DAUD MAMAT lwn. MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN & SATU LAGI DAN RAYUAN YANG LAIN

DAUD MAMAT lwn. MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN & SATU LAGI DAN RAYUAN YANG LAIN
MAHKAMAH RAYUAN, KUALA LUMPUR
ABDUL HAMID MOHAMAD, HMR; ABDUL KADIR SULAIMAN, HMR; ALAUDDIN MOHD SHERIFF, HMR
RAYUAN SIVIL NO: D-02-257-2001, D-02-258-2001, D-02-259-2001 & D-02-260-2001
2 OGOS 2002
[2002] 3 CLJ 761
PROSEDUR SIVIL: Deklarasi – Deklarasi untuk kebebasan beragama – Deklarasi bahawa undang-undang Persekutuan dan undang-undang Negeri yang bercanggah dengan per. 11 Perlembagaan Persekutuantaksah – Deklarasi bahawa undang-undang Persekutuan dan undang-undang Negeri yang menyekat hak kebebasan pemohon keluar daripada agama Islam tidak sah- Sama ada deklarasi-deklarasi tersebut terlalu umum – Sama ada satu usaha untuk mengagalkan pertuduhan

Terdapat lapan rayuan yang berkaitan, iaitu empat terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu di Kelantan menolak permohonan habeas corpus supaya membebaskan perayu-perayu daripada menjalani hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas mereka oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Kota Bharu (lihat [2002] 3 CLJ 766) dan empat lagi terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut menolak permohonan untuk perintah perisytiharan mengenai kebebasan perayu-perayu keluar daripada agama Islam. Ini adalah empat rayuan berkenaan perintah perisytiharan tersebut.
Peguam perayu-perayu membahagikan deklarasi-deklarasi yang dipohon oleh perayu-perayu kepada tiga kategori. Pertama, deklarasi mengenai hak mereka berkenaan kebebasan beragama. Kedua, deklarasi bahawa undang-undang Persekutuan dan undang-undang Negeri yang bercanggah dengan per. 11 Perlembagaan Persekutuanadalah tidak sah. Ketiga, deklarasi bahawa undang-undang Persekutuan dan undang-undang Negeri yang mengganggu hak mereka untuk keluar daripada agama Islam tidak sah.
Diputuskan:
Oleh Abdul Hamid Mohamad HMR
[1] Ketiga-tiga kategori deklarasi yang dipohon adalah terlalu umum. Bukanlah tugas mahkamah untuk mengkaji semua undang-undang Persekutuan dan Negeri untuk menentukan keberpelembagaannya atas alasan ia bercanggah dengan per. 11 Perlembagaan Persekutuan. Tugas mahkamah adalah untuk memutuskan kes di hadapannya berdasarkan fakta yang dikemukakan kepadanya dan undang-undang yang berkaitan.
[2] Memandangkan pertuduhan baru terhadap perayu-perayu yang masih belum dibicarakan, deklarasi-deklarasi yang mereka pohon merupakan satu usaha untuk mengagalkan pertuduhan tersebut.
[3] Mahkamah bersetuju dengan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa adalah “premature” baginya membuat deklarasi yang akan memberi kesan kepada perjalanan kes-kes itu.
[4] Mengenai peruntukan-peruntukan undang-undang setakat yang berkenaan, ia telah pun dibicarakan dengan panjang lebar dalam penghakiman mengenai rayuan-rayuan habeas corpus itu (lihat [2002] 3 CLJ 766). Ianya terpakai dalam rayuan-rayuan ini dan tidak perlu diulangi.
Counsel:
Bagi pihak perayu – Haris Mohd Ibrahim (Mohana Kumar & Jahaberdeen Md Yunos); T/n Haris & Co
Bagi pihak responden pertama – YB Penasihat Undang-undang Negeri Kelantan
Bagi pihak responden kedua – Pengarah Jabatan Penjara Kelantan

Dilaporkan oleh Usha Thiagarajah

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamad HMR:
Seperti yang disebut dalam penghakiman saya dalam empat lagi rayuan-rayuan berkaitan No. D-01-12-01, D-01-13-01, D-01-14-01, D-01-15-01 (selepas ini disebut “rayuan-rayuan habeas corpus itu), keempat-empat rayuan ini adalah oleh empat orang perayu yang sama. Rayuan-rayuan ini berbangkit daripada permohonan mereka untuk mendapatkan perintah-perintah perisytiharan (atau deklarasi) yang dibuat di Mahkamah Tinggi berasaskan fakta yang sama dengan fakta dalam rayuan-rayuan habeas corpus itu. Permohonan mereka telah ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi. Mereka merayu ke mahkamah ini.
Saya tidak akan mengulangi fakta-fakta kes ini. Rujukan kepadanya, jika perlu, hendaklah dibuat kepada penghakiman dalam rayuan-rayuan habeas corpus itu.
Perintah-perintah yang dipohon itu adalah seperti berikut:
1. Deklarasi bahawa Plaintif mempunyai hak yang mutlak dan bebas untuk menganuti (‘profess’) dan mengamalkan agama pilihannya di bawah Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan;
2.Deklarasi bahawa Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuanmempunyai keutamaan ke atas dan akan mengatasi mana-mana undang-undang persekutuan atau enakmen-enakmen negeri berkenaan dengan perkara pengakuan dan pengalaman agama pilihan Plaintif;
3.Deklarasi bahawa hak mutlak dan bebas Plaintif di bawah Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuanuntuk menganuti (‘profess’) dan mengamalkan agama pilihannya adalah ditentukan oleh Plaintif sendiri dan bukan oleh atau tertakluk kepada pengisytiharan dan/atau pengesahan mana-mana individu, badan, mahkamah dan/atau pihak yang lain;
4. Deklarasi bahawa peruntukan-peruntukan dalam mana-mana undang-undang persekutuan atau enakmen-enakmen negeri atau mana-mana peraturan-peraturan termasuk tetapi tidak terhad kepada Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 (selepas ini dirujukki sebagai “Enakmen tersebut”) dan khususnya peruntukan Seksyen 2 Enakmen tersebut berkenaan definasi ‘orang Islam’ yang tidak mengiktirafkan Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuanatau adalah bertentangan dengannya, adalah tidak sah.
5. Deklarasi bahawa mana-mana undang-undang persekutuan dan enakmen-enakmen negeri berkenaan dengan agama Islam ke atas Plaintif termasuk tetapi tidak terhad kepada Enakmen tersebut dan mana-mana enakmen kanun jenayah syariah adalah tidak terpakai kepada Plaintif kerana Plaintif telah mengisytiharkan dirinya tidak lagi menganuti (profess) dan mengamal (practise) agama Islam selaras dengan Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan.
6.Deklarasi bahawa peruntukan dalam Enakmen tersebut atau mana-mana undang-undang persekutuan dan/atau enakmen-enakmen negeri, sekiranya ada, yang kononnya memberi kuasa atau bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan sama ada Plaintif telah keluar dari agama Islam atau mengkehendaki suatu deklarasi dari Mahkamah Syariah sebagai pra-syarat sebelum Plaintif dapat atau dianggap telah keluar dari agama Islam adalah bertentangan dengan Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan.
7. Deklarasi bahawa peruntukan-peruntukan dalam mana-mana undang-undang persekutuan atau enakmen-enakmen negeri atau mana-mana peraturan-peraturan termasuk tetapi tidak terhad kepada Enakmen tersebut yang menyekat atau melarang atau yang mengenakan syarat-syarat terhadap dan ke atas hak mutlak Plaintif sendiri untuk mengisytiharkan dirinya tidak lagi menganuti (profess) dan mengamal (practise) agama Islam adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan khususnya Artikel 11(1)dan adalah tidak sah;
8.Berlanjutan dengan perintah (1) hingga (7) di atas, deklarasi bahawa berdasarkan Perlembagaan Persekutuan khususnya Artikel 11(1), Defendan Pertama dan Kedua atau mana-mana yang bertindak di bawah mereka tidak berhak mengenakan atau menentukan apa-apa syarat atau pra-syarat sebelum Plaintif dapat atau dianggap terkeluar dari agama dan kepercayaan Islam.
9.Perintah bahawa Defendan-Defendan memasukkan atau mencatatkan dalam rekod dan/atau buku-buku pendaftaran yang lain yang disimpan oleh Defendan-Defendan (sekiranya ada) bahawa Plaintif telah keluar dari atau telah meninggalkan agama dan kepercayaan Islam dan/atau bahawa Plaintif tidak lagi menganuti (profess) dan mengamal (practise) agama Islam;
10.Lain-lain perintah yang difikirkan perlu atau sesuai oleh Mahkamah yang Mulia ini;
11.Kos.
“Prayer” 9 telah ditarik balik.
Di awal hujah peguam perayu-perayu, beliau menegaskan bahawa perayu-perayu tidak meminta mahkamah ini mengisytiharkan bahawa mereka bukan orang Islam kerana mereka berhak menganut apa sahaja agama yang mereka hendak anuti. Beliau membahagikan perisytiharan yang dipohon oleh perayu-perayu kepada tiga kategori. Pertama, perisytiharan mengenai hak mereka berkenaan kebebasan beragama. Kedua, perisytiharan bahawa undang-undang Persekutuan dan undang-undang Negeri yang bercanggah dengan Perkara 11 adalah tak sah. Ketiga, perisytiharan bahawa undang-undang Persekutuan dan undang-undang Negeri yang mengganggu (interferes) hak mereka untuk keluar daripada agama Islam tak sah.
Pada pandangan saya, ketiga-tiga kategori perisytiharan yang dipohon seperti yang disebut itu adalah terlalu umum. Bukanlah tugas mahkamah untuk mengkaji semua undang-undang Persekutuan dan Negeri untuk menentukan keberpelembagaannya atas alasan ia bercanggah dengan Perkara 11 seperti seorang penyelidik (researcher). Tugas mahkamah adalah untuk memutuskan kes di hadapannya, berdasarkan fakta yang dikemukakan kepadanya dan undang-undang yang berkaitan. Perayu-perayu pun bukan datang ke mahkamah untuk belajar undang-undang. Melalui permohonan-permohonan habeas corpus mereka mahu dibebaskan daripada tahanan. Melalui permohonan-permohonan ini, memandangkan kepada adanya pertuduhan baru yang masih belum dibicarakan dan perisytiharan-perisytiharan yang mereka pohon, khususnya “prayer” kelima (bahawa semua undang-undang Persekutuan dan Negeri berkenaan dengan agama Islam tidak terpakai kepada mereka kerana mereka telah mengisytiharkan bahawa mereka tidak lagi menganuti dan mengamal agama Islam) adalah satu usaha untuk menggagalkan (pre-empt) pertuduhan itu.
Saya bersetuju dengan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa adalah “premature” baginya membuat perisytiharan yang akan memberi kesan kepada perjalanan kes-kes itu.
Mengenai peruntukan-peruntukan undang-undang setakat yang berkenaan, ia telah pun dibincangkan dengan panjang lebar dalam penghakiman mengenai rayuan-rayuan habeas corpus itu. Ianya terpakai dalam rayuan-rayuan ini dan tidaklah perlu diulangi.
Kesimpulannya, rayuan-rayuan ini juga patut ditolak.
Saudara-saudara saya Dato’ Abdul Kadir Sulaiman dan Dato’ Alauddin Mohd. Sheriff HHMR telah membaca penghakiman ini dan bersetuju dengannya.
Rayuan-rayuan ini ditolak dengan kos kepada responden-responden. Deposit hendaklah dibayar kepada responden-responden untuk kos.

1,139 visits