’ah begaji tetap, tidak kira berapa banyak kes yang dikendalikannya. Bagi peguam syar’ie, tiada kes tiada pendapatan.

Demikian juga dengan pegawai-pegawai pendakwa syari’ah. Berapa pendakwaan yang mereka lakukan setahun dan apa jenisnya? Dari segi pengalaman pun mereka tidak dapat menandingi pendakwa-pendakwa raya sivil.

Itu hakikatnya. Suka atau tidak suka kita terpaksa menerimanya. Tak perlulak menghabiskan masa menuntut penambahan bidangkuasa dan mengambilalih mahkamah sivil. Ia tidak akan berlaku dan, dalam keadaan di Malaysia, saya fikir, lebih baik jika tidak berlaku. Status quo sekarang adalah lebih baik daripada ketidak-tentuan yang akan berikut sesuatu perubahan yang mengejut tanpa perancangan dan persediaan secukupnya. Untuk membuang apa yang ada adalah mudah tetapi untuk menggantinya dengan sesuatu yang lebih baik tidak semudah itu. Apatah lagi jika orang-orang yang memperjuangkan perubahan itu pun tidak tahu lebih daripada melaung-laungkan slogan dan retorik sedangkan mereka pun tidak tahu apa yang hendak digantikan dengan apa secara detail.

Apabila saya dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pengharmonian Undang-Undang Bank Negara Melaysia, saya sangkakan, memandangkan betapa banyaknya universiti Islam, kolej Islam, institusi pengajian dan penyelidikan Islam, fakulti syari’ah, fakulti undang-undang dan syari’ah, persatuan-persatuan Islam (termasuk persatuan ulamak), doctor-doktor falsafah mengenai perbandingan undang-undang dan seterusnya, tentulah telah banyak penemuan telah dibuat mengenai undang-undang sivil berkaitan dengan berbankan, kewangan, takaful dan perdagangan yang tak patuh syari’ah. Saya menulis tidak kurang daripada 40 pucuk surat kepada semua badan-badan itu meminta mereka mengemukakan penemuan mereka. Baritahu peruntukan mana dalam undang-undang mana yang tak patuh syari’ah dan nyatakan kedudukan syari’ahnya. Jawatankuasa itu akan menggubal rang undang-undang untuk di kemukakan kepada Kerajaan untuk diertimbangkan untuk dijadikan undang-undang. Selepas itu saya masuk ke hospital. Apabila saya bangun semula enam bulan kemudian selepas tiga pembedahan, saya bertanya pegawai-pegawai Bank Negara Malaysia yang melawat saya di hospital mengenai response kepada surat-surat itu. Jawapannya: TIADA. Itu realitinya. Sehingga hari ini, saya telah berucap berbelas kali di universiti-universiti dan di persidangan-persidangan meminta sumbangan semua pihak yang telah membuat kajian-kajian seperti itu. Malangnya tiada hasilnya.

Maka, terpaksalah jawatankuasa itu sendiri yang ahli-ahlinya terdiri daripada peguam-peguam sivil, pegawai-pegawai bank, pegawai-pegawai Bank Negara Malaysia, pegawai-pegawai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara dan ahli syariah daripada ISRA melakukan semakan undang-undang itu. Kita telah menyemak 17 akta setakat ini dan mengenal pasti peruntukan-peruntukan yang perlu dipinda. Ada yang telah pun berkuatkuasa.

Sebenarnya, hal seperti itu telah berlaku semasa kita menggubal undang-undang acara mal dan jenayah dahulu. Oleh sebab tidak ada sesiapa yang dapat mengemukakan draf acara mal dan jenayah syar’ie, maka akhirnya, kita menerima pakai peruntukan-peruntukan yang dipakai di mahkamah sivil, dengan pengubahsuain yang perlu. Hari ini ia dikenali sabagai acara mal dan acara jenayah syari’ah, walau pun sebelumnya ia dicap sebagai “undang-undang sekular”, malah “undang-undang kafir”. Saya sendiri pernah mendengar kata-kata itu.

Bagi saya, tiada salahnya kita berbuat demikian. “What is not un-Islamic is Islamic”. Itu falsafah saya. Ia mungkin sesuatu yang sebelumnya tidak ada atau berbeza daripada apa yang ada di zaman kerajaan Madinah atau empayar Islam. Asalkan ia tidak bercanggah dengan syari’ah, maka patuh syari’ahlah ia. Saya katakan bahawa acara yang kita pakai di mahkamah sivil dan di mahkamah syari’ah di Malaysia hari ini adalah lebih baik dan lebih menepati maqasid syari’ah daripada apa yang pernah dipakai di sepanjang sejarah ummat Islam, termasuk di zaman Abu Yusuf dan Ibn Qayyim al-Jawziyyah. Jika ada yang lebih baik dan lebih “Islamic” tolong kemukakan.

Apakah yang boleh dan patut kita lakukan untuk memperpaiki keadaan di mahkamah syari’ah dan hal-hal yang berkait dengannya?

Sekali lagi, kita mesti realistik. Kita patut terima pembahagian bidangkuasa yang diperuntukkan oleh perlembagan dan berbuat sesuatu di dalam sistem yang sedia ada (work within the system).

Pengwujudan skim gunasama pegawai-pegawai kehakiman dan perundangan syari’ah dan pinjaman (secondment) pegawai-pegawai syari’ah oleh Jabatan Peguam Negara, misalnya, adalah satu usaha yang amat baik. Ia meluaskan pengalaman pegawai-pegawai syari’ah dan membolehkan pegawai-pegawai yang lebih layak dilantik ke jawatan-jawatan yang sesuai.

Di peringkat pribadi, perluaskanlah bacaan dan pengalaman. Peliharalah inegriti dan kehormatan diri. Keputusan hendaklah dibuat sendiri dan alasan penghakiman hendaklah ditulis sendiri. Saya telah menulis lebih kurang 650 penghakiman dan lebih kurang 150 ucapan, kuliah, rencana dan kertas kerja. Saya boleh katakan bahawa saya telah menulis setiap patah perkataan dan meletakkan setiap koma dan noktah kepadanya.

Elaklah berulangnya peristiwa seperti yang pernah diceritakan kepada saya lima enam tahun dahulu. Anak kawan saya mempunyai satu kes jagaan anak di sebuah Mahkamah Tinggi Syari’ah. Beliau menang kes itu. Memanglah beliau gembira. Tetapi, apa katanya, “Siapalah yang menulis keputusan mahkamah itu kepada hakim itu?” Saya bertanya mengapa dia berkata demikian. Jawabnya, “Semasa membaca keputusan itu hakim itu, antara lain, membaca, “..…maka mahkamah …..lihat sebelah…..memerinthkan hak jagaan diberi kepada pihak menuntut….’” Tambahnya, “Kalau dia yang menulis keputusan itu, takkanlah arahan “lihat sebelah” pun dia nak baca?” Bayangkan bagaimana kesannya kepada imej hakim itu dan mahkamah syariah. Saya percaya perkara seperti ini tidak berlaku lagi sekarang. Jagalah imej diri dan mahkamah.

Satu perkara yang yang saya fikir amat penting diberi perhatian ialah urusan mengeluarkan “sijil faraid”. Apabila saya pulang ke kampung, saya dengar cerita ada orang yang telah mendapat perintah pembahagian pesaka dengan menyorok waris-waris lain. Semasa saya menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, saya menerima satu permohonan pembahagian pesaka. Saya perhatikan sijil faraid yang dikemukakan. Terdapat lima keturunan, setiap keturunan mempunyai seorang waris lelaki sehinggalah kepada Pemohon. Siji faraid menyatakan bahawa dia adalah waris tunggal dan berhak mendapat kesemua pesaka tersebut. Saya menolaknya kerana saya dapati keadaan yang dinyatakan itu amat tidak munasabah dan saya percaya ada waris yang disorok di kelima-kelima keturunan itu. Maka, saya mengambil kesempatan ini untuk menarik perhatian peguam-peguam, Pentadbir tanah dan hakim-hakim mahkamah syari’ah dan juga hakim-hakim mahkamah sivil supaya lebih berhati-hati semasa mengendalikan permohonan sijil faraid dan pembahagian pesaka.

Lojiknya, adalah lebih mudah menguruskan satu sistem mahkamah yang lebih kecil, yang beban kerjanya tidak terlalu banyak. Keutamaan hendaklah ditumpukan kearah meningkatkan kecekapan dan integriti. Jika mahkamah syari’ah berjaya meningkatkan kecekapannya dan integritinya, dengan sendirinya ia akan dihormati dan dikagumi.

Terima kasih.