Dahari Busu LWN. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia & Yang Lain

Dahari Busu LWN. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia & Yang Lain
Mahkamah Tinggi Malaya, Pulau Pinang
ABDUL HAMID MOHAMAD
PERMOHONAN JENAYAH NO. 44-90-90
7 MAC 1991
[1991] 1 CLJ Rep 577; [1991] 2 CLJ 1128
TAHANAN PENCEGAHAN: Perintah tahanan – Keesahan – Laporan tidak disampaikan kepada Menteri Dalam Negeri – Tidak ditandatangani oleh Menteri – Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, ss. 3(1), (2), (3), 9(1).

Pemohon D telah ditangkap di bawah s. 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985 (Akta tersebut) dan telah diarahkan ditahan di bawah s. 6(1) Akta tersebut (perintah tahanan). D telah menghujah bahawa penahanannya tidak sah kerana:
(a) Seksyen 3(3) Akta tersebut tidak dipatuhi kerana laporan lengkap perlu dikemukakan kepada Menteri Dalam Negeri – afidavit Pesuruhjaya Polis, P, mengatakan bahawa laporan lengkap telah dikemukakan kepada pegawai siasatan dan “kepada Kementerian Dalam Negeri;
(b) tidak ada afidavit yang difailkan oleh pegawai yang membuat penyiasatan bahawa beliau menyebabkan satu salinan laporan lengkap penyiasatan dikemukakan kepada pegawai siasatan dan kepada Menteri, seperti yang dikehendaki oleh s. 3(3);
(c) seksyen 9 tidak dipatuhi kerana salinan perintah tahanan yang diserahkan kepada D tidak ditandatangani oleh Timbalan Menteri.
Diputuskan:
[1] Samaada afidavit P menyebut laporan itu dihantar kepada Menteri Dalam Negeri atau kepada Kementerian Dalam Negeri, akibatnya adalah sama sahaja.
[2] Apa yang penting ialah laporan di bawah s. 3(3) hendaklah dikemukakan dan ini telah dilakukan oleh P dan ini adalah memadai dan kegagalan P untuk memfail afidavit mengatakan beliau menyebabkan ia dikemukakan adalah hujah yang sangat remeh dan tidak berasas.
[3] Peruntukan s. 9(1) adalah dipatuhi walaupun salinan yang disampaikan itu tidak ditandatangani tetapi cuma dicop “T.T Timbalan Menteri Dalam Negeri, Malaysia.”
[Nota Pengarang: Pemohon telah merayu kepada Mahkamah Agung pada 5 Februari 1991]

Case(s) referred to:
Sam Choy v. Timbalan Menteri Dalam Negeri & Yg. Lain. (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Saman Pemula No. R8-24-29-90)

Legislation referred to:
Dangerous Drugs (Special Preventive Measures) Act 1985, ss. 3(1),(2),(3), 5(1), 6(1), 9(1)
Restricted Residence Enactment (FMS Cap 39), s. 3(i)
Counsel:
Bagi pihak pemohon – Karpal Singh; T/n. Karpal Singh & Co.
Bagi pihak responden – Jalaldin bin Hussain, Peguam Kanan Persekutuan

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed PK:
Pemohon ditangkap pada 17 Januari 1989 di bawah s. 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985. Pada 16 Mac 1989 Timbalan Menteri Dalam Negeri mengeluarkan perintah tahanan di bawah s. 6(1) Akta itu mengarahkan pemohon ditahan selama dua tahun mulai 17 Mac 1989.
Alasan pertama yang dikemukakan oleh Encik Karpal Singh ialah bahawa peruntukan s. 3(3) Akta itu tidak dipatuhi. Seksyen 3(3) memperuntukkan:
(3) Pegawai polis yang membuat penyiasatan berkaitan dengan seseorang yang ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini hendaklah menyebabkan satu salinan laporan lengkap penyiasatan itu dikemukakan:
(a) kepada seseorang pegawai siasatan yang dilantik di bawah subs.(1) s. 5; dan
(b) kepada Menteri,
dalam tempoh yang boleh ditetapkan oleh Menteri melalui peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini.
Sayugia diambil perhatian bahawa dalam kes ini Pesuruhjaya Polis Mohd. Ghazali bin Yacub, seorang pegawai polis yang ditetapkan oleh Ketua Polis Negara di bawah s. 3(2) Akta itu mengatakan dalam afidavitnya bahawa satu “laporan penuh siasatan” telah dikemukakan kepada pegawai siasatan dan “kepada Kementerian Dalam Negeri.”
Timbalan Menteri tidak memfail apa-apa afidavit.
Encik Karpal Singh menghujahkan, pertama, laporan lengkap itu sepatutnya dikemukakan kepada Menteri Dalam Negeri dan bukan kepada Kementerian Dalam Negeri. Dalam penghakiman saya alasan ini tidak berasas. Sama ada afidavit itu menyebut laporan itu dihantar kepada Menteri Dalam Negeri atau kepada Kementerian Dalam Negeri, akibatnya adalah sama sahaja.
Kedua, Encik Karpal Singh menghujahkan bahawa tidak ada afidavit difailkan oleh pegawai yang membuat penyiasatan bahawa beliau menyebabkan satu salinan laporan lengkap penyiasatan dikemukakan kepada pegawai siasatan dan kepada Menteri.
Sayugia diingat dalam kes ini, Pesuruhjaya Polis Mohd. Ghazali bin Yacub memfail afidavit mengatakan bahawa beliau telah mengemukakan satu laporan “penuh” siasatan kepada Pegawai Siasatan dan kepada Kementerian Dalam Negeri.
Encik Karpal Singh tidak menafikan laporan itu dikemukakan. Beliau cuma mengatakan bahawa s. 3(3) menghendaki pegawai yang membuat penyiasatan hendaklah menyebabkan satu salinan laporan itu dikemukakan. Oleh itu pegawai itu hendaklah memfail afidavit mengatakan beliau menyebabkan ia dikemukakan.
Pada pandangan saya hujah ini sangat remeh dan tidak berasas. Apa yang penting ialah laporan itu hendaklah dikemukakan. Ini dilakukan oleh PP Mohd. Ghazali. Dalam penghakiman saya, itu adalah memadai.
Seterusnya Encik Karpal Singh menghujahkan bahawa peruntukan s. 9 tidak dipatuhi kerana salinan perintah tahanan yang diserahkan kepada pemohon tidak ditandatangani oleh Timbalan Menteri.
Seksyen 9(1) memperuntukkan:
9.(1) Satu salinan setiap perintah yang dibuat oleh Menteri di bawah subs. (1) s. 6 hendaklah disampaikan kepada orang yang kepadanya perintah itu berkaitan.
Persoalan ini telah diputuskan oleh Eusoff Chin H. dalam kes Sam Choy v. Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Lain-lain Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Saman Pemula No. R8-24-29-90 di mana Hakim Yang Arif itu mentafsirkan peruntukan s. 3(i) Enakmen Kediaman Terhad (Bab 39) dan memutuskan:
Ternyatalah s. 3(i) hanya menghendaki “a copy thereof” dan bukannya “a signed copy thereof” diserahkan kepada plaintif.
Pada pendapat saya, prinsip yang sama boleh dipakai dalam kes ini. Oleh itu saya berpendapat, peruntukan s. 9(1) adalah dipatuhi walaupun salinan yang disampaikan itu tidak ditandatangani tetapi cuma dicop “T.T. Dato’ Megat Junid b. Megat Ayob, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Malaysia.”
Permohonan ini ditolak.

66 visits