UCAPAN PERLANTIKAN SEBAGAI KETUA HAKIM NEGARA MALAYSIA (BM)
UCAPAN PERLANTIKAN SEBAGAI KETUA HAKIM NEGARA MALAYSIA
Oleh
Dato’ Abdul Hamid Bin Haji Mohamad
Di Istana Kehakiman, Putrajaya
Pada 11 Disember 2007
Saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. yang tanpa keizinannya, walaupun tidak disebut dalam Perlembagaan, perlantikan ini tidak akan berlaku. Saya menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja dan berterima kasih kepada Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia di atas perlantikan saya ini.
Saya sedar bahawa perlantikan ini adalah satu amanah yang berat. Apatah lagi, ianya berlaku pada ketika yang amat mencabar, iaitu ketika persepsi orang ramai terhadap Badan Kehakiman tidak menyenangkan; ketika kewibawaan mahkamah dalam melaksanakan keadilan diragui; ketika perlantikan dan tingkahlaku hakim-hakim dan komitmen mereka dalam menjalankan tugas, semuanya dipersoalkan.
Bahawa persepsi negatif seperti itu wujud, tidak bererti bahawa ianya semestinya semuanya betul. Tetapi, persepsi awam tidak timbul dalam sehari dua. Ia mengambil masa untuk “develop” dan tersebar berdasarkan fakta yang didengar atau dilihat oleh mereka, yang mungkin betul dan mungkin tidak. Biar apapun, kita tidak boleh hanya mengenepikannya begitu sahaja. Bagi Badan Kehakiman, hakikat bahawa persepsi negatif seperti itu wujud sahaja pun sudah cukup untuk kita memberi perhatian yang serius mengenainya. Ini kerana Badan Kehakiman adalah satu-satunya badan yang ditugaskan oleh Perlembagaan Malaysia untuk melaksanakan keadilan dan menyelesaikan perbalahan antara individu dengan individu, individu dengan pemerintah, individu dengan syarikat, syarikat dengan syarikat dan seterusnya yang melibatkan nyawa manusia, harta benda, hak asasi dan seterusnya. Selain daripada itu, mahkamah juga adalah benteng terakhir bagi sesebuah negara. Biar apapun pandangan orang ramai terhadap badan-badan kerajaan yang lain, selagi orang ramai masih mempunyai keyakinan terhadap kewibawaan dan keberkesanan sistem keadilan, akan masih ada ruang untuk kesinambungan kewujudan suatu masyarakat sivil dan ketenteraman negara. Apabila kepercayaan terhadap sistem keadilan telah hilang, maka haru-haralah akibatnya.
Oleh itu, bagi saya, sama ada persepsi itu betul atau tidak, tidak penting. Yang penting ialah bahawa ianya wujud. Maka, kita perlu bertindak untuk memperbaikinya dengan segera. Bagi saya, tidak ada jalan ringkas untuk mengatasi masalah ini. Satu-satunya cara yang berkesan ialah bagi kita, hakim-hakim dan kakitangan mahkamah di semua peringkat, menjalankan tugas masing-masing dengan bersungguh-sungguh, jujur dan telus. Kita perlu menyuluh ke dalam diri kita sendiri, mencari kiranya ada di antara tingkah laku kita, perhubungan kita, termasuk juga anggota keluarga kita yang rapat dan sahabat-sahabat kita yang karib yang boleh menyebabkan timbulnya persepsi seperti itu dan, jika ada, membetulkan keadaan itu. Kita perlu berkerja keras untuk membuktikan bahawa persepsi seperti itu adalah salah, atau jika ada sedikit sebanyak kebenaran pun, perkara-perkara yang memberi imej negatif itu telah diperbetulkan dan diatasi. Dengan kata lain, kita perlu memulihkan persepsi orang ramai itu, bukan dengan slogan, bukan dengan propaganda, bukan hanya dengan do’a, tetapi dengan menunjukkan hasilnya yang dengan sendirinya akan menghapuskan persepsi negatif itu. Untuk itu kita perlu berkerja keras dan kita perlu jujur.
Saya tidak mengatakan bahawa hakim-hakim tidak berkerja keras atau tidak berdedikasi. Malah, saya berani mengatakan bahawa, pada keseluruhannya, mereka amat berdedikasi dan berkerja bertungkus lumus tanpa mengira waktu. Antara faktor yang menyebabkan masalah sekarang ialah pertambahan beban kerja yang mendadak dan “complexity” kes-kes. Lihat sahaja bilangan peguam yang beramal, bilangan kes yang ditetapkan setiap persidangan, betapa panjangnya masa yang diambil untuk sesuatu perbicaraan, betapa panjangnya nota keterangan yang direkod sendiri oleh hakim-hakim, betapa tebalnya rekod rayuan dan senarai autoriti yang perlu dibaca oleh hakim-hakim dan betapa panjang dan “complicated”nya penghakiman yang ditulis.
Di samping itu, hakim-hakim melakukan semua kerjanya sendiri. Mereka membicarakan kes-kes sendiri, mendengar saksi-saksi dan hujah-hujah peguam sendiri, mencatat nota keterangan sendiri, membaca dan menganalisa dokumen-dokumen dan rekod rayuan, mencari dan membaca autoriti-autoriti sendiri dan menulis alasan penghakiman sendiri. Semua ini perlu difahami.
Demikian juga, apabila kita bercakap mengenai bilangan penghakiman yang tidak atau belum ditulis, kita perlu juga mengambil kira bilangan yang telah ditulis oleh seseorang hakim itu, “complexity” kes-kes itu dan mutu penulisannya. Beban kerja mahkamah di sesuatu tempat atau bahagian tidak sama dengan yang lainnya. Beban kerja dan “complexity” kes-kes di Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu atau di Bintulu, misalnya, tidak boleh dibandingkan dengan di Shah Alam atau di Kuala Lumpur. Ini juga perlu di ambil kira.
Mungkin, seperti di dalam mana-mana organisasi juga, ada hakim-hakim yang tahap pencapaiannya kurang memuaskan. Mereka perlulah melipatgandakan usaha mereka.
Ada kalanya kita mendengar desas desus mengenai tuduhan rasuah dan salahlaku hakim-hakim dan kakitangan mahkamah. Setakat ini, saya tidak tahu sama ada ianya benar atau tidak. Jika benar, saya minta sesiapa yang mempunyai maklumat supaya tampil kehadapan. Saya tidak akan bertolak ansur dalam hal ini. Dalam hal ini, saya juga ingin menarik perhatian peguam-peguam bahawa, daripada pemerhatian saya, dalam hampir setiap tuduhan rasuah atau salahlaku yang melibatkan seorang hakim atau kakitangan mahkamah, akan ada sekurang-kurangnya seorang peguam yang terlibat. Maka, kepada Majlis Peguam, saya pohon kerjasama untuk mendisiplinkan ahli-ahlinya sambil saya akan berusaha mendisiplinkan anggota-anggota dan kakitangan Badan Kehakiman. Kita perlu membersihkan rumah kita masing-masing.
Kebebasan mahkamah perlu dipertahankan. Tetapi, kebebasan mahkamah bukanlah bererti menyebelahi mana-mana pihak dalam sesuatu pertikaian seperti menyebelahi seorang individu terhadap kerajaan, seorang pekerja terhadap majikan, seorang mangsa kemalangan terhadap syarikat insurans, atau sebaliknya. Kebebasan mahkamah bererti memberi keputusan dalam sesuatu kes berdasarkan undang-undang dan keterangan yang dikemukakan di mahkamah tanpa berat sebelah, tanpa dipengaruhi atau ditekan oleh mana-mana pihak. Bahawa keputusan kita tidak disenangi oleh sesuatu pihak adalah perkara biasa. Terhadap setiap keputusan, sekurang-kurangnya ada satu pihak tidak berpuashati sebab dia kalah. Ada kalanya kesemua pihak tidak berpuashati sepenuhnya sebab yang menangpun mungkin tidak mendapat semua yang dikehendakinya. Sebab itulah ada mahkamah-mahkamah rayuan. Tetapi, berapa lapis rayuan diperuntukkan sekalipun, keputusan mahkamah yang terakhir akan dipertikaikan juga. Itu perkara biasa.
Di samping itu, apabila terdapat sesuatu kes yang menarik perhatian umum, orang ramai, malah kumpulan-kumpulan tertentu juga, biasanya telah mengambil pendirian masing-masing mengenai keputusan yang suka dilihatnya. Jika, kebetulan, keputusan mahkamah sama dengan apa yang mereka inginkan, mereka akan memuji keputusan itu, walau pun di segi undang-undang dan keterangan yang dikemukakan di mahkamah, ia bukanlahlah satu penghakiman yang baik. Sebaliknya, jika keputusan itu, kebetulan, berlainan daripada pandangan mereka, mereka akan mengutuknya, walaupun sebenarnya, dari segi undang-undang dan keterangan yang dikemukakan di mahkamah, ia adalah satu penghakiman yang baik. Dalam keadaan demikian, “kebebasan mahkamah”, “tidak berat sebelah” dan “keadilan” disamakan dengan keputusan yang memihak atau disukai oleh seseorang atau sesuatu kumpulan. Kerapkali, pujian atau kutukan dibuat tanpa mambaca penghakiman-penghakiman yang ditulis itu dan meneliti alasan-alasannya. Hakim-hakim tidak patut gusar dengan reaksi sedemikian. Yang pentingnya ialah kita menjalankan tugas kita dengan jujur dan sehabis baik yang kita boleh lakukan, mengikut undang-undang.
Berkaitan dengan kebebasan mahkamah dan pembahagian kuasa (“separation of powers”), hubungan antara Badan Kehakiman dengan badan-badan lain Kerajaan hendaklah berasaskan sikap hormat menghormati bidangkuasa masing-masing. Sebagaimana Badan Kehakiman tidak mahu bidangkuasa mahkamah dicerobohi oleh badan-badan lain itu, Badan Kehakiman juga perlu menghormati bidangkuasa badan-badan lain itu. Ketiga-tiga badan itu perlulah berjalan seiringan, dalam landasan bidangkuasa masing-masing, menuju matlamat yang sama demi kepentingan negara.
Kerapkali kebebasan mahkamah hanya dilihat dari sudut tekanan atau pengaruh Eksekutif terhadap mahkamah manakala kumpulan-kumpulan tertentu, termasuk dari luar negara, yang cuba berbuat demikian atas alasan membantu mahkamah, tidak dilihat sebagai melakukan perkara yang sama. Hakikatnya ialah, mereka telahpun mengambil pendirian mereka dalam sesuatu perkara itu dan mereka cuba mempengaruhi mahkamah supaya memberi keputusan yang sejajar dengan kehendak mereka. Bagi saya, ini adalah satu “double standard”.
Saya percaya bahawa kebebasan dan kewibawaan seseorang Hakim dalam menjalankan tugasnya datangnya dari dalam diri hakim itu sendiri. Jika kita sendiri mengamalkan dan menunjukkan sikap yang tegas, jujur dan bersih dalam menjalankan tugas kita, tidak ada sesiapa yang akan berani cuba mendekati kita untuk mempengaruhi atau “membeli” kita atau, sekali mencuba tidak berjaya, mereka tidak akan mencuba lagi. Tetapi, jika kita sendiri yang terhegeh-hegeh ke sana ke sini meminta ihsan untuk dilantik menjadi hakim atau dinaikkan pangkat dan sebagainya, maka kita sendirilah yang telah mengkompromi kebebasan dan kewibawaan kita. Bagi saya, seseorang yang meminta-minta (“begs”) atau melobi untuk dilantik menjadi hakim telah pun mengkompromi kebebasan mahkamah sebelum dia dilantik menjadi hakim lagi. Dan, seorang hakim yang meminta-minta atau melobi untuk naik pangkat telah pun mengkompromi kebebasan mahkamah sebelum dia naik pangkat lagi. Demikian juga, jika kita secara langsung atau tidak langsung, menampakkan bahawa kita boleh didampingi, maka sebenarnya kita sendirilah yang mempelawanya. Apatah lagi jika kita sendiri yang mencarinya. Soalnya ialah, adakah kita sendiri mempunyai perwatakan yang cukup kuat?
Kepada mereka-mereka yang pernah atau berhasrat untuk memesong pentadbiran keadilan sama ada melalui pengaruh, tekanan atau wang ringgit, biar betapa besar, berpengaruh atau kayanya mereka sekali pun, jika ada, saya katakan, mereka adalah musuh keadilan.
Sambil keadilan adalah matlamat kita, kita perlu ingat bahawa keadilan yang kita laksanakan adalah keadilan mengikut undang-undang, bukan keadilan mengikut selera sendiri atau keadilan popular. Dan undang-undang yang kita perlu pakai adalah undang-undang Malaysia.
Seperti yang selalu disebut, pentadbiran kehakiman tidak boleh berjalan dengan baik, lancar dan berkesan tanpa sokongan profesyen undang-undang yang merangkumi ahli-ahli Majlis Peguam, pegawai-pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara, di Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan. Saya pohon kerjasama daripada mereka semua. Jika ada sesuatu perkara yang perlu dibincang bersama demi untuk memperbaiki mutu perkhidmatan kehakiman, saya senentiasa bersedia berbincang dengan mereka. Datanglah dengan ikhlas dan pulanglah dengan senyum. Di samping itu, kita ada adat dan kita juga ada adab.
Salah satu masalah yang dihadapi oleh mahkamah sepanjang masa dan di mana-mana juga ialah masalah kelambatan menyelesaikan kes-kes. Terdapat banyak faktor yang menyebabkannya. Sambil saya akui bahawa ia bukanlah suatu perkara mudah untuk diatasi, kita perlu berusaha untuk memperbaiki keadaan itu. Tumpuan segera yang kita patut beri ialah terhadap faktor kecuaian, seperti kecuaian menulis alasan penghakiman, kecuaian menaipkan nota-nota keterangan, kecuaian menyediakan rekod rayuan bagi rayuan jenayah, kecuaian memaklumkan hakim-hakim bahawa ada rayuan terhadap keputusan mereka yang memerlukan mereka menulis alasan penghakiman malah, kecuaian menghantar notis rayuan yang diterima oleh mahkamah yang membuat keputusan kepada mahkamah yang dirayu. Sesetengah tindakan itu adalah tindakan mudah yang dilakukan oleh pegawai-pegawai bawahan. Tetapi, kecuaian dalam melakukan perkara yang mudah dan kecil itu boleh menyebabkan implikasi yang sangat besar. Satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian segera ialah bagaimana hendak mengatasi masalah rayuan interlokutari yang melipatgandakan bilangan rayuan dan kos kepada litigan dan melambatkan penyelesaian muktamad kes-kes. Malah, di kebelakangan ini, kita juga sudah tidak pasti bilakah “muktamad” itu benar-benar muktamad.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya sedar bahawa, jika Allah s.a.w. melanjutkan usia saya sekalipun, tempoh untuk saya memegang jawatan Ketua Hakim Negara ini adalah amat singkat. Tetapi, jika, dengan takdir Allah s.w.t. saya memegang jawatan ini hanya sehari sahajapun, dalam masa satu hari itu, saya berazam untuk melakukan apa yang saya, dengan jujur, fikir adalah betul, sehabis baik yang saya boleh lakukan. Sama ada sehabis baik saya itu cukup baik atau tidak terserahlah kepada orang ramai untuk menghakiminya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Percayalah bahawa dalam hidup ini, akhirnya, kejujuran mengatasi segala-galanya. Dan percayalah bahawa dalam hidup ini, akhirnya, kebenaran akan terserlah jua.
Akhir kata, jika saya diminta untuk memilih satu cogankata, inilah pilihan saya: BUAT KERJA.
Sekian. Terima kasih.