CAMPUR TANGAN PEMIMPIN POLITIK DALAM KEPUTUSAN MAHKAMAH

CAMPUR TANGAN PEMIMPIN POLITIK DALAM KEPUTUSAN MAHKAMAH

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

“PENDIRIAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak mahu mencampuri urusan mahkamah berkenaan kes berprofil tinggi wajar dipuji. Ini adalah manifestasi kepada usaha membersihkan institusi kehakiman negara. Semoga reformasi ini akan berjaya direalisasikan sepenuhnya.”

Itu adalah perenggan pertama dalam rencana bertajuk “Di sebalik hukuman ke atas Najib Razak” yang ditulis oleh Prof. Dr. Haim Hilman dari Pusat Pengajian Pengurusan dan Keusahawanan, College of Business, Universiti Utara Malaysia dan disiar oleh Malaysia Gazette pada 29 Julai 2020

Rencana saya ini hanya berkenaan perenggan itu dan tertumpu kepada keputusan hakim dalam sesuatu kes. Ia tidak termasuk campur tangan, jika ada, dalam keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya dan lain-lain.

Apakah kesimpulan (inference) yang kita boleh buat daripada tiga ayat itu? Bagi saya, kita boleh membuat kesimpulan-kesimpulan berikut:

(1). Adalah perkara biasa bagi Perdana Menteri untuk campur tangan dalam keputusan hakim dalam sesuatu kes atau, sekurang-kurangnya, perkara seperti itu berlaku.

(2). Bahawa tindakan TS Muhyiddin yang tidak campur tangan dalam kes DS Najib itu wajar dipuji.

(3). Bahawa institusi kehakiman negara “tidak bersih” daripada campur tangan sedemikian.

(4). Tindakan TS Muhyiddin itu menunjukkan satu usaha untuk membersihkan institusi kehakiman negara.

(5). Ia adalah satu reformasi yang diharapkan akan berjaya.

Mengenai (1), dalam ucapan saya bertajuk “Independence of the Judiciary: My Personal Experience” di UiTM pada 10 June 2015, antara lain, saya berkata:

“Saya bercakap dari pengalaman, bukan dari persepsi atau dari buku. Saya menghabiskan 21 tahun sebagai pegawai di Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, memegang pelbagai jawatan, termasuk Ketua Pendakwaan. Saya menghabiskan 18 tahun di Badan Kehakiman, menjadikan keseluruhannya 39 tahun. Saya bersidang di semua mahkamah di negara ini dari Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan hingga ke Mahkamah Persekutuan. Saya juga mengetuai Mahkamah Khas dan menjadi Hakim Mahkamah Rayuan Syari’ah. Sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, saya mendengar rayuan yang melibatkan seorang Ketua Menteri Barisan Nasional di sebuah negari. Penghakiman majoriti yang saya tulis membatalkannya dari jawatan tersebut. Sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, saya mengetuai Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan kes liwat pertama Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Penghakiman majoriti yang saya tulis melepas dan membebaskannya. Sebagai Ketua Hakim Negara, saya mengetuai persidangan Mahkamah Khas yang mendengar tuntutan sivil terhadap mantan Yang Di Pertuan Agong dan Raja yang sedang bertakhta di sebuah negari. Keputusan sebulat suara Mahkamah yang saya tulis memerintahkannya membayar plaintif sebanyak AS$1 juta. (Anda boleh membaca semua penghakiman itu di laman web saya).

 Dalam tempoh 39 tahun kerjaya saya, saya tidak pernah menerima panggilan telefon atau nota, dan tidak ada sesiapa yang menghampiri saya bagi pihak Pentadbiran, Eksekutif atau ahli politik untuk mengarahkan, meminta, mencadangkan atau membayangkan bagaimana saya patut memutuskan sesatu kes. Ya, memang benar bahawa sebelum saya  mendengar rayuan kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim,  ada seorang (bukan ahli politik) berkata kepada saya “Sekiranya anda melakukannya dengan betul, salah satu jawatan kosong yang lebih tinggi itu boleh menjadi milik anda.” Saya menjawab, “Saya tidak tahu apa keputusan saya kelak, tetapi saya bersedia untuk bersara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.”  (Ertinya, saya sanggup jika tidak diberi kenaikan pangkat lagi pun). Kemudian, saya berkata kepada hakim-hakim yang bersidang bersama saya “Jika ada sesiapa cuba mempengaruhi saya, saya akan naik ke mahkamah, menyatakannya secara terbuka dan menarik diri daripada mendengar rayuan kes itu.” Selepas itu, tidak ada sesiapa yang cuba mempengaruhi saya lagi. Saya tidak tahu mengenai hakim lain.”

Turut hadir membentang kertas kerjanya dalam Persidangan Meja Bulat Majlis Profesor itu ialah Dato’ Mohamad Arif, mantan Hakim Mahkamah Rayuan dan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dilantik oleh Kerajaan Pakatan Harapan. Saya berkata kepada beliau:

“Sekarang, saya merujuk kepada Dato’ Mohamad Arif. Saya tahu bahawa beliau bertanding dalam pilihan raya atas tiket PAS dan kalah. Namun, saya mengesyorkannya untuk jawatan Pesuruhjaya Kehakiman dan diterima oleh Kerajaan   BN…. Dato’ Arif disahkan sebagai Hakim dan kemudian dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan… Sekarang, saya minta beliau menceritakan pengalamannya: sama ada, ada ahli politik atau orang yang berkuasa terhadapnya atau mewakili Eksekutif pernah mengarah, mencadang atau membayangkan kepadanya untuk memutuskan kes supaya memihak kepada Kerajaan atau adakah beliau pernah menerima ugutan, amaran atau peringatan daripada mereka atau adakah sesiapa yang berkuasa (in authority) pernah mencuba mengganggu beliau dalam membuat keputusannya?”

Beliau diam.

Perdana Menteri yang mula sekali menyebabkan hakim-hakim yang lebih kanan dilangkau dan yang lebih junior dilantik ke jawatan yang lebih tinggi adalah Tun Dr. Mahathir. Beliaulah yang menyebabkan Dato’ Haji Mohd. Azmi Kamaruddin dan Dato’ Harun Hashim dilangkau oleh Dato’ Eusof Chin dan Dato’ Lamin Idris.  Beliau jugalah yang menyebabkan Dato’ Malek Ahmad dan Dato’ Siti Norma Yaakob dilangkau oleh Dato’ Ahmad Fairuz. Betul, beliau bertanggungjawab bagi pembuangan Tun Mohd Salleh Abas untuk mengelak beliau mendengar rayuan kes yang berkaitan dengan perebutan jawatan Presiden UMNO antaranya dengan Tengku Razaleigh. Tetapi, saya tidak pernah mendengar cerita beliau mengarahkan hakim membuat keputusan seperti yang beliau kehendaki.

Tun Abdullah Badawi juga, atas desakan UMNO, cuba melantik hakim yang lebih junior untuk melangkau hakim yang lebih kanan ke jawatan Hakim Besar (Malaya) dan, selepas itu ke jawatan Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara. Hakim yang hendak dilangkau itu adalah saya. Dosa saya adalah kerana saya membebaskan Dato’ Sri Anwar Ibrahim dalam kes liwatnya yang pertama.

Dato’ Seri Najib melantik semula Tun Mohd. Raus sebagai Ketua Hakim Negara dan Tan Sri Zulkefli Makinuddin sebagai Presiden Mahkamah Rayuan walau pun mereka telah mencapai umur 66 tahun kerana, saya percaya, beliau lebih selesa dengan mereka. Saya telah mengkritik tindakan tersebut.

Tun Dr Mahathir mengulangi amalannya apabila beliau menjadi Perdana Menteri bagi kali kedua apabila beliau melantik Tengku Maimun menjadi Ketua Hakim Negara melangkau beberapa orang hakim yang lebih kanan dan lebih luas pengalaman kerana, saya percaya, beliau lebih selesa dengan Tengku Maimun.

Saya tidak mengatakan bahawa pelantikan mesti dibuat berdasarkan kekananan semata-mata. Tetapi, saya tidak bersetuju apabila nampak sangat Perdana Menteri mengenepikan hakim-hakim yang lebih kanan dan lebih luas pengalaman mereka dan memilih hakim-hakim yang junior untuk dinaikkan pangkat, melangkau mereka. Perbuatan itu menampakkan adanya sesuatu motif yang yang tidak sepatutnya menjadi asas pemilihan itu.

Namun demikian, apa yang mereka lakukan ialah memilih hakim-hakim yang “senada” dengan mereka untuk memegang jawatan tertinggi itu. Ada yang justified, ada yang tidak. Biar apa pun, itu berlainan daripada campur tangan dalam proses membuat keputusan kes-kes yang dibicarakan oleh hakim-hakim, seperti yang digambarkan dalam rencana itu.

Mengenai (2), iaitu tindakan TS Muhyiddin yang tidak campur tangan dalam kes DS Najib itu wajar dipuji, tidak perlu disebut langsung. Saya berpendapat bahawa beliau melakukan “contempt of court” jika beliau berbuat demikian.

Mengenai (3), iaitu institusi kehakiman negara “tidak bersih” daripada campur tangan sedemikian, adalah tanggapan yang tidak betul.

Mengenai (4), iaitu tindakan TS Muhyiddin itu menunjukkan satu usaha untuk membersihkan institusi kehakiman negara, juga tidak betul. Saya lebih mudah bersetuju jika dikatakan, mengambil kira TS Muhyiddin dipecat oleh DS Najib kerana TS Muhyiddin menyoal DS Najib mengenai penglibatannya dalam 1MDB, maka tidak ada sebab mengapa TS Muhyiddin sanggup masuk penjara (kerana contempt of court) kerana hendak membela DS Najib dengan cara yang salah dan atas asas yang salah.

Mengenai (5), iaitu ia adalah satu reformasi yang diharapkan akan berjaya, adalah satu observation yang tidak kena pada tempatnya. Tidak ada apa yang hendak direformasikan. Sepanjang pengetahuan saya belum ada seorang Perdana Menteri, termasuk Tun Dr. Mahathir, yang berani campur tangan atau mengarah hakim supaya membuat keputusan seperti yang mereka kehendaki.

Jika ada sesiapa yang tahu perkara seperti itu berlaku, sila dedahkan. Jika tidak ada, adalah lebih baik tidak membuat kenyataan seperti itu yang mungkin dipercayai oleh pembaca.

31 07 2020 (Aidil Adha 1441)

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

433 visits