SALEHA HUSSIN lwn. AB WAHID NASIR & YANG LAIN

MAHKAMAH TINGGI MALAYA, KUALA LUMPUR
GUAMAN NO: D5(D8)-22-1060-1997
[2004] 2 CLJ 204
HAKCIPTA: Karya sastera – Pelanggaran – Drama berasaskan skrip plaintif disiarkan di televisyen tanpa kebenaran plaintif – Sama ada hakcipta plaintif dilanggar – Persamaan di antara skrip plaintif dengan skrip drama yang disiarkan – Sama ada persamaannya substantif – Sama ada defendan berpeluang meniru skrip plaintif – Sama ada plaintif berhak mendapat perintah-perintah seperti dipohon – Akta Hakcipta 1987, ss. 3, 7 10, 13, 25, 26, 36, 37

Plaintif adalah seorang pensyarah dan penulis sambilan. Defendan pertama adalah seorang penerbit drama. Beliau juga pengarah defendan kedua yang merupakan sebuah syarikat yang terlibat dalam penerbitan perfileman. Defendan ketiga adalah sebuah syarikat berhad berkaitan dengan penyiaran televisyen. Plaintif telah menulis sebuah cerpen bertajuk “Zuriat” dan cerpen tersebut telah disiarkan dalam akhbar Berita Minggu. Selepas itu plaintif telah menulis skrip berdasarkan cerpen tersebut bagi tujuan penerbitan drama televisyen defendan ketiga. Skrip tersebut bertajuk “Pemburu Mimpi”. Pada akhir tahun 1989 plaintif telah menyerah satu salinan skrip tersebut kepada defendan ketiga melalui defendan pertama. Ketika itu defendan pertama berkhidmat sebagai pegawai yang bertanggungjawab atas perkara yang berkaitan dengan penerbitan drama televisyen di defendan ketiga. Walau bagaimanapun atas persetujuan kedua belah pihak, drama tersebut tidak diteruskan. Pada bulan Oktober 1997 plaintif telah mendapati bahawa defendan kedua telah, tanpa kebenaran plaintif, menerbitkan drama televisyen yang bertajuk “Zuriat” yang ditayangkan di siaran televisyen defendan ketiga. Maka plaintif memulakan tindakan ini terhadap defendan-defendan atas alasan bahawa mereka telah melanggar hakcipta plaintif. Plaintif memohon, antara lain, untuk (1) perintah injunksi melarang defendan-defendan daripada mengeluarkan semula sebarang bentuk drama TV tersebut melainkan dengan kebenaran bertulis plaintif (2) menghantar serah semua salinan dan barangan yang telah melanggar hakcipta plaintif dan (3) gantirugi.
Diputuskan:
[1] Plaintif adalah seorang warganegara dan penduduk tetap Malaysia. Maka mengikut s. 3 Akta Hakcipta 1987 (‘Akta’) beliau adalah orang berkelayakan di bawah Akta tersebut. Keterangan adalah jelas bahawa skrip tersebut ditulis oleh plaintif. Skrip plaintif itu adalah satu karya sastera yang disebut dalam ss. 7 dan 10 Akta. Sebagai penulisnya, beliau adalah penciptanya seperti yang ditafsirkan oleh s. 3 Akta. Di bawah ss. 10 dan 26 Akta, plaintif sebagai pencipta berhak mendapat perlindungan hakcipta dan pemilik hakcipta. Sebagai satu karya sastera, s. 13 Akta memberi perlindungan eksklusif kepada plaintif. Perlindungan juga diberi oleh s. 25 Akta.
[2] Seksyen 36 Akta menyebut bahawa hakcipta adalah dilanggar apabila seseorang itu melakukan atau menyebabkan sebarang orang lain melakukan, tanpa lesen daripada pemilik hakcipta, satu perkara yang dikawal oleh hakcipta. Skrip plaintif bukan lagi diperingkat “concept” atau “idea”. “Concept” atau “idea” itu telah ditulis sebagai cerpen dan sebagai skrip drama. Apa yang perlu dilihat ialah persamaan antara skrip plaintif dan skrip drama defendan pertama dan sama ada defendan pertama berpeluang untuk meniru skrip plaintif. Persamaan bukan semestinya persamaan dari segi perkataan. Seksyen 13 Akta melindungi pengeluaran semula dalam apa-apa bentuk jua.
[3] Adalah jelas bahawa terdapat persamaan-persamaan plot, watak dan skrip di antara skrip plaintif dengan skrip drama defendan pertama. Terdapat juga persamaan dalam penggunaan perkataan “Zuriat”. Persamaannya substantif. Persamaan yang sebegitu banyak dan penting tidak boleh berlaku secara kebetulan. Ia semestinya disebabkan oleh perbuatan meniru. Daripada keterangan yang dikemukakan, defendan pertama memang mempunyai peluang yang secukupnya untuk meniru skrip plaintif. Dengan itu, hujahan bertulis defendan pertama dan kedua yang hanya mengatakan tentang ketidak persamaan skrip plaintif dengan skrip drama defendan pertama tidak boleh diterima. Kesimpulannya plaintif telah berjaya membuktikan pelanggaran hakciptanya oleh defendan pertama.
[4] Defendan kedua turut bertanggungan atas pelanggaran hakcipta skrip plaintif itu. Seseorang yang melanggar hakcipta orang lain adalah bertanggungan kepada pemilik hakcipta itu walau pun dia tidak bersalah atau tidak tahu tentang pelanggaran hakcipta tersebut. Lagipun, defendan kedua adalah syarikat kepunyaan defendan pertama dan defendan pertama adalah pengarahnya.
[5] Pembelaan defendan ketiga bahawa perjanjian yang dimasukinya dengan defendan pertama mengesahkan defendan pertama sebagai pemilik hakcipta drama TV tersebut tidak boleh diterima. Plaintif bukan satu pihak dalam perjanjian itu. Dengan itu, defendan ketiga turut melanggar hakcipta plaintif itu. Sama ada defendan ketiga mempunyai suatu kausa tindakan berasingan terhadap defendan kedua untuk mendapat indemniti adalah suatu perkara berasingan yang tidak boleh diputuskan memandangkan tiadanya tuntutan pihak ketiga antara defendan ketiga dengan defendan kedua. Kesimpulannya, defendan ketiga juga bertanggungan kepada plaintif.
[6] Seksyen 37(1) Akta dengan jelas memperuntukkan bahawa apabila terdapat pelanggaran hakcipta, injunksi adalah suatu remedi yang boleh diberi. Memandangkan fakta dalam kes ini dan penemuan-penemuan yang telah dibuat, defendan-defendan memang patut dihalang daripada menyiarkan, menayangkan, mengedarkan atau mengeluarkan semula dalam sebarang bentuk drama TV tersebut melainkan dengan kebenaran plaintif. Maka perintah injunksi seperti dipohon diberikan. Perintah kedua seperti dipohon juga diberikan.
[7] Ketiga-tiga defendan adalah pelaku-pelaku tort bersama dan hanya satu jumlah gantirugi yang patut diberi di bawah s. 37(1) Akta yang boleh disebut sebagai “gantirugi am”. Gantiruginya ialah pampasan bagi kerugian yang dialami oleh plaintif yang merupakan bayaran yang sepatutnya diterima olehnya jika skripnya itu diterima untuk dijadikan drama TV. Ianya adalah bayaran yang dibayar oleh penerbit drama itu kepada penulis skrip. Harga skrip untuk tayangan setengah jam yang dikatakan oleh plaintif antara RM2,000 hingga RM3,500 adalah terlalu tinggi dan tidak boleh diterima. Keterangan saksi-saksi defendan-defendan bahawa harga adalah di antara RM800 hingga RM1,000 bagi satu episod setengah jam boleh diterima memandangkan mereka telah lama menjual dan membeli skrip-skrip. Dengan memakai harga RM1,000 bagi satu episod maka untuk 13 episod yang dibuat oleh defendan-defendan pertama dan kedua jumlahnya ialah RM13,000. Tetapi mengambil kira faktor-faktor lain seperti tekanan perasaan yang dialami oleh plaintif akibat pelanggaran hakciptanya itu, maka gantirugi sebanyak RM20,000 di bawah s. 37(1) Akta patut diberikan. Untuk gantirugi tambahan di bawah s. 37(2) Akta, jumlah sebanyak RM50,000 adalah berpatutan.
Dilaporkan oleh Usha Thiagarajah

Case(s) referred to:
Chopman v. Lord Ellesmere & Ors [1932] 2 KB 431 (dirujuk)
Corelli v. Gray TLR (1913) (dirujuk)
Dunia Muzik WEA Sdn Bhd & Anor v. Koh Tay Eng [1986] 1 LNS 85; [1987] 2 MLJ 356 (dirujuk)
Hayward v. Thomas [1982] 1 QB 47 (dirujuk)
LB (Plastics) Ltd v. Swiss Products Ltd FSR (1979) (dirujuk)
Logman Malaysia Sdn Bhd v. Pustaka Delta Pelajaran Sdn Bhd [1987] 1 CLJ 588; [1987] CLJ (Rep) 760 HC (dirujuk)
Lotus Development Corporations v. Ong Seow Pheng [1997] 1 SLR 484 (dirujuk)
Macmillan Publishers Ltd v. Thomas Reed Publications Ltd FSR (1993) (dirujuk)
Mansek v. Valley Printing Co [1906] 2 Ch 441 (diikuti)

Legislation referred to:
Civil Law Act 1956, s. 3(1)
Copyright Act 1987, ss. 3, 7(1), 8(1), 10, 13, 25, 26, 36, 37(1), (2)
Copyright Act 1911 [Eng], s. 13
Counsel:
Bagi pihak plaintif – Ahmad Edham (Abdulwani Mohamad); T/n Zulpadli & Edham
Bagi pihak defendan pertama & kedua – Noor Hadi Sallehon; T/n Hadi & Co
Bagi pihak defendan ketiga – SG Yeoh; T/n Bustaman & Co

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamad HMP:
Mengikut penyataan tuntutan paintif, plaintif adalah seorang pensyarah dan penulis sambilan. Defendan pertama adalah seorang penerbit drama. Defendan kedua adalah sebuah syarikat sendirian berhad yang terlibat dalam penerbitan perfileman. Defendan ketiga adalah sebuah syarikat berhad yang aktiviti utamanya adalah berkaitan dengan penyiaran televisyen.
Mengikut plaintif, plaintif telah menulis sebuah cerpen bertajuk Zuriat dan cerpen tersebut telah disiarkan dalam akhbar Berita Minggu dalam bulan Disember 1979. Selepas itu plaintif telah menulis skrip berdasarkan cerpen tersebut bagi tujuan penerbitan drama televisyen oleh defendan ketiga. Skrip tersebut diberi tajuk “Pemburu Mimpi”.
Untuk tujuan penerbitan drama televisyen itu, plaintif telah menyerah sesalinan skrip drama tersebut yang telah dibaiki kepada defendan ketiga melalui defendan pertama pada akhir tahun 1989 yang ketika itu sedang berkhidmat sebagai pegawai yang bertanggungjawab berkaitan dengan penerbitan drama televisyen di defendan ketiga. Walau bagaimanapun atas persetujuan kedua belah pihak drama tersebut tidak diteruskan.
Pada bulan Oktober 1997, plaintif telah mendapati bahawa defendan kedua telah, tanpa kebenaran plaintif, menerbitkan drama televisyen yang bertajuk “Zuriat” yang ditayangkan di siaran televisyen defendan ketiga pada setiap hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis bermula pada 6 Oktober 1997. Plaintif mengatakan bahawa bahagian penting daripada idea, kandungan ceritanya malah dialognya menyamai cerpen, skrip drama dan skrip drama yang dibaiki yang ditulis oleh plaintif. Plaintif mengatakan bahawa defendan-defendan telah melanggar hakcipta plaintif dan memperturunkan butiran-butiran pelanggaran hakcipta seperti berikut:
(a) Jalan cerita dan idea drama TV tersebut menyamai jalan cerita cerpen, skrip drama dan skrip drama yang dibaiki plaintif.
(b) Plot-plot yang terdapat dalam drama TV tersebut menyamai plot-plot yang terdapat dalam cerpen, skrip drama dan skrip drama yang dibaiki, plaintif.
(c) Teknik imbasan yang terdapat dalam drama TV tersebut menyamai teknik imbasan yang terdapat dalam cerpen, skrip drama dan skrip drama yang dibaiki, plaintif.
(d) Sebahagian daripada dialog dan lain-lain perkara dalam drama TV tersebut menyamai keadaan yang terdapat dalam cerpen, skrip drama dan skrip drama yang dibaiki, plaintif.
Plaintif memohon perintah-perintah:
(a) Defendan-defendan, pekerja-pekerja atau agen-agennya dilarang daripada menyiarkan, menayangkan, mengedarkan atau mengeluarkan semula dalam sebarang bentuk drama TV tersebut melainkan dengan kebenaran bertulis plaintif atau warisnya;
(b) Defendan-defendan hendaklah menghantar serah (deliver up) semua salinan dan barangan yang telah melanggar hakcipta plaintif dan berada dalam jagaan defendan-defendan;
(c) Gantirugi am;
(d) Gantirugi contoh (exemplary damages);
(e) Satu “Inquiry” bagi menetapkan jumlah gantirugi ke atas pelanggaran hakcipta atau atas pilihan plaintif satu “account of profit” ditetapkan;
(f) Kos tindakan ini;
(g) Faedah ke atas (c), (d) dan (e) di atas sebanyak 8% setahun daripada tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh,
(h) Relif-relif lain yang mahkamah yang mulia rasa patut dan sesuai.
Ketiga-tiga defendan memasukkan pembelaan. Ringkasnya, defendan pertama dan defendan kedua menafikan nyataan dan tuntutan plaintif. Defendan ketiga, selain daripada menafikan nyataan dan tuntutan juga mengatakan bahawa ia (defendan ketiga) telah memasuki satu perjanjian dengan defendan kedua pada 17 Jun 1997 di mana defendan kedua telah mengesahkan bahawa defendan kedua adalah pemilik hakcipta drama “Zuriat” tersebut dan defendan kedua bersetuju menyerah hakciptanya mengenai drama tersebut untuk antara lain, penyiaran televisyen.
Perbicaraan kes ini telah mengambil tempoh yang panjang kerana, terutamanya, masalah mencari satu kaedah yang boleh dipersetujui semua pihak bagaimana keterangan saksi-saksi hendak dikemukakan, disoal balas dan disoal semula. Ini kerana, mengikut kaedah biasa, adalah amat rumit sebab, antara lain, setiap saksi terpaksa dirujuk berulang-ulang kali kepada kandungan cerpen, skrip drama dan skrip drama yang dibaiki untuk memberi pendapatnya. Ini bererti mahkamah akan terpaksa menulis bahagian-bahagian tersebut berulang-ulang kali untuk mengetahui sesuatu komen itu adalah mengenai sesuatu bahagian, ayat atau perkataan, apabila membaca nota itu kemudiannya. Akhirnya, dipersetujui bahawa saksi-saksi memberi kenyataan saksi walaupun keterangan lisan juga diambil, dengan seberapa ringkas yang boleh. Mahkamah juga telah menghabiskan satu setengah hari untuk menonton kesemua 13 episod drama itu.
Selepas semua itu selesai dan kedua pihak dikehendaki mengemukakan hujah bertulis, atas persetujuan mereka, terdapat pula kelewatan bagi pihak peguam defendan pertama dan kedua, khususnya, untuk menyediakan hujah bertulisnya. Ini, antara lain, kerana peguam defendan pertama dan kedua tidak dapat menghubungi anak guamnya yang berada di Johor Bahru. Hanya, setelah mahkamah memutuskan untuk memberi keputusan tanpa hujah bertulis peguam defendan pertama dan kedua, barulah ianya difailkan. Mahkamah menangguh tarikh keputusan untuk meneliti hujah-hujah bertulis peguam defendan pertama dan kedua.
Akhirnya mahkamah memberi keputusannya bahawa ketiga-tiga defendan “liable” dan memberi penghakiman kepada plaintif terhadap kesemua mereka. Setelah mendengar hujah-hujah mengenai perintah yang patut dibuat, mahkamah memerintahkan:
1) injunksi dikeluarkan seperti prayer (a) perenggan 10.12;
2) perintah hantar serah seperti dalam perenggan (b), perenggan 12.12 dalam masa dua bulan;
3) gantirugi sebanyak RM20,000 dan gantirugi tambahan sebanyak RM50,000, kedua-duanya terhadap ketiga-tiga defendan secara bersama dan berasingan.
4) Kos kepada plaintif terhadap ketiga-tiga defendan.
5) Faedah sebanyak 8% atas 3(a) dan (b) dari tarikh penghakiman sehingga pembayaran sepenuhnya.
Sebelum memberi alasan-alasan saya, eloklah disebut bahawa dalam alasan penghakiman ini saya tidak akan memperturunkan bahagian-bahagian berkenaan bagi cerpen, skrip drama dan skrip drama yang dibaiki mahu pun pendapat setiap saksi, saksi pakar atau bukan, mengenai setiap suatu bahagian atau ayat atau perkataan yang dipertikaikan itu. Berbuat demikian mungkin akan menjadikan alasan penghakiman ini beratus-ratus muka surat panjangnya. Maka saya hanya akan memberi alasan-alasan saya mengenai sesuatu topik mengapa saya membuat keputusan fakta yang saya buat.
Oleh sebab tidak terdapat banyak kes seperti ini yang sampai ke mahkamah, maka saya akan memperturunkan terlebih dahulu, dengan seberapa ringkas, peruntukan-peruntukan undang-undang mengenainya.
Seksyen 6 Akta Hakcipta 1987 memperuntukkan:
6. Subject to this Act, no copyright shall subsist otherwise than by virtue of this Act.
Seksyen 7, antara lain, memperuntukkan:
7 (1) Subject to this section, the following works shall be eligible for copyright:
(a) literary works;
(b) musical works;
(c) artistic works;
(d) films;
(e) sound recordings; and
(f) broadcasts.
(2) Works shall be protected irrespective of their quality and the purpose for which they were created.
(3) A literary, musical or artistic work shall not be eligible for copyright unless:
(a) sufficient effort has been expended to make the work original in character; and
(b) the work has been written down, recorded or otherwise reduced to material form.
Seksyen 8, antara lain, memperuntukkan:
8 (1) The following derivative works are protected as original works:
(a) translations, adaptations, arrangements and other transformations of works eligible for copyright; and
(b) collections of works eligible for copyright which, by reason of the selection and arrangement of their contents, constitute intellectual creation.
(2) Protection of works referred to in subsection (1) shall be without prejudice to any protection of the existing works used.
Seksyen 10, antara lain, memperuntukkan:
10 (1) Copyright shall subsist in every work eligible for copyright of which the author or in the case of a work of joint authorship, any of the authors is, at the time when the work is made, a qualified person.
(2) Copyright shall also subsist in every work which is eligible for copyright and which:
(a) being a literary, musical or artistic work or film or sound recording is first published in Malaysia;
(b) being a work or architecture is erected in Malaysia or being any other artistic work is incorporated in a building located in Malaysia;
(c) being a broadcast is transmitted from Malaysia.
(3) Notwithstanding subsections (1) and (2), copyright shall subsist, subject to this Act, in every work eligible for copyright if the work is made in Malaysia.
Seksyen 3, seksyen tafsiran, antara lain memperuntukkan, tafsiran “adaptation”, “author”, “broadcast”, broadcasting service”, “copy”, “derivative work”, “literary work”, material firm”, “qualified person”. Saya hanya akan memperturunkan yang lebih berkenaan:
“adaptation” includes any of the following, that is to say:
(a) in relation to a literary work, a version of the work (whether in its original language or a different language) in which it is converted into a dramatic work;
(b)…
(c)…
(d)…
(e)…
(f) in relation to a literary or artistic work, a version of the work (whether in its original language) or a different language in which it is converted into a film;
“author”,:
(a) in relation to literary works, means the writer or the maker of the works;
(b)…
(c)…
(d)…
(e)…
(f)…
(g) in relation to any other cases, means the person by whom the work was made.
“copy” means a reproduction of a work in written form in the form of a recording or film, or in any other material form;
“derivative works” means works mentioned in paragraphs (a) and (b) of subsection (1) of section 8;
“literary work” includes:
(a) novels, stories, books, pamphlets, manuscripts, peotical works and other writings;
“material form”, in relation to a work or a derivative work, includes any form (whether visible or not) of storage from which the work or derivative, or a substantial part of the work or derivative work can be reproduced;
Seksyen 13, antara lain, memperuntukkan:
13(1) Copyright in a literary, musical or artistic work, a film, or a sound recording shall be the exclusive right to control in Malaysia:
(a) the reproduction in any material form;
Seksyen 25, antara lain, memperuntukkan:
25 (1)…
(2) Subject to this section, where copyright subsists in a work, no person may without the consent of the author, or, after the author’s death, of his personal representative, do or authorize the doing of any of the following acts:
(a) the representation of the work, by any means whatsoever, under a name other than that of the author; and
(b)…
(3)…
(4) The author or, after his death, his personal representative may exercise the rights conferred by this section notwithstanding that the copyright in the work is not at the time of the act complained of, vetted in the author or personal representative, as the case may be.
(5) Any contravention or threatened contravention of this section in respect of a work shall be actionable at the suit of the author of the work or, if he is dead, at the suit of his personal representative as a breach of a statutory duty.
Seksyen 26, antara lain, memperuntukkan:
26(1) Copyright conferred by section 10 shall vest initially in the author.
Seksyen 36 memperuntukkan:
36 (1) Copyright is infringed by any person who does, or causes any other person to do, without the licence of the owner of the copyright, an act the doing of which is controlled by copyright under this Act.
(2) Copyright is infringed by any person who, without the consent of licence of the owner of the copyright, imports an article into Malaysia for the purpose of:
(a) selling, letting for hire, or by way of trade, offering or exposing for sale or hire, the article;
(b) distributing the article:
(i) for the purpose of trade; or
(ii) for any other purpose to an extent that it will affect prejudicially the owner of the copyright; or
(c) by way of trade, exhibiting the article in public.
where he knows or ought reasonably to know that the making of the article was carried out without the consent or licence of the owner of the copyright.
Kembali kepada keterangan plaintif. Beliau telah menulis cerita “Zuriat” dalam bentuk cerpen. Ianya disiarkan dalam Berita Minggu pada 15 Julai 1979. Selepas itu beliau mengolahnya menjadi skrip drama televisyen dengan tajuk yang sama. Ini diserahkan kepada Bahagian Drama TV RTM pada 13 Disember 1986. Kemudian beliau bertanya seorang penilai skrip di bahagian Drama TV RTM yang bernama Nurhalim mengenai skripnya. Nurhalim berkata bahawa ceritanya itu tergantung, tiada akhirnya dan jika mahu diterbitkan sebagai drama TV, plaintif perlulah mengolahnya atau memanjangkan ceritanya. Oleh itu plaintif telah menambah satu episod lagi bertajuk “Wali” sebagai sambungan kepada “Zuriat” dan menyerahkannya kepada Nurhalim. Tiada berita diterima selama tiga bulan. Selepas itu plaintif mengambil balik skrip itu daripada Nurhalim. Selepas itu plaintif menambah satu episod lagi yang diberi tajuk “Pertemuan”. Beliau memberi secara ringkas perjalanan cerita ketiga-tiga episod itu. Mengenai episod “Zuriat”:
Untuk episode pertama berjudul ZURIAT, ceritanya sama dengan plot yang terdapat dalam cerpen ZURIAT – mengisahkan Sarjan Johan meninggalkan isteri pertamanya, Hendon dan lima anak perempuan hasil perkahwinan itu setelah mendapat anak lelaki hasil perkahwinan kedua dengan Natijah… Lima belas tahun kemudian, dia terbaca dalam sebuah akhbar, berita kejayaan anak-anak perempuannya itu. Dia pun tersedar akan kesilapannya dan menyesal kerana mengabaikan tanggungjawabnya dengan membiarkan anak-anak dan bekas isteri tuanya itu hidup menderita.
Hendon terpaksa bekerja keras untuk membesarkan anak-anaknya. Dia juga merasa kecewa kerana anak-anak lelakinya yang seramai 7 orang itu, ada yang gagal dalam pelajaran, ada yang terencat akal dan yang lain pula masih kecil. Johan termenung memikirkan bagaimana dia boleh menyara anak-anaknya itu sedangkan tidak lama lagi dia akan bersara wajib. Namun dia cuba mententeramkan perasaannya dengan berkata yang penting baginya ialah zuriat lelaki bagi mempastikan keturunannya tidak pupus.
Mengenai episod “Wali”:
Episod kedua skrip drama TV ini adalah sambungan daripada episode pertama yang berjudul ZURIAT itu. Dalam episode WALI, watak anak-anak perempuan Johan diperkembangkan lagi. Cerita bermula dengan memperkenalkan Halina, anak perempuan Sarjan Johan yang ketiga dengan bekas isteri tuanya Hendon. Halina mahu bernikah dengan seorang pemuda bernama Zambri. Halina yang berkelulusan akauntan dari luar negeri dan bertugas di Bank Negara menghadapi masalah untuk mencari bapanya Johan untuk menjadi walinya. Meskipun kakak-kakaknya berjaya mengesan bapa mereka Johan yang kini telah menetap di kampung halamannya, Pendang Kedah tetapi Johan menyepikan diri. Akibatnya, Kadi terpaksa mengiklankannya di akhbar. Halina mendesak kakak-kakaknya pergi ke Pendang tetapi kakak-kakaknya tidak dapat melupakan perbuatan bapa mereka membiarkan mereka menderita. Mereka enggan pergi. Dalam episode ini penonton diberitahu bahawa Dr. Hamimah sangat aktif dalam politik manakala Hayati pula adalah seorang gadis yang sangat kental setnangatnya dan ingin membuktikan kebolehannya sama taraf dengan lelaki dalam bidang kejuruteraan. Cerita ini diakhirkan apabila Halina menerima surat daripada Johan, membenarkan dia bernikah. Mesej yang hendak disampaikan kepada penonton ialah, meskipun Islam menetapkan bapa mewalikan pernikahan anak perawannya tetapi untuk menjadi wali seseorang bapa mesti cukup lima syarat. Syarat kelima ialah adil. Tetapi kita di Malaysia sudah lupa kepada syarat yang kelima ini.
Mengenai episod “Pertemuan”:
Episod ketiga adalah sambungan daripada episode kedua, WALI. Setelah bernikah, Halina telah pergi ke Pendang untuk berbaik-baik dengan bapanya Johan. Seterusnya, Halina berjaya memujuk Johan datang ke Kuala Lumpur untuk dipertemukan dengan adik-beradiknya yang lain. Tetapi apabila sampai ke Kuala Lumpur, Sarjan Johan mendapati anak-anaknya yang lain masih tidak dapat memaafkan perbuatannya membiarkan mereka menderita. Sikap mereka sangat dingin terhadapnya. Johan juga terdengar cakap-cakap mereka yang memedihkan hatinya. Dia merasa amat kecewa lalu pulang semula ke Pendang. Sementara itu dalam episode ini juga Hayati, anak perempuan kedua Johan yang menjadi jurutera perunding telah bertemu dengan Ariff, seorang usahawan berjaya, anak kepada seorang jutawan terkenal. Pertemuan pertama secara tidak sengaja ini membawa kepada pertemuan kedua kerana Hayati terpaksa mewakili bosnya menghadiri mesyuarat penting di Syarikat Ariff. Tujuan saya memasukkan kisah cinta ini semata-mata untuk terus mencengkam minat penonton muda.
Kemudiannya, plaintif telah menyerahkan ketiga-tiga skrip drama tersebut kepada Ketua Unit Drama defendan ketiga (TV3), Cik Rohani Yusoff dalam bulan Oktober 1989. Selepas itu Cik Rohani Yusoff telah memperkenalkan plaintif kepada Encik Salleh bin Joned, seorang penilai skrip defendan ketiga. Selepas diperkenalkan, plaintif bekerja dengan Encik Salleh selama lebih kurang tiga bulan. Mereka berbincang bagaimana hendak memperkembangkan plot drama tersebut. Encik Salleh telah membuat beberapa salinan skrip-skrip drama tersebut untuk diteliti oleh beberapa orang pegawai atasan defendan ketiga. Plaintif tidak tahu apa yang terjadi kepada salinan skrip-skrip itu dan beliau juga tidak meminta balik salinan skrip-skrip itu. Menurutnya Encik Salleh memberitahunya bahawa mereka bersetuju menerima skrip-skripnya untuk dijadikan drama mini bersiri dan memintanya menambahkan beberapa episod lagi. Beliau bekerja selama tiga bulan selepas itu dan menambahkan tujuh episod lagi, menjadikan sepuluh kesemuanya. Kesemuanya disatukan di bawah satu tajuk, iaitu “Pemburu Mimpi”.
Selepas itu, Encik Salleh membuat beberapa salinan lagi. Plaintif juga tidak tahu apa yang terjadi kepada salinan skrip-skrip itu.
Selepas itu Encik Salleh telah ditugaskan membuat projek lain. Encik Salleh memperkenalkan plaintif kepada defendan pertama dalam bulan Januari 1990. Projek drama bersiri plaintif itu telah diserahkan kepada defendan pertama yang mula bertugas dalam bulan Januari 1990. Plaintif bekerja pula dengan defendan pertama selama lebih kurang sepuluh bulan. Sebelum itu plaintif tidak mengenali atau mengetahui defendan pertama. Mengikut plaintif defendan pertama memberitahunya bahawa defendan ketiga mahukan drama sepuluh episod itu dijadikan empat episod sahaja. Defendan pertama juga memberitahunya bahawa episod pertama yang berjodol “Zuriat” adalah sama dengan episod kedua yang berjodol “Wali”. Beliau bekerja keras sekali lagi untuk memendekkan skrip-skrip itu dan menjadikannya tujuh episod pula. Tajuknya kekal “Pemburu Mimpi”. Plaintif serahkan skrip baru kepada defendan pertama. Tetapi defendan ketiga masih menghendaki ia dijadikan empat episod juga.
Selepas itu plaintif tidak berjaya menemui defendan pertama lagi, walaupun beliau menulis nota-nota dan surat kepadanya sebelum beliau pergi untuk menemuinya. Skrip-skrip terkini juga ditinggalkan untuk diletak di atas meja defendan pertama. Plaintif juga menyertakan cerpen “Zuriat”.
Tetapi, setiap kali plaintif pergi untuk menemuinya, walau sebelumnya plaintif menghantar nota-nota dan surat mengenai perjumpaan-perjumpaan itu, plaintif tidak dapat menjumpainya.
Sebelum pergi menunaikan fardhu haji, plaintif menghubungi defendan pertama melalui talipon. Dalam percakapan itu, defendan pertama berkata beliau ingin menulis semula cerita itu. Plaintif menjawab buatlah tetapi mesti mendapat persetujuannya terlebih dahulu sebelum skrip itu boleh diterbitkan. Selepas beliau balik daripada mengerjakan fardhu haji, defendan pertama telah menyerahkan kepadanya skrip drama TV “Pemburu Mimpi” yang ditulisnya semula. Mengikut plaintif beliau menjadi sangat marah apabila membacanya kerana defendan pertama telah “merobek-robekkan” ceritanya, menyebabkan mesejnya hilang dan yang tinggal hanyalah cerita yang superfisial. Beliau memulangkan skrip itu kepada defendan pertama tanpa membuat apa-apa pindaan kerana beliau tidak terfikir bahawa satu hari defendan pertama akan mengambil cerita plaintif dan mengakuinya sebagai hakciptanya (defendan pertama) yang asli.
Selepas itu plaintif berjaya menemui defendan pertama. Plaintif memberitahu defendan pertama bahawa plaintif ingin menarik balik skripnya. Beliau juga mengingatkan defendan pertama supaya jangan sekali-kali mengambil cerita plotnya atau watak-wataknya atau mana-mana bahagian dalam skrip drama TV “Pemburu Mimpi” dan “Zuriat”, jika defendan pertama berbuat demikian plaintif “akan saman” defendan pertama. Defendan pertama menjawab: “You ingat cerita you tu bagus sangat ke? Plaintif menjawab, “bagus tak bagus pun, ini tetap cerita, plot dan watak-watak saya.” Pada masa itu skrip itu masih atas nama plaintif.
Selepas itu plaintif menyimpan skripnya. Beliau juga tidak berjumpa dengan mana-mana penerbit. Beliau berfikir suatu hari kelak beliau akan mengeluarnya dalam bentuk novel.
Pada 6 September 1997 adik plaintif, Hapsah Hussein, yang sedang menonton drama itu di TV3 telah memanggilnya untuk melihat drama itu. Plaintif amat terperanjat melihat drama itu kerana hasil titik peluhnya telah “dicuri” orang. Beliau juga menonton episod-episod berikutnya semasa berada dalam wad di Institut Jantung Negara (IJN).
Akhirnya plaintif memulakan tindakan ini.
Kembali kepada unsur-unsur (ingredients) yang perlu dibuktikan oleh plaintif.
Persoalan pertama yang perlu dijawab ialah sama ada plaintif mempunyai hakcipta terhadap karya-karya itu.
Plaintif adalah seorang warganegara dan penduduk tetap Malaysia. Maka mengikut s. 3 beliau adalah seorang “qualified person”. Keterangan adalah jelas bahawa skrip-skrip berkenaan ditulis oleh plaintif. Skrip-skrip itu adalah satu “literary work” yang disebut dalam s. 7 dan 10. Sebagai penulisnya, beliau adalah pengarangnya (“author”) seperti yang ditafsirkan oleh s. 3. Di bawah s. 10 dan 26, plaintif sebagai pengarang karya-karya itu berhak mendapat perlindungan hakcipta dan pemilik hakcipta keatasnya.
Bagaimanakah hakcipta plaintif dilindungi? Sebagai satu “literary work”, s. 13 memberi perlindungan eksklusif di Malaysia mengenai:
(a) the reproduction in any material form;
(b) the performance, showing or playing in public;
(c) the broadcasting… of the work or substantial part thereof, either in its original or derivative form.
Perlindungan juga diberi oleh s. 25 yang telah diperturunkan lebih awal.
Tanpa membincangnya dengan panjang lebar, adalah penghakiman saya bahawa karya-karya plaintif itu memenuhi semua syarat untuk hakcipta plaintif dilindungi.
Sekarang kita perlu teliti pula sama ada defendan-defendan melanggar hakcipta plaintif itu. Seksyen 36 menyebut bahawa hakcipta adalah dilanggar apabila seseorang itu melakukan atau menyebabkan sebarang orang lain melakukan, tanpa lesen daripada pemilik hakcipta, satu perkara yang perlakuannya adalah dikawal oleh hakcipta.
Dalam kes L.B. (Plastics) Limited v. Swiss Products Limited FSR (1979), satu kes mengenai pelanggaran hakcipta “10 drawings relating to knockdown drawers for furniture industry”, House of Lords, aantara lain, memutuskan:
Held, allowing the appeal:
(1) That the similarity between the plaintiff’s drawers and the defendant’s drawers together with the fact that the defendants had had an opportunity to copy the plaintiff’s drawers, establishing a prima facie case of copying which the defendants had to answer.
(2) (per Lord Hailshan of St. Marylabone): The two designed were so alike as to give rise too the shift in the evidential burden King Features Syndicate Inc. v. O & M Kleeman Ltd. [1941] AC 417 referred to.
(3)…
(4) There can be no copyright in a mere idea…
Lord Salmon, dalam penghakimannya di halaman 165 menjelaskan:
There is, of course, an idea or concept behind every working drawing. It is trite law that there can be no copyright in an idea or concept; but it is hardly necessary to say that this does not mean that once the idea or concept has been translated into a working drawing the drawing cannot enjoy copyright, otherwise it would mean that copyright could not attach to any drawing, for every drawing is the child of an idea or concept.
Dalam kes ini karya-karya plaintif bukan lagi diperingkat “concept or idea”. “Concept” atau “idea” itu telah ditulis sebagai cerpen dan sebagai skrip drama. Ia telah menjadi “drawing”, menggunakan perkataan dalam kes itu. Maka apa yang perlu dilihat ialah persamaan antara keduanya dan peluang bagi defendan pertama untuk meniru karya plaintif.
Mengenai “persamaan”, dalam kes Longman Malaysia Sdn. Berhad v. Pustaka Delta Pelajaran Sdn. Bhd. [1987] 1 CLJ 588; [1987] CLJ (Rep) 760 (HC), satu kes mengenai pelanggaran hakcipta sebuah buku yang diterjemahkan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Malayu. Gunn Chit Tuan J (pada masa itu), antara lain, memutuskan:
Held: (1) PI as a whole was original and protected by copyright under Copyright Act 1969 and a substantial part of P1 was copied not because of the physical amount of the reproduction but because of the substantial significance of that which was copied. What the court had to consider was the quality rather than the quantity of the pirated parts reproduced.
Dalam kes Macmillan Publishers Ltd. v. Thomas Reed Publications Ltd FSR (1993) p. 455 di mana kurang daripada 1% daripada “almanac” defendan yang mempunyai persamaan, namun mahkamah memutuskan bahawa defendan telah melanggar hakcipta plaintif dalam kes itu.
Persamaan bukan semestinya persamaan dari segi perkataan. Seksyen 13 melindungi pengeluaran semula dalam apa-apa bentuk jua. Dalam kes Corelli v. Gray TLR 1913 p. 116, Mahkamah Rayuan England memutuskan:
Under section 1 of the Copyright Act, 1911 (England – ditambah) the person who is the author and owner of, the copyright in a novel is entitled to an injunction to restrain the performance of a dramatic sketch containing a series of stock incidents in combination which have been taken from the plaintiff’s book, even though no sentence used in the sketch was similar to any sentence used in the book.
Patut diambil perhatian bahawa isi s. 1 Copyright Act 1911 (England), adalah menyerupai peruntukan s. 13 Akta Hakcipta 1987.
Biar apa pun, dalam kes ini kedua-duanya adalah skrip drama.
Sekarang kita lihat pula persamaan-persamaan antara kedua-dua skrip drama itu. Persamaan-persamaan itu boleh dilihat dari segi plot, watak dan skripnya.
Mengenai plot atau jalan cerita, saya berpuashati terdapat persamaan-persamaan berikut:
i) Johan dalam karya plaintif dan Latif dalam karya defendan berkahwin 2 kali.
ii) Perkahwinan pertama Johan/Latif menghasilkan hanya beberapa anak perempuan.
iii) Kesemua anak perkahwinan pertama Johan/Latif berjaya dalam kehidupan dalam bidang professional masing-masing.
iv) Johan/Latif meninggalkan isteri pertama untuk berkahwin kali kedua bagi mendapatkan zuriat lelaki.
v) Johan/Latif berjaya mendapat zuriat lelaki apabila berkahwin untuk kali keduanya.
vi) Jika dibandingkan anak perempuan Johan/Latif, anak lelaki Johan/Latif di perkahwinan keduanya membebankan.
vii) Setelah berkahwin baru, Johan/Latif telah berpindah jauh dan telah terputus hubungan dengan isteri pertama dan anak-anaknya.
viii) Setelah Johan/Latif meninggalkan isteri pertamanya, isteri pertama telah membesarkan anak perempuan mereka sendiri. Hidup mereka juga penuh derita.
ix) Johan/Latif hanya mengetahui kejayaan anak-anak perempuannya melalui akhbar.
x) Setelah mengetahui kejayaan aklak perempuannya, Johan/Latif menghadapi tekanan emosi dan sering membandingkan kejayaan akan perempuan dengan anak lelakinya.
xi) Anak perempuan Johan/Latif daripada perkahwinan pertama cuba mengesan bapa mereka bagi mewalikan perkahwinan mereka. Tetapi bapa mereka sukar dikesan.
xii) Hanya seorang sahaja anak perempuan Johan/Latif daripada perkahwinan pertama mereka, iaitu Halina/Mazlina sahaja yang boleh menerima, yang lain masih mendendaminya.
xiii) Akhirnya, Johan/Latif, telah dipertemukan dengan anak-anak perempuannya dalam satu pertemuan yang tegang.
xiv) Setelah mendapati layanan dingin daripada anak-anak perempuannya, Johan/Latif merasa amat tertekan dan telah mengambil keputusan untuk kembali kekampong.
Mengenai watak, terdapat persamaan-persamaan watak dalam kedua-dua “karya” itu.
i) Watak Bapa – Johan/Latif;
ii) Watak isteri pertama – Hendon/Saerah;
iii) Watak isteri kedua – Natijah/Zaiton
iv) Watak 3 anak perempuan hasil dari perkahwinan pertamanya iaitu Dr. Hamimah/Dr. Marlia, Hayati/Mardiah dan Halina/Mazlina;
v) Watak 2 anak lelaki Johan/Latif hasil dari perkahwinan kedua iaitu Normin/Zambri dan Idros/Zahir;
vi) Watak hero atau protogenis lelaki iaitu Ariff/Foad;
vii) Watak tokoh politik veteran Dato’ Paduka/Puan Seri;
viii) Watak anak perempuan tunggal hasil perkahwinan Johan/Latif bernama Munirah/Zarina;
Persamaan watak Johan/Latif dan adalah seperti berikut:
a. Kedua-duanya berkahwin dua kali;
b. Berkahwin kali kedua kerana ingin mendapat zuriat lelaki.
c. Kesemua anak perkahwinan pertamanya adalah perempuan;
d. Kesemua anak perempuan dalam perkahwinannya berjaya dalam bidang professional masing-masing;
e. Kesemua anak lelaki di dalam perkahwinan kedua tidak menjadi;
f. Kedua-duanya bekerja sebagai anggota beruniform sebelum bersara, Johan bekerja sebagai polis manakala Latif bekerja sebagai askar;
g. Kedua-duanya menceraikan isteri pertama ketika anak bongsunya masih kecil dan langsung tidak pernah melihatnya;
h. Setelah berkahwin lain, kedua-dua telah melupakan terus isteri pertama dan anak sehinggalah mereka dewasa dan berjaya;
i. Kedua-dua hanya menyesal hanya setelah melihat kejayaan anak yang telah ditinggalkan;
j. Kedua-dua mendapat tahu kejayaan anak-anak perempuan mereka melalui akhbar;
k. Apabila mendapat tahu kejayaan anak perempuan daripada perkahwinan pertama, kedua-duanya menyesal dan resah dan isteri kedua-dua mereka menyedari perkara ini.
Persamaan watak isteri pertama Johan/Latif iaitu Hendon/Saerah adalah seperti berikut:
a. Perkahwinan kedua-duanya dengan Johan/Latif tidak mendapat restu keluarga;
b. Kedua-dua adalah isteri pertama Johan;
c. Kedua-dua hanya melahirkan anak perempuan dan telah mengecewakan suami;
d. Kedua-duanya telah ditinggalkan dan kemudiannya telah diceraikan ketika anak bongsu masih kecil;
e. Kedua-dua adalah wanita yang gigih dan telah berjaya membesarkan anak masing-masing sehingga berjaya.
Persamaan watak isteri kedua iaitu Natijah/Zaitun adalah seperti berikut:
a. Kedua-dua mencemburui isteri tua dan iri hati pada anak-anak isteri tua yang berjaya;
b. Kedua-dua terpaksa mengenepikan perasaan kerana menyedari anak-anak perempuan yang dicemburui boleh membantu;
c. Perangai kedua-dua berubah menjadi berlebihan manis apabila menyedari hasil yang boleh didapati dari anak-anak perempuan.
Persamaan watak anak sulung dengan isteri pertama, iaitu Dr. Hamimah/Dr. Marlia adalah seperti berikut:
a. Kedua-dua berkelulusan Doktor Falsafah yang membawa gelaran Dr. pada namanya;
b. Kedua-dua pensyarah universiti;
c. Dianugerahkan pingat cemerlang di atas kecemerlangan usaha mereka;
d. Anugerah pingat cemerlang telah menarik minat pemberita untuk menemubual mereka;
e. Kedua-dua bergiat dalam politk;
f. Kedua-dua menerima anugerah pangkat yang membawa gelaran Dato’.
Persamaan watak anak kedua dengan isteri pertama, iaitu Halina/Mazlina adalah seperti berikut:
a. Kedua-dua dipanggil dengan panggilan Lina oleh keluarga;
b. Kedua-dua digambarkan sebagai alim dan warak;
c. Kedua-dua dikatakan mahu berkahwin, Halina dikatakan mahu berkahwin dengan Arif, manakala Mazlina dengan Fuad sedangkan adik beradik yang lain tidak mahu berkahwin;
d. Kedua-dua mencari bapa mereka bagi mewalikan perkahwinan mereka;
e. Kedua-dua bersifat lembut terhadap bapa mereka dan telah dituduh oleh kakaknya yang lain tidak memahami perasaan mereka;
f. Kedua-dua dahagakan kasih bapa mereka dan tidak mendendami bapa mereka;
g. Kedua-dua gemar mengetuk bilik kakak mereka.
Persamaan watak protoganis lelaki iaitu itu Ariff/Foad adalah seperti berikut:
a. Kedua-dua terlibat dengan perniagaan keluarga;
b. Perhubungan cinta kedua-dua mereka ditentang oleh keluarga;
c. Jumlah anak yang dirancang oleh kedua-dua mereka dengan pasangan adalah sama;
d. Kedua-dua telah meninggalkan pasangan masing-masing dan terpisah;
e. Kedua-dua mengajak pasangan berkahwin sebelum berangkat tetapi telah tidak dipersetujui oleh pasangan masing-masing.”
Selain daripada itu terdapat pula persamaan watak anak lelaki Johan/Latif hasil daripada perkahwinan keduanya:
a. Persamaan watak Normin/Zambri, anak sulung perkahwinan kedua yang hanya belajar setakat tingkatan 3 dan tidak mempunyai kerja tetap;
b. Persamaan watak Idros/Zahir yang terencat akal sejak kecil.
Terdapat juga persamaan watak seorang tokoh politik wanita yang menjadi penaung kepada kerjaya politik Dr. Marlia. Dr. Hamimah iaitu “Dato’ Paduka/Puan Sri”.
Terdapat juga persamaan dari segi dialog:
i. Penggunaan perkataan melihat “bulan dan matahari” bagi menunjukkan bahawa tiada bapa, anak tidak wujud;
ii. Penggunaan perkataan restu dalam kebahgiaan dalam sesuatu perkahwinan
iii. Berkaitan penggunaan perkataan takdir iaitu segala kejadian adalah takdir tuhan;
iv. Dialog berkaitan bantuan anak-anak kepada bapa yang bermaksud bahawa kalaupun taknak bantu kerana dia bapa, bantulah kerana menolong orang;
v. Penggunaan perkataan satu pasukan bola ataupun satu “football team” ketika perbincangan Hayati/Marlina dalam merancang anak dengan pasangan mereka;
vi. Dialog Hayati/Dr. Marlia dalam menyuarakan perasaan dendam terhadap bapa mereka.
Terdapat juga persamaan dalam penggunaan perkataan “Zuriat” dalam karya plaintif dan skrip drama TV defendan pertama.
Dalam “story treatmentnya” dan perjalanan cerita juga terdapat persamaan:
a. pada permulaan episod satu kedua-dua karya, Dr. Marlia/Dr. Hamimah ingin ditemuramah wartawan berkenaan kejayaan cemerlang mereka;
b. Pemberita juga mahu menemui keluarga Dr. Marlia/Hamimah;
c. Ibu kedua-dua Dr. Hamimah dan Dr. Marlia telah ditemubual oleh pemberita;
d. Ketika ditemubual, ibu Dr. Marlia/Hamimah telah ditemuramah berkaitan kejayaan anak-anaknya yang lain;
e. Bapa Dr. Hamimah/Dr. Marlia mengetahui berita kejayaan anak-anaknya melalui laporan akhbar berkaitan temubual;
f. Seterusnya, Johan/Latif berkeluh kesah dan murung;
g. Banyak lagi persamaan lain yang secara terperinci dijelaskan dalam laporan plaintif diekshibit tersebut.
Adalah jelas bahawa terdapat persamaan substantif antara kedua-dua “karya” itu. Persamaan yang sebegitu banyak dan penting tidak boleh berlaku secara kebetulan. Ia semestinya disebabkan oleh perbuatan meniru.
Adakah defendan pertama mempunyai peluang untuk meniru?
Daripada keterangan yang telah dikemukakan, adalah jelas bahawa defendan pertama mempunyai peluang untuk meniru. Skrip plaintif diserahkan kepadanya. Plaintif dan defendan pertama bekerja bersama selama sepuluh bulan untuk membuat perubahan kepada skrip plaintif. Dalam afidavitnya yang diikrarkan pada 27 Februari 2002, perenggan 9, dan dalam afidavitnya yang diikrarkan pada 6 Februari 1998 perenggan 10, defendan pertama mengakui bahawa beliau mempunyai akses kepada karya plaintif bertajuk “Pemburu Mimpi”. Beliau juga mengakui dalam afidavitnya bertarikh 6 Februari 1998, perenggan 10C bahawa tulisan tangan pada skrip plaintif eks. P6 adalah tulisannya. Beliau juga mengakui bahawa beliau telah meneliti dan berbincang dengan plaintif ketika bekerja dengan defendan ketiga.
Kesimpulannya, defendan pertama memang mempunyai peluang yang secukupnya untuk meniru karya plaintif.
Perlu disebut bahawa dalam hujah bertulis peguam defendan pertama dan kedua, hujah yang dikemukakan hanya mengenai ketidak persamaan dalam kedua-dua karya itu. Setelah meneliti hujah-hujah dan butiran-butirannya, saya tidak dapat menerimanya berdasarkan fakta mengenai persamaan-persamaan yang telah saya perturunkan lebih awal.
Kesimpulannya, adalah penghakiman saya bahawa plaintif telah berjaya membuktikan pelanggaran hakciptanya ke atas karya-karya itu oleh defendan pertama.
Bagaimana dengan defendan kedua? Defendan kedua adalah syarikat kepunyaan defendan pertama. Defendan pertama adalah pengarah defendan kedua. Ini diakui oleh defendan pertama dalam afidavitnya yang diikrarkan pada 27 Februari 1998. Defendan kedualah yang telah menerbitkan drama TV “Zuriat” itu. Defendan kedua dalam pembelaan bersamanya dengan defendan pertama mengatakan bahawa “karya skrip drama TV tersebut adalah karya asli defendan pertama dan/atau kedua.” Dengan penemuan fakta yang saya telah buat bahawa karya itu sebenarnya telah ditiru daripada karya plaintif dan bahawa defendan pertama telah melanggar hakcipta plaintif, maka defendan kedua juga turut “liable” atas pelanggaran itu. Dalam kes Mansek v. Valley Printing Co. [1906] 2 Ch. 441, mahkamah memutuskan bahawa seseorang yang melanggar hakcipta orang lain adalah “liable” kepada pemilik hakcipta itu walau pun dia tidak bersalah atau tidak tahu tentang pelanggaran hakcipta tersebut. Fakta kes di hadapan saya ini adalah lebih kuat memandangkan bahawa defendan kedua adalah syarikat defendan pertama dan defendan pertama adalah pengarahnya.
Mengenai defendan ketiga, defendan ketiga telah membangkitkan dua pembelaan, iaitu, pertama, ia bergantung kepada perjanjiannya dengan defendan kedua bertarikh 17 Jun 1997. Mengikut perjanjian itu defendan kedua telah mengesahkan bahawa ia adalah pemilik hakcipta dalam drama bersiri “Zuriat” tersebut dan defendan kedua bersetuju untuk menyerahkan hakciptanya mengenai drama tersebut kepada defendan ketiga untuk penyiaran televisyen. Oleh itu defendan ketiga mengatakan ia mempunyai hak untuk menayangkan 12 episod drama tersebut. Pembelaan kedua ialah bahawa tidak berlaku pelanggaran hakcipta plaintif.
Mengenai pembelaan pertama, perjanjian tersebut adalah antara defendan kedua dengan defendan ketiga. Plaintif bukan satu pihak dalam perjanjian itu. Maka perjanjian itu tidak boleh melindungi defendan ketiga daripada tindakan oleh plaintif jika, dan seperti yang saya telah putuskan, defendan kedua melanggar hakcipta plaintif. Sama ada defendan ketiga mempunyai suatu kausa tindakan berasingan terhadap defendan kedua untuk mendapat indemnity adalah suatu perkara yang berasingan. Dalam tindakan ini tidak terdapat tuntutan pihak ketiga antara defendan ketiga dengan defendan kedua. Maka, saya tidak memutuskan persoalan itu. Kedudukan defendan ketiga adalah seperti yang diputuskan dalam kes Mansek v. Valley Printing Co. (supra). Maka saya dapati defendan ketiga juga “liable”.
Selepas membuat keputusan mengenai liability itu, saya mendengar hujah-hujah mengenai perintah-perintah yang patut dibuat.
Pertama mengenai injunksi. Seksyen 37(1) dengan jelas memperuntukkan bahawa apabila terdapat pelanggaran hakcipta, injunksi adalah suatu remedi yang boleh diberi. Kes-kes Longman Malaysia Sdn. Bhd. v. Pustaka Delta Pelajaran Sdn. Bhd, (supra) dan Dunia Muzik WEA Sdn Bhd & Anor v. Koh Tay Eng [1986] 1 LNS 85; [1987] 2 MLJ 356 adalah misalan-misalan di mana mahkamah di negara ini memberi perintah injunksi dalam kes-kes pelanggaran hakcipta. Memandangkan kepada fakta dalam kes ini dan penemuan-penemuan yang saya telah buat, memanglah defendan-defendan patut dihalang daripada menyiarkan, menayangkan, mengedarkan atau mengeluarkan semula dalam sebarang bentuk drama TV tersebut melainkan dengan kebenaran plaintif. Saya membuat perintah tersebut.
Perintah kedua yang dipohon ialah bahawa defendan-defendan menghantar serah semua salinan dan barangan yang telah melanggar hakcipta plaintif yang berada dalam jagaan defendan-defendan. Seperti dalam kes-kes Longman Malaysia Sdn. Bhd, (supra) dan Dunia Muzik WEA Sdn. Bhd. (supra), perintah itu juga patut diberi. Saya memberi perintah tersebut.
Mengenai gantirugi, soalan pertama yang patut dijawab ialah sama ada ketiga-tiga defendan patut dianggap sebagai “joint tort-feasors” dan hanya satu jumlah diberi kepada plaintif terhadap kesemua mereka. Dalam Mc Gregor on Damages, Edisi 16, di halaman 2086 ada disebut:
(d) Where the defendants are joint wrongdoers and some have acted maliciously or more maliciously than others. Only a single judgment for damages may be entered against joint wrongdoers sued together, the award being for the whole damage suffered by the Plaintiff.
Dalam kes Chopman v. Lord Ellesmere & Ors. [1932] 2 KB 431 (CA), satu kes “libel” Slesser LJ mengatakan:
Damages against joint tortfeasors cannot be divided. The jury have no power to apportion the damages, and, if they did so, judgment cannot be entered against the several defendants for the amount so apportioned: Greenlands, Ltd v. Wilmshurst and London Association for the Protection of Trade (1). But this does not dispose of the matter, for though there must be one set of damages against joint tortfeastors, the authorities to show that such damages are not to be assessed according to the act of the most guilty or the most innocent of the defendants, but according to the aggregate of injury received from their common act….
Lihat juga Hayward v. Thomson [1982] 1 QB 47 (CA) satu kes “libel” dan Lotus Development Corporation v. Ong Seow Pheng [1997] 1 SLR 484.
Berdasarkan nas-nas ini, saya memutuskan bahawa hanya satu jumlah gantirugi yang patut diberi di bawah s. 37(1), yang bolehlah disebut sebagai “gantirugi am.”
Seksyen 37 memperuntukkan dua jenis gantirugi. Pertama, apa yang disebut dalam s. 37(1) sebagai “damages” dan kedua, apa yang disebut dalam s. 37(2) sebagai “additional damages”.
Prinsip mengenai taksiran gantirugi bagi kes pelanggaran hakcipta telah disentuh dalam kes Mokhtar Haji Jamaluddin v. Pustaka Sistem Pelajaran (supra). Gunn Chit Tuan H (pada masa itu) berkata:
For the assessment of damages caused by the breach of the agreement I agreed with counsel for the defendants that compensation cannot be given for any remote and indirect loss or damage sustained by reason of the breach of the agreement. But here the plaintiff was also entitled to damages for infringement of his copyright in the said literary works, and in an action for infringement of copyright the damages have been said to be at large, ie, not limited to the pecuniary loss that can be specifically proved, and the courts have consistently endorsed Lord Esher MR’s pronouncement in Exchange Telegraph Co. v. Gregory (4) that “it is not necessary to give proof of special damage” because “the damages are damages at large.” And in cases where the damages are at large a jury in England (or the judge if the award is left to him) can take into account the motives and conduct of the defendants where they aggravate the injury done to the plaintiff, and where the plaintiff’s proper feelings of dignity and pride have been injured aggravated damages may be awarded.
Kes ini diputuskan sebelum Akta Hakcipta 1987 dibuat. Mungkin kerana itu, dalam kes itu gantirugi tambahan tidak diberi. Pada pandangan saya, jenis gantirugi yang patut diberi selepas Akta Hakcipta 1987 berkuatkuasa adalah seperti yang diperuntukkan oleh Akta itu iaitu “gantirugi” dan “gantirugi tambahan”. Prinsip-prinsip “common law of England” tidaklah boleh dipakai bulat-bulat. Kedua-dua jenis gantirugi yang tersebut itu adalah “undang-undang bertulis yang berkuatkuasa di Malaysia”, seperti yang diperuntukkan oleh s. 3(1) Civil Law Act 1956. Apabila terdapat peruntukan mengenai sesuatu hal dalam undang-undang bertulis yang berkuatkuasa di Malaysia, “common law of England” tidak terpakai. Ini kerap dilupai.
Kembali kepada fakta-fakta yang patut ditimbang dalam menetapkan jumlah gantirugi di bawah s. 37(1) itu.
Bagi ganti rugi di bawah s. 37(1), memandangkan kepada fakta kes ini, gantirugi yang patut diberi ialah pampasan bagi kerugian yang dialami oleh plaintif yang merupakan bayaran yang sepatutnya diterima olehnya jika skrip-skripnya itu diterima untuk dijadikan drama TV. Ianya ialah bayaran yang dibayar oleh penerbit drama itu kepada penulis skrip. Berapakah “harga pasaran” sesuatu skrip pada masa berkenaan?
Mengikut plaintif “harga pasaran” pada masa itu ialah antara RM2,000 hingga RM3,500 untuk satu episod setengah jam tayangan.
Defendan ketiga mengemukakan seorang saksi, Norziah bt. Abdul Aziz, Penolong Pengurus, Bahagian Penjualan Program TV3. Beliau memberi keterangan bahawa harga satu skrip drama TV untuk tayangan setengah jam ialah antara RM800 hingga RM1, 500.
Defendan kedua memberi keterangan bahawa beliau telah menulis skrip drama TV selama lebih daripada 20 tahun dan telah menulis lebih daripada 1000 skrip/episod. Skrip-skrip itu beliau jual kepada TV3 dalam tahun 80-an dan telah diterbitkan oleh TV3. Dalam tahun 80-an beliau dibayar RM800 untuk satu episod setengah jam.
Beliau juga pernah menjual skrip kepada RTM. Bayarannya mengikut berapa minit tayangan. Dalam tahun 80-an dan 90-an bayarannya ialah RM30 seminit dan dalam tahun 2000, RM50 seminit. Beliau mengemukakan dokumen-dokumen untuk menyokong nyataan beliau itu.
Beliau juga pernah menjual skrip kepada penerbit-penerbit swasta. Harganya lebih murah. Untuk drama 90 minit harganya antara RM3,000 hingga RM4,000.
Beliau seterusnya memberi keterangan mengenai penjualan-penjualan skrip olehnya dan mengemukakan resit-resit yang menunjukkan bahawa harga skrip satu episod setengah jam adalah RM600.
Defendan pertama dan kedua juga mengemukakan seorang saksi, Cik Munirah bt. Kadri, seorang Penerbit Drama K.M.S. Vision Sdn. Bhd. Mengikutnya, syarikatnya pernah membeli skrip drama untuk tayangan setengah jam dalam tahun 1995-1996 antara RM800 hingga RM1,000 satu episod. Untuk “orang baru” untuk 13 episod satu jam harganya antara RM10,000 hingga RM12,000. Disoal balas, beliau menjawab bahawa dalam tahun 1996-97 untuk satu skrip tayangan setengah jam harganya ialah antara RM800 hingga RM1,000.
Saya dapati harga skrip untuk tayangan setengah jam yang dikatakan oleh plaintif (antara RM2,000 hingga RM3,500) adalah terlalu tinggi dan tidak boleh diterima. Beliau sendiri mengakui bahawa itu adalah anggarannya sahaja. Beliau sendiri belum pernah menjual satu skrip pun.
Saya dapati keterangan saksi-saksi defendan-defendan lebih boleh diterima. Ini kerana mereka sendiri telah lama menjual dan membeli skrip-skrip. Dan harga yang saya terima adalah antara RM800 hingga RM1,000 bagi satu episod setengah jam.
Untuk perkiraan saya ambil angka 13 episod seperti yang dibuat oleh defendan pertama dan kedua. Jika dipakai harga RM1,000 bagi satu episod, jumlahnya ialah RM13,000. Tetapi, mengambil kira faktor-faktor lain seperti tekanan perasaan yang dialami oleh plaintif akibat daripada pelanggaran hakciptanya itu, maka saya memberi gantirugi di bawah s. 37(1) sebanyak RM20,000, satu angka yang pada pandangan saya sangat berpatutan.
Untuk gantirugi tambahan di bawah s. 37(2), apa yang perlu diambil kira, seperti yang diperuntukkan oleh sub-seksyen itu, ialah:
(a) the flagrancy of the infringement, and
(b) any benefit shown to have accrued to the defendant by reason of the infringement.
“Flagrancy”, terutama sekali oleh defendan pertama dan kedua adalah amat nyata. Beliau telah menerima skrip-skrip plaintif semasa bekerja dengan defendan ketiga untuk menyesuaikannya untuk dijadikan drama TV yang akan disiarkan oleh defendan ketiga. Setelah bekerja dengan plaintif selama beberapa bulan untuk “memperbaikinya”, beliau selepas itu mengeluarkannya atas nama syarikatnya sendiri. Ini satu perbuatan yang amat tidak jujur.
Mengenai “keuntungan” yang diperolehi oleh defendan-defendan, DW1, Cik Norizah bt. Abdul Aziz Penolong Pengarah, Bahagian Penjualan dan Pembelian Program TV3 (defendan ketiga) memberitahu mahkamah bahawa defendan ketiga membeli drama itu (drama yang sudah siap, untuk ditayangkan, bukan skrip) dengan harga RM22,000 satu episod.
Tetapi defendan pertama menjelaskan bahawa defendan kedua cuma menerima RM20,000 untuk satu episod daripada defendan ketiga. Daripada jumlah itu defendan kedua membayar RM15,000 untuk satu episod kepada ABC Communications Sdn. Berhad yang mengeluarkan drama itu. Disoal balas, defendan pertama mengakui bahawa keuntungan keseluruhan defendan kedua bagi drama Zuriat ialah antara RM60,000 hingga RM70,000.
Kesimpulannya, defendan pertama atas dirinya sendiri mendapat RM10,000 untuk skrip drama “Zuriat”. Defendan kedua mendapat keuntungan antara RM60,000 hingga RM70,000. Keuntungan defendan ketiga tidak diketahui, malah saya fikir tidak boleh dibuat anggaran.
Dalam keadaan ini saya memutuskan bahawa gantirugi tambahan sebanyak RM50,000 adalah berpatutan.
Saya juga memerintahkan ketiga-tiga defendan membayar kos plaintif dan faedah pada kadar 8% atas kedua-dua amaun gantirugi itu dari tarikh penghakiman sehingga tarikh pembayaran sepenuhnya.

204 visits