MELUASKAN PEMAKAIAN DAN PERKEMBANGAN PRINSIP WAKAF DI MALAYSIA

MELUASKAN PEMAKAIAN DAN PERKEMBANGAN PRINSIP WAKAF DI MALAYSIA
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad
(Mantan Ketua Hakim Negara Malaysia)

Di Malaysia, undang-undang mengenai wakaf terdapat di dalam Enakmen-Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri dan Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505). Secara ringkas, undang-undang itu memperuntukkan bahawa:

  1. Majlis Agama Islam (Majls) menjadi pemegang amanah yang tunggal bagi semua wakaf ami dan wakaf khasii setakat mana-mana harta wakaf itu terletak di dalam sesebuah negeri itu.iii
  2. Semua harta wakaf yang terletak di dalam sesebuah negeri itu, tanpa apa-apa pemindahhakan, penyerahhakan atau pemindahmilikan jua pun, dan, dalam hal harta tak alih, sebaik sahaja didaftarkan di bawah undang-undang bertulis yang relevan yang berhubungan dengan tanah, terletak hak pada Majlis negeri berkenaan. Bagi harta wakaf yang terletak di luar sesebuah negeri itu, Majlis dipertanggunjawabkan untuk mengambil segala langkah perlu untuk meletak hak pada Majlis.iv
  3. Tiap-tiap wakaf khas yang dibuat selepas mula berkuatkuasanya Akta 505 (bagi Wilayah Persekutuan) adalah batal dan tidak sah melainkan jika, antara lain, Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Majlis, dengan nyata memperkenankan dan mengesahkannya.v
  4. Segala surat cara yang mewujudkan, yang menjadi keterangan, atau yang menyentuh mana-mana wakaf berserta dengan mana-mana dokumen hak milik atau cagaran lain yang berhubungan dengannya hendaklah dipegang dan disimpan oleh Majlis.vi

Itu apa yang tersurat. Mari kita lihat pula akibatnya yang tersirat:

(1) Ia menghalang sesiapa juga selain daripada Majlis untuk mewujudkan wakaf
yang bebas daripada Majlis.

(2) Ia menghalang sesiapa juga selain daripada Majlis untuk memakai prinsip
wakaf dalam transaksi harta.

Mengenai (1), kita tahu bahawa mengikut Syariah dan amalam sepanjang sejarah umat Islam, sesiapa sahaja boleh menggunakan prinsip wakaf dan boleh dilantik menjadi pemegang amanah jika dia berkelayakan. Pemakaian prinsip wakaf bukannya terhad kepada Kerajaan atau jabatannya. Diriwayatkan bahawa Umar Ibn Khattab mewakafkan sebidang tanah yang diperolehinya di Khaibar. Universiti Al-Azhar di Mesir dan Universiti Cordoba di Spanyol dibina di atas tanah wakaf. Di zaman pemerintahan Othmaniah prinsip wakaf digunakan dengan begitu meluas hinggakan kapal membawa bijiran untuk bekalan jemaah haji pun diuruskan mengikut prinsip wakaf. Hari ini di Turki lebih daripada 60 buah universiti adalah ditubuhkan, dibiayai dan/atau dibantu oleh wakaf.

Mengenai (2), kita perlu ingat bahawa wakaf adalah satu prinsip pengurusan harta sama seperti murabahah, mudharabah dan sebagainya. Bagaimana jika dikatakan bahawa prinsip-prinsip murabahah dan mudharabah hanya boleh diguna-pakai oleh Bank Islam Malaysia? Maka adalah tidak munasabah menghadkan penggunaan prinsip wakaf kepada Majlis sahaja. Meletakkan halangan ini akan mengakibatkan prinsip itu tidak boleh digunakan oleh orang atau institusi lain dan akan memberi kesan menghalang penggunaannya. Perkembangan (development) prinsip wakaf dan perkembangan amalan dan ibadat wakaf juga akan tergugat. Semestinya ini bukanlah tujuan Syariah.

Mengapa undang-undang kita ditulis sedeikian boleh difahami. Enakmen-Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri di buat beberapa tahun selepas Merdeka. Pada masa itu, apabila kita bercakap mengenai wakaf kita merujuk kepada wakaf-wakaf tanah untuk tapak bagunan masjid, sekolah agama, tanah perkuburan dan sepertinya. Saya juga pernah temui wakaf rumah kediaman yang hasil sewaannya dikehendaki digunakan untuk membekalkan lampu dan menyelenggarakan masjid tertentu.vii Pada masa it wakaf difikirkan dalam konteks tersebut. Maka, adalah bersesuaian bahawa wakaf diletakkan di bawah bidangkuasa, kawalan dan pentadbiran Majlis.

Tetapi, di Malaysia pun keadaan telah berubah. Sekarang prinsip wakaf telah pun digunakan dalam perniagaan. Misalannya ialah apa yang dipanggil “wakaf korporat” seperti yang dilakulan oleh JCorp dengan kerjasama Majlis Agama Islam Johor dengan penubuhan Waqaf An Nur Corporation Berhad (WANCorp) dalam tahun 2005. Penubuhannya dilakukan dengan mengmbil kira peruntukan undang-undang yang ada sekarang. JCorp menubuhkan WANCorp sebagai sebuah syarikat awam dengan jaminan JCorp. Keahlian turut dibuka kepada orang awam. Orang awam menjadi ahli di bawah peruntukan M&A Syarikat dengan mewakafkan yuran (fee) keahlian mereka. Setiap ahli membayar fee masuk menjadi Ahli Biasa (RM50) dan fee tahunan RM50 setahun yang mereka wakafkan kepada WANCorp. Mereka tidak mendapat apa-apa dividen. Semua ahli berhak mengambil bahagian dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Tergempar (AGM/EGM). Namun hak mengundi diberi satu undi kepada setiap Ahli Kehormat yang membayar yuran melebihi RM1,000 seorang. (Ahli Biasa cuma membayar RM50+RM50 dan berhak ke AGM tanpa hak mengundi. Apabila bayaran yuran mereka genap RM1,000 Ahli Biasa boleh menjadi Ahli Kehormat yang memberikan mereka hak mengundi kemudiannya). Setiap RM1,000 melayakkan ahli mendapat 1 undi. Syarikat milik JCorp seperti Kulim dan KPJ yang sebahagian sahamnya diwakafkan oleh JCorp berhak menjadi Ahli Zahab (Emas) dengan yuran keahlian minima RM100,000 yang memberikan mereka kelebihan undi dengan tujuan untuk menentukan kuasa undi majoriti sentiasa dipegang oleh JCorp sebagai pengasas WANCorp.

Pada bulan Februari, 2013 terdapat 1,794 orang ahli WANCorp.

Pada 3 Ogos 2006 sebagai langkah permulaan, JCorp mewakafkan saham-saham tersenarai dan tidak disenarai miliknya bernilai RM200 juta (@ nilai aset bersih) yang didaftarkan atas nama WANCorp dengan persetujuan MAINJ. Pada 2007, JCorp telah menambah wakafnya sebanyak RM50 juta lagi menjadikan jumlah saham wakaf RM250 juta kesemuanya.

JCorp dan WANCorp mengikat Perjanjian Persefahaman bersama Majlis Agama Islam Negeri Johor di mana Majlis bersetuju mengiktiraf WANCorp sebagai pemegang amanah wakaf ke atas saham-saham dan wang tunai. WANCorp juga diberi kuasa sebagai “Nazir Khas” atau mutawalli ke atas semua aset (iaitu saham) yang JCorp.

Pada akhir 2012, nilai aset wakaf (atas kadar harga pasaran saham) meningkat kepada RM 575.9 juta, iaitu lebih dua kali ganda. Selaku Waqaf Korporat, WANCorp dibenar melabur semula 70 peratus keuntungan dividen yang diperolehi olehnya. Sejumlah 30 peratus digunakan untuk program kebajikan membantu golongan miskin dan fi sabilillah. Antara usaha paling berkesan ialah menjayakan rangkaian Klinik Waqaf An Nur untuk pesakit miskin semua kaum dan keturunan yang mengenakan bayaran hanya RM5 setiap rawatan.

Dalam tempoh 5 hingga 6 tahun sahaja usaha itu telah mencapai kejayaan yang sangat membanggakan. Tidak syak lagi bahawa ia adalah satu inovasi yang amat berjaya dan patut diteladani.

Untuk menggalakkan perkembangannya, penubuhan wakaf korporat seperti itu hendaklah boleh dilakukan dengan cara yang lebih mudah, telus, autonomi dan tanpa sebarang keraguan, sekatan atau kekangan di sisi undang-undang. Untuk itu, adalah perlu bagi kita untuk melihat undang-undang yang ada sekarang dan memperbaikinya, jika perlu.

Apa yang nyata daripada peruntukan-peruntukan undang-undang yang ada sekarang yang saya rujuk di awal rencana ini ialah, tiada sebuah wakaf korporat boleh dutubuhkan tanpa penglibatan dan persetujuan Majlis. Saya berpandangan bahawa terdapat hujah yang kuat untuk mengasingkan “wakaf untuk tujuan agama” dengan “wakaf korporat”. Misalan “wakaf bagi tujuan agama” adalah wakaf tanah untuk dijadikan tapak masjid, sekolah agama, tanah perkuburan dan sebagainya. “Wakaf korporat” pula adalah wakaf untuk tujuan perniagaan seperti yang dilakukan oleh WANCorp. (Takrifan kedua-dua ungkapan itu atau penyenaraian apa yang terletak di bawak kedua-duanya bolehlah diperhalusi di peringkat gubalan.) Wakaf yang terletak di bawah “wakaf untuk tujuan agama” patutlah dikekalkan dibawah bidangkuasa Majlis dengan Majlis menjadi pemegang amanahnya yang tunggal dan peruntukan-peruntukan seksyen-seksyen yang saya rujuk di awal rencana ini terus terpakai kepadanya. Dalam kata-kata lain, tiada perubahan mengenainya.

Berkenaan dengan “wakaf korporat” pula, kita perlu membolehkan syarikat-syarikat untuk mengguna-pakai prinsip wakaf dalam perniagaannya tanpa terikat dengan Majlis atau secara autonomi.

Saya tidak menyebut sama ada pemakaian prinsip wakaf untuk wakaf korporat ini patut diperluasan kepada individu. Ini kerana, oleh sebab ia membolehkan modal yang berbentuk wakaf dikutip daripada orang awam, saya khuatir akan berlaku penyalahgunaan dan kita tiada mekanisma untuk mengawalnya. Tetapi, mungkin ada juga individu yang ingin mewujudkan suatu wakaf misalnya untuk menubuh sebuah universiti atau hospital, mengapa dia patut dihalang berbuat demikian tanpa menyerahkan haknya seagai pemegang amanah dan untuk mentadbir wakaf itu kepada Majlis? Cara keluarnya perlulah difikirkan. Mungkin individu patut dibolehkan mengadakan wakaf secara persendirian yang tidak melibatkan wakaf untuk tujuan agama dan tidak melibatkan kutipan sumbangan daripada orang awam.

Masih mengenai wakaf korporat, memandangkan bahawa Majlis juga mungkin mempunyai harta yang hendak dibangunkan dan mungkin perlu mengguna-pakai prinsip wakaf dan memandangkan bahawa prinsip wakaf bukanlah hak minopoli sesiapa, maka Majlis juga patut tidak dinafikan daripada mengguna-pakainya. Maka, wakaf korporat hendaklah boleh dilakukan oleh syarikat-syarikat swasta, Majlis atau mana-mana korporasi.

Ini menghendaki peruntukan mengenai Majlis sebagai pemegang amanah tunggal dan lain-lain peruntukan yang saya rujukkan tadi itu dipinda. Dengan pindaan itu, JCorp misalnya, boleh menubuhkan WANCorp tanpa persetujuan atau kerjasama Majlis. Ia boleh melakukannya sendiri seperti ia mengguna-pakai prinsip murabahah atau mudarabah dalam perniagaannya. Majlis juga tidak dihalang berbuat demikian.

Perlukah syarikat-syarikat tersebut di kawal oleh Majlis? Jawapannya ringkas: syaraikat terletak di bawah Senarai Persekutuan dan Majlis tiada bidangkuasa keatasnya. Syarikat-syarikat tertakluk di kepada Akta Syarikat 1965 dan lain-lain undang-undang berkaitan dan dikawal oleh Suruhanjaya Syarikat.

Tetapi oleh sebab wakaf adalah terletak di bawah bidangkuasa Negeri, maka apa-apa fatwa yang hendak dikeluarkan mengenainya hendaklah di keluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa (JKF) negeri-negeri. Dalam kata-kata lain, jika ada apa-apa isu Syariah mengenai wakaf korporat yang dihadapi oleh syarikat-syarikat itu, ia hendaklah dikemukakan kepada JKF negeri-negeri untuk mendapat fatwa. Saya percaya sesuatu wakaf korporat itu akan melibatkan peserta-peserta di lebih daripada sebuah negeri dan kemungkinan JKF di negeri-negeri yang berlainan itu mengeluarkan fatwa yang berlainan. Saya cuma boleh mengharapkan bahawa JKF di negeri-negeri akan menimbang fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh JKF di negeri lain dan mengeluarkan fatwa yang serupa.

Di samping itu, harus diingati bahawa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa mengeluarkan fatwa. Ia hanya boleh memberi pandangannya. Maka ia tidak sepatutnua mengelirukan orang awam dengan mengeluarkan “fatwa” mengenai wakaf koprorat. Media massa juga perlu faham hal ini dan tidak mengelirukan orang awam. Semua pihak adalah berperanan untuk bersama-sama menyumbang untuk menjayakan perkembangan ini demi untuk survival dan kemajuan ummah, bukan menghalangnya kerana pendapat yang berbeza.

Sehubungan dengan ini, JKF negeri-negeri juga perlu “diperkuatkan” dengan memasukkan sebagai ahli orang-orang yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang-bidang lain yang berkenaan untuk membantu ahli Syariah membuat keputusan mereka. Masalah dalam mengeluarkan sesuatu fatwa sekarang bukannya untuk menemui nas-nas yang relevan dan kasahihan autoritinya, tetapi untuk memahai fakta sesuatu masalah itu. Ini lebih ketara dalam bahagian mu’amalat.

Ada satu perkara yang masih bermasalah jika kita bandingkan dengan pemakaian prinsip-prinsip Syariah dalam perbankan Islam. Dalam perbankan Islam, Institusi-Institusi Kewangan (IKI) berkenaan terletak di bawah kawalan Bank Negara Malaysia (BNM). BNM mempunyai kuasa untuk mengeluarkan “Guidelines” dan lain-lain arahan yang wajib dipatuhi olek IKI. “Guidelines” ini termasuk mengenai keputusaan-keputusan Lembaga Penasihat Syariah (MPS). Ertinya, apabila MPS membuat sesuatu keputusan mengenai sesuatu isu, BNM pun mengeluarkan “Guidelines” mengenainya. Pada masa ini terdapat “Guidelines” yang agak lengkap mengenai mudarabah, murabahah, musyarakah, istisna’, ibra’ dan lain-lain dan ianya senentiasa dikemaskini. Kesannya, keputusan MPS itu mempunyai kuatkuasa undang-undang yang mesti dipatuhi oleh IKI, jika tidak ia boleh dihukum kerana melanggarnya. Degan cara itu, ada mekanisma untuk memastikan bahawa keputusan-keputusan MPS dipatuhi oleh IKI.

Berhubung dengan wakaf, kita tidak ada mekanisma seperti itu. JKF negeri boleh mengeluarkan fatwa mengenai wakaf korperat. Tetapi fatwa itu, jika diwartakan sekalipun, tidak akan mempunyai kuatkuasa undang-undang ke atas syarikat-syarikat kerana syarikat-syarikat terletak di luar bidangkuasa Negeri. Majlis juga tidak mempunyaai bidangkuasa ke atasnya seperti kuasa yang dipunyai ole BNM ke atas IKI. Mahkamah Syariah yang akan membicarakan kes-kes pelanggaran fatwa tidak mempunyai bidangkuasa terhadap syarikat-syarikat sebab syarikat bukanlah “orang yang menganut agama Islam”. Ertinya tiada pihakberkuasa yang mempunyai kuasa untuk mengawal syarikat-syarikat yang melanggar fatwa JKF Negeri sebagaimana BNM mengawal, menyelia dan mendisiplin termasuk menghukum IKI. Mungkin Suruhanjaya Syarikat boleh diberi kuasa untuk mengeluarkan “Guidelines” berdasarkan fatwa-fatwa JKF negeri (yang diselaraskan) seperti yang dilakukan oleh BNM dan seterusnya mengawal, menyelia, mendisiplin, malah menghukum mana-mana syarikat yang melanggarnya.

Sebagai satu usaha kearah pematuhan Syariah, satu syarat boleh dikenakan oleh Suruhanjaya Syarikat ke atas syarikat-syarikat yang hendak melaksanakan wakaf korporat ia itu ia hendaklah mempunyai Jawatankuasa Syariahnya sendiri, seperti yang dikehendaki ke atas IKI untuk menasihat dan memantau pematuhan Syariah olehnya.


NOTA

i “wakaf ‘am” ertinya wakaf yang berkekalan atas modal dan pendapatan daripada harta bagi maksud-maksud agama atau khairat yang diiktiraf oleh Hukum Syarak, dan harta yang diwakafkan sedemikian; – seksyen 2 Akta 505

ii “wakaf khas” ertinya wakaf yang berkekalan atau bagi suatu tempoh terhad atas modal harta bagi maksud-maksud agama atau khairat yang diiktiraf oleh Hukum Syarak, dan harta yang diwakafkan sedemikian, yang berpendapatan daripadanya diberikan kepada orang-orang atau bagi maksud-maksud yang ditetapkan dalam wakaf itu; – seksyen 2 Akta 505

iii Sebagai misalan, seksyen 61 Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekuayuan) 1993 (Akta 505) memperuntukkan:
61. Walau apa pun apa-apa peruntukan yang bertentangan yang terkandung dalam mana-mana surat cara atau perisytiharan yang mewujudkan, mengawal, atau menyentuh perkara itu, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah yang tunggal bagi semua wakaf, sama ada wakaf am atau wakaf khas, semua nazr ‘am, dan semua amanah daripada segala perihal yang mewujudkan apa-apa amanah khairat bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah orang Islam mengikut Hukum Syarak, setakat mana-mana harta yang tersentuh olehnya dan terletak di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan dan, jika pemberi harta itu atau orang lain yang mewujudkan amanah, wakaf atau nazr ‘am itu telah berdomisil di Wilayah-Wilayah Persekutuan, setakat semua harta yang tersentuh olehnya di mana-mana jua harta itu terletak.

iv 62. (1) Semua harta yang tertakluk kepada seksyen 61 dan terletak di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan, hendaklah, tanpa apa-apa pemindahhakan, penyerahhakan atau pemindahmilikan jua pun, dan, dalam hal harta tak alih, sebaik sahaja didaftarkan di bawah undang-undang bertulis yang relevan yang berhubungan dengan tanah, terletak hak pada Majlis, bagi maksud amanah, wakaf atau nazr ‘am yang menyentuh harta itu.

(2) Majlis hendaklah mengambil segala langkah perlu untuk meletak hak pada Majlis bagi maksud yang serupa mana-mana harta sedemikian yang terletak di luar Wilayah-Wilayah Persekutuan.

v 63. (1………..
(2) Tiap-tiap wakaf khas atau nazr yang dibuat selepas mula berkuatkuasanya Akta ini adalah batal dan tidak sah melainkan jika —
(a) Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Majlis, dengan nyata memperkenankan dan mengesahkannya; atau

vi 65. (1) ………….
(2)………….
(3)………….
(4) Segala surat cara yang mewujudkan, yang menjadi keterangan, atau yang menyentuh mana-mana wakaf atau nazr ‘am, berserta dengan mana-mana dokumen hak milik atau cagaran lain yang berhubungan dengannya, hendaklah dipegang dan disimpan oleh Majlis.”

vii Tan Kim Luan v Sabariah Binti Md Noor (1995) 1 CLJ 323