PGF MARKETING (M) SDN BHD v. INSULMARK SDN BHD & ANOR

PGF MARKETING (M) SDN BHD v. INSULMARK SDN BHD & ANOR
HIGH COURT, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD J
GUAMAN SIVIL NO 22-88-1998
20 FEBRUARY 1999
[1999] 1 LNS 362

Counsel:
Lim Mook San (M/s Shahrizat & Tan), Lee Khai (M/s Ong & Manecksha)

ALASAN PENGHAKIMAN
[Lampiran 14]
Mengikut pernyataan tuntutan Plaintif, Plaintif telah menjual/membekalkan “glass wool” kepada Defendan Pertama (Syarikat). Plaintif menuntut wang berjumlah RM424,278.68, ia itu harga barangan tersebut yang terhutang.
Defendan Kedua (pengarah Defendan Pertama) telah memberi beberapa jaminan kepada Plaintif untuk menjamin bayaran harga barangan yang dipohon oleh Defendan Pertama. Jaminan pertama bertarikh 26 Julai 1995. Pihak yang dijamin ialah H.K. Yow (Pg) Sdn. Bhd. (nama lama Defendan Pertama) Jumlah pokok yang dijamin ialah sebanyak RM500,000.00.
Jaminan kedua bertarikh 2 April 1997. Jumlah yang dijamin ialah sebanyak RM300,000.00. Pihak yang dijamin sama seperti jaminan pertama. [2]
Jaminan ketiga bertarikh 1 Jun 1997. Jumlah dijamin ialah RM400,000.00. Pihak yang dijamin ialah Insulmark Sdn. Bhd. (Defendan-Pertama sekarang).
Mengikut pernyataan tuntutan Plaintif, walau pun tuntutan telah dibuat Defendan-Defendan masih gagal menjelaskan hutang itu. Maka Plaintif menuntut sejumlah wang sebanyak RM409.876.06, faedah dan kos.
Kerana Defendan Pertama (Syarikat) tidak memasukkan kehadiran, penghakiman ingkar telah diperolehi terhadap Defendan Pertama pada 22 April 1998.
Pada 26 Mei 1998 Plaintif memfail saman dalam kamar memohon penghakiman terus di bawah Aturan 14, Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (KMT 1980). Pada 24 Ogos 1998 Penolong Kanan Pendaftar membenarkan permohonan itu dan memberi penghakiman terus kepada Plaintif. Defendan Kedua merayu.
Saya menolak rayuan itu. Defendan Kedua merayu ke Mahkamah Rayuan.
Beberapa hujah telah dikemukakan di hadapan saya oleh Defendan Kedua.
Pertama dihujahkan bahawa liability Defendan Kedua cuma berbangkit jika ada tuntutan dibuat terhadap Defendan Pertama dan Defendan Pertama tidak menjelaskan hutang itu. Katanya, Plaintif tidak membuat tuntutan kepada Defendan Pertama sebab Plaintif menghantar notis tuntutan itu ke alamat berdaftar [3] Defendan Pertama di Selangor sedangkan alamat berdaftar Defendan Pertama telah bertukar ke Pulau Pinang.
Saya telah meneliti satu persatu dokumen-dokumen yang dikemukakan oleh kedua belah pihak. Defendan Pertama bukan sahaja telah menukar nama pada 25 Mac 1997 tetapi telah menggunakan berbagai-bagai alamat. Dalam tahun 1995 alamat yang dipakai oleh Defendan Pertama ialah “107, Jalan Che Rose, 10150 Penang – lihat “Application form for Credit Facilities” (lampiran 12 Ek CHA-7) dan surat Plaintif kepada Defendan Pertama bertarikh 27 Julai 1995 bertajuk “Credit limit and Letter of Guarantee” (Lampiran 11 Ek. LSH-2).
Selepas itu, dokumen-dokumen bertarikh tahun 1997, termasuk kepala surat (letterhead) Defendan Pertama memakai alamat 1-H, Jalan Ru 2. Alamat ini juga digunakan oleh Defendan Kedua dan seorang Pengarah lagi sebagai alamat mereka.
Mengikut rekod di Pejabat Pendaftar Syarikat pada tarikh hasil carian diberi, ia itu pada 10 Januari 1998 alamat berdaftar Defendan 1 ialah “5 Ground Fl. J. SS13/1G, Blok G. Petaling Jaya, Selangor Pos Kod 47500”. Alamat “1-H Lorong Ru 2” adalah alamat perniagaan Defendan Pertama. Jadi, berdasarkan carian itulah maka notis tuntutan bertarikh 20 Januari 1998 kepada Defendan Pertama dihantar ke alamat di Petaling Jaya itu. Notis tuntutan bertarikh 14 Januari kepada Defendan Kedua dihantar ke alamat 1-H Lorong Ru 2. [4]
Defendan Kedua memasukkan kehadiran pada 19 Mac 1998 tetapi Defendan Pertama (Syarikat) tidak memasukkan kehadiran menyebabkan Plaintif mengambil penghakiman ingkar terhadap Defendan Pertama pada 22 April 1998. Hanya pada 27 Ogos 1998, selepas penghakiman terus diberi terhadap Defendan Kedua, barulah Defendan Pertama memfail saman dalam kamar untuk mengenepikan penghakiman ingkar itu.
Tidak ada keterangan bila Defendan Pertama menukar alamat berdaftarnya ke Petaling Jaya. Defendan Kedua (Pengarah Defendan Pertama) tidak mengemukakan apa-apa keterangan mengenainya. Tetapi, semestinya maklumat mengenai pertukaran itu diberi oleh Defendan, jika tidak, tidak mungkin Pejabat Pendaftar Syarikat mencatatnya. Salinan Borang 44 yang dikemukakan sebagai ekshibit ialah pertukaran dari Jalan Angsana ke Lorong Ru 2, kedua-duanya di Bandar Baru, Air Itam, Pulau Pinang. Tarikhnya pun tidak betul. Tiada keterangan bahawa borang itu pernah dihantar ke Pejabat Pendaftar Syarikat dan bila. Dalam kes seperti ini, kerapkali ditemui bahawa penukaran alamat-alamat yang berbeza itu adalah untuk mengelirukan pihak lain. Saya tidak putuskan demikian di perigkat ini, tetapi tindak-tanduk Defendan-Defendan, termasuk Defendan Kedua memasuki kehadiran bagi dirinya tetapi tidak untuk Syarikatnya menunjukkan ke arah itu. Plaintif telah membuat carian di Pejabat Pendaftar Syarikat untuk memastikan alamt berdaftar [5] Defendan Pertama. Apa lagi yang Plaintif boleh lakukan? Dan Plaintif telah menggunakan alamat itu untuk menyampaikan notis tuntutan terhadap Defendan Pertama. Pengakuan penerimaan surat itu untuk dipos secara “A.R.” oleh Pos Malaysia Berhad diekshibitkan, walau pun sesalinan kad “A.R.” tidak diekshibitkan.
Mungkin akan dihujahkan bahawa saya tidak patut membincang persoalan ini kerana permohonan Defendan Pertama untuk mengenepikan penghakiman ingkan itu belum didengar. Tetapi, Defendan Kedua yang membangkit persoalan ini dalam menentang permohonan ini, maka saya terpaksa membincangnya.
Walau bagaimana pun, saya berpendapat bahawa sama ada notis tuntutan terhadap Defendan Pertama disampaikan dengan betul atau tidak, ia tidak menjejaskan tuntutan Plaintif. Ini kerana, Notis tuntutan terhadap Defendan Kedua telah dialamatkan kepadanya di alamat yang digunakannya sebagai alamatnya sendiri. Dia juga masih menggunakan alamat yang sama (1-H Lorong Ru 2) sebagai alamatnya dalam affidavit-affidavitnya.
Juga, tuntutan terhadapnya (Defendan Kedua) bukanlah cuma boleh dibuat setelah tuntutan dibuat terhadap Defendan Pertama dan Defendan Pertama gagal membayar hutang itu. Perjanjian-perjanjian jaminan itu jelas menyebut bahawa penjamin-penjamin (Defendan Kedua salah seorang daripadanya) “… irrevocably guarantee payment of and agree to pay and satisfy PGF (Plaintif [6] – ditambah) on demand all sums of money THE CUSTOMER (Defendan Pertama – ditambah) for all such goods…” Kata-kata “on demand” itu adalah “on demand” terhadap penjamin, bukan Syarikat (Defenan Pertama). Defendan Kedua sendiri mengakui dia menerima notis tuntutan terhadapnya. Klausa 11 perjanjian jaminan juga mengatakan dengan jelas behawa penjamin-penjamin adalah “principal debtors to PGF (Plaintif – ditambah) for all payments guaranteed by us…” Kesannya ialah Plaintif boleh menuntut terus terhadap Defendan Kedua tanpa menuntut terhadap Defendan Pertama.
Jadi hujah ini tidak bermerit.
Kedua, dihujahkan bahawa hutang itu belum sampai tempohnya dan tidak melebihi hadnya.
Mengenai hujah ini beberapa perkara perlu dan boleh dijelaskan daripada keterangan affidavit dan dokumen-dokumen yang dikemukakan.
Petama, mengenai tempoh kredit, borang permohonan kredit oleh Defendan Pertama dan ditandatangani oleh Defendan Kedua jelas memohon had kredit sebanyak RM300,000.00 dan tempohnya ialah 60 hari – Lampiran 12 Ek. CHP-7. Invois-invois (Ek. CPH-8) juga menunjukkan tempoh kredit adalah 60 hari. Defendan mengatakan biasanya Plaintif memberi tempoh lebih daripada 60 hari. Jika demikian pun itu hanyalah satu “indulgence” oleh Plaintif, bukan hak Defendan. [7]
Klausa 3, Perjanjian Jaminan memperuntukkan:
“3. I/We agree that our liability under this guarantee shall not in any way be discharged, diminished or affected by the invalidity or the unforceability of the abovesaid sale and supply or goods to THE CUSTOMER or –
3.;1 by determining, varying or increasing any credit and/or refusing to sell and supply goods to THE CUSTOMERS;
3.;2 by granting to THE CUSTOMER or any other person any time or indulgence;
3.;3 by the variation of any terms in the sale and/or supply of goods to THE CUSTOMER.”
Jadi, adalah jelas bagi saya bahawa tempoh kredit adalah 60 hari.
Ketiga, dihujahkan bahawa invois-invois menunjukkan barangan itu dihantarserah antara 15 Mei 1997 hingga 21 Ogos 1997. Plaintif berhenti menghantar barangan itu kepada Defendan Pertama pada 22 Ogos 1997. Notis kepada Defendan Pertama bertarikh 20 Januari 1998 dan terhadap Defendan Kedua bertarikh 14 Januari 1998. Dihujahkan bahawa tempoh kredit bagi sebahagian daripada barangan itu belum luput pada masa bekalan dihentikan.
Saya berpendapat bahawa tarikh yang berkenaan ialah tarikh notis tuntutan dikeluarkan oleh Plaintif, bukan tarikh Plaintif [8] berhenti membekalkan barangan selanjutnya. Notis-Notis tuntutan cuma dikeluarkan dalam bulan Januari 1998, hampir lima bulan selepas barangan terakhir dihantar, jauh melewati tempoh credit 60 hari itu. Jika Plaintif melanggar perjanjian dengan tidak membekalkan barang-barang yang kemudiannya dipesan, itu isu lain. Harga barangan yang telah dibekal mesti dibayar. Lagi pun pada tarikh Plaintif berhenti menghantar barangan yang baru dipesan hanya sejumlah kecil sahaja yang belum luput tempoh kredit 60 hari itu. Sekurang-kurangnya Defendan-Defendan patut membayar jumlah yang telah melebihi tempoh kredit itu apabila dituntut. Tetapi, bukan sahaja Defendan-Defendan tidak berbuat demikian, sehingga ke hari ini pun, sedikit pun tidak dibayar.
Mengenai had kredit, peguam Defendan Kedua menghujahkan, oleh sebab had kredit belum sampai, maka Defendan-Defendan tak perlu bayar. Hujah ini nyata meleset. Tidak pelulah diperturunkan fakta yang panjang lebar mengenainya. Jika hujah ini betul, ertinya, Defendan Pertama tidak perlu bayar selama-lamanya asalkan ia tidak melebihi had kredit. Kedudukan sebenarnya, yang jelas, ialah bahawa Plaintif bersetuju menghantar barangan itu kepada Defendan Pertama. Plaintif memberi tempoh 60 hari untuk Defendan Pertama membayarnya, terhad kepada had kredit yang ditetapkan. Satu ringgit pun yang melebihi had kredit itu mestilah dibayar dengan segera. Bagi [9] jumlah yang tidak melebihi had kredit itu pula, apabila luput tempoh kredit, ia mestilah dibayar, walau pun satu ringgit.
Keempat, dihujahkan juga bahawa Plaintif telah mengubah had kredit tanpa pengetahuan Defendan-Defendan dan juga perubahan telah dilakukan kepada perjanjian. Hujah ini dijawab oleh peruntukan klausa 3 kepada perjanjian jualbeli yang saya telah perturunkan sebelum ini. Lagi pula, perubahan jika dilakukan pun, tidak memaafkan Defendan-Defendan daripada membayar harga barangan yang telah dibekalkan.
Kelima, dihujahkan juga bahawa perjanjian jaminan itu tak pasti (“uncertain”) kerana perjanjian jaminan pertama ditanda-tangani oleh dua penjamin manakala yang kedua dan ketiga orang Defendan Kedua sahaja. Jaminan kedua mengatasi (“supercedes”) jaminan pertama. Lagi pula pernyataan tuntutan tidak menyebut jaminan mana yang menjadi asas tuntutan. Jika ketiga-tiganya, maka “had kredit” adalah RM1.2 juta.
Hujah ini menunjukkan kekeliruan antara had jaminan dengan had kredit. Had kredit adalah had jumlah yang Defendan Pertama dibenarkan membayar dalam tempoh 60 hari. Manakala had jaminan adalah had jumlah yang dijamin oleh Defendan Kedua.
Peguam Plaintif menjelaskan, seperti yang tersebut dalam pernyataan tuntutan, bahawa tuntutan Plaintif adalah berdasarkan ketiga-tiga perjanjian jaminan itu. Seperti yang dapat dilihat dua perjanjian itu yang lebih awal adalah atas nama lama [10] syarikat (Defendan Pertama) dan yang terakhir atas nama baru syarikat itu. Ini kerana Plaintif, pada masa itu, tidak pasti sama ada syarikat itu cuma menukar nama atau sebuah syarikat lain.
Selain dari itu, klausa 4 perjanjian-perjanjian jaminan itu dengan jelas menyebut:
“I/We agree that this guarantee shall be a continuing guarantee and shall be addition to and not in substitution for any other guarantee and/or security given or at any time hereafter given by me/ us or any other person…”.
Klausa ini menjawab hujah bahawa jaminan itu tak pasti (uncertain) dan mana satu yang terpakai.
Keenam, dihujahkan bahawa perjanjian jaminan terakhir itu tak sah kerana balasannya adalah balasan lampau. Tarikh perjanjian jaminan terakhir itu ialah 1 Jun 1997. Tempoh barangan dibekalkan ialah mulai 15 Mei 1997 hingga 21 Ogos 1997. Ertinya ada sebahagian barangan yang telah dibekalkan sebelum perjanjian jaminan terakhir itu dilaksanakan.
Jawapan kepada hujah ini juga terdapat dalam klausa 4 yang telah diperturunkan sebelum ini.
Ketujuh, dihujahkan bahawa Plaintif tidak memberi rebat kepada Defendan Pertama. Ini berbangkit daripada notis yang diberi oleh Plaintif kepada “Valued Customers” bertarikh 1 Julai 1997 (Ek. LSH-7 Lampiran 11). Ia, antara lain, mengatakan jika [11] pesanan dibuat tidak lewat daripada 11 Julai 1997 dan dibekalkan tidak lewat daripada 15 Julai 1997, dan mematuhi syarat-syarat di dalam notis itu, rebat pada kadar-kadar yang ditetapkan akan diberi. Mengikut perkiraan Defendan rebat itu berjumlah RM6,297.12 (Ek. LSH-8 Lampiran 11).
Plaintif menjawab bahawa Defendan Pertama cuma berhak mendapat rebat tersebut jikalau mereka membayar untuk barangan tersebut dalam masa tempoh kredit 60 hari. Apa yang saya faham ialah, Plaintif mengatakan, oleh sebab Defendan Pertama tidak membayar harga barang yang dihantarserah maka Defendan Pertama tidak berhak mendapat rebat.
Memandang kebelakang, alasan Plaintif itu tidaklah boleh menjadi sebab Plaintif tidak memberi rebat itu, kerana syarat bayaran dalam tempoh kredit 60 hari itu bukanlah satu syarat yang terkandung dalam notis bertarikh 1 Julai 1997 itu (Ek. LSH-7, Lampiran 11). Jadi, jumlah penghakiman sepatutnya dikurangkan sebanyak RM6,297.12. Tetapi, perkara ini tidak mematutkan kes ini dibicarakan. Jumlah itu adalah mengikut perkiraan Defendan Pertama sendiri. Ia cuma patut dikurangkan dari jumlah penghakiman.
Kelapan, Defendan Kedua menghujahkan bahawa Plaintif telah melanggar perjanjian antara mereka kerana telah menghantar terus kepada pihak ketiga dan tidak melalui Defendan Pertama. Oleh itu Defendan Pertama kerugian komisyen sebanyak 6%. [12]
Tidak dipertikaikan bahawa Plaintif adalah pembekal. Defendan Pertama adalah “orang tengah”. Pesanan dibuat oleh Defendan Pertama dan Plaintif menghantar terus kepada pelanggan-pelanggan yang “membeli” daripada Defendan Pertama. Defendan Pertama mendapat komisyen daripada Plaintif. Plaintif menegaskan bahawa Plaintif memang bersedia membayar komisyen itu dan jumlah tuntutan ini tidak termasuk komisyen itu. Ertinya Defendan Pertama tidak menghadapi apa-apa kerugian. Lagi pula, jika Plaintif melanggar perjanjian antara Plaintif dengan Defendan Pertama, Defendan Pertama boleh menuntutnya secara berasingan atau memasukkan tuntutan balas.
Akhir sekali, tetapi tidak kurang pentingnya, mengikut klausa 9 Perjanjian-Perjanjian itu apa-apa penghakiman yang diperolehi oleh Plaintif terhadap Defendan Pertama “shall be conclusive and binding on us” (Defendan Kedua). Penghakiman Ingkar telah diperolehi terhadap Defendan Pertama dan sehingga hari ini masih belum diketepikan. Maka ia mengikat Defendan Kedua.
Kesimpulannya saya dapati bahawa, walau pun banyak hujah yang dikemukakan, apabila diteliti, jelas tidak terdapat apa-apa persoalan atau apa-apa sebab lain yang mematutkan kes ini dibicarakan. Maka saya mengesahkan perintah Penolong Kanan Pendaftar bertarikh 24 Ogos 1998 dan menolak rayuan ini dengan kos.

Read 73 times