KERJASAMA UMNO DAN PAS MULA MENUNJUKKAN KESAN

KERJASAMA UMNO DAN PAS MULA MENUNJUKKAN KESAN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

(Dalam rencana ini, apabila saya menggunakan kata-kata “perpaduan atau perpercahan orang Melayu” ia termasuk “orang Islam” atau “umat Islam”, khususnya di Semenanjung Malaysia).

Penubuhan PAS sebagai serpihan UMNO dalam tahun 1951 merupakan permulaan perpecahan orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu (pada masa itu) yang berkekalan hingga sekarang. Ia ditubuh oleh Haji Ahmad Fuad Hassan setelah beliau kalah dalam pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO kapada Tunku Abdul Rahman Putra, selepas Dato’ Onn Ja’afar meletak jawatan.

Walaupun dalam PRU2 (1959), PAS menawan Kelantan dan Trengganu, ia tidak menjadi ancaman kepada kerajaan persekutuan yang diterajui UMNO, kerana sokongan padu orang Melayu di Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu (PBSTM) tetap kepada UMNO. Keadaan itu berterusan hinggalah ke millinium kedua.

Namun begitu, Tun Abdul Razak, telah dapat melihat lebih jauh betapa pentingnya UMNO dan PAS bekerjasama, jika tidak disatukan pun, selepas berlakunya rusuhan 13 Mei 1969. Maka, beliau membawa masuk PAS ke dalam BN. Itu kemumcak perpaduan Melayu selepas Merdeka.

Malangnya Tun Hussain Onn dan Tun Dr. Mahathir (timbalannya) tidak dapat melihat sejauh Tun Abdul Razak atau merere tidak memikirkannya penting. Maka, dalam tahun 1977 mereka menyingkir PAS daripada BN dan daripada kerajaan persekutuan dan negeri. Itu adalah satu kesilapan dalam sejarah perpaduan orang Melayu.

Pada masa itu BN sangat kuat, maka sokongan PAS tidaklah penting. Apatah lagi, dalam pilihanraya berikutnya, PAS mengalami kekahan teruk hinggakan Kelantan pun jatuh ke tangan BN. Maka, semakin bongkaklah UMNO, manakala PAS membawa diri dengan hati yang luka.

Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abul Aziz (Dato’ Nik Aziz) tidak dapat memaafkan UMNO hingga ke akhir hayatnya. Walau bagaimana pun, kemudiannya, di bawah pimpinan Dato’ Fadzil Noor dan Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dengan Dato’ Nik Aziz sebagai Mursyidul Am, PAS berkembang ke PBSTM dan ke bandar-bandar.

Tanpa menuding jari kepada siapa yang bertanggungjawab, dalam tahun 1988, UMNO diharamkan. Akibatnya, UMNO berpecah kepada UMNO Baru pimpinan Tun Dr. Mahathir dan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah. Orang Melayu alhi-ahli UMNO juga turut berpecah.

Punubuhan PKR dalam tahun 1990, juga sebagai serpihan UMNO, menambabahkan lagi perpecahan orang Melayu.

Tetapi selagi PAS masih bersendirian dan Sabah dan/atau Sarawak terus menjadi penyumbang kuat kepada bilangan kerusi BN, UMNO masih boleh bertahan dan keperluan berkerjasama dengan PAS tidak timbul.

Keadaan berubah apabila PAS mula berkerjasama dengan PKR dan DAP. Memang ia memberi kemenangan yang lebih besar kepada PAS, tetapi ia juga memberi kemenangan yang lebih besar kepada DAP, menyebabkan DAP dapat memerintah sebuah negeri dan duduk dalam kerajaan di beberapa negeri lain.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menceritakan, pada malam perisytiharan keputusan PRU 12, beliau dihantar oleh UMNO Perak ke Kelantan untuk menemui Nik Aziz untuk mendapat persetujuannya supaya PAS dan UMNO bekerjasama bagi menubuh kerajaan negeri Perak. UMNO sanggup memberi jawatan Menteri Besar dan semua jawatan ahli Mesyuarat Kerajaan (Exco.) kepada PAS, demi untuk mengelak kerajaan negeri Perak dikuasai DAP. Kerana serik dengan UMNO, Dato’ Nik Aziz menolak.

Maka, bumi Dato’ Maharaja Lela pun dikuasai DAP melalui bilangan ahli Exconya yang lebih banyak daripada parti-parti komponen, walaupun seorang DUN PAS dilantik sebagai Menteri Besar.

Walau bagaimana pun, sebelum PRU 14, PAS keluar daripada pakatan itu apabila PAS dan DAP tidak sekata dalam beberapa perkara.

UMNO juga yang sudah terantuk mula sedar diri daripada keangkuhannya. Titik permulaan persefahaman UMNO dan PAS selepas beberapa dekad bermusuhan adalah pembentangan Enakmen Kanun Jenayah Syari’ah (II) (1993) 2015, di Dewan Undangan Negeri Kelantan di mana UMNO menyokong rang undang-undang PAS itu. Sokongan itu tidak membawa Enakmen itu ke mana-mana kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan (unconstitutional). Tetapi, ia mungkin menyedarkan PAS bahawa, jika ada satu parti yang mungkin akan menyokong usahanya untuk melaksanakan hudud, parti itu adalah UMNO.

Demikian juga dengan sokongan UMNO terhadap pindaan Akta 355. Yang lebih penting daripada sokongan itu, ialah apa yang berlaku selepas itu.

Mulai tahun 2013, lebih-lebih lagi dalam tahun 2014 dan selepas itu, tidak putus-putus saya menyeru supaya UMNO dan PAS mengenepikan kepentingan diri dan parti dan bekerjasama, sekurang-kurangnya di peringkat kebangsaan, untuk menyelamatkan kerajaan persekutuan daripda jatuh ke tangan pembangkang yang dikuasai oleh DAP, demi untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak dan kedudukan agama Islam.

Perpecahan orang Melayu menjadi paling buruk sebelum PRU 14 dengan tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah), satu serpihan PAS, dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) oleh Tun Dr Mahathir yang tujuannya semata-mata untuk menjatuhkan Dato’ Seri Najib tanpa memperdulikan apa yang akan terjadi kepada UMNO dan perpaduan orang Melayu. Kedua-dua parti itu bergabung dengan DAP dan PKR menjadi Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRU 14.

Maka, manakala orang Cina terbahagi kepada tiga buah parti, orang Melayu terbahagi kepada lima; manakala orang Cina telah bersatu di belakang DAP, orang Melayu semakin berpecah.

Malangnya, dalam PRU 14, kerana angkuh dengan kekuatan masing-masing dan lebih mementingkan untung-rugi masing-masing daripada isu-isu yang lebih besar itu, UMNO dan PAS enggan bekerjasama untuk mengelak pertandingan tiga penjuru dengan Pakatan Harapan. Akibatnya, di PBSM banyak kerusi yang dimenangi oleh PH. Padahal, jika dicampurkan bilangan undi yang diperolehi BN dan PAS, ia melebihi bilangan undi yang diperolehi PH. Ertinya, jika UMNO dan PAS mengelak pertandingan tiga penjuru, banyak kerusi di PBSTM boleh dimenangi UMNO atau PAS, dengan itu, besar kemungkinan, dapat menafikan kemenangan PH. Maka berakhirlah pemerintahan BN yang diterajui UMNO selama 61 tahun itu.

Selepas kemenangan PH dan menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, Tun Dr. Mahathir dengan bangga mencanangkan bahawa UMNO sudah terkubur, seolah-olah itulah misinya. Maka, jika Tun Abdul Razak boleh diingati kerana usaha beliau membawa PAS masuk ke dalam BN untuk memperkuatkan perpaduan orang Melayu, Tun Dr Mahathir, yang diterima balik ke dalam UMNO oleh Tun Razak setelah disingkir oleh Tunku Abdul Rahman, diberi kepercayaan oleh Tun Hussain Onn untuk menjadi timbalannya, diberi kepercayaan oleh orang Melayu sehingga beliau menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri selama 22 tahun, boleh diingati sebagai seorang yang telah mengkuburkan UMNO (jika benar kata-katanya itu) dan memecahbelahkan orang Melayu (ini tidak dapat dinafikan.)

Kekalahan BN itu menginsafkan pemimpin-pemimpin UMNO yang masih setia di masa susah. PAS, yang mulanya teruja dengan kemenangan besarnya di Kelantan dan Trengganu, sedikit demi sedikit mula nampak kesan sebenar kejatuhan kerajaan BN di peringkat persekutuan terhadap kepentingan orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Maka kita dapat perhatikan kedua-dua parti itu sedikit demi sedikit semakin rapat. Di PRK DUN Sungai Kandis, sokongan PAS belum nampak bersungguh-sungguh dan ia tidak menunjukkan apa-apa kesan kepada keputusannya.

Tetapi, di PRK Parlimen Cameron Highlands, PAS memberi sokongan yang bersungguh-sungguh dan kesannya (termsuk factor-faktor lain) adalah jelas: BN menang dengan majoriti besar.

Tiba kepada PRK DUN Semenyih yang dimenangi oleh PH dalam PRU 14 dengan majoriti 8,964 undi. Orang Melayu yang teruja dengan kemenangan BN di PRK Parlimen Cameron Highlands, mengharapkan kerjasama yang lebih kuat antara UMNO dan PAS untuk merampas kerusi itu dari PH. Pagi penamaan calon menggambarkan kerjasama dan sokongan PAS yang padu.

Tiba-tiba, petang itu, Tun Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan yang mengejutkan, iaitu Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berjanji kepadanya untuk tidak menyokong UMNO pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Semenyih. Janji PAS itu dibuktikan dengan sepucuk surat yang diberikan kepada Tun Dr. Mahathir, katanya.

Reaksi serta merta saya ialah saya kecewa dengan PAS kerana, nampaknya, untuk mengambil hati Tun Dr. Mahathir untuk mendapat sesuatu, PAS sanggup membelakangkan kerjasamanya dengan UMNO.

Esoknya, Pas Pusat mengeluarkan kenyataan media yang mengatakan bahawa:

1. PAS …tidak bertanding dalam PRK DUN Semenyih dan memberi laluan kepada ….Barisan Nasional, dengan tahap komitmen serta kadar penglibatan yang berbeza keadaannya pada PRK Cameron Highlands….

2. Perakuan bertulis yang berbentuk contoh (sample) diberikan sebagai komitmen sokongan PAS terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad,…”

Setiausaha Agung PAS menafikan bahawa PAS mengatakan ia tidak akan menyokong calon UMNO di PRK DUN Semenyih itu.

Sementara beberapa persoalan tidak berjawab hingga ke akhirnya, reaksi kebanyakan pemimpin dan penyokong UMNO dan PAS adalah tidak percaya. Jentera pilihanraya PAS terus memberi sokongan padu kepada kempen UMNO. Hasilnya, (termasuk factor-faktor lain) sudah diketahui. BN menang dengan majoriti sebanyak 1,914.

Ahli dan penyokong UMNO dan PAS, termasuk sebahagian besar orang Melayu dari seluruh negara lebih bersemangat. PRK DUN Rantau menanti dengan penuh debaran dan harapan. Sebilangan besar orang Melayu mengharapkan kesinambungan kerjasama di PRK Cameron Highlands dan Sememenyih.

UMNO dan PAS tidak sepatutnya hanya menunggu berlakunya PRK untuk bekerjasama. Mereka patut fikirkan PRU 15 dan selepas itu.

Apakah formula yang patut dilaksanakan? Pertama sekali, perlu ada persetujuan untuk mengelak pertandingan tiga penjuru PH-UMNO-PAS, sekurang-kurangnya selain daripada di Kelantan dan Trengganu (perbincangan ini tertumpu kepada Semenanjung Malaysia sahaja).

Bagaimana pembahagian kerusi akan dilakukan? Ini terserahlah kepada kebijaksanaan UMNO dan PAS. Yang pentingnya ialah pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS hendaklah mengenepikan kepentingan diri dan parti. Mereka hendaklah menumpukan kepada matlamat memenagi jumlah kurusi yang paling banyak bagi kedua-duanya untuk membolehkan mereka, bersama-sama parti-parti lain yang sehaluan dan bersetuju menyertai mereka, menubuh kerajaan persekutuan.

Cara yang paling mudah ialah, kawasan yang dimenangi oleh BN, diberikan kepada BN untuk bertanding dan kawasan yang dimenangi oleh PAS diberi PAS untuk bertanding. Bagi kawasan yang kedua-duanya kalah, ia hendaklah diberi kepada parti yang mendapat undi yang lebih banyak. Ini adalah “general rule”. Yang lainnya tertakluk kepada persetujuan.

Bagaimana dengan kedudukan parti-parti lain yang berada dalam BN? Terserahlah kepada mereka. Jika mereka ingin keluar, mereka dipersilakan keluar. Jika ingin terus bersama, boleh, tetapi mereka perlu buktikan kejujuran mereka terhadap falsafah perjuangan BN, dan bahawa mereka bukan “kiasu”, bila menguntungkan, menumpang, bila merugikan, lari.

UMNO dan PAS jangan risau untuk mendapat sokongan parti bukan Melayu. Jika kerjasama UMNO dan PAS kuat dan menunjukkan kajayaan, akan ada parti-parti bukan Melayu yang ingin menyertainya. Parti-parti itu tidak boleh hidup bersendirian. Sepanjang sejarah MCA, Gerakan dan MIC bergantung kepada UMNO untuk menang. Empat bulan selepas PRU 14, MCA dengan angkuh menggunakan logonya sendiri dalam PRK DUN Balakong. Ia hanya memperolehi 3,975 undi berbanding calon PH yang memperolehi sebanyak 22,508 undi! MIC eloklah cuba bertanding atas tiketnya sendiri atau bersama-sama MCA!

Demikian juga, UMNO tidak harus resah dengan “langau-langau” yang lari kerana tiada lagi darah untuk dihisap atau untuk menyelamatkan diri. Itu antara hikmah kekalahan: kita tahu, siapa kawan, siapa lawan. Kekalahan BN adalah peluang UMNO untuk membersihkan parti daripada politik wang. Ia juga adalah peluang bagi UMNO membersihkan parti daripada pemimpin-pemimpin yang corrupt dan yang menyalahgunakan kekuasaan untuk kepentingan diri.

5 Mac 2019 adalah satu hari bersejarah dalam kerjasama UMNO dan PAS. Pada hari itu, UMNO dan PAS, secara formal, telah menjalin kerjasama dalam menghadapi pilihanraya-pilihanraya yang akan datang.

Lim Guan Eng sudah pun melenting. Beliau sudah kepanasan. Beliau tahu perancangan DAP tidak akan berjaya jika orang Melayu tidak berpecah.

Dengan UMNO yang lebih bersih dan PAS yang lebih fokas kepada isu-isu kenegaraan, orang Melayu mempunyai alasan yang kukuh untuk berdiri di belakang rangkaian UMNO-PAS untuk melakukan “reverse tsunami” yang lebih besar di PRU 15, dan menguatkan semula perpaduan orang Melayu, demi untuk mempertahankan hak-hak mereka, bukan untuk mengambil hak orang lain. Untuk itu, orang Melayu tidak perlu meminta maaf kepada sesiapa.

(NOTA: Pembaca-pembaca yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam mengenai perkara-perkara yang disebut dalam rencana ini, eloklah membaca rencana/ucapan berkaitan yang boleh diperolehi dalam laman web saya).

07 03 2018

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

42 visits