MOHD TAUFIQ MANI ABDULLAH lwn. PP

MOHD TAUFIQ MANI ABDULLAH lwn. PP
MAHKAMAH RAYUAN, KUALA LUMPUR
ABDUL HAMID MOHAMAD, HMR; K C VOHRAH, HMR; FAIZA THAMBY CHIK, H
RAYUAN JENAYAH NO: R-05-4-94
21 JANUARI 2002
[2002] 1 CLJ 558
PROSEDUR JENAYAH: Rayuan – Rayuan terhadap sabitan dan hukuman – Sabitan mengedar dadah berbahaya 2,808.8 gram cannabis di bawah s. 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan hukuman mati mandatori di bawah s. 39B(2) Akta yang sama – Sama ada hakim perbicaraan telah tersalah arah kerana memakai kedua-dua anggapan di bawah s. 37(d) dan (da) untuk membuktikan pengedaran dadah tersebut – Sama ada proviso kepada s. 60 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 terpakai untuk membolehkan mahkamah mengesahkan sabitan dan hukuman perayu oleh hakim perbicaraan

UNDANG-UNDANG JENAYAH: Akta Dadah Berbahaya 1952 – Seksyen 39B(1)(a) – Pengedaran dadah – Sama ada kedua-dua anggapan di bawah s. 37(d) & (da) terpakai untuk membuktikan pengedaran dadah – Muhammed Hassan v. PP – Haryadi Dadeh v. PP – Tunde Apatira & Ors v. PP

Ini adalah rayuan tertuduh (‘perayu’) terhadap sabitan mengedar dadah berbahaya 2,808.8 gram cannabis di bawah s. 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (‘Akta’) dan juga terhadap hukuman mati mandatori yang dijatuhkan di bawah s. 39B(2) Akta oleh hakim perbicaraan.
Isu-isunya adalah: (1) sama ada hakim perbicaraan tersalah arah memakai kedua-dua anggapan di bawah s. 37(d) dan (da) Akta untuk membuktikan pengedaran dadah tersebut; dan (2) sama ada proviso kepada s. 60 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 terpakai untuk membolehkan mahkamah mengesahkan sabitan dan hukuman perayu tersebut oleh hakim perbicaraan.
Diputuskan:
Oleh Abdul Hamid Mohamad HMR
[1] Kes-kes Muhammed Hassan v. PP, Haryadi Dadeh v. PP dan Tunda Apatira & Ors v. PP adalah penghakiman Mahkamah Persekutuan yang mengikat mahkamah ini. Tidak boleh dinafikan bahawa hakim perbicaraan telah memakai kedua-dua anggapan di bawah s. 37(d) dan (da) Akta untuk memanggil perayu membela diri atas pertuduhan mengedar. Ini adalah satu salah arah (‘misdirection’). (ms 563 c-e)
[2] Keterangan dalam kes-kes Muhammed bin Hassan v. PP dan Haryadi Dadeh v. PP adalah lebih kuat daripada keterangan dalam kes ini. Walaupun fakta kes ini lebih menyerupai fakta dalam kes Muhammed Hassan v. PP, bezanya ialah apabila perayu ternampak PW4 (seorang anggota Unit Pencegah Penyeludupan), ia tidak terus lari dan tidak melepaskan bungkusan yang dibawanya. Sebaliknya, apabila PW4 meminta untuk memeriksa beg plastik yang dibawanya, dia menyerahkannya kepada PW4. Juga, dalam beg plastik itu terdapat banyak barang-barang lain. Dalam keadaan itu, tanpa melihat dan mendengar saksi-saksi, tanpa penemuan mengenai milikan positif oleh hakim perbicaraan, adalah tidak selamat bagi mahkamah di peringkat rayuan ini untuk memutuskan secara positif bahawa perayu memiliki dadah tersebut untuk membolehkan anggapan di bawah s. 37(da) dipakai. (ms 565 a-d)
Dilaporkan oleh Usha Thiagarajah

Case(s) referred to:
Haryadi Dadeh v. PP [2000] 3 CLJ 553 (diikuti)
Muhammed Hassan v. PP [1998] 2 CLJ 170 (diikuti)
Tunde Apatira & Ors v. PP [2001] 1 CLJ 381 (diikuti)
Courts of Judicature Act 1964, s. 60
Dangerous Drugs Act 1952, ss. 2, 6, 37(d), (da), 39A(2), 39B(1)(a), 39B2

Counsel:
Bagi pihak perayu – V Rajadevan (V Dhanaraj); M/s Rajadevan & Assoc
Bagi pihak responden – Siti Salwa Musa TPR

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamad HMR:
Perayu telah dituduh atas kesalahan mengedar dadah berbahaya, iaitu 2,808.8 gram cannabis, suatu kesalahan di bawah s. 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah s. 39B(2) Akta yang sama.
Mahkamah Tinggi telah mendapatinya bersalah, mensabitkannya dan menjatuhkan hukuman mati mandatori.
Perayu merayu ke mahkamah ini. Mahkamah ini telah membenarkan rayuannya, mengenepikan sabitan dan hukuman yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi itu dan mensabitkan perayu di bawah s. 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mengenakan hukuman penjara selama 15 tahun mulai tarikh dia ditangkap dan sepuluh kali sebatan, mengikut s. 39A(2) Akta yang sama.
Fakta kes ini bolehlah diringkaskan seperti berikut:
Pada hari kejadian iaitu pada 11 Januari 1993, lebih kurang pukul 10 pagi, PW4, seorang anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) sedang menjalankan tugas rondaannya di Seksyen D6, Jalan Sadao, Padang Besar. Pada ketika itu beliau ternampak perayu keluar dari Pekan Siam menuju ke gerai buah-buahan di pasar Padang Besar. Apabila sampai di gerai itu, perayu bertanya dengan penjaja-penjaja di situ di mana stesyen teksi. Salah seorang penjaja di situ menunjukkan arah stesyen teksi kepada perayu. Kebetulan pada masa itu datang sebuah teksi berwarna hitam di gerai itu. Pemandu teksi itu (PW5) adalah juga tuan punya gerai tersebut.
PW4, yang pada masa itu berada di belakang gerai tersebut, mendengar perayu bertanya PW5 sekiranya teksinya hendak pergi ke Alor Setar. PW5 memberitahu perayu supaya menunggu sebentar sementara dia hendak mengeluarkan barang-barang dari boot keretanya. Perayu pergi ke gerai buah-buahan untuk membeli buah limau. Apabila perayu kembali semula ke tempat teksi itu, PW4 nampak perayu membawa satu beg plastik berwarna putih (P5) dengan tangan kanannya. PW4 yang berpakaian seragam menghampiri perayu dan meminta untuk memeriksa beg plastik (P5) itu. Perayu menyerahkan beg plastik itu kepada PW4 untuk diperiksa. Di dalam beg plastk itu, PW4 dapati satu beg plastik mengandungi baju tidur kanak-kanak (P14), satu beg plastik mengandungi dua keping poster (P15), sejambak bunga plastik (P13), buah limau dan satu kotak serbuk sabun “Breeze” (Thailand) (P6).
Apabila PW4 mengangkat keluar P6 dari dalam beg plastik (P5) beliau dapati serbuk sabun bertaburan dari bahagian bawah. PW4 terbalikkan kotak serbuk sabun (P6) itu dan mendapati bahagian bawahnya sudah terbuka. Beliau terus membuka P6 dan di dalamnya didapati serbuk sabun dan tiga bungkusan berwarna kuning (P8, P9, P10). Beliau berasa curiga dan mengeluarkan P8, P9 dan P10 dari P6. Selepas itu PW4 meminta kad pengenalan perayu. Ketika itu mengikut PW4, perayu menggigil dan cuba hendak melarikan diri.
Selepas itu PW4 memanggil Sgt. Mohd. Nor (PW6). Perayu dan barang-barang itu dibawa ke balai polis, Padang Besar dengan sebuah Land Rover. Di balai polis Padang Besar PW4 memeriksa P8, P9 dan P10 dan beliau dapati bungkusan-bungkusan itu mengandungi daun-daun kering yang disyaki ganja.
Pemandu teksi (PW5) turut memberi keterangan. Katanya perayu hendak menyewa teksinya untuk ke Alor Setar dan sanggup membayar tambang yang lebih dari biasa. Mengikutnya perayu hendak pergi seorang sahaja dan hendak bertolak dengan serta merta. Beliau merasa “was-was” (curiga) kerana perayu hendak memberi tambang yang lebih dari biasa. Pada masa itu, PW5 nampak PW4 membawa P5 (beg plastik) dengan tangan kanannya. PW5 juga nampak PW4 yang berpakaian seragam berada berhampiran di situ. PW5 juga melihat PW4 memeriksa beg plastik perayu (P5) sebelum dia (PW5) membawa perayu ke teksinya. Keterangannya mengenai barang-barang yang dijumpai dalam beg plastik (P5) itu serupa dengan keterangan PW4 dan tidaklah perlu diulangi.
Keterangan Ahli Kimia (PW1) mengesahkan bahawa ketiga-tiga bungkusan (P8, P9 dan P10) mengandungi 2,808.8 gram cannabis iaitu dadah berbahaya seperti yang ditakrifkan mengikut s. 2 Akta Dadah Berbahaya 1952. Hakim perbicaraan itu mendapati bahawa barang-barang kes itu telah dijaga dengan rapi dan “tidak terdapat sebarang kelonggaran” dalam rantaian keterangan mengenai barang-barang kes itu.
Di sini eloklah dipetik penghakiman hakim perbicaraan itu untuk mengetahui alasan beliau memanggil perayu membela diri atas pertuduhan mengedar itu:
Di akhir kes Pendakwa setelah saya memberi penilaian yang secukupnya dan pada kadar yang paling maksima kepada keterangan saksi-saksi Pendakwa saya berpuas hati bahawa Pendakwa telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap Tertuduh (Khoo Hi Chiang v. PP [1994] 2 CLJ 151) dan justeru itu saya memanggil Tertuduh membela diri.
Jika penelitian yang sewajarnya diberi kepada keterangan-keterangan PW4 dan PW5 adalah didapati apa yang mereka bentangkan di Mahkamah melalui keterangan mereka bukanlah satu cerita yang mustahil. Umpamanya kedua-dua mereka pasti bahawa Tertuduh membawa dadah tersebut (P8, P9, P10) dengan tangan kanannya. Mereka juga pasti bahawa semasa pemeriksaan dijalankan ke atas dadah tersebut, Tertuduh menggigil dan cuba melarikan diri. Kedua-dua saksi ini didedahkan kepada soalbalas yang begitu keras dan panjang lebar oleh peguam Tertuduh tetapi keterangan mereka langsung tidak tercabar.
Dari keterangan PW4 dan PW5 saya berpuas hati bahawa anggapan-anggapan statutori di bawah s 37(d) dan (da) Akta Dadah Berbahaya 1952 tertimbul terhadap Tertuduh. Jelas bahawa dadah tersebut berada dalam jagaan dan kawalan beliau.
Mengambil kira persoalan yang ditimbulkan dalam hujah kedua-dua belah pihak di mahkamah ini, tidaklah perlu diperturunkan keterangan perayu. Memadailah sekadar menyatakan bahawa hakim perbicaraan mendapati pembelaan perayu adalah penafian semata-mata tanpa sebarang bukti yang boleh menimbulkan keraguan ke atas kes Pendakwa. “Cerita tertuduh tidak lain tidak bukan hanyalah rekaan semata-mata”, kata hakim perbicaraan itu. Hakim perbicaraan menyimpulkan keputusannya seperti berikut:
Setelah saya menimbang keseluruhan keterangan yang ada saya dapati Pendakwa telah membuktikan kesnya tanpa sebarang keraguan munasabah. Keterangan Tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan ke atas kesahihan kes Pendakwa. Tertuduh juga gagal mematahkan anggapan-anggapan statutori yang timbul terhadapnya di atas imbangan kebarangkalian.
Di mahkamah ini hujah peguam perayu tertumpu kepada persoalan bahawa hakim perbicaraan telah tidak membuat keputusan yang positif berdasarkan keterangan mengenai milikan (possession) tetapi telah memakai kedua-dua anggapan (presumption) di bawah s. 37(d) dan 37(da) dan memutuskan:
Jelas bahawa dadah tersebut berada dalam jagaan dan kawalan beliau.
dan memanggil perayu membela diri atas pertuduhan “mengedar”. Beliau merujuk kepada kes-kes Muhammed bin Hassan v. Public Prosecutor [1998] 2 CLJ 170 (MP) dan Tunde Apatira & 2 Ors. v. Pendakwa Raya [2001] 1 AMR 577 (MP).
Timbalan Pendakwa Raya mengakui bahawa hakim perbicaraan telah memakai kedua-dua anggapan itu dalam kes ini. Tetapi, beliau menghujahkan bahawa tiada ketidakadilan substantif yang telah berlaku dan kes ini telah diputuskan sebelum kes Muhammed bin Hassan. Oleh itu, beliau meminta mahkamah ini menimbang keterangan yang dikemukakan dan menghujahkan bahawa keterangan adalah cukup untuk mendapati bahawa perayu memiliki (was in possession) dadah tersebut, terutama sekali mengambil kira bahawa dia memegang beg yang berisi dadah itu dan juga cuba melarikan diri.
Muhammad bin Hassan adalah penghakiman Mahkamah Persekutuan dan mengikat mahkamah ini. Dalam kes itu Chong Siew Fai, HB (Sabah dan Sarawak), menulis penghakiman mahkamah itu, antara lain mengatakan:
In our view, to constitute ‘possession’ under section 37(da) of the Act, so as to be capable of forming one of the ingredients thereunder thereby giving rise to the presumption of trafficking, there must be an express affirmative finding (as opposed to legal presumption) of possession as understood in criminal law, based on evidence.
Dalam kes Haryadi bin Dadeh v. Public Prosecutor [2000] 3 CLJ 553 (MP) beliau menjelaskan:
The ratio decided in Muhammed bin Hassan, is clear. One cannot rely on the presumption of possession under s. 37(d) of the Act to invoke a further presumption of trafficking under s. 37(da) of the Act.
Dalam kes Tunde Apatira Mahkamah Persekutuan yang bersidang dengan lima orang hakim mengesahkan bahawa Muhammed bin Hassan telah diputuskan dengan betul. Antara lain mahkamah itu memutuskan:
Held
1(a) Muhammed bin Hassan was correctly decided. Paragraph (da) of s. 37 of the DDA is differently constructed from paragraph (d) of that section and must therefore carry a different meaning. As the DDA is a penal statute, any ambiguity in language should be decided in favour of the accused. (See p. 585 lines 16-25)
(b) In addition, there must be certainty in law which cannot be achieved if the courts keep departing from recent decisions. If the court were to depart from Muhammed bin Hassan, the law will be thrown into uncertainty and doubts would be cast on the accuracy of the pronouncements made in the cases that have followed Muhammed bin Hassan. (See p. 584 line 30 p 585 line 14)
Ketiga-tiga kes itu adalah penghakiman Mahkamah Persekutuan yang mengikat mahkamah ini. Maka, mengenai undang-undang tiada apa lagi yang boleh dikatakan oleh mahkamah ini.
Juga, dalam kes ini, seperti diakui sendiri oleh Timbalan Pendakwa Raya, tidak boleh dinafikan bahawa hakim perbicaraan telah memakai kedua-dua anggapan itu untuk memanggil perayu membela diri atas pertuduhan mengedar. Itu adalah satu salah arah (misdirection).
Maka, persoalan yang tinggal ialah sama ada mahkamah ini patut dalam keadaan kes ini memakai proviso kepada s. 60 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 itu dan setelah menimbang fakta kes ini, mengesahkan sabitan atas pertuduhan mengedar itu.
Bahawa mahkamah ini mempunyai kuasa untuk memakai peruntukan proviso kepada s. 60 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 itu tidak boleh dipertikaikan.
Ini disahkan oleh Mahkamah Persekutuan, dan dilakukan, dalam kes Tunde Apatira itu sendiri. Mahkamah itu, melalui penghakiman yang disampaikan oleh Gopal Sri Ram JCA, berkata di halaman 588:
… As a general rule this court will, in the normal course of events, quash a conviction where there has been a misdirection. Exceptionally, a conviction will be upheld despite a misdirection where this court is satisfied that a reasonable tribunal would have convicted the accused on the available evidence on a proper direction. The decision of this court in Alcontara a/l Ambross Anthony v. Public Prosecutor [1996] 1 CLJ 705 exemplifies the general rule, while that in Khoo Hi Chiang v. Public Prosecutor [1994] 2 CLJ 151 illustrates the exception.
Setelah menimbang fakta kes itu, mahkamah itu memutuskan:
Having scrutinised the record with care, we are satisfied that this is an appropriate case for the application of the proviso. The evidence, both direct and circumstantial, against the appellants is entirely overwhelming. A court applying s. 37(da) in the manner required by Muhammed bin Hassan would have nevertheless convicted the appellants on the available evidence.
Perlu diambil perhatian bahawa dalam kes Tunde Apatira itu, dadah heroin itu dijumpai dalam peket di dalam perut tertuduh. Ertinya tertuduh telah menelan peket-peket dadah itu. Kami tidak fikir akan terdapat satu kes di mana keterangannya lebih “overwhelming” dari itu dan tidak hairanlah mahkamah itu membuat keputusan sedemikian.
Sebaliknya, dalam kes Haryadi bin Dadeh, perayu (tertuduh) dilihat sedang menggulung ganja sambil duduk bersila dengan sebuah periuk aluminium berisi daun-daun ganja di atas pahanya dalam sebuah bangsal. Setelah melihat anggota polis, tertuduh serta merta bangun dan lari ke dalam kedai. Tertuduh kemudian lari keluar semula dan merempuh dinding bilik air di luar sambil dikejar oleh anggota polis tersebut. Tertuduh akhirnya berjaya ditangkap. Penggeledahan dibuat kepada bilik air itu dan satu bungkusan mengandungi 600 golong ganja dijumpai di suatu sudut dan satu bungkusan mengandungi satu ketul (slab) ganja dijumpai di bawah lampu. Dengan keterangan sedemikian pun Mahkamah Persekutuan enggan memakai proviso berkenaan.
Perlu diambil perhatian juga bahawa dalam kes Muhammed bin Hassan pun hujah yang serupa telah dikemukakan. Dalam kes itu anggota-anggota polis yang sedang meronda di suatu lorong bertemu dengan perayu (tertuduh) yang sedang membawa satu bungkusan dengan tangan kanannya. Anggota polis itu memperkenalkan dirinya. Perayu (tertuduh) lari, dan semasa berbuat demikian, melepaskan bungkusan yang dibawanya itu. Anggota polis itu bertindak menghalangnya daripada melepaskan diri, menyebabkan satu pergelutan telah berlaku. Akhirnya tertuduh berjaya ditangkap. Dalam bungkusan itu terdapat dua bungkusan yang lebih kecil mengandungi ganja.
Dengan keterangan sedemikian pun Mahkamah Persekutuan masih enggan memakai proviso itu. Inilah apa yang dikatakan oleh Chong Siew Fai (HB Sabah dan Sarawak) yang menyampaikan penghakiman mahkamah itu.
As regards the alternative submission of the learned deputy public prosecutor that, independently of s. 37(d), there was sufficient evidence of possession of the cannabis on the part of the appellant, all we need to say is that on the evidence, the learned trial judge did not make a finding of possession (ie possession as understood in criminal law) either factually or by way of inference. We, at the appellate stage, not having had the opportunity of observing the witnesses in giving evidence, did not consider it appropriate and safe to arrive at any conclusion in this regard.
Keterangan dalam kes Haryadi bin Dadeh dan kes Muhammed bin Hassan adalah lebih kuat daripada keterangan dalam kes ini. Walau pun fakta kes ini lebih menyerupai fakta dalam kes Muhammed bin Hassan, bezanya ialah, apabila ternampak PW4, perayu (tertuduh) tidak terus lari, dia tidak melepaskan bungkusan yang dibawanya. Sebaliknya, apabila PW4 meminta untuk memeriksa beg plastik yang dibawanya dia (perayu) menyerahkannya kepada PW4. Juga, dalam beg plastik itu terdapat banyak barang-barang lain.
Dalam keadaan itu, tanpa melihat dan mendengar saksi-saksi, tanpa penemuan mengenai milikan secara positif oleh hakim perbicaraan, kami berpendapat adalah tidak selamat bagi mahkamah ini, diperingkat rayuan, untuk memutuskan secara positif bahawa perayu mempunyai milikan dadah tersebut untuk membolehkan anggapan di bawah s. 37(da) dipakai dan dia dipanggil membela diri atas tuduhan mengedar. Atas alasan inilah kami menggantikan sabitan dan hukuman seperti yang disebut di awal alasan penghakiman ini.

123 visits