KEWAJIPAN SYARIKAT MEMBAYAR ZAKAT: ISU-ISU YANG BERBANGKIT DARIPADA PRINSIP ‘ENTITI BERASINGAN DI SISI UNDANG-UNDANG’

KEWAJIPAN SYARIKAT MEMBAYAR ZAKAT: ISU-ISU YANG BERBANGKIT DARIPADA PRINSIP ‘ENTITI BERASINGAN DI SISI UNDANG-UNDANG’
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

Saya menulis rencana ini bukan untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan fatwa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor. Saya hanya cuba memahami asas atau rasional keputusan/fatwa itu kerana ia melibatkan penggunaan satu daripada banyak kewajipan agama manusia Muslim kepada “entiti berasingan di sisi undang-undang” yang dicipta oleh undang-undang bagi maksud tertentu bukan agama, entiti yang tidak dan tidak boleh, “beriman” (Muslim) atau tidak dan tidak boleh “tidak beriman” (bukan Muslim).

Memanglah seorang manusia Muslim yang merdeka, dewasa, cukup akal wajib membayar zakat jika syarat-syaratnya dipenuhi. Itu telah diselesaikan semenjak zaman Nabi Muhammad s.a.w. Tetapi, apabila kewajipan agama dipanjangkan kepada entiti undang-undang yang dicipta oleh undang-undang untuk tujuan tertentu bukan agama, tidak dapat tidak kita akan berhadapan dengan isu-isu baru. Saya sedar bahawa ada pakar-pakar Syari’ah yang mengatakan bahawa entiti seperti baitul mal, wakaf dan masjid diiktiraf sebagai satu “entiti undang-undang’”. (Sebenarnya, mereka itu memandang ke belakang, dengan prinsip moden “entiti berasingan di sisi undang-undang” dalam fikiran mereka, cuba mencari persamaan dan justifikasi.” Tetapi, soalnya, adakah kesan pengiktirafan itu sama seperti di bawah prinsip “entiti berasingan di sisi undang-undang” yang berkuatkuasa sekarang? Adakah mereka menganggap baitul mal, wakaf dan masjid sebagai manusia Muslim untuk semua kewajipan agama seperti seorang manusia Muslim?

Saya tidak fikir terdapat apa-apa pertikaian bahawa Allah s.w.t. telah mengutus nabi-nabi kepada manusia dan bahawa agama adalah untuk manusia kerana manusia boleh percaya atau tidak percaya, menerima atau menolak iman. Nabi Muhammad s.a.w juga tidak berdakwah kepada selain daripada manusia kerana manusia, boleh menerima atau menolak Islam dan menjadi Muslim atau bukan Muslim. Al-Quran juga ditujukan kepada manusia. Sebab itulah terdapat banyak ayat-ayat yang bermula dengan “Wahai manusia ….” dan banyak pula ayat-ayat yang bermula dengan “Wahai orang-orang yang beriman …..”.

Apabila manusia menerima Islam sebagai agama mereka, beberapa perkara menjadi kewajipan mereka, misalan yang paling mudah ialah apa yang dipanggil “Rukun Islam” yang terdiri daripada syahadah, solat, puasa, zakat, dan haji.

Mengenai puasa, misalnya, Al-Quran mengatakan:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” – Al-Baqarah 183.

Mengenai zakat, ayat berikut telah dijadikan sandaran oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Selangor:

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.” – Al-Baqarah 267.

Perhatikan bahawa kedua-duanya ditujukan kepada “Orang-orang yang beriman”. Satu ayat lagi menyimpulkannya:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. – Al-Baqarah 277.

Ini adalah kewajipan ke atas orang Islam, orang-orang yang beriman atau manusia Muslim.

Apakah yang dimaksudkan dengan “syarikat berhad” atau, apakah yang dikatakan prinsip “entiti berasingan di sisi undang-undang” seperti yang dinyatakan dalam penghakiman House of Lords England dalam kes Salomon v. A. Salomon & Co. Ltd. (1897) AC 22 yang telah dikanunkan dalam Akta Syarikat 1965? Ia adalah satu prinsip common law yang telah diberi pengiktirafan berkanun.

Apabila sebuah syarikat ditubuhkan di Malaysia di bawah Akta Syarikat 1965, dengan kuatkuasa undang-undang, ia mempunyai “entiti berasingan di sisi undang-undang” sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang. Tujuan undang-undang itu ialah untuk menggalakkan pembangunan perniagaan dengan membolehkan pelabur untuk melabur dalam sesuatu usaha (venture) tanpa bertanggungan di sisi undang-undang tort atau kontrak bagi syarikat itu. Oleh itu, pemegang saham sesebuah syarikat hanya bertanggungjawab (liable) untuk membayar hutang syarikat itu setakat nilai kepentingan pemilikan saham mereka sahaja. Dalam usaha untuk mencapai tujuan ini, undang-undang mengiktiraf entiti itu sebagai “orang undang-undang”, dan ia dibenarkan untuk memiliki harta, membuat kontrak, mengambil tindakan undang-undang atau diambil tindakan undang-undang terhadapnya (sue and be sued). Undang-undang tidak menjadikan sebuah syarikat itu Muslim atau bukan Muslim.

Dengan latar belakang itu, mari kita merujuk kepada keputusan/fatwa berkaitan.

Kedua-dua keputusan/fatwa itu jelas mengatakan bahawa syarikat wajib membayar zakat.

Fatwa Selangor cukup jelas dan konsisten bahawa kewajipan syarikat adalah untuk membayar “bagi pihak” pemegang saham iaitu zakat pemegang saham.

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak begitu jelas. Teks keputusan memberi gambaran bahawa syarikat wajib membayar zakatnya sendiri. Walau bagaimanapun, dalam alasan yang berikut, ia tiba-tiba menggunakan perkataan “bagi pihak” (pemegang saham).

Kedua-dua Jawatankuasa memberi alasan yang sama. Kedua-duanya bergantung kepada ayat al-Quran yang sama, iaitu surah Al-Baqarah ayat 267 yang telah diperturunkan di atas. Kedua-dua Jawatankuasa itu bergantung kepada hadith yang sama berkenaan dengan cara pengiraan zakat apabila bahagian individu (contohnya rakan kongsi) tidak dapat dipisahkan.

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan selanjutnya menyatakan:

“Syarikat yang dimiliki bersama antara orang Islam dan bukan Islam, maka wajib ke atas jumlah saham yang dimiliki oleh orang Islam sahaja berdasarkan pendapatan bersih yang diperolehi.” Fatwa Selangor mempunyai kesan yang sama.

Bagaimana Jawatankuasa-jawatankuasa itu membuat kesimpulan mereka?

Mereka menganggap bahawa di sebalik setiap syarikat ada manusia (pemegang saham). Mereka mengenakan agama pemegang saham itu kepada syarikat. Jika pemegang saham itu orang Islam, syarikat itu dianggap sebagai seorang Muslim dan wajib membayar zakat. Di mana sebahagian daripada pemegang saham itu orang Islam dan sebahagiannya bukan Islam, hanya bahagian orang Islam (daripada pendapatan bersih) yang kena membayar zakat.

Komen saya

Pertama, Jawatankuasa-jawatankuasa itu gagal membuat perbezaan antara seorang manusia yang beragama Islam dengan sebuah syarikat apabila mereka mengenakan kewajipan untuk membayar zakat kepada syarikat. Zakat adalah salah satu daripada Rukun Islam yang menjadi satu kewajipan ke atas manusia individu yang beriman dengan Rukun Iman dan, oleh itu, Muslim (atau “orang yang beriman”). Rukun Islam tidak terpakai walaupun kepada manusia yang bukan “orang yang beriman” (Muslim) apatah lagi kepada entiti undang-undang yang dicipta oleh undang-undang sekular. Bagaimana syarikat membuat pengakuan iman (syahadah), solat, puasa dan menunaikan haji? Dengan berbuat demikian, Jawatankuasa-Jawatankuasa itu membezakan zakat daripada kewajipan lain. Mereka menyamakan sebuah syarikat dengan seorang manusia Muslim, tetapi hanya untuk tujuan zakat sahaja. Mereka bergantung kepada ayat al-Quran yang disebut sebelum ini yang jelas hanya terpakai kepada manusia yang mampu untuk beriman atau tidak beriman. Syarikat tidak boleh beriman atau tidak beriman dengan Islam atau memilih untuk menjadi seorang Muslim atau tidak.

Kedua, Jawatankuasa-jawatankuasa itu gagal membuat perbezaan antara syarikat dengan perniagaan tunggal (sole proprietorship) atau perkongsian (partnership). Dalam kes perniagaan tunggal atau perkongsian, pemilik manusia Muslim atau rakan kongsi Muslim itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang wajib membayar zakat daripada aktiviti perniagaannya sama ada dalam bentuk pemilik tunggal atau perkongsian. Prinsip entiti undang-undang berasingan tidak terpakai kepada pemilik tunggal dan perkongsian.

Ketiga, Jawatankuasa-jawatankuasa itu mengenakan (impute) agama pemegang saham kepada syarikat: jika mereka beragama Islam, syarikat itu disifatkan sebagai seorang Muslim yang mempunyai tanggungjawab yang sama mengenai zakat. Pertama, itu melanggar prinsip entiti undang-undang berasingan. Tambahan pula, bagaimana kita boleh mengenakan agama kepada suatu perbadanan yang bukan manusia, yang diiktiraf sebagai sebuah entiti yang sah oleh undang-undang (common law dan undang-undang berkanun) hanya untuk tujuan tertentu bukan agama? Mengapa tanggungjawab itu hanya terhad kepada zakat dan atas dasar apa?

Keempat, katakanlah kita boleh mengenakan agama pemegang saham kepada syarikat (pada pandangan saya, tidak), beberapa pemegang saham besar mungkin bukan manusia. Mereka boleh jadi syarikat-syarikat lain, termasuk Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Bank Negara. (Adakah Tabung Haji seorang Muslim walaupun ia “haji”?). Mungkin ada banyak lapisan pemegang saham seperti itu yang mereka sendiri tidak mempunyai agama untuk dikenakan kepada syarikat yang pertama tersebut.

Zakat siapa syarikat bertanggungjawab untuk membayar?

Jika kewajipan syarikat itu adalah untuk membayar zakatnya sendiri, isu yang dibangkitkan di atas adalah berkenaan iaitu adakah sebuah syarikat itu seorang yang merdeka, dewasa, waras, Muslim yang mampu beriman dan kafir dan dengan kewajipan untuk melaksanakan lima rukun Islam serta suruhan lain selain daripada mengelak apa yang dilarang?

Jika tanggungjawab itu adalah untuk membayar zakat pemegang saham, ertinya kita meletakkan beban agama yang lebih tinggi ke atas syarikat daripada manusia Muslim. Pertama, kita menganggapnya sebagai seorang manusia Muslim. Kedua, kita meletakkan ke atasnya kewajipan untuk membayar zakat orang lain. Seorang manusia Muslim pun tidak perlu membayar zakat manusia Muslim lain.

Undang-undang adalah jelas bahawa apa sahaja yang diperolehi oleh syarikat dimiliki oleh syarikat. Syarikat itu boleh mengisytiharkan dividen atau tidak. Jika ia berbuat demikian, hanya apabila pemegang saham menerima dividen, barulah mereka, secara bersendirian, wajib membayar zakat jika syarat-syarat untuk zakat dipenuhi, seperti jumlahnya mencukupi untuk menarik kewajipan membayar zakat. Jika, sehingga itu, pemegang saham sendiri tidak wajib membayar zakat atau mereka tidak langsung wajib membayar zakat, mengapa syarikat diwajibkan membayar zakat mereka?

Terutama sekali, dalam syarikat tersenarai, bagaimana dikira berapa banyak pemegang saham Muslim dan bukan Muslim, sedangkan is bertukar setiap hari? Oleh sebab (jika) zakat itu zakat pemegang saham, adakah nisab untuk setiap pemegang saham dikira? Untuk mencukupkan haul, adakah pendapatan syarikat yang tersimpan setahun atau lebih sahaja yang kena zakat? Jika disimpan selama satu tahun pun, ia masih pendapatan syarikat. Ia belum menjadi pendapatan pemegang saham. Haul pemegang saham, yang zakatnya dibayar oleh syarikat, tetap tidak cukup. Sebaliknya, nampaknya seolah-olah semua pendapatan yang diterima oleh syarikat dalam tempoh satu tahun itu yang dikenakan zakat, walaupun ia hanya berumur sehari dan belum menjadi pendapatan pemegang saham. Dalam keadaan itu, wajibkan pemegang saham membayar zakat? Jika belum, bagaimana syarikat wajib membayar bagi pihaknya?

Daripada dana siapa syarikat itu membayar zakat pemegang saham? Jelas sekali ia adalah daripada dana syarikat itu sendiri. Adakah itu betul? Tidakkah itu sama dengan syarikat menyelesaikan hutang persendirian pemegang saham?

Di bawah susanan sekarang, syarikat itu diberi rebat cukai zakat yang dibayarnya. Jika ia membayar zakatnya sendiri, tidak ada isu, dari sudut undang-undang cukai. Tetapi, jika syarikat itu membayar zakat pemegang saham, adakah ia layak mendapat rebat untuk membayar zakat pemegang saham? Bukankah pembayar cukai, mengikut undang-undang, hanya layak mendapat rebat bagi zakatnya sendiri yang dibayarnya, bukan atas zakat orang lain walaupun dia membayarnya dengan sukarela?

Jawatankuasa-jawatankuasa itu gagal untuk mengambil kira isu-isu perlembagaan. Pertama, zakat adalah satu perkara Negeri manakala syarikat-syarikat adalah perkara Persekutuan. Paling tinggi, Jawatankuasa Fatwa Negeri boleh memberi pendapatnya mengenai kewajipan syarikat-syarikat membayar zakat tetapi pendapatnya itu tidak boleh dikuatkuasakan sebagai fatwa yang mengikat ke atas syarikat, walaupun ia diwartakan. Ini kerana syarikat tidak berada dalam bidangkuasa Negeri. Oleh itu, mana-mana undang-undang Negeri yang menghendaki syarikat membayar zakat adalah tidak keperlembagaan. Kedua, perlembagaan hanya membenarkan zakat dikutip daripada “orang yang menganut agama Islam”. Syarikat tidak mempunyai agama. Atas alasan ini juga, adalah tidak keperlembagaan untuk menggunakan undang-undang Persekutuan untuk mengutip zakat daripada sarikat.

Kesimpulan

1. Zakat adalah wajib ke atas seorang manusia Muslim, seperti solat, puasa dan haji. Apa juga zakat yang seorang manusia Muslim wajib bayar, dari apa sahaja sumber yang tertakluk kepada zakat, adalah menjadi kewajipan manusia Muslim itu untuk membayarnya dan bukan orang lain.

2. Sebuah syarikat tidak mempunyai agama. Ia bukan seorang Muslim atau kafir. Sebuah syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 diiktiraf oleh undang-undang sebagai mempunyai identiti yang berasingan daripada pemegang saham berkenaan dengan liabiliti untuk membayar hutang, hak untuk memiliki harta, hak untuk membawa guaman dan dibawa guaman terhadapnya dan lain-lain Tidak ada asas untuk mengenakan (imputing) agama pemegang saham kepada syarikat dan hanya untuk tujuan membayar zakat. Adalah tidak kena pada tempatnya untuk mengatakan bahawa syarikat itu wajib membayar zakat seperti manusia Muslim. Juga tidak ada asas untuk membezakan kewajipan membayar zakat daripada kewajipan lain seperti solat, puasa dan haji.

3. Di Malaysia keputusan/fatwa bahawa syarikat wajib membayar zakat walaupun diwartakan, tidak boleh dikuatkuasakan ke atas syarikat kerana, pertama, di bawah perlembagaan, syarikat bukan perkara Negeri. Kedua, syarikat tidak termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Ketiga, mana-mana undang-undang Negeri yang mengenakan zakat ke atas syarikat adalah tidak sah kerana, mengikut perlembagaan, zakat hanya boleh dikutip daripada “orang yang menganut agama Islam.” Syarikat-syarikat bukan “orang yang menganut agama Islam.”

4. Jika syarikat membayar zakat bagi pihak pemegang saham, bagaimana syarikat wajib membayar zakat pemegang saham sedangkan pemegang saham sendiri tidak/belum wajib membayar zakat, sebab mereka (boleh jadi) belum menerima pendapatan mereka daripada syarikat itu dan/atau pendapatan mereka daripada syarikat itu tidak cukup nisab? Selain daripada itu masalah haul juga timbul seperti dihujahkan di atas.

5. Sekurang-kurangnya, adalah tidak wajar bagi syarikat untuk menggunakan dananya sendiri untuk menjelaskan zakat pemegang saham. Ia samalah seperti syarikat menggunakan dananya sendiri untuk membayar hutang peribadi pemegang saham.

6. Saya tidak fikir sebuah syarikat layak mendapat rebat cukai kerana membayar zakat pemegang saham. Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia perlu mula berfikir sama ada ia memberi rebat cukai kepada pembayar cukai yang betul.

Akhir kata, biarlah saya kemukakan beberapa soalan untuk difikirkan oleh pembaca. (Soalan-soalan ini berdasarkan syarikat membayar zakat bagi pihak pemegang saham.)

1. Katakanlah seorang pemegang saham sebuah syarikat mencabar bahawa syarikat itu tidak mempunyai hak untuk membayar zakat bagi pihaknya atas alasan:
a. Dia belum pun menerima dividend dan tidak tahu berapa banyak dia akan menerima, jika dibayar, dan oleh sebab itu dia belum kena zakat lagi;
b. Pendapatannya daripada syarikat itu, jika ada (sebenarnya belum ada) belum tentu cukup nisab dan/atau haul.
Apa jawapan yang akan diberi?

2. Katakanlah pemegang saham sebuah syarikat mencabar Lembaga Hasil Dalam Negeri kerana memberi rebat cukai kepada syarikat itu kerana syarikat itu membayar zakatnya sedangkan rebat itu sepatutnya diberikan kepadanya, apa jawapan yang akan diberi?

3. Katakanlah seorang pemegang saham sebuah syarikat mengadu bahawa syarikat itu telah secara tidak wajar menggunakan dananya untuk menyelesaikan hutang peribadi pemegang saham, apa jawapan yang akan diberi?

4. Katakanlah Majlis Agama Islam Negeri-Negeri menuntut bahawa zakat pemegang saham yang tinggal di negeri masing-masing hendaklah diberikan kepada Majlis Agama Islam di negeri-negeri berkenaan, bukan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, di mana pejabat syarikat berdaftar itu terletak, apa jawapan yang akan diberi?

5. Lebih meriah lagi, katakanlah Kerajaan Persekutuan atau individu atau organisasi yang mempunyai locus standi memohon deklarasi behawa Baitul Mal Negeri telah dengan salahnya mengutip zakat daripada syarikat dan, dengan itu, mengurangkan cukai yang boleh dikutip oleh Kerajaan Persekutuan, apa jawapan yang akan diberi?

10 Mac 2016

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

 

596 visits