RAJA BERPERLEMBAGAAN

RAJA BERPERLEMBAGAAN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

England mengambil masa beratus-ratus tahun untuk menjadikan Rajanya Raja berperlembagaan seperti yang ada sekarang. Sistem tersebut sebenarnya developed kepada apa yang ada hari ini dalam abad kelapan belas dan ke sembian belas apabila kuasa harian dilaksanakan oleh Menteri Kabinet dan Parlimen yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Mengikut sistem itu, Raja bertindak sebagai seorang Ketua Negara yang bebas dari politik (non-political) mengikut apa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Selain daripada menjadi lambang penyatuan negara (national unity), Raja berperlembagaan memegang beberapa kuasa seperti membubar Parlimen, melantik Perdana Menteri dan memberi persetujuan kepada rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen. Walau bagaimana pun pelaksanaan tugas-tugas itu tertakluk kepada konvensyen dan ada yang bersifat formal. Political theorist British, Walter Bagehot dalam bukunya yang berjodol “The English Constitution” menjelaskan bahawa terdapat tiga hak politik utama yang seorang Raja berperlembagaan boleh laksanakan dengan bebas: hak untuk dirunding, hak untuk menasihat dan dan hak untuk memberi amaran (the right to be consulted, the right to advise and the right to warn.)

Apabila Malaya mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957, melalui Suruhanjaya Reid yang ahli-ahlinya terdiri daripada Hakim-Hakim common law, Malaya memilih sistem Raja berperlembagaan yang sudah developed. Itu adalah satu keputusan yang bijak. Ia telah diterima oleh rakyat dan Raja. Ia telah menjadi satu kontrak di antara Raja dan rakyat. Rakyat bersetuju menerima pemerintahan beraja dengan syarat kuasa Raja-Raja adalah seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan Raja-Raja hanya akan bertindak di dalam lingkungan bidangkuasa yang deberi kepadanya oleh Perlembagaan. Raja juga bersetuju dengan syarat-syarat itu.

Model itu adalah model Inggeris. Maka, dalam mentafsirkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan itu, kita juga perlu faham latar belakangnya dan konvensyennya. Misalnya, perlembagaan mungkin menggunakan perkataan “advice” (nasihat) seperti “atas nasihat Menteri”. Perkataan “nasihat” itu, mengikut konvensyen, hendaklah diikuti oleh Raja.

Selain daripada itu, akibat dua “krisis keperlembagaan” semasa Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, Malaysia telah membuat dua pembaharuan yang, saya percaya, pertama kali dilakukan di dunia. Pertama, peruntukan bahawa Raja mestilah menandatangani rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen dalam masa 30 hari, jika tidak ia secara otomatik akan menjadi undang-undang. (Perkara 66(4A).

Pindaan ini sebenarnya tidak perlu jika Raja memahami peranannya termasuk konvensyen yang patut diikutinya. Menandatangani rang undang-undang itu adalah suatu tugas formal. Raja tidak boleh menghalang proses penguatkuasaan sesuatu undang-undang yang dibuat oleh Parlimen. Kuasa itu telah diberi kepada Parlimen.

Kedua, penubuhan Mahkamah Khas. Asalnnya, seperti di England Raja tidak boleh didakwa di mana-mana mahkamah atas sifat peribadinya. Ini dalah kerana Raja “tidak pandai melakukan kesalahan”, meminjam kata-kata yang digunakan dalam Perlembagaan Brunei Darussalam yang merupakan terjemahan kepada kata-kata “can do no wrong.”

Tetapi, apabila ada Raja yang memukul orang, apabila Raja mula menceburi diri dalam bisnes, mula terhutang dangan banyaknya, maka remedinya perlulah diberi kepada satu pihak lagi. Jika tidak ianya tidak adil. Maka Perlembagaan di pinda untuk menubuhkan Mahkamah Khas. (Perkara 182).

Sebagai Ketua Hakim Negera, saya pernah mengetuai perbicaraan kes pertama yang berjalan sepenuhnya dan memberi penghakimannya. (Lihat penghakiman nombor satu dalam laman web saya www.tunabdullhamid.my) . Penghakiman itu, yang memerintahkan Raja berkenaan membayar US1 juta kepada sebuah bank dipatuhi sepenuhnya oleh Raja itu dan baginda membayarnya. Ini satu misalan yang boleh dibangga oleh Malaysia: Bekas Raja bagi seluruh Malaysia dan Raja yang sedang bertakhta di sebuah negeri boleh dibicarakan oleh Mahkamah dan baginda mematuhi perintah mahkamah itu. Kes itu adalah misalan terbaik untuk kebebasan mahkamah dan rule of law.

Dalam tempoh 56 tahun Malaysia Merdeka, selain daripada dua “krisis” itu, sistem itu berjalan dengan baik. Malaysia boleh berbangga dengannya.

Namun demikian, kadang-kadang, terdapat salah faham mengenai peranan Raja. Dalam satu kes di Mahkamah Syariah di sebuah negeri di Semenanjung Malaysia, Hakim berkenaan telah merujuk isu murtad untuk diputuskan oleh Sultan. Itu satu kesilapan. Tidak ada sesiapa selain daripada Hakim-Hakim Makamah itu (termasuk Hakim itu sendiri) yang mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan isu itu. Sultan adalah Raja berkeperlembagaan dan tidak boleh disamakan dengan Khalifah atau Sultan di zaman dahulu. Kuasa kehakiman telah pun diberi kepada Mahkamah Syariah. Itu perlu difahami.

Selain daripada itu, ada kalanya terdadapat kumpulan-kumpulan yang marasakan bahawa untuk memperkuatkan kedudukan mereka dalam sesuatu isu atau tuntutan mereka, mereka cuba melibatkan Majlis Raj-Raja, malah meminta Majlis Raja-Raja campur tangan mengenainya. Saya berpendapat ini juga tidak betul. Mereka tidak sepatutnya cuba melibatkan Majlis Raja-Raja dan Majlis Raja-Raja juga tidak sepatutnya meliatkan diri dalam perkara seperti itu.

Kini, mengikut laporan akhbar, Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor akan dibentangkan dalam Badan Perundangan Negeri Johor untuk diluluskan. Apa yang menarik perhatian ialah rang undang-undang itu mengandungi peruntukan untuk memberi kuasa pentadbiran kepada Sultan. Sultan hendak diberikan kuasa untuk menyelia akaun lembaga tersebut, membubar dan melantik ahli lembaga baru, menentukan jumlah elaun dan saraan mereka dan “melantik seorag pengarah yang boleh dipilih sebagai Ketua Eksekutif” lembaga tersebut.

Saya tidak mahu mengulas cadangan itu secara detail kerana saya belum melihat rang undang-undang itu. Tetapi setakat yang disebut dalam akhbar itu sudah cukup merunsingkan. Adakah kita menghala ke arah membuang prinsip Raja berperlembagaan dan mewujudkan semula Raja yang berkuasa mutlak (absolute monarchy) seperti di Brunei atau menghala ke arah anarchy? Kita ada sembilan orang Raja. Berapa hala kita akan dibawa?

Penglibatan Raja-Raja dalam pentadbiran akan menimbulkan berbagai-bagai masalah. Raja mungkin didakwa di mahkamah. Jika terlalu kerap didakwa kedudukan seseorang Raja mungkin akan tercemar.

Saya khuatir pegawai-pegawai lembaga tersebut hanya akan menjadi Pak Turut kerana takut dibuang kerja. Mereka tidak akan dapat membuat keputusan-keputusan secara professional.

Dari segi undang-undang, kita perlu berhati-hati supaya ia tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Konsep Raja berperlembagaan mestilah dipertahankan.

Apa yang saya sebut setakat ini adalah atas anggapan bahawa Raja itu memang jujur, tidak ada penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, rasuah, kepentingan diri dan sebagainya dan juga tidak ada pihak di belakang Raja itu yang menggunakan kedudukan baginda untuk mangaut untung. Jika sebaliknya, saya khuatir kontrak di antara rakyat dengan Raja yang saya sebut di awal rencana ini akan terburai.

8 Jun 2014

226 visits