PENGGUBALAN UNDANG-UNDANG HUDUD DI MALAYSIA: BOLEHKAH MALAYSIA MENJEJAKI LANGKAH BRUNEI?

SEMINAR BIDANG KUASA PERUNDANGAN SYARIAH: PENYERAGAMAN OLEH PEREKUTUAN vs PELAKSANAAN OLEH NEGERI – LESSONS LEARNT AND THE WAY FORWARD
25 Ogos 2014
PENGGUBALAN UNDANG-UNDANG HUDUD DI MALAYSIA: BOLEHKAH MALAYSIA MENJEJAKI LANGKAH BRUNEI?
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad
(Mantan Ketua Hakim Negara)


 

Untuk menjawab soalan ini, terlebih dahulu kita perlu tahu perbezaan di antara Brunei dan Malaysia dari segi perundangan.

Perundangan di Brunei

Brunei adalah sebuah negara yang diperitah oleh seorang Raja (Sultan) yang mempunyai kuasa mutlak. Kuasa memerintah yang tertinggi bagi Brunei terletak di tangan Baginda. Baginda adalah Perdana Menteri. Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Kuasa memerintah hendaklah dijalankan oleh Baginda.

Perlembagaan Brunei memberi kuasa kepada Sultan untuk membuat pemasyhuran darurat. Pemasyhuran darurat yang dibuat dalam tahun 1962 masih berkuatkuasa sehingga sekarang. Sepanjang pemasyhuran darurat berkuatkuasa, antara lain, Baginda “boleh membuat apa jua Perintah pun yang Baginda fikirkan dikehendaki bagi kepentingan orang ramai.” Perintah-perintah tersebut termasuklah “….. pengubahsuaian, pindaan, penggantian atau penggantungan semua atau mana-mana peruntukan sebarang undang-undang bertulis;” Perintah Kanun Hukuman Jeyah Syariah 2013 adalah salah satu perintah itu.

Sultan tidak boleh didakwa biar dengan apa cara juga pun, termasuk judicial review dalam kapasiti peribadi atau rasmi. Malah pegawai-pegawai kerajaan yang menjalankan tugas mereka juga kebal.

Perkara 85 membolehkan Sultan, “dengan Pemasyhuran, meminda, menambah atau membatalkan sebarang peruntukan Perlembagaan ini termasuk Perkara ini; dan Perlembagaan ini tidak boleh dipinda, ditambah atau dibatalkan dengan cara lain.”

Biasanya tafsiran Perlembagaan adalah tugas mahkamah. Tetapi, di bawah Perlembagaan Brunei tugas itu diberi kepada Tribunal Tafsiran yang mempunyai tiga orang ahli yang dilantik oleh Baginda dan memegang jawatan selama mereka diperkenankan oleh Baginda.

Patut diambil perhatian bahawa dalam Perlembagaan Brunei tidak ada peruntukan-peruntukan yang mengatakan bahawa Perlembagaan adalah undang-undang utama negara dan mana-mana undang-undang yang tidak selaras dengannya adalah tidak sah. Juga tidak ada peruntuan mengenai kebebasan asasi, pilihanraya, Badan Kehakiman mahupun Mahkamah Syari’ah.

Brunei adalah sebuah negera unitary, bukan sebuah persekutuan dan tiada pembahagian kuasa perundangan di antara persekutuan dan negeri.

Tidak ada sekatan keperlembagaan mengenai bidangkuasa Mahkamah Sivil mahupun Mahkamah Syari’ah. Misalnya bidangkuasa Mahkamah Syari’ah tidak terhad kepada orang-orang yang manganut agama Islam sahaja. Tidak ada sekatan mengenai jenis kesalahan yang boleh diletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syari’ah (misalnya kesalahan berkenaan “precepts of Islam” (suruhan Islam) atau mengenai jenis hukuman yang boleh dilaksanakan oleh Mahkamah Syari’ah. Jika ada apa-apa sekatan pun, Sultan boleh tidak memperdulikannya atau menindanya.

Dalam keadaan itu, tidak ada apa atau sesiapa yang boleh menghalang Sultan jika Baginda hendak membuat sesuatu undang-undang dan melaksanakannya. Dalam keadaan itulah Perintah Kanun Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dibuat.

Perundangan di Malaysia

Malaysia adalah sebuah persekutuan. Ada perkara yang terletak dalam bidangkuasa perundangan persekutuan , ada yang terletak di bawah bidangkuasa perundangan negeri . Perlembagaan adalah undang-undang utama dan mana-mana undang-undang yang tidak selaras dengannya adalah tidak sah. Kuasa kerajaan dibahagi kepada tiga: Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Kuasa Eksekutif terletak kepada Jema’ah Menteri.

Kuasa perundangan (legislative power) terletak kapada Parlimen yang terdiri daripada Dewan Rakyat, Dewan Negara dan perkenan Yang diPertuan Agong. Parlimen tidak boleh membuat undang-undang bagi perkara-perkara yang terletak dalam bidangkuasa negeri.

Sayugia diambil perhatian bahawa undang-undang jenyah (criminal law) adalah terletak di bawah bidang kuasa persekutuan dan Parlimen.

Kuasa kehakiman terletak kepada Badan Kehakiman. Ini termasuk kuasa mentafsir Perlembagaan dan semakan kehakiman (judicial review). Mahkamah berkuasa mengisytihar undang-undang, sama ada yang dibuat oleh Parlimen atau Badan Perundangan Negeri tidak sah jika ia tidak selaras dengan Perlembagaan. Mahkamah juga berkuasa mengisytiharkan sesuatu perinatah, arahan atau tindakan seorang Menteri itu tidak sah melalui semakan kehakiman (judicial review).

Badan Perundangan Negeri hanya boleh membuat undang-undang mengenai perkara-perkara yang terletak dalam Jadual Kesembilan Senarai II (Senarai Negeri). Mahkamah Syari’ah adalah mahkamah negeri. Bidangkuasanya terhad kepada orang Islam sahaja.

Dengan latar belakang itu, kita lihat apa yang dilakukan oleh Brunei.

Cara Brunei menggubal Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013.

Undang-undang tersebut dibuat melalui Perintah yang dikeluarkan semasa keadaan darurat. Ia dibuat oleh Sultan yang mempunyai kuasa mutlak. Tiada siapa yang boleh menyoalnya. Tiada siapa yang boleh mencabarnya termasuk di mahkamah.

Sebelum ini, kedudukan di Brunei adalah seperti di Malaysia. Kesalahan-kesalahan jenayah dibicarakan oleh Mahkamah Sivil. Kesalahan-kesalahan yang dikenali sebagai “jenayah syari’ah” diletakkan di bawah bidangkuasa Mahkamah Syari’ah.

Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 membahagikan kesalahan-kesalahan seperti berikut:

Pertama, kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman hudud. Misalannya, curi (sariqah), samun (hirabah), zina (zina), rogol (zina bil-jabar), liwat (liwat), menuduh berzina (qazaf) dan meminum minuman yang memabukkan.

Kedua, kesalahan-Kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman qisas dan diyat. Misalnya, menyebabkan kematian orang lain (qatl) dan menyebabkan kecederaan.

Ketiga, kesalahan-kesalahan am seperti tidak menunaikan sembahayang Jumaat, khalwat dan perbuatan tidak sopan yang membawa hukuman penjara atau denda (ta’zir).

Perintah ini pada amnya dikuatkuasakan terhadap orang Islam dan orang bukan Islam. Misalnya menyebabkan kematian orang lain, curi, samun, rogol dan liwat.

Terdapat kesalahan-kesalahan yang boleh dilakukan oleh orang Islam sahaja seperti meminum minuman yang memabukkan dan zina.

Terdapat kesalahan yang hanya boleh di lakukan oleh orang bukan Islam seperti menghina Nabi oleh orang bukan Islam dan mempermainkan ayat Al-Qur’an atau hadith oleh orang bukan Islam.

Terdapat juga perbuatan yang tidak menjadi kesalahan jika ia dilakukan oleh orang bukan Islam dengan orang bukan Islam. Tetapi ia menjadi kesalahan jika orang bukan Islam melakukannya dengan orang Islam. Misalnya zina.

Kita lihat pula dari perspektif bidangkuasa. Ada kesalahan-kesalahan yang terletak di bawah bidangkuasa eksklusif Mahkamah Syari’ah. Misalnya, hamil luar nikah, tidak menunaikan sembahyang Jumaat, tidak menghormati bulan Ramadhan, khalwat, perbuatan tidak sopan, lelaki berlagak menyerupai perempuan atau sebaliknya, mengamalkan sihir, mengembangkan ugama selain ugama Islam, pemujaan dan menuduh orang Islam sebagai kafir. Kesalahan-kesalahan itu akan dibicarakan oleh Mahkamah Syari’ah sahaja. Ini adalah kesalahan-kesalahan ta’zir yang hukumannya ialah penjara dan/atau denda.

Terdapat kesalahan-kesalahan yang telah diperuntukkan dalam Penal Code semenjak ia mula diterima pakai di Brunei tetapi sekarang diperuntukkan juga dan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013. Misalannya seperti mencuri, menyamun, merogol, me liwat, menyebabkan kematian orang lain dan menyebabkan kecederaan. Akibatnya, bagi kesalahan-kesalahan ini, terdapat peruntukan yang sama atau serupa dalam dua undang-undang yang berbeza dengan cara pembuktian yang berbeza, hukuman yang berbeza, pendakwa yang berbeza malah mahkamah yang berbeza!

Bagaimana kesalahan-kesalahan itu ditangani? Mengikut penjelasan yang di berikan oleh Awang Haji Mohd. Yusree Hj. Junaidi, Penolong Peguamcara Negara Brunei, kes-kes tersebut akan dilaporkan kepada dan disiasat oleh Pasukan Polis Diraja Brunei dengan dibantu oleh Unit Penguatkuasa Agama dan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang lain, jika berkenaan. Setelah penyiasatan selesai dijalankan, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pendakwa Raya. Penilaian akan dibuat, dengan dibantu oleh Ketua Pendakwa Syar’ie jika perlu, sama ada terdapat keterangan yang mencukupi bagi pembuktian kesalahan-kesalahan di bawah Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari’ah atau jika suspek ingin membuat pengakuan salah secara iqrar menurut Perintah Keterangan Mahkamah Syariah dan Perintah Kanun Peraturan Jenayah Syariah. Dalam hal yang sedemikian, maka kes tersebut akan dipindahkan ke Mahkamah Syari’ah dengan pendakwaan di buat oleh Pendakwa Syar’ie dengan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya jika perlu. Jika sebaliknya, maka pendakwaan akan diteruskan di bawah Penal Code di Mahkamah Sivil.

Dalam kata-kata lain, walaupun terdapat peruntukan kesalahan dalam dua undang-undang yang berbeza, seseorang itu hanya akan didakwa sekali sahaja, di bawah salah satu undang-undang itu. Masa akan menentukan bagaimana susunan (arrangement) ini berjalan.

Bolehkah kita menjejaki langkah Brunei?

Saya mesti mulai dengan menyatakan bahawa, pertama, di Malaysia Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama (supreme law) Persekutuan dan mana-mana undang-undang yang dibuat selepas Merdeka yang bercanggah dengannya adalah tidak sah. Kedua, kuasa mentafsir Perlembagaan terletak kepada mahkamah. Ketiga, melalui judicial review dan tindakan undang-undang lain kerajaan, anggota dan pegawainya semuanya tertakluk kepada tindakan undang-undang.

Maka dalam hal ini, kita perlulah mengambil perhatian terhadap peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai pembahagian bidangkuasa di antara persekutuan dan negeri. Mengikut Senarail I, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan, “criminal law” (undang-undang jenayah) terletak di bawah bidangkuasa persekutuan dan Mahkamah Sivil. Sebaliknya “kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam” (“offences relating to precepts of Islam”) seperti yang diperuntukkan dalam Senarai II (Senarai Nagari), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan terletak di bawah bidangkuasa kerajaan negeri dan Mahkamah Syari’ah.

Kita lihat pula kepada kesalahan-kesalahan tersebut. Kita dapati, di antaranya ada kesalahan-kesalahan yang telah pun wujud dalam Penal Code semenjak tahun 1936 dan berkuatkuasa semasa Perlembagaan Persekutuan digubal. Misalannya ialah kesalahan menyebabkan kematian kepada orang lain, mencuri, merompak, merogol dan menyababkan kecederaan kepada orang lain. Semestinya kata-kata “criminal law” yang digunakan oleh penggubal-penggubal itu merujuk, terutama sekali, kepada kesalahan-kesalahan dalam Penal Code itu. Jika tidak apa lagi yang dipanggil “criminal law” itu? Juga, jika tidak, maka semua perbicaraan kesalahan-kesalahan di bawah Penal Code di Mahkamah Sivil semenjak Merdeka adalah tak keperlembagaan, tak sah dan batal. Itu adalah satu pandangan yang tidak munasabah. Juga sehingga ke hari ini, tidak ada sebuah negeri pun yang mengkanunkan kesalahan-kesalahan itu sebagai undang-undag negeri.

Sebaliknya, di antara kesalahan-kesalahan itu ada juga kesalahan-kesalahan yang tidak terdapat dalam Penal Code, malah telah pun diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syari’ah negeri-negeri. Misalannya ialah zina, menuduh seorang berzina dan kesalahan-kesalahan berkaitan dengan minuman yang memabukkan. Bolehlah dihujahkan bahawa kesalahan-kesalahan itu ia bukan “criminal law”.

Jika hukuman-hukuman hudud dan qisas hendak dikenakan bagi kesalahan-kesalahan jenayah persekutuan, ia hanya boleh dilakukan sebagai undang-undang persekutuan, ia itu, sebagai undang-undang jenayah dan bukan “kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam” (“offences relating to precepts of Islam”) seperti yang diperuntukkan dalam Senarai II (Senarai Nagari), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada apa-apa halangan keperlembagaan bagi melakukan sedemikian. Parliament boleh memilih apa-apa hukuman kepada apa-apa kesalahan jenayah, termasuk hukuman mengikut Syari’ah. Dengan cara itu, penguatkuasaannya boleh meliputi orang Islam dan bukan Islam. Sebagai undang-undang jenayah ia terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil. Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa ke atas orang Islam dan bukan Islam. Untuk Parlimen Malaysia membuat undang-undang seperti itu, tidak ada pindaan keperlembagaan yang perlu dibuat dan rang undang-undang itu hanya perlu diluluskan dengan majoriti mudah. Keadaan ini bolehlah dibandingkan dengan undang-undang mengenai perbankan dan kewangan Islam dan takaful.

Perlu ditekankan di sini, undang-undang jenayah persekutuaan itu mestilah terpakai kepada semua orang Islam dan bukan Islam kerana ia adalah undang-undang jenayah dan bukannya undang-undang peribadi dan kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam (“offences relating to precepts of Islam”) seperti yang diperuntukkan dalam Senarai II (Senarai Nagari), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Jika ia hanya terpakai kepada orang Islam sahaja, ia akan bercanggah dengan peruntukan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan kerana itu adalah satu diskriminasi atas alasan agama dan oleh itu tak keperlembagaan, tak sah dan batal.

Bagaimana dengan kesalahan-kesalahan yang tidak terdapat dalam Penal Code atau mana-mana undang-undang persekutuan, malah telah pun diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri-negeri seperti yang saya telah sebutkan tadi? Bagi kesalahan-kesalahan itu, bolehlah dihujahkan bahawa ia bukan “criminal law”. Bagi saya ia boleh dijadikan undang-undang negeri. Tetapi, untuk memakai hukuman hudud kepadanya, ada halangannya, bukan halangan keperlembagaan tetapi halangan undang-undang persekutuan yang menghadkan hukuman yang boleh di peruntukkan untuk dijadikan undang-undang Negeri dan diberi bidangkuasa kepada Mahkamah Syari’ah. Jika Kerajaan Persekutuan sanggup meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 untuk membolehkan Badan Perundangan Negeri mengenakan hukuman hudud kepada kesalahan-kesalahan itu, Badan Perundangan Negeri bolehlah membuat undang-undang itu. Sebagai undang-undang negeri di bawah Senarai II, Jadual Kesembilan ia hanya terpakai kepada orang-orang Islam dan terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syari’ah. Tidak ada isu keperlembagaan di sini.

ENKMEN KANUN JENAYAH SYARIAH (II) 1993 (KELANTAN)

Sekarang mari kita tumpukan kepada Enakmen Kelantan sebaga satu case-study.

Ringkasnya Enakmen ini mewujudkan kesalahan-kesalahan hudud termasuklah menyebabkan kematian, merompak, merogol, mencuri, berzina, menuduh orang berzina dan meminum minuman yang memabukkan dan mejetapkan hukuman hudud baginya. Perhatikan bahawa kesalahan menyebabkan kematian, merompak, merogol dan mencuri adalah kesalahan-kesalahan jenayah persekutun yang telah wujud dalam Penal Code semenjak tahun 1936. Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai kuasa membuant undang-undang mengenainya. Oleh itu peruntukan mengenai kesalahan-kesalahan itu dan yang serupa dengannya adalah tak sah dan batal kerana ia tidak keperlembagaan (unconstitutional).

Sebaliknya bagi kesalahan-kesalan seperti berzina, menuduh orang berzina, meminum minuman yang memabukkan dan yang serupa dengannya adalah terletak di dalam bidangkuasa Badan Perundangan Negeri. Tetapi, perlu diingati bahawa hukuman yang boleh dikenakan bagi kesalahan-kesalahan itu adalah tertakluk kepada apa yang dibenarkan oleh undang-undang Persekutuan ia itu Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965. Akta itu hanya membenarkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000.00 atau sebatan tidak lebih daripada enam kali atau campuran diantarannya.

Adalah jelas bahawa hukuman hudud bukanlah hukuman yang dibenarkan oleh akta itu. Maka, peruntkan-peruntukan berkenaan dan Enakmen Hudud Kelntan itu juga tak sah dan batal kerana ia bercanggah dengan undang-undang Persekutuan itu. Untuk membuat peruntukan seperti itu, akta tersebut mestilah dipinda terlebih dahulu untuk memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri mengenakan hukuman hudud.

Bagaimana Kelantan cuba mengatasi masalah ini?

Pertama, mengenai kes-kes yang terletak dalam Senarai Negeri seperti berzina, menuduh orang berzzina, meminun minumam yang memebukkan, saya percaya Kerajaan Kelantan akan meminta Kerajaan Persekutuan supaya meminda Akta Mahkamah Syari’ah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 untuk membolehkan hukuman hudud dikenakan kepada kesalahan-kesalahan itu. Jika Kerajaan Persekutuan bersetuju dan Parlimen meminda Akta tersebut, Badan Perundangan Negeri Kelantan bolehlah mengenakan hukuman hudud bagi kes-kes tersebut. Undang-undang itu akan kekal sebagai undang-undang negeri di bawah Senarai Negeri, disiasat dan didakwa oleh Penyiasat dan Pendakwa Syari’ah dan dibicrakan oleh Mahkmah Syari’ah.

Kedua, mengenai kes-kes jenayah Persekutuan seperti menyebabkan kematian, merompak, merogol dan mencuri. Nampaknya Kerajaan Neneri Kelantan akan meminta Parlimen untuk membenarkan Badan Perundangan Negeri Kelantan untuk membuat undang-undang bagi keslahan-kesalahan itu dan mengenakan hukuman hudud keatasnya. Mereka bersandar kepaa Perkara 76A(1) Perlembagaan Malaysia.

Katakanlah Parlimen membenarkannya dan Badan Perundangan Negeri membuat undang-undang itu dan memperuntukkan hukuman hudud baginya, apakah kedudukan undang-undang itu? Adakah ia kekal sifatnya sebagai undang-undang jenayah atau ia bertukar menjadi undang-undang yang dibuat di bawah Senarai Negeri? Pada pandangan saya, sifatnya kekal sebagai udang-undang jenayah. Saya berkata demikian kerana:

  1. Dari asalnya kesalahan-kesalahan itu adalah undang-undang jenayah yang terletak dalam Senarai Persekutuan. Ia tidak termasuk dalam Senarai Negeri, sebab itulah Negeri terpaksa meminta kebenaran di bawah Perkara 76A(1).
  2. Parliament tidak meminda Perlembagaan untuk meletakkannya di bawah Senarai Negeri. Apa yang dilakukan oleh Parlimen hanya membenarkan badan Perundangn Negeri membuat undang-undang dalam perkara itu untuk dipakai di negeri itu. Sifatnya tidak diubah. Saya tekankan bahawa untuk meletakkannya di bawah Senarai Negeri memerlukan pindaan kepada Perlemagaan dan majoriti dua per tiga.

Jika demikianlah halnya, apakah kesanny? Pada pandangan saya:

  1. Ia mestilah terpakai kepada semua orang Islam dan bukan Islam sebab ia undang-undang jenayah Persekutuan dan bukan undang-undang yang dibuat di bawah Senarai Negeri. Jika tidak ia tak keperlembagaan (unconstitutional) kerana bercanggah dengan Perkara 8.
  2. Mahkamah mana yang mempunyai bidangkuasa membicarakan kes-kes itu? Jawabnya, Mahkamah Sivil. Sebabnya, pertama, ia adalah undang-undang jenyah dan bukan undang-undang yang dibuat di bawah Senarai Negeri. Kedua, Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa terhadap orang Islam dan bukan Islam manakala Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidangkuasa terhadap orang Islm sahaja.

Semua ini bukanlah apa yang dikehendaki oleh Kelantan. Saya percaya Kelantan menyangka jika ia mendapat kebenaran Parlimen dan undang-undang itu dibuat oleh Badan Perundangan Negeri, ia akan menjadi seperti undang-undang yang dibuat dibawah Senarai Negeri yang disiasat dan didakwa oleh Penyiasat dan Pendakwa Syari’ah dan dibicarakan oleh Mahkamah Syari’ah. Sebenarnya tidak.

Dalam keadaan seperti ini, orang kerapkali menyalahkan penggubal Perlembagaan. Itu tidak adil.

Pertama, kita harus faham mengapa Perlembagaan Persekutuan digubal sedemikian pada masa itu. Salah satu mandat yang diberi kepada penggubal perlembagaan adalah untuk mewujudan sebuah negara persekutuan yang kukuh. Oleh sebab itulah, antara lain, undang-undang am yang terpakai kepada semua orang dan yang melibatkan ketenteraman negara, dijadikan undang-undang persekutuan yang tidak terhad kepada orang Islam sahaja dan tidak terhad kepada sempadan sesebuah negeri sahaja. Untuk melaksanakannya dengan berkesan diwujudkan pasukan Polis, penjara dan Mahkamah Sivil yang bidangkuasanya meliputi seluruh negara. Sayugia diingati bahawa, perjanjian-perjanjian antarabangsa mengenai kerjasama membenteras jenayah seperti Interpol adalah perjanjian di antara negara dengan negara. Undang-undang antarabangsa tidak mengiktiraf negeri seperti Kelantan. Ia mengiktiraf negara seperti Malaysia untuk menjadi pihak-pihak (parties) dalam sesuatu perjanjian. Undang-undang ekstradisi juga melibatkan negara, bukan negeri.

Kuasa membuat undang-undang yang diberi kepada negeri adalah yang terkandung dalam Senarai II Jadual Kesembilan (Senarai Negeri) hanya berkaitan dangan undang-undang diri dan keluarga orang Islam. Itu sahaja.

Sepanjang ingatan saya, pada masa Perlembagaan Persekutuan digubal, tidak ada pihak yang mempertikaikan pembahagian kuasa itu. Sebaliknya, di Keantan ada satu kumpulan yang mahu Kelantan keluar dari Semenajung Tanah Melayu. Jika mereka berjaya, tentulah semua masalah ini tidak timbul hari ini!

Kedua, jika undang-undang jenayah dijadikan undang-undang negeri, besar kemunkinan, akan berlaku perbezaan undang-undang itu antara sebuah negeri dengan sebuah negeri. Keadaan ini akan menyebabkan ketidakpastian undang-undang dan mungkin menggugat ketenteraman negara.

Ketiga, saya khuatir pelaksanaan undang-undang jenayah oleh negeri-negeri kurang berkesan. Oleh sebab undang-undang itu undang-undang negeri walaupun bersifat jenayah, ia terhad kepada sempadan negeri itu sahaja. Masalah penguatkuasaan proses undang-undang dan mahkamah seperti Waran Tangkap, Sapina dan lain-lain bagi tertuduh dan saksi-saksi yang mungkin berada di negeri lain atau senghaja lari ke negeri lain mungkin akan timbul.

Dalam keadaan demikian di Malayia ini, bolehkah kita menjejaki langkah Brunei dalam menggubal undang-undang hudud? Jawablah seniri.

Sekian. Terima kasih.

880 visits