PV DAS lwn. DATUK M KAYVEAS

MAHKAMAH RAYUAN, KUALA LUMPUR
ABDUL HAMID MOHAMAD, HMR; ABDUL KADIR SULAIMAN, HMR; RICHARD MALANJUM, HMR
RAYUAN SIVIL NO: N-02-661-1996
[2003] 2 CLJ 168
PROSEDUR SIVIL: Rayuan – Pemberhentian rayuan dan penggantian guaman – Notis telah difailkan di mahkamah – Sama ada notis tersebut boleh dipertikaikan selepas difailkan

Perayu telah membuat suatu rayuan melibatkan responden yang ditetapkan untuk didengar pada 27 Januari 2003. Sebelum rayuan itu sempat didengar, perayu telah memfailkan dan menandatangani dua notis (‘notis-notis berkenaan’), satu mengenai pemberhentian rayuan tersebut dan keduanya, suatu notis niat pihak untuk bertindak secara sendiri sebagai ganti peguamcara dimana beliau menyatakan hasratnya untuk meneruskan tindakannya terhadap responden dengan sendiri menggantikan peguambelanya yang asal.
Pada 27 Januari 2003 rayuan ini dipanggil dan En Manian memaklumkan mahkamah ini bahawa dia mewakili perayu dan perayu mempertikaikan notis-notis berkenaan.
Diputuskan:
Oleh Abdul Hamid Mohamad HMR
[1] Perayu berhak untuk melepaskan peguamnya dan bertindak sendiri dan kemudiannya melantik peguam baru untuk mewakilinya. Akan tetapi, bilamana notis pemberhentian beliau telah difailkan di mahkamah, maka mulai saat itu rayuan tersebut disifatkan sebagai telah terbatal oleh mahkamah. Kaedah 73 Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994dengan jelasnya memperuntukkan bahawa dalam halkeadaan sedemikian, mahkamah tidak perlu membuat apa-apa perintah pembatalan untuk pembuangan rayuan tersebut daripada senarai. Lagipun, mahkamah tidak boleh mendengar suatu rayuan yang sudah tidak wujud lagi.
Dilaporkan oleh M Maheswaran
Legislation referred to:
Rules of the Court of Appeal 1994, r. 73

Counsel:
Bagi pihak perayu – Manian K Marappan; T/n Manian K Marappan & Co
Bagi pihak responden – Sri Dev Nair (PC Low); T/n Blanche Kayveas & Co

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamad HMR:
Rayuan ini telah ditetapkan untuk didengar pada 27 Januari 2003. Sebelum tarikh itu, perayu telah memfailkan notis pemberhentian bertarikh 24 Januari 2003 yang berbunyi:
AMBIL PERHATIAN bahawa Perayu sama sekali memberhentikan Rayuan ini tanpa kos dan deposit dibayar kepada Responden.
Notis itu ditandatangani oleh perayu dan difailkan olehnya sendiri.
Bersama-sama notis pemberhentian itu, perayu juga memfailkan notis niat pihak untuk bertindak secara sendiri sebagai ganti peguamcara. Notis itu berbunyi:
AMBIL PERHATIAN bahawa saya, P.V. DAS Perayu berniat hendak bertindak secara sendiri dalam tindakan ini sebagai menggantikan TETUAN RUGBER SINGH & PARTNERS dan bahawa alamat saya untuk penyampaian ialah 64A,Taman Woon, Batu 1 1/2, Jalan Seremban, 73000 Tampin, Negeri Sembilan Darul Khusus.
Notis itu juga bertarikh 24 Januari 2003, ditandatangani dan difailkan oleh perayu sendiri. Satu salinan juga diberikan kepada peguam responden.
Pada 27 Januari 2003 apabila rayuan itu dipanggil, Encik Manian K. Marappan memaklumkan mahkamah bahawa beliau mewakili perayu dan perayu mempertikaikan notis-notis yang difailnya yang disebut sebelum ini.
Mahkamah bertanya kepada Encik Manian dan perayu sendiri sama ada perayu menafikan bahawa dia menandatangani notis-notis itu dan memfailnya. Jawapan yang diberi ialah “Tidak”.
Mahkamah mengambil pendirian bahawa perayu berhak untuk melepaskan peguamnya dan bertindak sendiri dan selepas itu melantik peguam baru untuk mewakilinya. Tetapi, mengenai notis pemberhentian apabila notis itu difailkan di mahkamah, maka dari saat itu rayuan itu disifatkan sebagai telah dibuang (dismissed) oleh mahkamah. Ini diperuntukkan dengan jelas oleh k. 73, Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994:
73(1) Where an appellant, at any time before the commencement of the hearing, wishes to withdraw or discontinue his appeal, he may do so without the leave of the Court by filing in duplicate with the Registrar of the Court a notice in Form 11 in the First Schedule. A copy of the Notice shall be sent to the Registrar of the High Court.
(2) Upon the filing as aforesaid of such notice the appeal shall be deemed to have been dismissed by the Court.
Ertinya mulai saat itu, rayuan itu sudah tidak wujud lagi. Tidak ada apa-apa perintah pembatalan yang perlu dibuat oleh mahkamah untuk membatalkan rayuan itu atau menghapusnya dari senarai. Kesannya, pada 27 Januari 2003 itu, apabila rayuan itu dipanggil, sebenarnya rayuan itu sudah tidak wujud lagi. Maka tidak ada keperluan untuk mahkamah mendengarnya lagi, malah mahkamah tidak boleh mendengar suatu rayuan yang sudah tidak wujud lagi. Tetapi, jika perayu hendak memfailkan permohonan untuk mengenepikan notis pemberhentian itu, itu soal lain dan terserahlah kepadanya untuk membuatnya, jika dia hendak membuatnya. Perkara yang disebut terakhir ini diberitahu oleh mahkamah kepada peguam baru perayu dan perayu.

77 visits