Goh Thong Hua LWN. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Malaysia & Yang Lain

Goh Thong Hua LWN. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Malaysia & Yang Lain
Mahkamah Tinggi Malaya, Pulau Pinang
ABDUL HAMID MOHAMAD
PERMOHONAN JENAYAH NO. 44-64-90
15 DISEMBER 1990
[1991] 1 CLJ Rep 595; [1991] 1 CLJ 692

PROSEDUR JENAYAH: Habeas corpus – Perintah tahanan – Keesahan – Pembatalan perintah tahanan pertama dan pengeluaran perintah tahanan baru – Affidavit sokongan hanya mengandungi alasan mengenai perintah tahanan pertama – Pembangkitan alasan baru – Penyampaian perintah tahanan – Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, s. 6(1) – Kanun Acara Jenayah, s. 366.

Pemohon ditahan di bawah s. 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 selama 2 tahun mengikut perintah tahanan 23 September 1988. Pemohon membuat permohonan habeas corpus dan mencabar keesahan perintah tahanan itu dan perbicaraan telah ditetapkan pada 1 November 1990. Pada hari tersebut, pihak penentang telah memasukkan afidavit yang berkata bahawa perintah tahanan 23 April 1988 telah dibatalkan dan bahawa satu perintah tahanan baru telah diperintah pada 16 Ogos 1990. Pemohon menghujah bahawa tidak terdapat apa-apa bukti bahawa perintah tahanan baru itu telah disampaikan kepada pemohon – ini merupakan alasan baru yang tidak terkandung di dalam afidavit sokongan pemohon.
Diputuskan:
[1] (a) Tidak bererti bahawa pemohon boleh membangkitkan apa sahaja alasan baru yang hendak dibangkitkannya yang tidak disebut langsung dalam afidavit menyokong; membenarkan pemohon berbuat demikian adalah tidak adil kepada penentang kerana penentang tidak boleh hendak menjawab sesuatu perkara yang tidak dibangkitkan dalam afidavit yang menyokong permohonan itu.
(b) Jika hal seperti itu dibenarkan, maka pemohon boleh hanya memberi satu atau dua alasan dan menyembunyikan yang lain, dan membangkitkannya semasa permohonan itu didengar.
[2] Mahkamah membenarkan sesuatu alasan undang-undang dibangkitkan jika ia timbul daripada afidavit-afidavit yang difailkan oleh penentang sendiri, walaupun ia tidak disebut dalam permohonan atau afidavit menyokong.
[3] Apa yang berlaku dalam kes ini ialah Peguam pemohon membangkitkan satu alasan baru berkenaan perintah tahanan baru. Dalam keadaan ini, alasan-alasan baru yang boleh dibangkitkan itu adalah terhad kepada keesahan perintah baru itu, dan yang boleh dilihat pada zahir perintah itu sendiri.
[4] Perlu diambil perhatian bahawa salinan perintah tahanan baru yang dikembarkan sebagai ekshibit kepada afidavit Timbalan Menteri hanya mengandungi mukasurat pertama dan mukasurat kedua tidak dikembarkan; mukasurat kedua, jika dikemukakan akan menunjukkan butir-butir berkenaan penyampaian.
[5] Dalam prosiding ini, Mahkamah tidak sepatutnya mengharapkan afidavit penyampaian perintah baru dikemukakan, kerana, alasan bahawa perintah itu tidak disampaikan tidak dibangkitkan dalam afidavit sokongan secara khusus untuk membolehkan penentang mengetahui keperluan untuk menjawabnya secara khusus.
[6] Perintah tahanan boleh dibuat tanpa menggunakan borang itu dan tanpa mengandungi butir-butir penyampaian. Penyampaian adalah perkara lain.
[7] Jika mukasurat kedua itu dikemukakan butir-butir penyampaian boleh diketahui dengan melihat borang itu. Pada zahirnya, Mahkamah berpendapat bahawa butir-butir penyampaian bukanlah semestinya terkandung dalam perintah tahanan itu sendiri.
[8] (a) Perintah untuk menahan yang dibuat oleh Menteri atau Timbalan Menteri adalah satu perkara dan penyampaian perintah itu, selepas itu, yang dilakukan oleh pegawai-pegawai polis, biasanya, adalah satu perkara lain. Tujuan penyampaian adalah untuk membolehkan orang tahanan membuat representasi, bukan untuk menahannya;
(b) Mahkamah berpendapat bahawa kegagalan mengemukakan mukasurat kedua perintah tahanan itu bukanlah satu kecacatan zahir kepada perintah itu sendiri yang, dalam prosiding ini, boleh diambil perhatian oleh Mahkamah sama seperti dua misalan yang disebutkan di atas.
[9] Persoalan baru yang dibangkitkan dalam prosiding ini tidak sepatutnya dibenarkan dibangkitkan dalam prosiding ini; pemohon masih boleh membuat permohonan baru atau membangkitkan alasan itu dan dalam keadaan itu, penentang boleh mengemukakan bukti penyampaian – pada masa itu Mahkamah akan menghakimkan persoalan itu.
[Nota Pengarang: Pemohon telah membuat rayuan kepada Mahkamah Agung pada 17 Disember 1990 – Rayuan Mahkamah Agung 5-287-90]

Case(s) referred to:
Che Su binti Shafie v. Superintendent of Prisons, Pulau Jerjak, Penang [1974] 2 MLJ 194

Legislation referred to:
Dangerous Drugs (Special Preventive Measures) Act 1985, s. 6(1)
Criminal Procedure Code, s. 366
Counsel:
Bagi pihak pemohon – Karpal Singh; T/n. Karpal Singh & Co.
Bagi pihak penentang – Noorbahari bin Baharudin; Peguam Persekutuan

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed PK:
Pemohon ditahan di bawah s. 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 selama dua tahun mulai 25 September 1988 di Pusat Pemulihan Akhlak Pulau Jerjak, Pulau Pinang mengikut perintah tahanan bertarikh 23 September 1988.
Permohonan ini dan afidavit sokongan dimasukkan pada 19 Jun 1990. Permohonan itu ditetapkan untuk didengar pada 1 November 1990.
Walau bagaimanapun pada hari itu pihak penentang telah memasukkan satu afidavit Timbalan Menteri Dalam Negeri. Afidavit itu, antara lain, menyatakan bahawa perintah tahanan bertarikh 23 September 1988 itu telah dibatalkan. Beliau seterusnya menyatakan, di perenggan 6:
6. Seterusnya, pada 16 Ogos 1990, saya membuat satu perintah di bawah s.6(1) Akta, mengarahkan supaya pemohon ditahan bagi tempoh satu (1) tahun. Salinan perintah tahanan tersebut yang telah diakui sah adalah dilampirkan dan ditandakan sebagai “MJMA 2”.
Disebabkan oleh tindakan Timbalan Menteri itu, alasan-alasan yang terkandung dalam afidavit sokongan (Lampiran 2) tidak berkenaan lagi.
Walau bagaimanapun Encik Karpal Singh, yang mewakili pemohon mengemukakan hujah baru. Beliau mengaku bahawa perintah tahanan baru telah dibuat dan beliau tidak mencabar keesahan perintah tahanan baru itu. Tetapi beliau menghujahkan bahawa tidak terdapat apa-apa bukti bahawa perintah tahanan baru itu telah disampaikan kepada pemohon. Tanpa penyampaian perintah tahanan itu kepada pemohon, penahanan pemohon di bawah perintah tahanan itu adalah tidak sah, hujah beliau.
Soalan pertama yang perlu dijawab ialah bolehkah isu baru ini dibangkitkan dalam permohonan ini?
Seksyen 366 Kanun Acara Jenayah menghendaki sesuatu permohonan habeas corpus disokong oleh satu afidavit yang menyatakan di mana dan oleh siapa pemohon ditahan dan fakta-fakta berkenaan permohonan itu. Ini telah dilakukan. Afidavit menyokong permohonan itu juga memberi alasan-alasan permohonan ini.
Tetapi alasan yang baru dibangkitkan ini tidak disebut dalam permohonan atau afidavit yang menyokong permohonan itu. Ini boleh difaham kerana alasan itu belum wujud pada masa itu.
Tetapi perlulah disebut bahawa dalam afidavit menyokong permohonan ini ada disebut:
Wherefore upon the grounds aforesaid and any further grounds which may be urged on the applicant’s behalf at the hearing of this application, I respectfully pray for an order that the applicant be brought up before this Honourable Court and set at liberty.
Walaupun terdapat pernyataan seperti itu, saya berpendapat, itu tidak bererti pemohon boleh membangkitkan apa sahaja alasan baru yang hendak dibangkitkannya yang tidak disebut langsung dalam afidavit menyokong. Membenarkan pemohon berbuat demikian adalah tidak adil kepada penentang kerana bagaimana penentang hendak menjawab sesuatu perkara yang tidak dibangkitkan dalam afidavit yang menyokong permohonan itu, terutama sekali jika jawapan itu hanya boleh dilakukan dengan memasukkan afidavit?
Jika hal seperti itu dibenarkan, maka pemohon boleh hanya memberi satu atau dua alasan dan menyembunyikan yang lain, dan membangkitkannya semasa permohonan itu didengar. Demi keadilan, saya tidak fikir mana-mana pihak patut dibenarkan berbuat demikian.
Tetapi itu tidak bererti bahawa alasan-alasan baru tidak boleh dibangkitkan langsung. Seperti biasa, Mahkamah membenarkan sesuatu alasan undang-undang dibangkitkan jika ia timbul daripada afidavit-afidavit yang difailkan oleh penentang sendiri, walaupun ia tidak disebut dalam permohonan atau afidavit menyokong. Misalnya jika undang-undang menghendaki sesuatu perkara dilakukan dalam tempoh yang tertentu, tetapi daripada afidavit yang dimasukkan bagi pihak penentang, nyata perkara itu dilakukan di luar tempoh itu. Tetapi hal seperti ini tidak berbangkit dalam kes ini.
Apa yang berlaku dalam kes ini ialah Peguam pemohon membangkitkan satu alasan baru berkenaan perintah tahanan baru. Pada pandangan saya, dalam keadaan ini, alasan-alasan baru yang boleh dibangkitkan itu adalah terhad kepada keesahan perintah baru itu, yang boleh dilihat pada zahir perintah itu sendiri. Sebagai misalan, jika Menteri atau Timbalan Menteri tidak menandatangani perintah itu atau perintah itu tidak mengandungi nama pemohon sebagai orang yang diperintahkan ditahan. Alasan-alasan baru seperti itu, pada pandangan saya, boleh dibangkitkan.
Dalam kes ini, Encik Karpal Singh tidak mengatakan bahawa terdapat apa-apa kecacatan kepada perintah baru itu. Apa yang dikatakan ialah bahawa tidak ada bukti bahawa perintah baru itu disampaikan kepada pemohon, baik secara afidavit atau daripada perintah itu sendiri. Perlu diambil perhatian bahawa salinan perintah tahanan baru yang dikembarkan sebagai ekshibit kepada afidavit Timbalan Menteri hanya mengandungi mukasurat pertama. Mukasurat kedua tidak dikembarkan. Mukasurat kedua, jika dikemukakan akan menunjukkan butir-butir berkenaan penyampaian.
Saya berpendapat dalam prosiding ini, kita tidak sepatutnya mengharapkan afidavit penyampaian perintah baru dikemukakan, kerana, alasan bahawa perintah itu tidak disampaikan tidak dibangkitkan dalam afidavit sokongan secara khusus untuk membolehkan penentang mengetahui keperluan untuk menjawabnya secara khusus.
Berkenaan dengan perintah tahanan, tidak syak bahawa mukasurat kedua adalah sebahagian daripada borang perintah tahanan yang biasa digunakan. Tetapi bukan borang statut (statutory form). Perintah tahanan boleh dibuat tanpa menggunakan borang itu dan tanpa mengandungi butir-butir penyampaian. Penyampaian adalah perkara lain.
Oleh itu, walaupun, jika mukasurat kedua itu dikemukakan butir-butir penyampaian boleh diketahui dengan melihat borang itu pada zahirnya, saya berpendapat bahawa butir-butir penyampaian bukanlah semestinya terkandung dalam perintah tahanan itu sendiri.
Pandangan ini disokong oleh s. 9(1) Akta 316 itu sendiri yang dijadikan asas hujah Encik Karpal Singh:
9.(1) Satu salinan setiap perintah yang dibuat oleh Menteri di bawah subseksyen (1) s.6 hendaklah disampaikan kepada orang yang kepadanya perintah itu berkaitan dengan seberapa segera yang boleh selepas perintah itu dibuat, dan setiap orang yang sedemikian hendaklah berhak membuat representasi-representasi kepada suatu Lembaga Penasihat.
Perhatikan bahawa sesuatu perintah itu hendaklah disampaikan “seberapa segera yang boleh selepas perintah itu dibuat…”
Ini menunjukkan bahawa perintah untuk menahan yang dibuat oleh Menteri atau Timbalan Menteri adalah satu perkara dan penyampaian perintah itu, selepas itu, yang dilakukan oleh pegawai-pegawai polis, biasanya, adalah satu perkara lain. Dan, tujuan penyampaian adalah untuk membolehkan orang tahanan membuat representasi, bukan untuk menahannya.
Oleh itu saya berpendapat bahawa kegagalan mengemukakan mukasurat kedua perintah tahanan itu bukanlah satu kecacatan zahir kepada perintah itu sendiri yang, dalam prosiding ini, boleh diambil perhatian oleh Mahkamah sama seperti dua misalan yang saya sebutkan di atas.
Oleh itu saya berpendapat bahawa persoalan baru yang dibangkitkan dalam prosiding ini tidak sepatutnya dibenarkan dibangkitkan dalam prosiding ini. Pemohon masih boleh membuat permohonan baru atau membangkitkan alasan itu dan dalam keadaan itu, penentang boleh, jika mahu dan boleh, mengemukakan bukti penyampaian. Pada masa itu Mahkamah akan menghakimkan persoalan itu.
Jika persoalan ini boleh dibenarkan, apakah yang akan menghalang seseorang pemohon daripada membangkitkan persoalan-persoalan selanjutnya, misalnya, jika, oleh sesuatu sebab permohonan asal itu hanya didengar lebih daripada tiga bulan selepas orang tahanan membuat representasi, bahawa tidak ada bukti bahawa Lembaga Penasihat menimbangkan representasi itu dan membuat syor mengenainya kepada Yang di-Pertuan Agong dan lain-lain lagi? Di mana ia akan berakhir?
Kes Che Su binti Shafie v. Superintendent of Prisons, Pulau Jerjak, Penang [1974] 2 MLJ 194 telah dirujukkan kepada saya. Pada pandangan saya, dalam kes itu persoalan sama ada sesuatu alasan baru yang tidak terkandung dalam sesuatu permohonan atau afidavit menyokong boleh dibangkitkan semasa menghujah permohonan itu atau tidak, tidak hujah dah diputuskan. Adalah satu pernyataan fakta sahaja bahawa, dalam kes itu, perintah tahanan baru itu telah disampaikan. Oleh itu, pada pandangan saya kes itu bukanlah satu autoriti yang mengatakan bahawa, dalam keadaan seperti dalam kes ini, penentang mesti, dalam prosiding ini, membuktikan bahawa perintah tahanan baru itu bukan sahaja telah dibuat, tetapi telah juga disampaikan kepada pemohon.
Permohonan ini ditolak.

101 visits