AMANAT TUN ABDUL HAMID MOHAMAD

HIMPUNAN AMAN BANTAH ICERD
DATARAN MERDEKA
8 Disember 2018

AMANAT TUN ABDUL HAMID

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya pohon maaf kerana saya tidak dapat hadir bersama tuan-tuan dan puan-puan pada hari ini, disebabkan keadaan kesihatan saya yang tidak mengizinkan.

Saya harap semua yang hadir di sini akan berhimpun dengan aman, berakhlak, bersopan dan mematuhi undang-undang sambil menyatakan pendirian mereka dengan tegas.

Kita menentang ICERD kerana ia bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Pesekutuan mengenai hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak yang telah dipersetujui oleh semua kaum pada masa kita mencapai kemerdekaan.

Penyokong-penyokong ICERD, termasuk beberapa orang Menteri, menghujahkan, hampir kesemua negara-negara Islam meratifikasi ICERD, mengapa kita menentang?

Adalah nyata mereka berhujah berdasarkan fakta yang salah. ICERD adalah singkatan kepada International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination atau Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum. Diskriminasi yang dilarang oleh ICERD adalah diskriminasi kaum, bangsa dan warna kulit, bukan diskriminasi agama.

Soalnya, adakah perlembagaan negara-negara Islam itu mempunyai peruntukan seperti Perkara 153 (menganai hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak), Perkara 8(4)(f) (yang menghadkan Regimen Askar Melayu kepada orang Melayu) dan Perkara 89 (mengenai Tanah Rizab Melayu) ? (Kita mempuyai peruntukan-peruntukan itu sebagai ganti persetujuan orang Melayu memberi hak kerakyatan kepada orang bukan Melayu.)

Jika perlembagaan di negara-negara itu tidak mempunyai peruntukan-peruntukan seperti itu, maka jika mereka meratifikasi ICERD pun tidak menjadi masalah, sebab tidak ada percanggahan dengan perlembagaan dan dasar negara mereka. Itu bezanya.

Orang Melayu tidak pernah mempersoalkan hak yang diberikan kepada orang bukan Melayu. Mengapa hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak hendak dihakis, malah dihapuskan melalui ratifikasi ICERD? Kita tahu itulah tujuan di sebalik ratifikasi itu.

Dalam hal ini, saya minta kerajaan Pakatan Harapan berterus terang dan memberi kata putus: ia tidak akan meratifikasi ICERD atau hanya menangguh ratifikasinya. Kenyataan yang di keluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri berkata “tidak akan meratifikasi”. Tetapi, selepas itu, dua orang Menteri dan Perdana Menteri menunggu berdolak-dalik dalam Parlimen bahawa ia hanya ditangguh untuk dikaji selanjutnya. Mana satu yang betul? Tolong cakap terus terang: tidak akan meratifikasi atau ditangguhkan?

Sebab itulah saya berkata bahawa perjuangan kita masih belum selesai. Kita perlu berwaspada.

Orang Melayu dan umat Islam di Malaysia hendaklah bersatu dan mempertahankan hak mereka. Kita bukan hendak mengambil hak orang lain. Kita hanya mempertahankan hak kita seperti yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan.

Kepada anak-anak muda saya peringatkan: kamu baru keluar dari kampung atau pedalaman satu atau dua generasi. Jangan lupa daratan.

Anak-anak negeri Sabah dan Sarawak perlu sedar bahawa, dalam hal ini, untung nasib mereka adalah bersama-sama orang Melayu.

Kepada semua rakyat Malaysia saya berseru, demi untuk kebaikan bersama, hormatilah peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan bersama-samalah membina sebuah negara Malaysia yang aman, tenteram, makmur dan maju seperti yang kita telah lakukan semenjak Merdeka.

Sekian. Terima kasih.

Tun Abdul Hamid Mohamad

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

Read 129 times