CHAN KHENG NAM lwn. PP

MAHKAMAH RAYUAN, KUALA LUMPUR
ABDUL HAMID MOHAMAD, HMR; K C VOHRAH, HMR; FAIZA THAMBY CHIK, H
RAYUAN JENAYAH NO: C-05-81-1995
[2002] 1 CLJ 553

PROSEDUR JENAYAH: Rayuan – Rayuan terhadap sabitan dan hukuman – Sabitan mengedar dadah berbahaya 47.834 gram heroin di bawah s. 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan hukuman mati mandatori di bawah s. 39B(2) Akta yang sama – Sama ada hakim perbicaraan telah tersalah arah kerana memakai kedua-dua anggapan di bawah s. 37(d) & (da) untuk membuktikan pengedaran dadah tersebut – Sama ada proviso kepada s. 60 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 terpakai untuk membolehkan mahkamah mengesahkan sabitan dan hukuman perayu oleh hakim perbicaraan

UNDANG-UNDANG JENAYAH: Akta Dadah Berbahaya 1952 – Seksyen 39B(1)(a) – Pengedaran dadah – Sama ada kedua-dua anggapan di bawah s. 37(d) & (da) boleh dipakai untuk membuktikan pengedaran dadah – Muhammed Hassan v. PP – Haryadi Dadeh v. PP – Tunde Apatira & Ors v. PP – Mohd Taufiq Mani Abdullah lwn. PP – Tan Teck Chew v. PP

Ini adalah rayuan tertuduh (‘perayu’) terhadap sabitannya mengedar dadah berbahaya 47.834 gram heroin di bawah s. 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (‘Akta’) dan juga terhadap hukuman mati mandatori yang dijatuhkan di bawah s. 39B Akta oleh hakim perbicaraan.
Isu-isunya adalah: (1) sama ada hakim perbicaraan telah tersalah arah kerana memakai kedua-dua anggapan di bawah s. 37(d) dan (da) Akta untuk membuktikan pengedaran dadah tersebut; (2) sama ada proviso kepada s. 60 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 terpakai untuk membolehkan mahkamah mengesahkan sabitan dan hukuman perayu oleh hakim perbicaraan.
Diputuskan:
Oleh Abdul Hamid Mohamad HMR
[1] Kedua-dua anggapan di bawah s. 37(d) dan (da) Akta tidak boleh dipakai bersama untuk membuktikan pengedaran, seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes Muhammed Hassan v. PP dan Tunde Apatira & Ors v. PP. (ms 556 g)
[2] Dadah tersebut yang dijumpai dalam kereta yang dipandu oleh perayu ialah satu bungkusan plastik yang berada di tempat duduk hadapan sebelah kiri kereta itu dan satu bungkusan lagi dalam poket seluar perayu yang hanya seberat 3.051 gram. Tanpa keputusan mengenai milikan dadah yang dijumpai di atas tempat duduk kereta itu, anggapan di bawah s. 37(da) tidak boleh berbangkit. Di bandingkan dengan fakta dalam kes Tunde Apatira & Ors v. PP di mana dadah berkenaan dijumpai dalam perut tertuduh, dan mengambil kira fakta dalam kes Muhammed Hassan v. PP dan Haryadi Dadeh v. PP di mana Mahkamah Persekutuan enggan memakai proviso kepada s. 60 Akta Mahkamah Penghakiman 1964, kes ini bukanlah satu kes yang membolehkan mahkamah di peringkat rayuan ini untuk mengatakan dengan yakinnya bahawa jika hakim perbicaraan telah menimbangkan keterangan yang dikemukakan, beliau juga akan memutuskan dengan positifnya bahawa perayu memiliki dadah yang terletak di atas tempat duduk hadapan sebelah kiri kereta yang dipandunya itu. Atas alasan ini, mahkamah enggan memakai proviso tersebut. (ms 557 b-e)
Dilaporkan oleh Usha Thiagarajah

Case(s) referred to:
Haryadi Dadeh v. PP [2000] 3 CLJ 553 (diikuti)
Mohd Taufiq Mani Abdullah v. PP [2002] 1 CLJ 558 (diikuti)
Muhammed Hassan v. PP [1998] 2 CLJ 170 (diikuti)
Tan Teck Chew v. PP (Criminal Appeal No: C-05-5-97) (diikuti)
Tunde Apatira & Ors v. PP [2001] 1 CLJ 381 (diikuti)

Legislation referred to:
Courts of Judicature Act 1964, s. 60
Dangerous Drugs Act 1952, ss. 12(2), 37(d), (da), 39A(1), B(1)(a), (2)
Counsel:
Bagi pihak perayu – Hj Sukri Hj Mohamed; T/n Wan Haron Sukri & Nordin
Bagi pihak responden – Abdul Rashid TPR

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamad HMR:
Perayu telah dituduh kerana mengedar dadah berbahaya iaitu 47.834 gram heroin di bawah s. 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, didapati bersalah, disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati mandatori mengikut s. 39B(2) Akta yang sama. Perayu merayu ke mahkamah ini. Kami membenarkan rayuannya, mensabitkannya di bawah s. 12(2) Akta itu, dibaca bersama s. 39A(1) Akta yang sama, dan menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun daripada tarikh disabitkan oleh Mahkamah Tinggi dan tiga kali sebatan rotan.
Fakta kes pendakwaan telah diringkas oleh hakim perbicaraan seperti berikut:
Pada 21.8.90 satu pasukan polis terdiri daripada 12 anggota yang diketuai oleh K/Insp. Mazlan bin Azid (SP5) telah menjalankan satu serang hendap di kawasan Taman Tunas Jaya Fasa II, Jalan Hj. Ahmad, Kuantan, Pahang. Apabila sampai di tempat serang hendap mereka telah mengambil kedudukan masing-masing sepertimana yang telah diarahkan oleh SP5. Mengikut keterangan SP5, pada jam lebih kurang 9.50 malam, beliau telah nampak sebuah kereta jenis Toyota No. DN 8912 telah datang dari arah Jalan No. 11 menuju ke tempat beliau berada dengan lajunya. Pada masa itu tidak ada apa-apa tindakan diambil.
Kereta yang berkenaan dikatakan telah menuju masuk ke kawasan perumahan Taman Tunas Jaya FASA II. Sepuluh minit kemudian kereta tersebut telah kelihatan datang dari arah Jalan No.11 menuju ke tempat SP5 dan anggota-anggotanya sedang berada. SP5 telah mengarahkan pemandu-pemandu yang terlibat untuk bersedia. Kereta tersebut akhirnya telah ditahan di simpang tiga, Jalan No.9 dan No.11 oleh kereta-kereta yang dipandu oleh D/Kpl. Roslan dan D/Kpl Raja Badri. SP5 bersama anggota-anggotanya telah menyerbu ke arah kereta tersebut dan mengikut keterangan SP5, beliau telah pergi ke bahagian pemandu kereta dan beliau mendapati ada seorang lelaki Cina di dalam kereta di tempat pemandu. Seterusnya SP5 telah menunjukkan kad kuasa dan memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis. Pada masa yang sama juga, SP5 menyatakan bahawa beliau telah nampak satu bungkusan plastik berwarna merah (P6) yang berada di atas tempat duduk hadapan sebelah kiri pemandu. Seterusnya SP5 telah mengarahkan lelaki itu membuka pintu dan mematikan enjin kereta tersebut. Kemudiannya, SP5 telah mengarahkan lelaki itu mengambil bungkusan plastik warna merah yang terletak di atas kerusi hadapan kiri kereta dan menyerahkannya kepada SP5. SP5 seterusnya mengambil bungkusan itu dan membawanya ke bahagian depan kereta DN 8912 bersama-sama dengan lelaki Cina tersebut. Bungkusan itu kemudiannya telah dibuka di hadapan lelaki itu dan apabila dibuka di dalamnya terdapat satu bungkusan surat khabar Cina yang di dalamnya terdapat 2 bungkusan plastik besar warna jernih yang mengandungi serbuk ketulan warna kemerahan yang disyaki dadah heroin. Selepas itu SP5 telah menjalankan pemeriksaan ke atas badan lelaki itu dan telah menjumpai satu bungkusan plastik warna jernih di dalam poket seluar sebelah kanan hadapan. Di dalam bungkusan itu didapati 4 paket plastik kecil warna jernih (P15A D) yang mengandungi serbuk ketulan warna coklat muda yang disyaki dadah heroin. Lelaki Cina itu kemudiannya telah ditangkap dan didapati namanya Chan Kheng Nam.
Dalam alasan penghakimannya, semasa menimbang kes pendakwaan, hakim perbicaraan itu memutuskan seperti berikut:
Berdasarkan kepada keseluruhan keadaan yang saya nyatakan di atas, saya berpendapat bahawa tertuduh mempunyai jagaan atau kawalan ke atas beg P6 yang dijumpai di dalam keretanya itu. Dengan itu anggapan di bawah sek. 37(d) Akta adalah terpakai dan tertuduh dianggap mengetahui tentang jenis dadah itu (the nature of such drug). Seterusnya, memandangkan jumlah berat heroin yang terlibat adalah melebihi 15 gram maka anggapan di bawah sek. 37 (da)(i) Akta adalah terpakai. Dengan demikian tertuduh adalah dianggap mengedar dadah tersebut.
Hujah peguam perayu hanya tertumpu kepada satu persoalan sahaja, iaitu hakim perbicaraan telah salah arah kerana memakai kedua-dua anggapan (presumption) di bawah s. 37(d) dan (da), Akta itu.
Timbalan Pendakwa Raya mengakui hakikat itu tetapi meminta mahkamah ini memakai proviso kepada s. 60 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, menimbang keterangan dan memutuskan bahawa, jika hakim perbicaraan telah menimbang keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan beliau semestinya akan mendapati bahawa terdapat cukup keterangan bahawa perayu (tertuduh) memiliki dadah tersebut. Ini akan membolehkan hakim perbicaraan itu memakai anggapan (da) dan memanggil perayu membela diri atas pertuduhan mengedar.
Kami telah membincang persoalan undang-undang ini dengan panjang lebar dalam kes Mohd. Taufiq b. Abdullah v. Pendakwa Raya, Mahkamah Rayuan, Rayuan Jenayah No. R-05-4-94 dan kes Tan Teck Chew v. Pendakwa Raya Mahkamah Rayuan, Rayuan Jenayah No. C-05-5-97 yang kami dengar di persidangan yang sama. Tidaklah perlu bagi kami mengulanginya. Ringkasnya, kedua-dua anggapan itu tidak boleh dipakai bersama untuk membuktikan pengedaran, seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Muhammed bin Hassan v. Public Prosecutor [1998] 2 CLJ 170 (MP) dan Tunde Apatira & 2 Ors. v. Pendakwa Raya [2001] 1 CLJ 381 (MP).
Maka, yang tinggal hanyalah sama ada, jika menimbang keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan dalam kes ini, terdapat keterangan yang “overwhelming” untuk hakim perbicaraan memutuskan bahawa perayu memiliki dadah itu. Persoalan ini juga telah kami bincang dengan panjang lebar dalam kes-kes tersebut dan kami tidak berhajat mengulanginya. Kami telah mengambil perhatian keadaan dalam kes Tunde Apatira di mana Mahkamah Persekutuan memakai proviso berkenaan. Dalam kes itu dadah berkenaan dijumpai dalam peket dalam perut tertuduh. Kami juga mengambil perhatian keadaan dalam kes Muhammed bin Hassan dan Haryadi bin Dadeh v. Public Prosecutor [2000] 3 CLJ 553 (MP) di mana Mahkamah Persekutuan enggan memakai proviso tersebut.
Dalam kes ini, dadah berkenaan dijumpai dalam kereta yang dipandu oleh perayu, satu dalam bungkusan plastik yang berada di tempat duduk hadapan sebelah kiri pemandu (perayu), dan satu bungkusan lagi dalam poket seluar perayu. (Dadah heroin yang dijumpai dalam poket seluar perayu itu hanya seberat 3.051 gram). Tanpa keputusan mengenai milikan dadah yang dijumpai di atas tempat duduk kereta itu, anggapan di bawah s. 37(da) tidak boleh berbangkit. Dibandingkan dengan fakta dalam kes Tunde Apatira di mana dadah dijumpai dalam perut tertuduh, dan mengambil kira fakta dalam kes Muhammed bin Hassan dan Haryadi bin Dadeh yang dalam kedua-dua kes yang disebut kemudian itu Mahkamah Persekutuan enggan memakai proviso itu, kami berpendapat bahawa kes ini bukanlah satu kes yang membolehkan mahkamah ini, di peringkat rayuan, mengatakan dengan yakin bahawa jika hakim perbicaraan telah menimbang keterangan yang dikemukakan, beliau juga akan memutuskan dengan positif bahawa perayu memiliki dadah yang terletak di atas tempat duduk hadapan, sebelah kiri pemandu kereta itu. Atas alasan ini kami enggan memakai proviso itu dalam kes ini dan menggantikan sabitan dan hukuman seperti yang disebut di awal alasan penghakiman ini.

89 visits