PEMANSUHAN PROKLAMASI DAN ORDINAN DARURAT, ISA DAN AKTA HASUTAN DAN PENGGANTIANNYA

MAJLIS IFTAR PERKASA BERSAMA TOKOH DAN ILMUAN ISLAM
17 Julai 2014
PEMANSUHAN PROKLAMASI DAN ORDINAN DARURAT, ISA DAN AKTA HASUTAN DAN PENGGANTIANNYA
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamd


 

Saya bukan ahli Perkasa. Tetapi, saya menerima jemputan Perkasa untuk bercakap mengenai isu ini kerana saya berpendapat bahawa ia amat penting diketahui oleh orang Melayu dan Islam.

Pada detik 12.00 tengah malam 31 Ogos 1957, Semenanjung Tanah Melayu telah merdeka. Orang-orang yang sebaya dengan saya masih terdengar pekikan “Merdeka” itu dengan perasaan penuh semangat dan kegembiraan.

Tetapi, pada detik yang sama, satu perkara berlaku, yang kita tidak sedar. Ini digambarkan dengan jelas oleh Professor Shad Saleem Farouqi dalam bukunya yang bertajuk “Document of Destiny: The Constitution of the Federation of Malaysia” di muka surat 710. Katanya:

“As a result of the “social contract” between the various races, millions of migrants to British Malaya were bestowed with citizenship by the Merdeka Constitution. It is believed that the number of citizens in Malaya doubled at the stroke of midnight on August 31, 1957 due to the constitutional grant.”

“Akibat “kontrak sosial” di antara berbagai kaum, berjuta-juta pendatang ke Malaya yang diperintah oleh British itu diberi kerakyatan oleh Perlembagaan Merdeka. Adalah dipercayai bahawa jumlah warga negara Malaya bertambah sekali ganda pada detik tengah malam 31 Ogos 1957 disebabkan oleh pemberian Perlembagaan itu.” (Terjemahan saya).

Dalam tahun 1963, Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia.

Semenjak Merdeka hinggalah sekarang, Kerajaan Persekutuan dipimpin oleh sekumpulan parti berbagai-bagai bangsa dengan seorang Melayu sebagai Perdana Menterinya. Biar apa pun kelemahan mereka, negara berada dalam keadaan aman dan tenteram membolehkannya maju dalam semua bidang dan dinikmati oleh semua orang dan semua kaum. Mana satu kaum yang boleh berkata bahawa mereka tidak menekmati kamakmuran Malaysia walau sedikit pun? Negara kita adalah diantara beberapa buah negara sahaja dalam dunia ini yang Perlembagaan asalny masih berkuatkuasa. Malah Malaysia disifatkan sebagai model negara membangun dan negara Islam moden.

Namun demikian, rata-rata orang bukan Islam di Malaysia tidak senang dengan kedudukann agama Islam sebagai agama Persekutuan. Mereka mahu agama-agama mereka juga diberi kedudukan yang sama. Mengikut Mantan Mufti Pulau Pinang, di Pulau Pinang satu peristiwa telah berlaku di mana di perasmian sebuah bangunan oleh Timbalan Ketua Menteri, do’a dibacakan oleh seorang Padri Kristian, seorang Sami Hindu dan Imam Masjid Negeri.
Saya juga amat sedih melihat orang Melayu dan Islam begitu naïve dan tidak boleh berfikir sehingga mereka begitu mudah diperlatkan sehingga sanggup bertakbir dan bergolek di atas jalan raya sedangkan orang bukan Islam yang untung.

Saya juga hairan mengapa ada golongan yang dipanggil “ulama’” dan ilmuan Islam tidak nampak muslihat gereja Roman Katholik yang hendak memakai kalimah “Allah” dalam bible Bahasa Melayu dan upacara gereja dalam Bahasa Melayu slepas 500 tahun kecewa mengkristiankan orang Melayu secara besar-besaran. Mereka secara buta tuli mengambil pakai misalan penggunaan kalimah Allah di bumi Arab. Kita perlu lihat isu itu dalam konteks Malaysia.

Hinggakan apabila sami Budha mengadakan upacra sembahayang di surau di sebuah hotel pun, ada ilmuan Syari’ah yang mengatakan itu tidak mengapa kerana Rasul Allah pun pernah membenarkan orang Kristian bersembahayang dalam masjid. Tidakkah mereka nampak perbezaannya?

Kisah itu melibatkan ahlil-kitab yang beriman dengan Allah dan di peringkat awal kerasulan Muhammad s.a.w. dan cara mereka bersembahyang pun tidak mencemarkan kesucian masjid. Jika dibenarkan penganut-penganut agama yang ada di Malaysia bersembahayang dalam masjid, apa akan jadi? Bukan sahaja masjid akan busuk dengan bau gaharu, to’kong akan dibawa masuk ke dalam masjid, malah babi panggang pun akan di bawa masuk ke dalam masjid, sebab di bulan hantu lapar menjamu hantu lapar adalah sebahagian daripada upacara sembahayang mereka.

Cuba pergi azan di to’kong Hindu, di to’kong Cina atau di gereja. Tengok apa akan jadi.

Mantan Mufti Pulau Pinang juga memberitahu saya adalah susah untuk mendapat peruntukan untuk aktiviti agama Islam di Pulau Pinang, kerana pemimpin-pemimpin agama-agama lain juga menuntut hak yang sama. Saya khuatir, jika kita tidak membendungnya, perkara seperti itu akan merebak ke seluruh Malaysia. Di waktu itu, waktu penyiaran rancangan-rancangan agama Islam di televisyen pun akan terpaksa dikongsi dengan agama-agama lain. Jabatan-jabatan Kerajaan dan kampus-kampus universiti kerajaan yang menyediakan surau akan terpaksa menyediakan gereja, to’kong-to’kong dan gurdwara, memeberi hanya dua misalan. Ertinya, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan sudah tidak bermakna lagi. Peruntuan agama Islam sebagai Agama Persekutuan mungkin dimansuhkan atau kesemua agama akan dijadikan Agama Persekutuan.

Mereka juga tidak puas hati dengan peruntukan Perlembagaan yang tidak membenarkan orang bukan Islam menyibarkan agama mereka kepada orang Islam. Selain dari itu, mereka pergi ke merata dunia untuk memburukkan Islam kerana Islam tidak membenarkan penganutnya murtad, kerana Islam membolehkan poligami, kerana Islam mengharamkan liwat, membuat tuduhan Islam mendiskriminasikan orang perempuan kerana pembahagian pesaka yang tidak sama rata dan lain-lain. Soalan saya: Mengapa mereka membantah hal-hal mengenai agama Islam pada hal kita tidak pernah membantah mereka membakar kereta kertas, duit neraka (hell money) atau mencucuk pipi mereka dengan besi dan lain-lain.

Mereka juga tidak puas hati dengan hak-hak yang diberi kapada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Mereka mahu bahasa mereka juga diberi kedudukan yang sama. Ke manakah perginya “kontrak sosial”?

Saya boleh faham mengapa Proklamasi Darurat dan undang-undang yang dibuat di bawahnya dimansuhkan.

Dalam tahun 1970an, seorang Hakim dari Afrika yang datang ke Malaysia untuk menghadiri satu persidangan undang-undang bertanya kepada saya: “Malaysia berada dalam keadaan darurat bukan? Saya tidak lihat sekatan jalan raya oleh tentera mahupun kereta kebal di jalan raya.” Saya jawab, “Ya, itu darurat di Malaysia. Bayangkan jika tidak.” Untuk mengatakan selepas tahun 2000 kita masih berada di bawah keadaan darurat adalah tidak munasabah. Demikian juga melaksanakan undang-undang yang dibuat khas untuk menangani keadaan semasa darurat juga sukar untuk dibela walau pun dari segi undang-undangn ia adalah sah.

Tetapi saya dapati sukar sedikit untuk memahami mengapa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) juga turut dimansuhkan. Perlu diambil perhatian bahawa ISA bukanlah satu undang-undang yang dibuat di bawah peruntukan Perkara 150, ia itu semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa. ISA dibuat di bawah Perkara 149 yang membolehkan undang-undang seperti ISA dibuat untuk menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya.

Memanglah undang-undang yang membolehkan penangkapan dan tahanan tanpa perbicaraan bukanlah undang-undang yang baik. Tetapi, sudahkah kita lupa Mei 13? Adakah keadaan yang menggugat ketenteraman negara, tidak kira oleh siapa, kominis, militant Islam, kumpulan pelampau dan lain-lain sudah tidak ada lagi? Mana lebih baik ISA atau Quantinamo? (Untuk perbincangan mengenai ISA dan Quantinamo, sila baca ucapan dan kertas kerja saya bertajuk “Conflict of Interests Between Different Basic Rights” dan “Legal and Judicial Transformation in Malaysia” yang boleh didapati dalam lman web saya.)

Saya faham bahawa Kerajaan mahu melihat Malaysia berada di kedudukan yang baik di mata dunia. Tetapi, Singapura yang mengekalkan ISA, berada di kedudukan yang lebih baik, hampir dalam semua hal. Ertinya, ISA bukanlah sebab utama yang menentukan kedudukan itu. Lagi pula, laporan-laporan itu, yang biasanya di keluarkan di Amerika Syarikat akan senentiasa merendahkan kedudukan kita kerena kumpulan-kumpulan yang saya sebut tadi berjaya mempengruhi pengkaji-pengkaji berkenaan. Rakyat Malaysia mencari makan di Malaysia tetapi mengkejinya di luar negara. Rakyat Singapura memuji Singapura di mana-mana termasuk kerana mengeluarkan NEWwater yakni air longkang yang dibersihkan untuk minuman. Bagi pengkaji-pengkaji di Barat itu, apabila mereka mendengar adanya Perkara 153, peruntukan orang bukan Islam tidak boleh menyebarkan agama mereka kepada orang Islam, pelaksanaan hukum syarak, liwat satu kesalahan jenayah, perkahwinan sejenis tidak dibenarkan, akan rendahlah kedudukan kita. Saya kata: tak usah pedulikan laporan-laporan itu ATAU pergi menemui pengkaji-pengkaji itu dan bentangkan kedudukan yang sebenar.

Sekarang ISA telah “digantikan” oleh Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Secara ringkas, perbezaan utama di antara keduanya ialah ISA membolehkan tahanan tanpa perbicaraan. (Tetapi tangkapan dan penahanan itu boleh dicabar di mahkamah melalui semakan kehakiman (judicial review)). Sebaliknya, di bawah SOSMA seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah akta itu mestilah dituduh di mahkamah atas tuduhan tertentu dan dibicarakan sama seperti kes jenayah lain.

Setakat ini sebanyak 38 orang telah dihadapkan ke mahkmah di bawah SOSMA, dengan 30 daripadanya di Lahat Datu. Perbicaraan sedang berjalan. Pendakwaan dilakukan oleh Peguam Negara sendiri. Kebanayakan pertuduhan adalah di bawah Chapter VIA Kanun Keseksaan yakni kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan keganasan (offences relating to terrorism).

Ertinya keganasan, perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya masih ada. Berbanding dengan ISA, SOSMA memanglah lebih cantik di atas kertas. Tetapi soalnya, mampukan SOSMA menangani masalah terrorism? Dari segi kesalahn-kesalahan yang diwujudkan ia nampaknya lengkap. Sama ada pertuduhan-pertuduhan itu berjaya dibuktikan, sama-samalah kita melihat perkembangannya.

Bagi saya ukurannya bukan sangat ISA ada atau tidak tetapi bagaimana ia dilaksanakan. Undang-undang apa pun boleh disalahgunakan. ISA pun jika dilaksanakan dengan berhemah dan menepati peraturan-perturannya, boleh membawa hasil yang lebih baik dari SOSMA jika SOSMA disalahgunakan. Sebaliknya, jika SOSMA dilaksankan dengan berhemah dan ia memberi kesan yang serupa, tentulah SOSMA lebih baik.

Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah mengumumkan bahawa Akta Hasutan 1948 juga akan dimansuhkan.

Akta ini dibuat oleh British apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan untuk mengekang penentangan kepada pemerintahan British. Secara ringkas, ia mengandungi kesalahan-kesalahan kerana menghasut untuk membangkitkan kebencian dan tidak taat setia kepada Raja atau Kerajaan, menghasut rakyat untuk mendapat perubahan dengan cara yang tak sah, menghasut orang supaya benci kepada pentabiran keadilan, menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Malaysia, megembangkan perasaan permusuhan antara kaum. Seksyen 3(1)(f) memperuntukkan:

“…….mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogative yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan.”

Bahgian III adalah mengenai kewarganegaraan. Perkara 152 ialah mengenai Bahasa Kebangsaan. Perkara 153 adalah mengenai “perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu atau anak negeri Sabah dan Sarawak.

Pruntukan ini dimasukkan akibat peristiwa 13 Mei. Ringkasnya, ia menghalang sesiapa sahaja daripada mempersoalkan perkara-perkara yang disebutkan itu untuk mengelak daripada berulangnya peristiwa Mei 13.

Apa sebab Akta Hasutan hendak dimansuhkan? Nampaknya, Akta Hasutan dikaitkan dengan Rang-Rang Undang-Undang Harmoni (RUU Harmoni). RUU Harmoni akan menggantikan Akta Hasutan seperti mana SOSMA menggantikan ISA. Ertinya, mengikut mereka, untuk mencapai perpaduan dan harmoni (“perpaduan”) Akta Hasutan perlulah dimansuhkan kerana ia menjadi penghalang perpaduan. Dalam kata-kata lain, berikan kebebasan kepada sesiapa sahaja untuk menghasut orang ramai supaya membenci Raja, menghapuskan sistem beraja, mempersoalkan kedudukn Bahasa Melayu sebagi Bahasa Kebangsaan, mempersoalkan hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kerakyatan, perpaduan akan tercapai. Lojik apa ini? Ia samalah dengan lojik seorang yang berkata “Kalau mahu tebuan berda di dalam sarangnya, jolokkan sarangnya.” Cubalah!

Maka kita perlu faham bahawa alasan bahawa Akta Hasutan perlu dimansuhkan demi untuk mencapai perpaduan itu tidak berasas lansung. Ia hanyalah helah untuk memansuhkan Akta Hasutan oleh orang-orang yang tidak sukakannya. Apatah lagi yang menggubalnya adalah Majlis Peguam. Itulah yang mereka mahu. Diberi peluang, terus mereka memanfaatkannya. Kita jangan terperangkap dengan helah seperti itu.

Apa untungnya orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak jika larangan-larangan mempersoalkan hak-hak yang diberi kepada mereka oleh Perkara 153 itu dihapuskan? Apakah untungnya orang Melayu jika hasutan mengenai kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dibenarkan? Yang untung hanyalah orang-orang yang tidak sukakan peruntukan-peruntukan itu. Tanpa Akta Hasutan mereka bebas menghasut orang ramai untuk menghapuskan pemerintahan Raja Berperlembagaan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, hak-hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Itu kita mesti faham.

Bagi saya, pengwujudan seksyen 3(1)f) Akta Hasutan adalah kemuncak kejayaan politik orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak manakala anak negeri Sabah dan Sarawak menumpang nikmatnya. Mengapa hendak diserakan kembali? Malukan menjadi Melayu atau anak negeri Sabah dan Sarawak? Haramkah berkata “Saya Melayu”? Sudah maju dan kaya sangatkah orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak sehinga mereka tidak mahukan hak-hak itu lagi? Baru satu generasi keluar kampung sudah tak sedar diri.Tunjukkan kepada saya satu bangsa dalam dunia ini yang dengan senghaja dan dengan mudahnya menyerahkan hak mereka kepada orang lain. Jika hak itu dimiliki oleh orang lain itu, adakah mereka akan menyerahkannya kepada orang Melayu dan nak negeri Sabah dan Sarawak? Fikir betul-betul.

Ada beberapa perkara yang sangat menghairankan saya mengenai usaha menggubal RUU Harmoni untuk menggantikan Akta Hasutan. Pertama, Akta Hasutan terletak di bawah portfolio Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KDN) yang Menterinya ialah YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Sepatutnya, semua perkara yang berkenaan dengan akta itu, sama ada hendak memindanya atau memansuhhkannya, hendaklah datangnya dari kementerian itu. Ini penting bukan sahaja kerana akta itu terletak di bawah kementerian itu, tetapi kerana kementerian itu mempunyai mahklumat-maklumat, termsuk maklumat rahsia, mengenai kententeraman negara yang akan menentukan dasar mengenainya.

Soalan saya: Mengapa dalam hal ini tugas itu diambil alih oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang menterinya YB Tan Sri Joseph Kurup yang nampaknya berkerjasama dengan YB Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Mentri? Adakah satu “rampasan” (highjacking) belaku di sini?

Mengikut prosedur biasa, selepas penetapan dasar dilakukan oleh kementerian berkenaan, gubalan adalah tugas Peguam Negara. Dalam hal ini nampaknya Peguam Negara diketepikan. Sebaliknya, tugas itu diserahkan kepada JUU&D yang ditubuh oleh MKPN yang ditubuh pula oleh JPNIN. Pengerusi JUU&D adalah YB Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen PAS Parit Buntar dan Timbalan Pengerusinya adalah Encik Lim Chee Wee, mantan Presiden Majlis Peguam. Kita semua tahu bahawa Majlis Peguam adalah penyokong kuat parti-parti pembangkang terutama sekali DAP dan PKR. Tidak dinafikan bahawa yang menyediakan draf awal RUU Harmoni adalah Majlis Peguam. Adakah berlaku satu lagi rampasan (highjacking) di sini? (Untuk mengikuti perbincangan selanjutnya mengenai perkara ini, sila baca rencana saya yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 2 Julai 2014 atas tajuk “Saya tidak mahu jadi pengkhianat” yang juga saya muatnaikkan dalam laman web saya atas tajuk “Pembangkang, Majlis Peguam dan Komango ‘merampas’ MKPN”).

Saya ingin mengambil peluang ini unuk mengulangi pembetulan dan penjelasan saya mengenai rencana itu. Dalam rencana itu, saya memberi sebab mengapa saya menolak tawaran untuk menjadi Pengerusi Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) atau dalam Bahasa Inggerisnya National Unity Consultative Council (NUCC). Sebenarnya saya tersilap dalam merujuk kepada MKPN dalam ayat itu. Saya sepatutnya merujuk kepada Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di Antara Penganut Agama (JKMPKA) atau yang mempunyai nama lebih kurang seperti itu. Jawatankuasa itu juga terletak di bawah JPNIN. Saya memohon maaf di atas kesilapan itu.

Tetapi, alasan yang saya beri dalam rencana itu mengenai penolakan tawaran itu masih betul dan saya masih berdiri dengannya. Segala perbincangan mengenai keahlian MKPN, JUU&D yang dipengerusikan oleh YB Dato Dr. Mujahid Yusof Rawa dan penglibatan Majlis Peguam dalam menyediakan draf ketiga-tiga rang undang-undang itu, tidak terjejas.

Saya tertarik dengan response yang saya terima. Dari situ saya dapat lihat bahawa orang Melayu dan Islam, termasuk dari Sarawak dan juga pegawai-pegawai kerajaan dan peguam-peguam, menyokong sebulat suara apa yang saya katakan itu, manakala peguam-peguam bukan Melayu dengan lantang menghentam saya. Mereka membesar-besarkan kesilapan saya merujuk kepada MKPN itu.

Mereka kata saya bertanya mengenai bayaran. Memang betul, selain daripada bertanya mengenai terma rujukan dan aktiviti jawatankuasa itu, saya juga bertanya megenai elaun sebagai Pengerusi jawatankuasa itu. Itu kerana, saya ingin tahu sama ada jika saya menerima tawaran itu, saya dikehendaki untuk menjalankan tugas itu dengan percuma. Tugas itu adalah tugas Menteri dan pegawai-pegawai di JPNIN. Adalah tidak adil jika mereka meminta saya dan ahli-ahli jawatankuasa itu membuat kerja mereka dengan percuma sedangkan mereka menerima gaji dan mengambil nama apabila kerja itu selesai.

Malaysian Insider berakata “Putrajaya” memberitahu saya tidak ada apa-apa bayaran. Oleh itu saya menolak tawaran itu. Putrajaya boleh bercakapkah? Siapa dia “Putrajaya” itu? Saya menulis surat kedua menolak tawaran itu sebelum surat pertama saya dijawab. Malah hingga ke hari ini pun, tidak ada apa-apa jawapan, sebab ia sudah tidak berkenaan lagi.

Mengikut Malaysian Insider juga, saya meminta sebuah kereta. Bohong! Sebenarnya, apabila Setiausaha Sulit kepada YB Tan Sri Josph Kurup (atau pegawai di jabatannya) menalipon saya memberitahu saya bahawa YB Tan Sri Joseph Kurup ingin berjumpa dengan saya, antara lain, saya berkata, “Saya tidak ada pemandu dan disebabkan oleh keuzuran saya, saya tidak boleh memandu lagi. Bolehkah hantar sebuah kereta untuk mengambil saya dari rumah saya dan menghantar saya balik?” “Tiada masalah,” jawab beliau. Demikian juga jika saya menerima jawatan itu, saya kena diambil dan dihantar balik. Hari ini pun seorang ahli Pesaka mengambil saya dan membawa saya ke sini dan akan menghantar saya balik. Adakah itu bererti saya memita sebuah kereta dari Pesaka?

Dato Ambigar, mantan Presiden Majlis Peguam dan lain-lain peguam bukan Melyu serentak menyerang saya. Mengapa turun begitu rendah? Jawablah soalan-soalan yang saya kemukakan itu.

Walau bagaimana pun, sekurang-kurangnya rencana itu telah menyebabkan semua pihak yang berkaitan tersentak. Ini termasuk JPNIN, MKPN, JUU&D, Majlis Tertinggi UMNO, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, malah Perdana Menteri sendiri. Menteri itu telah memberi jaminan bahawa rang-rang undang-undang itu tidak akan diluluskan dengan tergesa-gesa dan ia tidak akan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. YAB Perdana Menteri sendiri telah berkata bahawa “MKPN bukan(lah) badan penentu dalam menggubal Akta Keharmonian Nasional sebaliknya Kabinet dan kerajaan adalah pihak bertanggungjawab memuktamadkan perkara itu”; bahawa “akta baharu tersebut yang dicadang untuk menggantikan Akta Hasutan 1948 akan mengambil kira soal Islam sebagai agama Persekutuan, hak keistimewaan orang Melayu dan institusi diraja” dan bahawa “Apa yang dilakukan Majlis Peguam itu tidak selaras dengan matlamat penubuhan MKPN.” Kita difahamkan bahawa Majlis Tertinggi UMNO juga telak menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji perkara ini dan memberi pandangannya.

Itu adalah satu perkembangan yang menggalakkan. Tetapi saya ada satu cadangan. Jika sesat dihujung jalan kembali ke pangkal jalan. Ertinya, pertama, oleh sebab Akta Hasutan terletak di bawah KDN, segala urusan mengenainya hendaklah diserahkan balik kepada kemeterian itu. Sama ada hendak memindanya atau tidak dan apa pindaaannya; sama ada hendak memansuhnya atau tidak dan apa penggantinya, hendaklah diputuskan oleh kementerian itu, bukan JPNIN sebelum dibawa kepada Kabinet.

Patutkah Akta Hasutan dimnasuhkan? Jawapan saya: TIDAK. Patutkah ia dipinda? Jawapaan saya: Ya. Apakah pindaan yang perlu dibuat? Jawapan saya: Masukkan Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Malaysia (agama Islam) ke dalam seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan. Sekarang menghasut terhadap kedudukan agama Islam bukanlah satu kesalaan di bawah Akta Hasutan. Mungkin kerana itu, mereka sangat berani. Semua orang Islam, sama ada dalam UMNO, PAS, PKR, NGO dan individu hendaklah bersatu dalam hal ini.

Kedua, pada pandangan saya, adalah lebih baik bagi kerajaan kiranya kesalahan menghasut terhadap kerajaan dimansuhkan. Maksud saya hanya mengenai kerajaan tetapi terhadap Raja mestilah dikekalkan. Ini lebih demokratik, lebih telus dan lebih terbuka. Hari ini pun, walapun larangan itu ada, setakat yang saya tahu, kerajaan tidak peranah mengambil tidankan terhadap orang yang mengkritiknya kerana itu sebahagian daripada proses demokrasi. Untuk apa dikekalkan peruntukan itu?

Pada pandangan saya, itulah pendirian yang semua orang Islam, parti politik Islam dan NGO Islam, patut ambil.
Bagaimana dengan RUU Harmoni yang JPNIN sedang buat itu? Pertama, kita mesti faham bahawa harmoni dan perpaduan tidak ada kaitan dengan hasutan. Dalam kata-kata lain RUU Harmoni tidak ada kaitan dengan Akta Hasutan. Jangan gunakan RUU Harmoni untuk memansuhkan Akta Hasutan. Tambahan lagi, Akta Hasutan bukan berad di bawah bidangkuasa JPNIN. Ia berada di bawah bidangkuasa KDN. Bagi saya, tidak ada halangan jika JPNIN fikir perpaduan negara boleh dicapai melalui undang-undang. Sediakanlah draf RUU itu. Tetapi, janganlah mengulangi kesilapan yang sama.

Berdasarkan pendirian saya ini, kesuntukan masa, bahawa draf RUU Harmoni masih berada masih di peringkat awal dan, saya percaya, selepas ini, draf itu akan di scrutinise dengan lebih teliti oleh MKPN, JPNIN, Kabinet, malah, kita tidak boleh menolak kemungkinan ia di abandoned, memadailah jika saya memberi dua misalan mengenai isi kandungan RUU Harmoni.

Pertama, nampaknya matlamat utama penggubal RUU Harmoni adalah untuk memansuhkan Akta Hasutan. Seksyen 8(1), Draft Racial and Religious Hate Crimes Bill memperuntukkan:

“8(1) The Sedition Act 1948 [Act No. 15] is repealed.”

Degan pemansuhan Akta Hasutan, menghasut seperti yang ditakrifkan oleh akta itu sudah tidak menjadi kesalahan lagi. Sebagai satu misalan, seseorang itu boleh menyoal dan mempertikai peruntukan-peruntukan Perlembagaan mengenai hak-hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, kedudukan Raja-Raja Melayu, malah cuba mempengaruhi orang ramai untuk membencinya dan menekan Kerajaan untuk memansuhkan semua peruntukan-peruntukan itu. Siapakah yang selalu kedengaran membuat tuntutan-tuntutan seperti itu? Tidakkah apa yang hendak dilakukan itu untuk memenuhi kehendak mereka?

Kedua, Rang undang-undang itu menekankan peruntukan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 2(i) National Harmony and Reconciliation Bill mengatakan bahawa tujuan rang undang-undang itu adalah:

“2(i) To give effect to the letter and spirit of the Federal Constitution, in particular Article 8.”

“Untuk memberi kesan kepada apa yang tertulis dan semangat Perlembagaan Persekutuan, khususnya perkara 8.” – (Terjemahan saya.)

Sepanjang ingatan saya, saya belum penah temui satu akta yang memperuntukkan bahawa sesuatu perkara dalam Perlembagan itu kena diberi perhatian yang lebih daripada yang lain-lain. Dari situ kita dapat lihat tujuan mereka yang yang tersirat.

Kesimpulannya:

  1. Janganlah mansuh Akta Hasutan 1948.
  2. Segala urusan mengenai Akta Hasutan hendaklah dilakukan oleh kementerian yang bertanggungjawab mengenainya ia itu KDN.
  3. JPNIN tidak septutnya mengambil alih perkara yang terletak dalam bidangkuasa KDN dan Peguam Negara.
  4. Prosedur biasa di mana KDN menentukan dasar dan gubalan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara hendaklah diikuti. Jangan sekali-kali lepas tagan kepada pembangkang dan sekutunya yang mempunyai agenda mereka sendiri. Penentuan muktamat mengenai dasar hendaklah dibuat oleh Kabinet.
  5. Akta Hasutan hendaklah dipinda untuk memasukkan Perkara 3 dan 11 (agama Islam) ke dalan seksyen 3(1)(f).
  6. Eloklah kerajaan memikirkan untuk meminda Akta Hasutan untuk mengeluarkan kesalahan menghasut terhadap kerajaan supaya kerajaan nampak lebih telus, terbuka dan demokratik.
  7. Ketepikan draf RUU yang dibuat oleh Majlis Peguam itu.
  8. Jika JPNIN berfikir bahawa perpaduan boleh dicapai melalui undang-undang, sila sediakan drafnya. Jangan cuba kaitkan dengan Akta Hasutan yang tidak ada kena mengena dengan perpaduan dan berada di luar bidangkuasa JPNIN. JPNIN hendaklah menentukan dasarnya dengan Kabinet sebagai penentu muktamad. Jangan ulangi kesilapan dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada pembangkang dan sekutunya yang mempunyai agenda mereka sendiri. Ikutlah peraturan biasa di mana penggubalan dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara.
  9. Semua orang Melayu, Islam dan anak negeri Sabah dan Sarawak, semua parti-parti politik, NGO dan pertubuhan Melayu, Islam dan anak negeri Sabah dan Sarawak hendaklah bersatu dalam hal ini.
  10. Kita bukan hendak meminggirkan kaum-kaum lain. Kita hanya hendak mempertahankan Perlembagaan supaya perpaduan akan berkekalan. Kaum-kaum lain juga patut bersama-sana mempertahankan Perlembagaan. Hanya dengan cara itu perpaduan akan tercapai.

Terima kasih.

325 visits