TERIMA KASIH KEPADA DS ZAHID

TERIMA KASIH KEPADA DS ZAHID

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Lewat petang 07 Mac 2020, saya menerima satu WhatsApp daripada seorang rakan yang mengemukakan berita Astro Awani dengan tajuk “Zahid cadang dirinya tidak dilantik sertai Kabinet” yang juga memetik DS Zahid sebagai berkata “Keputusan saya ini adalah keputusan muktamat setelah mengambil kira semua factor.”

 Saya tiada sebab untuk tidak mempercayai kebenaran berita itu. Maka, saya menulis rencana ini.

Antara orang bukan politik yang masih mahu melihat UMNO terus kekal sebagai sebuah parti orang Melayu yang memperjuangkan hak orang Melayu di Malaysia tetapi, untuk terus relevan, ia perlulah membersihkan namanya daripada persepsi rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa pemimpin-pemimpinnya, mungkin sayalah yang paling lantang meminta beliau mengundur diri daripada memegang apa-apa jawatan dalam UMNO. Tujuan saya adalah untuk memulih semula UMNO bagi menghadapi PRU15.

Untuk rekod, dalam “Siapa patut memimpin UMNO untuk menghadapi PRU15?” (16 04 2019), antara lain, saya menulis”:

Bagaimana dengan DS Najib dan DS Zahid? Melainkan mereka telah dibebaskan oleh mahkamah daripada semua pertuduhan, adalah lebih baik bagi imej UMNO jika mereka tidak memegang apa-apa jawatan dalam UMNO…

 Bagaimana dengan DS Zahid? … Beliau eloklah mengikut teladan DS Najib dengan meletak jawatan sebagai Presiden UMNO. Berhentilah cakap-cakap untuk menjalankan tugas sebagai Presiden semula. Jika beliau berbuat demikian, populariti UMNO yang mula meningkat itu akan merudum semula. Sudah tiba masanya beliau berhenti dari politilk, atau hanya menjadi ahli biasa. Beliau patut bersyukur beliau telah naik setinggi itu. Beliau bukanlah material Perdana Menteri.”

Pada masa itu beliau belum menamatkan percutiannya dan menjalankan tugasnya sebagai Presiden UMNO. Betul atau tidak pandangan saya itu, ia tidak disenangi oleh DS Zahid dan penyokong-penyokongnya tetapi dipersetujui pula oleh semua orang yang saya temui dan berbincang mengenai masa hadapan UMNO.

Selapas itu, beliau menamatkan percutiannya dan menjalankan semula tugas-tugas Presiden UMNO. Saya khuatir orang-orang yang kembali atau akan kembali menyokong UMNO semula akan tawar hati kerana mereka tidak nampak ada apa-apa perubahan positif dalam UMNO.

Keadaan menjadi lebih merungsingkan apabila beliau nampak mengambil peranan utama dalam mewujudkan muafakat dengan PAS dan dalam cubaan menubuh kerajaan PN, apatah lagi cakap-cakap mengenai kemungkinan beliau akan diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Menteri.

Jika ia belaku demikian, maka ia akan mencemarkan nama baik kerajaan PN dan memberi modal kepada PH untuk mengkritik kerajaan PN bahawa ia bersekongkol dengan “pemimpin-pemimpin UMNO yang rasuah.”

Perlu diingati, isunya bukan pemimpin-pemimpin itu rasuah atau tidak. Itu akan diputuskan oleh mahkamah. Isunya ialah persepsi rasuah dan penyalahgunaan kuasa itu berbangkit daripada pertuduhan terhadap mereka. Persepsi itu hanya akan luput jika dan apabila mereka dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan itu oleh mahkamah. Maka, sehingga mereka dibebaskan, jika mereka akan dibebaskan, demi memperbaiki imej UMNO dan kerajaan PN, eloklah mereka tidak dilantik menjadi ahli kabinet kerajaan PH.

Kita juga khuatir, jika mereka menjadi ahli kabinet kerajaan PN, pengaruh politik akan digunakan untuk menarik balik pertuduhan terhadap mereka seperti yang dilakukan oleh Tommy Thomas terhadap Lim Guan Eng dan lain-lain pemimpin dan penyokong DAP dan kerajaan PH.

Maka, dalam “Pesanan kepada kerajaan PN: walaun kekal sehari, buat yang betul” (02 03 2020), saya berkata, antara lain:

“1. PN tidak akan mengulangi kesilapan UMNO dan PH.

 2. PN tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

 3. PN tidak akan melantik ahli Parlimen yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah untuk memegang sebarang jawatan dalan Kabinet PN.

 4. Kerajaan PN akan melantik seorang pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan yang kanan, berpengalaman dalam pendakwaan dan undang-undang, berdedikasi dan berintegriti untuk menjadi Peguam Negara/Pendakwa Raya.”

Maka, berita yang saya terima itu sesungguhnya mengembirakan. Terima kasih kepada DS Zahid. Itu satu keputusan yang betul, dalam keadaan sekarang demi memperbaiki imej UMNO dan kerajaan PN.

Bagi saya, mungkin itu satu kebetulan. Tidak mengapa asalkan ia berlaku seperti yang saya ingini.

Jika ia kebetulan sekalipun, itu adalah kebetulan kedua dalam masa 24 jam.

TS Idrus Harun, Hakim Mahkamah Persekutuan, bekas Peguamcara Negara dan pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan telah dilantik menjadi Peguam Negara. Itu menepati pesanan ke 4, di atas.

Tidak syak lagi, penarikan diri DS Zahid ini akan memudahkan TS Muhyiddin untuk tidak memasukkan pemimpin-pemimpin yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah itu ke dalam kabinetnya. Ini akan membantunya menubuhkan sebuah kerajaan yang bersih.

Kita menunggu perisytiharan nama-nama ahli kabinet kerajaan PN. Diharapkan ia adalah pilihan yang betul. Jika demikian, kita doakan ia akan kekal. Jika tidak kekal pun, ia akan diingati. Percayalah.

08 03 2020

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

 

 

112 visits