FAKTOR PENGHALANG PERPADUAN MELAYU
FAKTOR PENGHALANG PERPADUAN MELAYU
Dalam tempoh lebih kurang dua tahun yang lepas, saya cuba mengemukakan cadangan dan hujah-hujah untuk menyatukan semula orang Melayu dan umat Islam di Malaysia untuk mempertahankan Kerajaan Persekutuan yang sedia ada, sekaligus mempertahankan hak dan kedudukan orang Melayu dan agama Islam. Di peringkat parti politik, saya menumpukan perhatian pada dua parti terbesar yang ahli-ahlinya terdiri daripada orang Melayu dan Islam, iaitu UMNO dan PAS dan menyarankan agar kedua-duanya bekerjasama dalam Pilihanraya Umum yang akan datang (PRU14). Saya juga menyarankan agar NGO-NGO Melayu/Islam yang besar-besar seperti Perkasa dan juga orang Melayu/Islam umumnya supaya menyertai “perpaduan ummah” ini.
Dalam berbuat demikian, saya cuba memberi tumpuan pada ummah, tidak kira siapa pemimpinnya, dengan hujah bahawa pemimpin datang dan pergi, ummah kekal. Ummah menentukan siapa pemimpin, bukan sebaliknya. Tidak ada pemimpin yang lebih besar daripada ummah, melainkan seorang Rasul. Seorang pemimpin yang berjiwa besar juga sepatutnya tahu bila dia patut berundur. Pertimbangannya ialah apabila dia sudah hilang credibility dan menjadi liability kepada parti dan demi kepentingan agama, bangsa dan negara, bukan kepentingan diri.
Maka, kita janganlah bakar kapal kerana tidak sukakan nakhoda. Janganlah bersekongkol dengan nakhoda kapal musuh untuk membakar kapal sendiri. Nakhoda janganlah membakar kapal kerana tidak mahu melepaskan jawatan. Dan, janganlah ada pula orang yang kerana hendak sangat menjadi nakhoda, hingga sanggup membakar kapal.
Pada masa itu, saya nampak halangan utama kerjasama UMNO dan PAS adalah isu pelaksanaan hudud. Maka saya cuba melembutkan halangan itu dengan berhujah bahawa dalam keadaan yang kita hadapi sekarang, kita sepatutnya menumpukan perhatian kepada mempertahankan hak dan kedudukan orang Melayu dan umat Islam, bukan kepada pelaksanaan hudud. Jika kedudukan kita menjadi lemah, harapan untuk melaksanakan hudud juga akan hancur. Biar apa pun, gandingan terbaik bagi PAS untuk melaksanakan hudud adalah UMNO, bukan PKR dan/atau DAP.
Saya menghujahkan bahawa sebenarnya, tidak ada apa-apa perbezaan prinsip atau ideologi di antara UMNO dan PAS yang boleh menjadi halangan kepada kerjasama di antara mereka. Halangan yang ada hanyalah kepentingan diri; takut hilang pendapatan, jawatan dan kedudukan atau takut tidak berpeluang mendapatnya. Soalnya, sanggupkah pemimpin-pemimpin kedua parti itu mengetepikan halangan itu?
Di peringkat NGO dan individu, terdapat faktor lain yang lebih besar; faktor pemimpin, seperti yang pernah disuarakan kepada saya oleh seorang insan. Katanya, “Setelah membaca rencana-rencana Tun, saya mengambil keputusan untuk mengundi BN dalam Pilihanraya Umum yang akan datang. Tetapi, masalahnya, saya tidak sukakan pemimpin tertentu. Pemimpin itu akan menganggap undi saya itu adalah undi untuknya, sedangkan itu bukan tujuan saya.”
Malangnya, faktor itu makin sehari semakin menjadi penghalang yang lebih besar. Tidak nampak tanda-tanda ia akan berkurangan. Tidak nampak tanda-tanda penyelesaian. Kerosakan kepada imej dan integriti pemimpin berkenaan sudah terlalu serius hingga ia tidak mungkin boleh dibaiki lagi. Juga, tidak kelihatan sesiapa di dalam partinya yang terserlah untuk mengambil alih, jika kemungkinan itu berlaku. Itu realitinya, suka atau tidak.
Maka, saya khuatir bahawa sedikit sebanyak perkembangan positif ke arah perpaduan ummah yang telah berlaku dalam tempoh itu akan terbantut. Nampaknya, kemungkinan kapal akan terbakar menjadi lebih serius. Mangsanya adalah orang Melayu dan ummat Islam. Berada di penghujung jalan, dalam keuzuran dan kesakitan, saya sedih. Saya cuma boleh berharap bahawa semua pihak berkenaan, pemimpin atau yang dipimpin akan lebih mengutamakan kepentingan ummah daripada kepentingan diri. Tetapi, saya tahu saya tidak boleh mengharapkannya. Hanya tidur yang dapat menghilangkan kesakitan dan kerisauan, untuk sementara.
Tun Abdul Hamid Mohamad
3 Ogos 2016
[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me