YUSOF OMAR lwn. PP

YUSOF OMAR lwn. PP
MAHKAMAH RAYUAN, KUALA LUMPUR
LAMIN MOHD YUNUS, PMR; ABDUL HAMID MOHAMAD, HMR; ABDUL KADIR SULAIMAN, HMR
RAYUAN JENAYAH NO: M-06 (B)-4-99
2 MAC 2001
[2001] 3 CLJ 122

PROSEDUR JENAYAH: Penghakiman – Soal dua penghakiman – Samada hakim telah menulis dua penghakiman – Penghakiman manakah yang patut dipertimbangkan – Kanun Acara Jenayah, s. 307

PROSEDUR JENAYAH: Perbicaraan – Memanggil semula saksi – Bahagian eksibit telah tidak didedahkan kepada saksi-saksi – Samada saksi-saksi pendakwa patut dipanggil semula – Samada kegagalan memanggil semula saksi-saksi tersebut telah memprejudiskan kes perayu – Kanun Acara Jenayah, s. 162

PROSEDUR JENAYAH: Siasatan polis – Kenyataan saksi – Samada kenyataan tersebut harus dibuat secara sukarela – Kanun Acara Jenayah, s. 112

KETERANGAN: Keterangan dokumentar – Dokumen awam – Samada salinan dokumen awam telah disahkan benar – Maknanya perkataan ‘certificate’ dalam s. 76 Akta Keterangan 1950

Perayu merupakan seorang saksi dalam kes jenayah Datuk Haji Sahar Arpan. Dalam perbicaraan itu (perbicaraan pertama) kebolehpercayaannya telah dicabar dan prosiding pencabaran itu adalah atas alasan bahawa keterangannya di mahkamah telah bercanggah dengan kenyataannya yang diberi kepada pegawai Badan Pencegah Rasuah.
Susulan daripada prosiding pencabaran itu perayu telah dituduh di Mahkamah Sesyen di bawah s. 193 Kanun Keseksaan. Dia didapati bersalah, disabitkan dan dihukum penjara selama dua tahun. Perayu telah merayu ke Mahkamah Tinggi yang telah menolak rayuannya dan telah mengesahkan sabitan dan hukumannya. Perayu kini merayu ke Mahkamah Rayuan.
Antara alasan-alasan yang dikemukakan adalah (i) bahawa P2 (salinan nota keterangan perbicaraan pertama) yang dikemukakan oleh PW1 (Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Melaka) tidak mengandungi ‘sijil’ seperti yang dikehendaki oleh s. 76 Akta Keterangan 1950(‘AK’); (ii) bahawa pengesahan itu tidak menyatakan bahawa nota keterangan itu adalah cuma sebahagian nota keterangan dalam perbicaraan pertama; (iii) bahawa hakim Mahkamah Sesyen telah memberikan dua penghakiman iaitu penghakiman lisan serta yang bertulis dan bahawa Mahkamah Tinggi sepatutnya hanya mempertimbangkan penghakiman yang pertama sahaja; (iv) bahawa eks. P4A yang merupakan salinan P4B (kenyataan asal perayu yang telah dirakamkan di bawah s. 112Kanun Acara Jenayah (‘KAJ’)) tidak patut diterima kerana ianya tidak mengandungi tandatangan tertuduh; (e) bahawa eks. P4A telah tidak didedahkan sepenuhnya (ketika kes pendakwa dikemukakan) dan setelah mengarahkan keseluruhan P4A didedahkan setelah kes pendakwaan ditutup, hakim perbicaraan telah tidak mengarahkan supaya saksi-saksi pendakwa dipanggil semula untuk pemeriksaan untuk mengecam P4A dan P4B pada keseluruhannya dan juga gagal memberikan peluang kepada pembelaan untuk menyoal balas mereka – dan dengan yang demikian telah melanggar peruntukan s. 162 KAJ; (v) bahawa kesukarelaaan kenyataan perayu di bawah s. 112telah tidak dibuktikan.
Diputuskan:
Oleh Abdul Hamid Mohamed HMR
[1] Perkataan ‘certificate’ dalam s. 76 AK bukanlah ‘sijil’, tetapi adalah terbitan daripada kata dasar ‘certify’ yang bererti ‘mengesahkan, memperakui’. Maka perkataan-perkataan “SALINAN DISAHKAN BENAR’ pada P2 jelas membawa maksud bahawa salinan nota keterangan itu adalah salinan yang disahkan betul mengenai isi kandungannya. Maka pengesahan seperti yang dilakukan adalah memadai untuk mematuhi kehendak s. 76 AK.
[2] Ketiadaan perkataan-perkataan yang menyatakan nota keterangan itu adalah cuma sebahagian nota keterangan dalam perbicaraan pertama itu bukanlah suatu kecacatan atau ketidakpatuhan peruntukan s. 76 AKyang mematutkan P2 tidak diterima sebagai keterangan. Ini adalah kerana pengesahan telahpun dibuat di bahagian bawah setiap muka surat salinan itu. Tambahan pula apa yang penting adalah bahawa bahagian berkenaan P2 itu telahpun dikemukakan.
[3] Di akhir kes pendakwa jika hakim perbicaraan mendapati bahawa terdapat satu kes prima facie, beliau hendaklah memanggil tertuduh membela diri. Beliau tidak perlu memberikan apa-apa alasan mengenai keputusannya itu. Demikian juga di akhir perbicaraan kes itu. Jika beliau mendapati bahawa pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah, beliau hendaklah membuat keputusan bahawa tertuduh bersalah, mensabitkannya dan menjatuhkan hukuman. Tetapi dalam suatu kes yang perbicaraannya memakan masa yang panjang, di mana banyak persoalan undang-undang dibangkitkan hakim-hakim perbicaraan kerap kali memberikan alasan-alasannya secara ringkas mengenai keputusannya.
[3a] Dalam kes ini, disebabkan ianya panjang dan rumit, Mahkamah Sesyen telah menangguhkan kes selama 18 hari selepas mendengar hujah akhir kedua-dua belah pihak untuk memberi keputusannya. Dalam masa 18 hari itu, beliau telah menulis alasan penghakimannya setebal 48 mukasurat. Maka bukanlah salah atau salah aturan bagi Mahkamah Sesyen itu memberikan alasan-alasan mengapa beliau memanggil perayu membela diri. Adalah juga tidak salah atau salah aturan jika hakim perbicaraan membuat cacatan dan membacanya semasa memberi alasan-alasan mengapa tertuduh dipanggil untuk membela diri atau sebaliknya atau mendapatinya bersalah atau sebaliknya. Adalah juga tidak salah atau salah aturan jika alasan-alasan itu kemudian ditaip sebagai sebahagian daripada nota keterangan. Bahawa ianya ditulis, dibaca dan direkodkan tidak menjadikannya suatu alasan penghakiman yang ditandatangani di bawah s. 307(3) KAJ. Maka isu ‘dua alasan penghakiman’ tidak timbul.
[4] Eksibit P4A yang tidak ditandatangani itu sebenarnya adalah tidak relevan langsung kepada kes ini. Ini adalah kerana P4A merupakan salinan P4B (iaitu salinan asal) dan bahawa ianya hanya digunakan dalam prosiding pencabaran dalam perbicaraaan pertama – dan bahawa pencabaran bukanlah pra-syarat kepada pendakwaan di bawah s. 193 Kanun Keseksaan.
[5] Fakta bahawa terdapat bahagian P4A yang tertutup tidak memprejudiskan perayu kerana pertamanya bahagian-bahagian itu tidak asas pertuduhan; keduanya, jikapun saksi-saksi pendakwa dipanggil semula dan peguam perayu diberi peluang meyoal balas saksi-saksi tersebut, ini tidak akan membawa apa-apa perbezaan kerana Timbalan Pendakwa Raya juga boleh membuat pemeriksaan semula saksi untuk memperbaiki apa-apa kelemahan kesnya hasil daripada soal-balas peguam perayu; ketiganya, tanpa mendedahkan sepenuhnya P4A pihak pendakwa hanya berjaya membuktikan sekadar kes prima facie di akhir kes pendakwa – maka pihak pembelaan masih diberi peluang menelitinya sebelum memulakan pembelaannya, setelah pihak pembelaan memanggil saksi-saksi mereka untuk memberikan keterangan dan menjelaskan bahagian-bahagian yang sebelumnya tertutup itu.
[6] Terdapat perbezaan-perbezaan di antara kenyataan-kenyataan yang dibuat di antara kenyataan di bawah s. 112dan s. 113 KAJ- iaitu (i) kenyataan di bawah s. 112 adalah kenyataan yang diambil dalam penyiasatan polis manakala kenyataan s. 113 boleh diambil bila-bila; (ii) kenyataan di bawah s. 112 boleh diambil oleh pegawai penyiasat yang berpangkat sarjan ke atas atau pegawai yang menjaga balai polis manakala kenyataan di bawah s. 113 cuma boleh diambil oleh pegawai polis yang berpangkat Inspektor ke atas; (iii) kenyataan di bawah s. 112 boleh diambil daripada mana-mana orang termasuk seseorang yang kemudiannya dituduh tetapi jika seseorang itu berkemungkinan dituduh, adalah lebih baik bagi pihak polis mengambil kenyataannya di bawah s. 113 kerana ia mungkin boleh digunakan sebagai keterangan terhadapnya; (iv) kenyataan di bawah s. 112 dikehendaki diambil secara bertulis manakala kenyataan di bawah s. 113 hendaklah dirakamkan secara bertulis seberapa yang boleh; (v) diperuntukkan di bawah s. 113 bahawa kenyataan seseorang tertuduh boleh digunakan untuk mencabar kebolehpercayaannya manakala tidak diperuntukkan sebegitu dalam s. 112 tetapi ini tidak bererti bawah kenyataan di bawah s. 112 tidak boleh digunakan untuk mencabar pembuatnya yang bukan tertuduh, kerana seseorang yang membuat kenyataan di bawah s. 112 dikehendaki bercakap benar; (v) seksyen 112 tidak menghendaki ‘amaran’ seperti yang diperuntukkan dalam s 113. Maka dapat dilihat bahawa s. 112 adalah kenyataan yang diambil dalam penyiasatan daripada orang-orang yang difikirkan boleh menjadi saksi, bukan dengan tujuan untuk menggunakannya sebagai keterangan terhadap pembuatnya. Oleh yang demikian soal amaran dan kesukarelaan tidak timbul.
Dilaporkan oleh Mariette Peters-Goh

Case(s) referred to:
Ang Chaing Lock v. PP [1967] 1 LNS 6, [1968] MLJ 207 (dirujuk)
Jayaraman & Ors v. PP [1982] CLJ 130 (Rep), [1982] CLJ 464 (dirujuk)
Krishnan v. PP [1981] 1 LNS 23, [1981] 2 MLJ 121 (dirujuk)
Loh Kwang Seang v. PP [1960] 1 LNS 64, [1960] 26 MLJ 271 (dibezakan)
Lorraine Phylis Cohen & Anor v. PP [1989] 1 CLJ 84 (Rep), [1989] 2 CLJ 131, [1989] MLJ 288 (dibezakan)
Mohamed Hanifah v. PP [1956] 1 LNS 69, [1956] 22 MLJ 83 (dirujuk)
Noliana Sulaiman v. PP [2001] 1 CLJ 36 (tidak diikuti)
PP v. Abdullah Ambek [1984] 2 CLJ 370 (Rep), [1984] 1 CLJ 190(dikuti)
Re Tan Ah Chuan & Anor [1954] 1 LNS 89, [1954] MLJ 135 (dibezakan)

Legislation referred to:
Criminal Procedure Code, ss. 112, 113, 114, 115, 162, 173(h)(i), (m)(ii), 307(3)
Evidence Act 1950, ss. 76, 80
Penal Code, s. 193
Counsel:
Sumber yang dirujuk:
Civil Procedure in Malaysia,Kamariah Majid, ms 119-120
Bagi pihak perayu – Jagjit Singh; T/n Jagjit Singh & Co
Bagi pihak responden – Vong Poh Fah; TPR

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamad HMR:
Perayu adalah seorang saksi dalam kes jenayah terhadap Datuk Sahar bin Arpan di Mahkamah Tinggi Melaka. Dalam perbicaraan itu (“perbicaraan pertama”) kebolehpercayaannya telah dicabar. (Dalam alasan penghakiman ini saya akan gunakan perkataan “kebolehpercayaan” sebagai bermakna “credit” atau “credibility” dan perkataan “dicabar” sebagai bermakna “impeached”.) Prosiding pencabaran itu adalah atas alasan bahawa keterangannya di mahkamah itu bercanggah dengan kenyataannya yang diberi kepada pegawai Badan Pencegah Rasuah.
Susulan daripada prosiding pencabaran itu perayu telah dituduh di Mahkamah Sesyen Melaka di bawah s. 193 Kanun Keseksaan(“perbicaraan kedua”). Dia didapati bersalah, disabitkan dan dihukum penjara selama dua tahun. Perayu merayu ke Mahkamah Tinggi yang menolak rayuannya dan mengesahkan sabitan dan hukuman. Perayu merayu ke mahkamah ini. Mahkamah ini juga telah menolak rayuannya dan mengesahkan sabitan dan hukuman terhadapnya. Sekarang kami memberi alasan-alasan kami mengapa kami berbuat demikian.
Walau pun pertuduhan itu agak panjang, nampaknya ia terpaksa diperturunkan juga untuk memahami alasan-alasan yang kami berikan ini. Pertuduhan pindaan terhadapnya adalah seperti berikut:
Bahawa kamu pada 12 November 1997 di antara jam 9.30 pagi hingga 1.00 petang di Mahkamah Tinggi 1, Melaka, di Daerah Melaka Tengah, Negeri Melaka, di dalam perbicaraan terhadap Datuk Sahar bin Arpan dalam kes jenayah Mahkamah Tinggi 1 Melaka No. kes 45-2-97, 45-3-97 di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi tersebut, telah menyatakan dalam keterangan iaitu:
a) Semasa saya pengarah urusan Ivory Heights saya ada tulis surat kepada Pentadbir Tanah Daerah Melaka Tengah. Saya cam dokumen ini (ID 8A). Ini surat permohonan kerajaan Mukim Bacang dan Bertam. Saya ada tandatangan surat ini (ID 8B).
b) Masa pengarah urusan saya ada tulis surat kepada Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Melaka saya cam (ID 70). Ini surat awak. Ada tandatangan saya (ID 70A). Tarikh surat ini adalah 2.5.1995.
c) Masa jadi pengarah urusan saya tak berapa ingat samada saya terima surat daripada Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Melaka. Saya tak ingat surat ini. Surat ini untuk perhatian saya. Saya tak berapa ingat. Saya sekarang ingat. Saya ingat saya terima surat daripada Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Melaka. Surat itu 3.5.95. Inilah suratnya (ID 71).
d) Selepas jumpa Orang Kena Tuduh saya ada tandatangan satu dokumen menjadi pengarah. Saya boleh cam dokumen itu. Borang ini (ID 67) saya tubuh syarikat. Saya minta pertolongan daripada Orang Kena Tuduh. Saya ambil sendiri dan tunjuk kepada Orang Kena Tuduh. Saya ambil daripada company yang saya beli. Saya beli Ivory Heights Sdn. Bhd. Di mana saya tandatangan ID 67 saya tak ingat.
e) Semasa saya pengarah urusan saya ada tandatangan resolusi perletakan jawatan. Saya boleh cam resolusi itu. Tiada siapa arah saya tandatangan ID 68. Saya tak ingat di mana saya tandatangan ID 68 ini. Lepas itu saya ada tandatangan satu dokumen perletakan jawatan (ID 69). Ada tandatangan saya (ID 69A). Saya letak jawatan awal 1995. Saya letak jawatan kerana saya tak berkemampuan bayar duit premium tanah iaitu untuk tanah kerajaan. Masa itu dah dapat. Tanah itu di Mukim Bacang & Bertam. Premium tanah kedua-duanya lebih kurang RM280,000. Masa saya letak jawatan saya tak ingat. Tak ada sesiapa arah saya tandatangan ID 69.
f) Semasa pengarah urusan saya ada terima sijil saham. Kalau tunjuk mungkin cam. Ini sijil itu (cam) (ID 60). Tandatangan saya di sijil (ID 60A). Saya dapat sijil saham ini daripada secretary. Tak orang arah saya tandatangan sijil ini.
g) Saya tahu alamat Ivory Heights. Alamatnya di No.23 Jalan Laksamana Cheng Ho, Air Leleh, Melaka. Saya pernah ke alamat ini. Dalam Ivory Heights saya pengarah urusan. Dalam Ivory Heights saya ada uruskan urusan Ivory Heights. Urusan yang saya kendalikan adalah permohonan tanah. Lain-lain secretary uruskan. Secretary adalah Tuan Hj. Mustadza b. Abu Bakar.
Dan, kamu dalam penyataan kepada pegawai-pegawai Badan Pencegah Rasuah dalam siasatan Badan Pencegah Rasuah berkaitan dengan Balai Polis Sentul Repot No.8461/96, telah memberi percakapan seperti berikut:-
a) Berdasarkan dari surat yang dirujuk kepada saya seperti di atas. (Permohonan Tanah Kerajaan di Mukim Bachang dan Bertam – PTMT A4/01/5008 bertarikh 26hb April 1995) saya menafikan ada menghantar surat dari Ivory Heights Sdn. Bhd. kepada Pentadbir Tanah dan Daerah Melaka Tengah. Tandatangan di atas nama Md. Yusop bin Omar selaku pengarah urusan adalah bukan tandatangan saya yang sebenar.
b) Berdasarkan dari surat yang dirujuk kepada saya seperti di atas, (Surat Ivory Heights Sdn. Bhd. kepada Pengarah Pengairan dan Saliran Melaka bertarikh 2.5.95) saya menafikan ada menghantar surat berkenaan dan juga tandatangan di atas nama Md. Yusof bin Omar, Pengarah Urusan adalah bukan tandatangan saya yang sebenar.
c) Berdasarkan dari surat yang dirujuk kepada saya seperti di atas (Surat dari Jabatan Pengairan dan Saliran, Melaka bertarikh 3.5.95), saya selaku pengarah urusan Ivory Heights Sdn. Berhad tidak pernah menerima dan melihat surat tersebut.
d) Saya sahkan bahawa saya pernah melihat borang 48A yang ditujukan tadi dan saya sahkan kedua-duanya adalah tandatangan saya. Saya menandatanganinya dipejabat tempat saya bekerja. Pada ketika itu waktu pagi jam lebih kurang 10.00 pagi. Y.B. Datuk Sahar Arpan dengan pemandunya berjumpa dengan saya di pejabat saya dan mengarahkan saya untuk menandatanganinya. Y.B. Datuk Sahar Arpan ada memberitahu saya katanya untuk pembukaan syarikat. Selepas itu ia terus beredar balik, bersamanya pemandunya En. Zaidi.
e) Saya sahkan saya ada menandatangani borang tersebut (Surat resolusi berkenaan perletakan jawatan Tuan Hj. Mustadza bin Abu Bakar dan surat perletakan jawatan sebagai Pengarah Syarikat bertarikh 1.4.95) dan saya sahkan ketiga-tiga dokumen yang ditunjukkan kepada saya tadi adalah tandatangan saya. Apa yang saya ingat selepas saya menandatanganinya saya serahkan balik kepada Datuk Sahar Arpan. Pada awal April 1995, selepas hari Raya Puasa dan selepas sembahyang Jumaat saya kebetulan berjumpa Datuk Sahar di masjid dan beliau mengarahkan saya datang seorang diri. Apabila sampai di rumah Datuk Sahar Arpan beliau mengarahkan saya menandatangani ketiga-tiga borang tadi dan beliau juga memberitahu saya supaya saya berhenti dari menjadi pengarah syarikat. Menurutnya syarikat itu sudah tidak aktif lagi. Selepas saya menandatanganinya, ketiga borang tadi diambil balik oleh Datuk Sahar Arpan, beliau juga tidak pernah memberikan kepada saya salinannya untuk rekod saya. Selepas itu saya pun balik ke rumah, memandangkan rumah saya tidak jauh dari rumah Datuk. Datuk tidak berkata apa-apa.
f) Saya sahkan saya ada menandatangan sijil tersebut dan tandatangan pengadu iaitu tandatangan saya di sijil tersebut. Pada pertengahan bulan Julai 1996 Datuk Sahar Arpan ada berjumpa saya di tapak semaian bunga Majlis Daerah Alor Gajah. Waktu itu ia memandu kereta Honda Accord No. MY 4 seorang diri. Jam lebih kurang 10.00 pagi Datuk Sahar mengarahkan saya menandatangan sijil ini dan tidak berkata apa-apa ia juga tidak memberitahu bahawa saham saya hendak ditukarkan atau dipindahkan kepada orang lain atau Luwe Sang Kau.
g) Saya tidak tahu di mana pejabat Ivory Heights Sdn. Bhd. untuk menguruskan Syarikat tersebut. Saya tidak tahu menahu mengenai pengurusan syarikat tersebut. Ia diuruskan oleh Y.B. Datuk Sahar bin Arpan kerana dia yang membawa surat-surat untuk saya tandatangani.
Satu daripada penyataan yang kamu tahu atau percaya adalah palsu atau tidak boleh dipercayai atau tidak percaya sebagai yang benar, dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan.
Hakim Mahkamah Sesyen telah menulis alasan penghakiman yang panjang lebar. Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar rayuannya juga telah menulis alasan penghakimannya, khususnya mengenai hujah-hujah yang dibangkitkan di hadapannya. Kami tidak akan memperturunkannya untuk mengelak alasan penghakiman ini menjadi terlalu panjang. Kami akan tumpukan kepada persoalan-persoalan yang dihujahkan di mahkamah ini dan merujuk kepada alasan-alasan penghakiman hakim-hakim itu di mana perlu.
Alasan No. 8 Dalam Petisyen Rayuan Penerimaan P2 Sebagai Keterangan
P2 adalah salinan nota keterangan perbicaraan pertama. Dalam perbicaraan itulah perayu memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke 16. Salinan nota keterangan itu telah dikemukakan sebagai P2 melalui Cik Norzita binti Abu Samah, Penolong Kanan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Melaka yang memberi keterangan dalam perbicaraan kedua sebagai “PW1”.
Nota keterangan perbicaraan pertama yang dikemukakan itu (P2) mengandungi nota keterangan perayu yang diberi pada 3 November 1997 dan 12 November 1997 dalam perbicaraan pertama itu. Di setiap muka surat P2 terdapat cop:
SALINAN DISAHKAN BENAR
(tandatangan)
NORZITA BTE. ABU SAMAH
Penolong Kanan Pendaftar
Mahkamah Tinggi Melaka,
Melaka.
27/11/97
Encik Jagjit Singh, peguam perayu menghujahkan bahawa salinan P2 tidak mengandungi “certificate” yang mengikut beliau bermakna “sijil” seperti yang dikehendaki oleh seksyen 76 Akta Keterangan. Disoal apakah “certificate” yang perlu ada, beliau menjawab “like “This is to certify that this is a true copy of…”
Seksyen 76 Akta Keterangan 1950 yang menjadi asas penghujahan peguam yang bijaksana itu memperuntukkan:
76. Every public officer having the custody of a public document which any person has a right to inspect shall give that person on demand a copy of it on payment of the legal fees therefor, together with a certificate, written at the foot of the copy, that it is a true copy of the document or part thereof, as the case may be, and the certificate shall be dated and subscribed by the officer with his name and his official title, and shall be sealed whenever the officer is authorized by law to make use of a seal, and the copies so certified shall be called certified copies.
Dengan hormat kepada peguam yang bijaksana itu, nampaknya hujah ini berbangkit daripada salah faham makna perkataan “certificate” itu. “Certificate” itu bukanlah “sijil”. Perkataan “certificate” dalam s. 76 itu adalah terbitan daripada kata dasar “certify”. Mengikut Kamus Inggeris Melayu Dewan perkataan “certify” bererti “mengesahkan, memperakui”. Mengikut kamus yang sama:
“Certificate n (various translations)” share — s, sijil syer; — of fitness, perakuan kelayakan; birth —, surat beranak; death —, surat akuan mati; Malaysian C — of Education, Sijil Pelajaran Malaysia.
Demikian juga dalam buku Istilah undang-undang keluaran Sweet & Maxwell perkataan “certificate” diterjemahkan sebagai “sijil; perakuan”.
Dari sini adalah jelas bahawa perkataan “certificate” itu dalam Bahasa Melayu mempunyai dua makna: pertama “sijil” dan, kedua, “pengesahan” atau “perakuan”. Adalah jelas bahawa perkataan “certificate” dalam seksyen itu membawa makna yang kedua itu, iaitu “pengesahan” atau “perakuan”. Kami berpendapat bahawa, untuk tujuan ini, kedua-dua perkataan “pengesahan” atau “perakuan” (kata kerjanya “mengesahkan” atau “memperakukan”) mempunyai makna yang sama dan boleh digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan-perkataan “certificate” dan “certify”.
Jadi, perkataan-perkataan “SALINAN DISAHKAN BENAR” yang digunakan itu jelas membawa maksud bahawa salinan nota keterangan itu adalah salinan yang disahkan betul mengenai isi kandungannya dibanding dengan nota keterangan yang diambil oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan pertama itu.
Dalam Bahasa Melayu kedua-dua perkataan “mengesahkan” dan “memperakukan” boleh digunakan dan digunakan dengan makna yang sama. Demikian juga “betul” dan “benar”. Apa yang dikehendaki oleh s. 76 itu ialah bahawa salinan itu adalah satu salinan yang disahkan atau diakui benar atau betul. Itu sahaja. Ia tidak menghendaki dibuat satu “sijil” lain untuk mengesah atau memperakui kebenarannya atau bahawa ia betul. Jauh sekali ia menghendaki adanya satu “sijil” yang berbentuk satu dokumen lain. Kerana seksyen itu sendiri dengan jelas menggunakan perkataan-perkataan “… a certificate, written at the foot of the copy…”. Ertinya pengesahan itu hendaklah ditulis dibahagian bawah salinan itu, bukan pada satu dokumen lain.
Kami juga dirujukkan kepada kes Noliana Sulaiman v. PP[2001] 1 CLJ 36. Dalam kes itu, disamping terdapat persoalan-persoalan lain yang berkait dengan peruntukan s. 76 dalam kes itu, perkataan yang digunakan ialah “SALINAN DIAKUI SAH”, manakala dalam kes ini “SALINAN DISAHKAN BENAR”. Kami difahamkan bahawa rayuan terhadap penghakiman itu telah dibuat ke mahkamah ini dan belum didengar. Oleh itu kami tidak mahu berkata sesuatu yang boleh disifatkan bahawa mahkamah ini telah pun memutuskan rayuan itu sebelum ianya didengar.
Kami juga berpendapat bahawa kes-kes lain yang dirujuk seperti Mohamed Hanifah v. PP[1956] 1 LNS 69, [1956] 22 MLJ 83 di mana pengesahan salinan berkenaan tidak bertarikh, tidaklah perlu dibincang. Persoalan-persoalan dalam kes-kes itu berlainan.
Kesimpulannya kami memutuskan bahawa pengesahan nota-nota keterangan (P2) dalam kes ini, seperti yang dilakukan adalah memadai untuk mematuhi kehendak s. 76 Akta Keterangan.
Satu hujah lagi yang dibangkitkan ialah bahawa pengesahan itu tidak mengatakan bahawa nota keterangan itu adalah cuma sebahagian daripada nota keterangan dalam perbicaraan pertama.
P2 adalah nota keterangan perayu dalam prosiding pencabaran itu. Ia bukanlah kesemua nota keterangan dalam keseluruhan perbicaraan pertama itu.
Memang benar bahawa s. 76 mengandungi kata-kata “or part thereof”, ertinya atau sebahagian daripadanya. Maka soalannya ialah sama ada ketiadaan kata-kata itu pada pengesahan salinan itu menyebabkan ianya tidak boleh diterima sebagai keterangan. Kami berpendapat ia boleh diterima sebagai keterangan.
Pertama, ketiadaan kata-kata itu tidak menjadikan apa yang terkandung dalam salinan itu tidak benar. Apa yang penting adalah kebenaran salinan itu. Malah semua peraturan yang disebut dalam s. 76 itu hanya mempunyai satu matlamat: untuk memastikan bahawa salinan yang dikemukakan adalah benar, bukan untuk menyusahkan atau kerana sebab-sebab lain.
Kedua, pengesahan itu dibuat di bahagian bawah setiap muka surat salinan itu. Ia mengesahkan apa yang ada pada muka surat itu, bukan yang tidak ada.
Ketiga bahagian yang dikemukakan itulah yang berkenaan dengan perbicaraan kedua, bukan yang lain.
Elok juga disebut bahawa dalam kes Ang Chaing Lock v. PP[1967] 1 LNS 6, [1968] MLJ 207, juga satu kes di bawah s. 193 Kanun Keseksaan, Ong Hock Sim H (pada masa itu) telah memutuskan:
I have stated that in my view it is also wrong in a charge of giving false evidence to attach the whole of trial record wherein the false evidence was alleged to have been made. It is sufficient to have an officer of the court produce a duly certified copy of that part of the evidence given by the appellant which is the basis of the charge.
Kami tidak dapati perlunya kami pergi sebegitu jauh dalam memutuskan rayuan ini. Cuma, apa yang kami tekankan ialah bahawa bahagian yang berkenaan itulah yang perlu dikemukakan. Dalam kes ini ianya dikemukakan.
Kembali kepada kes ini, P2, sambil merupakan nota keterangan keseluruhan prosiding pencabaran dalam perbicaraan pertama yang menjadi asas pertuduhan dan perbicaraan kedua, adalah sebahagian daripada nota keterangan perbicaraan pertama. Dalam keadaan ini, sama ada ia merupakan keseluruhan atau sebahagian daripada nota keterangan perbicaraan terletak kepada dari segi mana ia dilihat.
Kami berpendapat bahawa ketiadaan kata-kata itu bukanlah satu kecacatan atau ketidakpatuhan peruntukan s. 76 yang mematutkan P2 tidak diterima sebagai keterangan.
Kami juga berpendapat bahawa kes-kes seperti Re Tan Ah Chuan & Anor[1954] 1 LNS 89, [1954] MLJ 135 dan Mohamed Hanifah v. PP[1956] 1 LNS 69, [1956] 22 MLJ 83 di mana pengesahan itu tidak bertarikh boleh dibezakan, kerana ketiadaan tarikh itu boleh membawa kepada kecurigaan tentang pengesahan itu sendiri kerana bila ia dilakukan pun tidak diketahui. Dalam keadaan kes ini, pengesahan dibuat kepada bahagian nota keterangan yang disahkan. Keseluruhan apa yang disahkan itulah yang dikemukakan sebagai P2, yang juga adalah nota keterangan keseluruhan prosiding pencabaran tetapi sebahagian daripada nota keterangan keseluruhan perbicaraan pertama. Itulah bahagian, kalau hendak dikatakan “bahagian”, yang menjadi asas pertuduhan terhadap perayu. Bahagian-bahagian lain perbicaraan pertama tidak berkenaan dalam perbicaraan kedua. Lagi pula Penolong Kanan Pendaftar yang mengesahkan salinan nota keterangan itu sendiri memberi keterangan dalam perbicaraan kedua. Soal balas terhadapnya amat ringkas. Tiada apa-apa soalan dikemukakan mengenai persoalan yang dibangkitkan.
Dalam semua keadaan ini kami berpendapat bahawa P2 telah diterima sebagai keterangan dengan betul.
Alasan No. 3 Dalam Petisyen Rayuan Dua Alasan Penghakiman
Dalam perbicaraan perayu, diakhir kes pendakwaan, Hakim Mahkamah Sesyen itu memberi apa yang dicatat dalam nota keterangan sebagai “oral judgment”, yang lebih kurang sepuluh muka surat, seperti yang ditaip dalam rekod rayuan. Dalam penghakiman lisan itu, Hakim Mahkamah Sesyen itu membincang persoalan-persoalan yang berbangkit dalam penghujahan kedua belah pihak di akhir kes pendakwaan. Persoalan-persoalan yang dibincangkan itu meliputi, disebut secara ringkas sahaja, persoalan-persoalan mengenai P2, P4A dan P4B dan tahap pembuktian. Alasan-alasan ini diberi oleh Hakim Mahkamah Sesyen dalam menimbang dan membuat keputusan untuk memanggil perayu membela diri.
Apabila hujah kedua belah pihak di akhir kes selesai pada 2 Jun 1998, Hakim Mahkamah Sesyen itu telah menangguhkan kes kepada 20 Jun 1998 untuk memberi keputusan. Dalam tempoh itu nampaknya beliau telah menulis alasan penghakiman setebal 49 mukasurat seperti yang terdapat dalam rekod rayuan itu. Pada 20 Jun 1998 beliau membaca alasan penghakiman itu.
Dalam alasan penghakiman itu (yang dipanggil “alasan penghakiman kedua” oleh peguam perayu), Hakim Mahkamah Sesyen itu bermula dari awal dengan memperturunkan pertuduhan, membincang intipati kesalahan berdasarkan keterangan yang dikemukakan di peringkat pendakwaan dan menyimpulkan:
For the reasons given above, at the close of the case for the prosecution, I found that the prosecution had made a prima facie case against the accused on the offence charged and accordingly the accused was called upon to enter on his defence.
Selepas itu beliau menimbang pembelaan perayu termasuk di bawah tajuk-tajuk seperti soal kesukarelaan kenyataan perayu, sama ada kenyataan perayu dirakamkan dengan betul, penjelasan perayu mengenai percanggahan zahir kenyataannya dengan keterangannya, pengecaman (identification) P4A dan P4B, sama ada kenyataannya dalam bentuk cerita atau soal jawab dan beban pembuktian di akhir kes pembelaan dan disudahi dengan keputusannya. Sayugia disebut bahawa mengenai tajuk kebolehterimaan P2 (nota keterangan perbicaraan pertama) beliau cuma berkata:
I have already dealt with this issue in my oral judgment delivered at the close of the prosecutions case.
Berdasarkan apa yang dilakukan oleh Hakim Mahkamah Sesyen itu, peguam perayu dalam hujah bertulisnya yang diberikan kepada mahkamah ini menghujahkan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar rayuan daripada Mahkamah Sesyen itu silap apabila beliau memutuskan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen tidak menulis dua alasan penghakiman. Peguam perayu itu menghujahkan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah menulis dua alasan penghakiman memberi sebab-sebab mengapa beliau memanggil perayu membela diri. Beliau meminta mahkamah ini supaya tidak mengambil kira “alasan penghakiman kedua” itu.
Tetapi, semasa berhujah di mahkamah ini, setelah disoal oleh kami, beliau mengatakan:
The point is not so much about two judgments. But in the final judgment he (Hakim Mahkamah Sesyen – ditambah) looked at the revealed statement.
Ini nampak seolah-olah bahawa soal terdapat satu atau dua alasan penghakiman itu telah digugurkan atau sekurang-kurangnya tidaklah ditekankan sangat.
Walau bagaimanapun eloklah kami menyentuh mengenainya.
Hujah mengenai dua penghakiman ini telah dibangkitkan di Mahkamah Tinggi semasa rayuan perayu didengar di mahkamah itu dulu. Hakim Mahkamah Tinggi yang bijaksana itu, dalam penghakimannya berkata:
On the issue of admissibility of the notes of proceeding (exh. P2) the learned Judge did not deliberate any further than to state that he had dealt with the issue in his oral judgment delivered at the close of the prosecution case. I am of the view therefore that the learned Judge having delivered an oral judgement read out from a written text at the end of the prosecution case and subsequently adopt the oral judgement in his written judgement at the end of the defence case, as is the case here, there are no two judgements. Similarly where the learned Judge delivered an oral judgement at the end of the prosecution case on the issue whether the Appellant’s statements to the ACA officers be produced in whole or in part and subsequently did not deliberate further on the same issue at the end of the defence case, I hold that there are no 2 judgements on the issue. The learned Judge had not orally delivered a written judgement of decision which he subsequently supplemented or amplified in another written grounds of decision which according to Rigby J. in Loh Kwang Seang v. PP[1960] 1 LNS 64, [1960] 26 MLJ 271 is not permissible nor did he alter or review the same in contravention of section 278 Criminal Procedure Code.
Kami bersetuju dengan pandangan hakim yang bijaksana itu.
Untuk mendapat gambaran yang betul dan lengkap dan mengelak daripada salah arah, eloklah kita kembali kepada peruntukan Kanun Acara Jenayah (KAJ) dalam hal yang berkenaan.
Seksyen 173(h)(i) memperuntukkan:
(h)(i) If the Court finds a prima facie case has been made out against the accused on the offence charged, the Court shall call upon the accused to enter on his defence.
Seksyen 173 (m)(ii)KAJ memperuntukkan:
(ii) If the Court finds that the prosecution has proved its case beyond reasonable doubt, the Court shall find the accused guilty and he may be convicted on it and the Court shall pass sentence according to law.
Seksyen 307(3) KAJ memperuntukkan:
(3) When a notice of appeal has been lodged the Court appealed from shall make a signed copy of the grounds of decision in the case and cause it to be served upon the appellant or his advocate by leaving the said copy at the address mentioned in the notice of appeal or by posting it by registered post addressed to the appellant at the said address.
Daripada peruntukan-peruntukan ini adalah jelas bahawa di akhir kes pendakwaan jika hakim bicara (perkataan “hakim” di sini termasuklah majistret, Hakim Mahkamah Sesyen dan Hakim Mahkamah Tinggi) mendapati bahawa terdapat satu kes prima facie, beliau hendaklah memanggil tertuduh membela diri. Beliau tidak perlu memberi apa-apa alasan mengenai keputusannya itu. Demikian juga di akhir perbicaraan kes itu. Jika beliau dapati bahawa pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah, beliau hendaklah membuat keputusan bahawa tertuduh bersalah, mensabitkannya dan menjatuhkan hukuman. Alasan-alasan juga tidak perlu diberi. Cuma, jika ada rayuan, barulah beliau dikehendaki menyediakan dan menandatangani alasan-alasan keputusannya, yang biasanya dipanggil “alasan penghakiman”.
Tetapi, dalam suatu kes yang perbicaraannya memakan masa yang panjang, di mana banyak persoalan undang-undang dibangkitkan, hakim-hakim bicara kerap kali memberi alasan-alasannya secara ringkas mengenai keputusannya. Ini adalah satu amalan yang baik. Jika tidak mungkin pihak-pihak berkenaan tertanya-tanya apakah alasan beliau berbuat demikian. Mungkin juga ada pihak yang beranggapan bahawa beliau telah tidak menimbang sewajarnya hujahnya atau telah tersalah arah.
Dalam suatu kes yang rumit, hakim-hakim itu mungkin menulis alasan-alasan itu secara ringkas dan membacanya. Itulah yang dilakukan dalam kes ini. Tetapi, dalam kes ini alasan-alasan itu dicatat dalam nota keterangan. Kami percaya ini dilakukan dengan niat yang baik untuk mengelak tuduhan bahawa nota keterangan itu tidak lengkap.
Demikian juga di akhir perbicaraan, semasa memberi keputusannya, kerapkali hakim-hakim bicara memberi alasan-alasan ringkas mengapa mereka membuat keputusan seperti yang dibuatnya. Ini juga dilakukan dengan tujuan yang sama.
Dalam kes ini, disebabkan panjang dan rumitnya kes itu, Hakim Mahkamah Sesyen itu telah menangguhkan kes itu selama 18 hari selepas mendengar hujah akhir kedua-dua belah pihak untuk memberi keputusannya. Dalam masa 18 hari itu beliau telah menulis alasan penghakimannya sepanjang 49 muka surat di samping, kami percaya, membicarakan kes-kes lain. Bahawa beliau boleh berbuat demikian patutlah dipuji. Alasan penghakiman bertulis yang lengkap inilah yang dibaca dalam mahkamah semasa beliau memberi keputusan di akhir perbicaraan itu. Dan alasan inilah alasan penghakiman yang ditandatangani seperti yang dikehendaki oleh s. 307(3) KAJ.
Kami berpendapat bahawa bukanlah “salah” (“wrong”) atau salah aturan bagi Hakim Mahkamah Sesyen itu memberi alasan-alasan mengapa beliau memanggil perayu membela diri. Malah itu adalah satu amalan yang baik. Demikian juga jika seseorang hakim bicara itu berbuat demikian semasa memberi keputusan di akhir kes, jika beliau tidak sempat menulis alasan penghakiman lengkap di peringkat itu. Kami juga berpendpat adalah tidak “salah” atau salah aturan jika hakim-hakim bicara membuat catatan dan membacanya semasa memberi alasan-alasan mengapa mereka memanggil tertuduh membela diri atau sebaliknya atau mendapatinya bersalah atau sebaliknya. Ini untuk mengelak kesilapan yang mungkin berlaku. Kami juga berpendapat bahawa adalah tidak “salah” atau salah aturan jika alasan-alasan itu kemudian ditaip sebagai sebahagian daripada nota keterangan. Bahawa ianya ditulis, dibaca dan direkodkan tidaklah menjadikannya suatu alasan penghakiman yang ditandatangani di bawah s. 307(3) KAJ. Maka soal “dua alasan penghakiman” tidak timbul.
Dalam kes ini kami bersetuju dengan Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar rayuan perayu bahawa tidak terdapat dua alasan penghakiman. Ini kerana alasan-alasan yang diberi secara lisan, walau pun ditulis dan dibaca, walaupun dicatat dalam nota-nota keterangan, bukanlah alasan penghakiman yang ditandatangani mengikut s. 307(3) KAJ. Juga, dipandang dari sudut lain hakikat bahawa Hakim Mahkamah Sesyen itu menerima pakai (“adopt”) alasan-alasan itu dalam alasan penghakimannya yang ditandatangani itu menunjukkan bahawa ia adalah sebahagian daripada alasan penghakiman yang ditandatangani itu. Beliau berbuat demikian untuk mengelak alasan penghakiman yang ditandatangani itu menjadi terlalu panjang dengan mengulanginya.
Kes Loh Kwang Seang v. PP[1960] 1 LNS 64, [1960] 26 MLJ 271 sangat berbeza. Dalam kes itu Yang Di Pertua Mahkamah Sesyen itu cuma menyediakan alasan penghakiman yang ditandatangani selepas notis rayuan difail. Alasan penghakiman yang ditandatangani itu diserahkan (“served”) kepada peguam perayu dalam kes itu. Selepas itu, beliau menambah sebanyak 27 baris dan menghantarkan muka surat baru itu kepada peguam perayu sebagai ganti kepada muka surat asal yang berkenaan. Apa yang berlaku dalam kes itu berlainan sekali daripada apa yang berlaku dalam kes ini.
Demikian juga dengan kes Lorraine Phylis Cohen & Anor v. PP[1989] 1 CLJ 84 (Rep), [1989] 2 CLJ 131, [1989] MLJ 288. Dalam kes itu juga dua penghakiman bertulis yang ditandatangani diberi selepas selesai perbicaraan. Ia berbeza dengan apa yang dilakukan dalam kes ini.
Alasan 4, 5 Dan 6 Dalam Petisyen Rayuan Penerimaan P4A dan P4B Sebagai Keterangan
Untuk memahami hujah-hujah di bawah tajuk ini, sekali lagi perlu disebut apa yang berlaku dari awalnya.
Ekshibit P4B adalah kenyataan asal perayu yang dirakamkan di bawah s. 112 KAJ. Ekshibit P4A adalah salinan bertaip kenyataan perayu itu. Ertinya, P4A adalah salinan daripada P4B. Ekshibit P4A adalah dokumen yang digunakan dalam prosiding pencabaran dalam perbicaraan pertama. Dalam perbicaraan kedua, kedua-dua kenyataan itu telah dikemukakan. PW3, PW5 dan PW6 pegawai-pegawai yang merakam percakapan perayu itu, memberi keterangan bahawa mereka menyemak isi kandungan P4A dengan P4B dan mendapati kedua-dua sama atau betul.
Dalam perbicaraan kedua, peguam perayu tidak membantah penerimaan P4B sebagai eksibit. Tetapi, penerimaan P4A sebagai eksibit dibantah kerana ia tidak mengandungi tandatangan tertuduh.
Hakim Mahkamah Sesyen memutuskan seperti berikut:
It is obvious from the charge that it is incumbent upon the prosecution to produce the original statement (P4B – ditambah) which the accused made to the BPR officer in connection with Sentul Report 8461/96. This prosecution has done with the production of the original statement of the accused (exhibit P4B).
Hence, it is my humble view that the typed statement (P4A) which was used in the impeachment proceedings is wholly irrelevant to the instant proceedings. It is not the law that impeachment is a precondition for a prosecution under section 193 Penal Code. In this regard, the fact that the original statement of the accused was not shown to accused or tendered during the impeachment exercise in the High Court is irrelevant.
Mengenai persoalan yang sama, Hakim Mahkamah Tinggi yang sebelum ini mendengar rayuan perayu berikan:
The Appellant challenged the admissibility of Exhibit P4A. Let it doubtlessly be stated that in a prosecution for the offence of perjury the prosecution must prove that the accused in the witness box deliberately made two statements which are so contradictory to and irreconcilable with each other that both cannot possibly be true, the first being a statement made under oath in the witness box and the other (as in this case) being a statement made under section 112 Criminal Procedure Code. The section 112 statement must be the statement marked as Exhibit P4B namely the original statement. P4A cannot be a substitute for the original statement nor on its own be admissible evidence unless the original statement is unavailable and duly explained. (Krishnan v. PP[1981] 1 LNS 23, [1981] 2 MLJ 121). But where the original statement exhibit P4B is produced and the typewritten statement is also produced and the contents are proved to be the same as the original statement, both are admissible, the latter tendered for ease of reference only.
Hujah yang sama dikemukakan di mahkamah ini.
Kami bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh kedua-dua Hakim Mahkamah Sesyen dan Hakim Mahkamah Tinggi mengenainya. Kami bersetuju bahawa apa yang penting dalam perbicaraan perayu ialah bahawa kenyataan asal (P4B) dikemukakan. Bahawa dalam perbicaraan pertama P4A telah digunakan dan tidak P4B tidak ada kena mengena dengan perbicaraan kedua. Perbicaraan pertama itu adalah untuk mencabar kebolehpercayaannya dalam perbicaraan orang lain. Sama ada prosiding pencabaran terhadap perayu dilakukan atau tidak, dan jika dilakukan, apa keputusannya, tidak menjadi pra-syarat untuk perayu dituduh dan dibicarakan di bawah s. 193 Kanun Keseksaanseperti yang dilakukan dalam kes ini. Hujah ini tidak berasas.
Peguam perayu juga mengemukakan hujah mengenai pendedahan keseluruhan P4A dan P4B.
Sekali lagi, untuk memahami hujah ini, latar belakangnya perlu diberi.
Dalam perbicaraan pertama, dalam prosiding pencabaran kebolehpercayaan perayu, semasa P4A dikemukakan, bahagian-bahagian yang tidak berkenaan dengan prosiding pencabaran itu ditutup. Sebabnya boleh difahami. Pihak pendakwaan hendak mengelak kemungkinan tuduhan bahawa hakim dalam perbicaraan pertama telah diprejudiskan kerana membaca kenyataan-kenyataan yang prejudicial terhadap tertuduh dalam kes itu yang tidak atau tidak boleh dikemukakan sebagai keterangan dalam perbicaraan pertama itu. Apa yang hendak ditunjukkan kepada hakim itu ialah bahagian-bahagian kenyataan perayu yang bercanggah dengan keterangannya di mahkamah. Dan bahagian itulah yang didedahkan.
Dalam perbicaraan kedua, P4A dikemukakan dalam keadaan yang sama: bahagian yang ditutup dalam perbicaraan pertama masih tertutup. Dan, apabila P4B yang tidak dikemukakan dalam perbicaraan pertama dikemukakan dalam perbicaraan kedua, bahagian-bahagian P4A yang ditutup juga ditutup dalam P4B. Sebabnya juga mudah difahami: supaya kedua-duanya serupa.
Hakim Mahkamah Sesyen, semasa membuat keputusan untuk memanggil perayu membela diri juga mengarahkan bahawa bahagian yang ditutup itu didedahkan. Selepas itu beliau memberi masa selama sehari kepada peguam perayu untuk meneliti kenyataan yang telah didedah itu.
Peguam perayu menghujahkan bahawa oleh sebab P4A dan P4B telah dikemukakan dengan sebahagiannya tertutup, Hakim Mahkamah Sesyen tidak boleh mendedahnya. Sebaliknya, beliau juga menghujahkan bahawa P4A dan P4B tidak sepatutnya dikemukakan dengan sebahagiannya tertutup. Perbuatan itu mengakibatkan mahkamah tidak dapat membuat keputusan yang adil.
Timbalan Pendakwa Raya telah menghujahkan bahawa pertuduhan terhadap perayu adalah mengenai kenyataan-kenyataanya yang tertentu (specific), bukan kesemuanya. Walau bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya itu mengatakan bahawa mahkamah berhak melihat keseluruhan kenyataan itu tanpa menunjukkannya kepada pembelaan. Timbalan Pendakwa Raya itu juga menjelaskan bahawa dokumen itu dikemukakan dengan cara demikian kerana itulah caranya ia dikemukakan dalam perbicaraan pertama. (Ini terdapat dalam “penghakiman lisan” Hakim Mahkamah Sesyen itu).
Hakim Mahkamah Sesyen itu telah mengikuti kes PP v. Abdullah Ambek[1984] 2 CLJ 370 (Rep), [1984] 1 CLJ 190dan mengarahkan kesemua kenyataan itu didedahkan, ditunjuk kepada pihak pembelaan dan memberi masa kepadanya untuk mengkaji keseluruhan kenyataan itu sebelum perayu memberi keterangan untuk membela diri.
Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar rayuan perayu bersetuju dengan keptutusan dan arahan Hakim Mahkamah Sesyen itu. Kami juga bersetuju dengan mereka.
Kami mengambil perhatian bahawa dalam suatu prosiding cabaran hanya bahagian-bahagian berkenaan sahaja yang ditunjuk kepada hakim bicara. Ini adalah untuk mengelak hakim yang sedang membicarakan kes itu daripada mengetahui dan terpengaruh dengan kenyataan-kenyataan lain yang tidak atau tidak boleh dikemukakan sebagai keterangan dalam perbicaraan itu.
Tetapi dalam perbicaraan di bawah s. 193 Kanun Keseksaanseperti dalam kes ini, masalah itu tidak timbul lagi. Maka bahagian-bahagian lain itu tidak perlu ditutup lagi. Malah kesemuanya patut didedahkan. Oleh itu tindakan Hakim Mahkamah Sesyen mengarahkan bahagian-bahagian yang ditutup itu didedah adalah betul.
Soalan yang lebih penting ialah sama ada dalam keadaan dokumen itu dikemukakan oleh pendakwaan (iaitu sebahagiannya tertutup) ia memprejudiskan perayu. Kami berpendapat tidak. Sebabnya ialah, pertama, bahagian-bahagian itu bukanlah yang menjadi asas pertuduhan, malah tidak berkenaan.
Kedua, memang betul, kerana bahagian-bahagian itu ditutup, peguam perayu tidak mempunyai peluang menyoal balas saksi-saksi pendakwaan mengenai bahagian-bahagian itu. Tetapi, jika peguam perayu telah berbuat demikian, Timbalan Pendakwa Raya juga akan boleh membuat pemeriksaan semula saksi-saksi pendakwaan itu untuk memperbaiki apa-apa kelemahan kesnya hasil daripada soal balas peguam perayu itu.
Dalam kes ini, bukan sahaja peguam perayu tidak berpeluang menyoal balas saksi-saksi pendakwaan mengenai bahagian-bahagian yang ditutup itu, tetapi Timbalan Pendakwa Raya juga tidak berpeluang menyoal semula saksi-saksinya. Sebaliknya pihak pembelaan berpeluang mengkaji bahagian-bahagian itu sebelum perayu dan saksi-saksinya memberi keterangan. Pihak pembelaan berpeluang mengemukakan apa-apa keterangan mengenai bahagian itu melalui perayu dan saksi-saksinya buat kali pertama selepas pendakwaan menutup kesnya. Pihak pendakwaan cuma boleh menyoal balas perayu dan saksi-saksinya, bukan mengemukakan keterangan melalui saksi-saksinya sendiri. Itu pun tertakluk kepada pemeriksaan semula oleh peguam perayu terhadap saksi-saksi pembelaan. Hakikatnya ialah bahawa, apa yang berlaku dalam kes ini adalah lebih menguntungkan pembelaan.
Adakah cara dokumen itu dikemukakan menyebabkan hakim bicara itu tidak dapat membuat suatu keputusan yang adil dan saksama? Kami berpendapat tidak.
Kita mesti ingat bahawa di akhir kes pendakwaan tahap pembuktian yang perlu dilakukan oleh pendakwaan untuk membolehkan seseorang tertuduh membela diri hanya sekadar membuktikan suatu kes prima facie. Tetapi, beban itu menjadi lebih berat di akhir kes pembelaan, iaitu melampaui keraguan yang menasabah. Jika hujah bahawa tanpa mendedahkan bahagian-bahagian itu memprejudiskan perayu itu benar, adalah tidak munasabah bahawa tanpa mendedahnya pendakwaan cuma berjaya membuktikan sekadar suatu kes prima facie tetapi setelah ia didedah, setelah pihak pembelaan diberi peluang menelitinya sebelum memulakan pembelaannya, setelah pihak pembelaan memanggil saksi-saksinya untuk memberi keterangan dan menjelaskan bahagian-bahagian yang sebelumnya tertutup itu (manakala pendakwaan tidak berpeluang berbuat demikian melalui saksi-saksinya) kes terhadap perayu boleh menjadi lebih kuat sehingga ke tahap melampaui keraguan yang munasabah.
Atas alasan-alasan ini kami dapati bahawa hujah peguam perayu mengenai isu ini tidak berasas.
Alasan 9 Dalam Petisyen Rayuan Soal Kesukarelaan Kenyataan Perayu
Peguam perayu menghujahkan bahawa selepas mengarahkan keseluruhan kenyataan perayu didedahkan selepas kes pendakwaan telah ditutup, hakim bicara tidak mengarahkan supaya PW3, PW5 dan PW6 dipanggil semula untuk pemeriksaan awal seterusnya untuk mengecamkan P4A dan P4B pada keseluruhannya dan juga gagal memberi peluang kepada pembelaan untuk menyoal balas mereka. Ini melanggar peruntukan s. 162 KAJ, katanya.
Perlu diambil ingatan bahawa kedua-dua belah pihak telah tidak memohon berbuat demikian.
Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar rayuan ini telah menolak hujah ini atas alasan-alasan bahawa s. 162 KAJadalah mengenai panggilan semula saksi-saksi selepas pertuduhan dipinda manakala arahan supaya bahagian-bahagian yang ditutup itu didedahkan bukanlah meminda pertuduhan. Lagi pula kedua-dua belah pihak pun tidak memohon berbuat demikian, katanya.
Kami bersetuju dengan pandangannya. Juga, ketiga-tiga pegawai perakam (PW3, PW5 dan PW6) dalam keterangan mereka telah pun mengatakan bahawa mereka masing-masing telah menyemak isi kandungan P4A dengan P4B dan mendapatinya sama. Semestinya semakan itu dibuat sebelum perbicaraan pertama dan sebelum sebahagiannya ditutup kerana penutupan itu semestinya cuma dilakukan semasa kebolehpercayaan perayu hendak dicabar dalam perbicaraan itu. P4A dan P4B itulah yang telah dikemukakan dan dicam oleh mereka dalam perbicaraan kedua ini, sama ada sebahagiannya ditutup atau didedahkan kemudiannya. Maka soal mengecamkannya semula tidak timbul.
Berkaitan dengan alasan ini ialah soal pembuktian kesukarelaan kenyataan perayu itu. Peguam perayu menghujahkan bahawa suatu perbicaraan dalam perbicaraan mestilah diadakan untuk membuktikan bahawa kenyataan perayu itu dibuat dengan sukarela.
Dalam perbicaraan kes ini, memang perbicaraan dalam perbicaraan tidak diadakan.
Hakim Mahkamah Sesyen, dalam alasan penghakimannya telah membincang hujah ini dan memutuskan bahawa perbicaraan dalam perbicaraan tidaklah perlu. Beliau membezakan kes Krishnan v. PP[1981] 1 LNS 23, [1981] 2 MLJ 121, yang dirujuk oleh peguam perayu sebagai otoriti atas dua alasan. Pertama, kes itu adalah suatu prosiding pencabaraan, manakala kes ini adalah suatu perbicaraan pertuduhan di bawah s. 193 Kanun Keseksaan. Kedua, kenyataan dalam kes itu adalah kenyataan beramaran (cautioned statement) di bawah s. 113 KAJmanakala dalam kes ini kenyataan berkenaan dirakamkan di bawah s. 112KAJ di mana kesukarelaan tidak perlu dibuktikan.
Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar rayuan kes ini bersetuju dengan keputusan dan alasan Hakim Mahkamah Sesyen itu. Beliau juga menekankan bahawa kes Krishnan v. PP[1981] 1 LNS 23, [1981] 2 MLJ 121 itu, persoalan yang dibincangkan oleh Mahkamah Persekutuan itu ialah bilakah waktu yang lebih sesuai untuk membuktikan kesukarelaan pemberian kenyataan di bawah s. 113 KAJdalam suatu prosiding pencabaran kebolehpercayaan.
Di mahkamah ini, peguam perayu merujuk kepada kes Noliana Sulaiman v. PP[2001] 1 CLJ 36.
Perlu disebut bahawa pada masa kes ini dibicarakan dan rayuannya didengar oleh Mahkamah Tinggi, kes Noliana Sulaiman v. PP[2001] 1 CLJ 36belum diputuskan. Maka perlulah mahkamah ini memutuskan sama ada dalam suatu perbicaraan pertuduhan di bawah s. 193 Kanun Keseksaanyang melibatkan percanggahan antara kenyataan seorang saksi kepada polis di bawah s. 112 KAJdengan keterangannya di mahkamah, pihak pendakwaan perlu membuktikan bahawa kenyataan itu dibuat dengan sukarela sebelum ia boleh diterima sebagai keterangan. Dari kajian sepintas lalu semasa menyediakan penghakiman ini, kami tidak dapat menemui penghakiman-penghakiman mahkamah di Malaysia mengenai persoalan ini selain daripada dua penghakiman yang dirujukkan oleh peguam perayu itu.
Dua penghakiman Mahkamah Tinggi di Malaysia itu ialah PP v. Abdullah Ambek[1984] 2 CLJ 370 (Rep), [1984] 1 CLJ 190dan Noliana Sulaiman v. PP[2001] 1 CLJ 36.
Dalam kes PP v. Abdullah Ambek[1984] 2 CLJ 370 (Rep), [1984] 1 CLJ 190, seperti dalam kes ini, Abdullah Ambek telah dituduh di bawah s. 193 Kanun Keseksaanmengenai kenyataannya kepada polis dan keterangannya di mahkamah. Dzaiddin H (pada masa itu), semasa membincang kes pembelaan, antara lain, menyatakan bahawa tertuduh menafikan kebenaran isi kandungan P5. Tertuduh mengaku bahawa sebahagian daripada P5 adalah kenyataan yang diberi olehnya kepada PW3, tetapi menafikan sekeras-kerasnya bahawa dia mengetahui bahagian yang digaris di bawahnya itu. Hakim yang arif itu seterusnya berkata:
His reasons were that after constant questioning by PW3, the answers, which were formulated by DSP Bashir, were forced down his throat and made it appear that they were his own statement. ASP Azmi typed the answers. Again, because of intensive interrogation, he stated he was not conscious of what he was saying at the material time. He could not think properly and he was unfit as his legs were swollen.
Hakim yang arif itu seterusnya memberi keputusannya, antara lain, seperti berikut:
I entirely agree with the submission of the learned Solicitor General that at the time of recording the statement in P5, the accused was conscious and was fully aware of the statement which he made.
24. On the question of the admissibility of P.5, I am of the opinion that it is not relevant for the purpose of determining the guilt of the accused in this case. It might have been true that the accused was under police pressure when he gave the statement P.5. But, that is not the issue before me. What is in issue is whether he did make the statement on 21st April 1982 falsely that he either knew or believed it to be false or did not believe it to be true.
26. In my judgment, the accused’s defence that the statement in P.5 was given by him under police pressure and what he stated in evidence on 10th December 1982 was the whole truth is not a valid defence because both have no relevancy in the present case. Such considerations as pointed out in Gour (supra) at page 1573 “may have a bearing on the question of sentence but not on the question of guilt”. See also Public Prosecutor v. Nagalinga Reddy [1959] AIR AP 250.
Hakim Augustine Paul, dalam kes Noliana Sulaiman v. PP[2001] 1 CLJ 36telah membincang persoalan ini dengan panjang lebar. Saya akan cuba meringkaskannya, kerana memetiknya akan menjadikan penghakiman ini terlalu panjang.
Kepada hujah bahawa suatu perbicaraan dalam perbicaraan perlu diadakan untuk menentukan kesukarelaan kenyataan di bawah s. 112 KAJberkenaan, beliau berkata bahawa keperluan itu hanya akan berbangkit jika s. 112 itu sendiri menghendaki bahawa suatu kenyataan di bawah s. 112 mestilah dibuat dengan sukarela. Oleh sebab s. 112 tidak menghendaki demikian, maka ia tertakluk kepada peruntukan s. 114yang hendaklah dibaca bersama-sama s. 112. Ringkasnya s. 114 melarang pegawai polis daripada menghalang atau tidak menggalakkan seseorang daripada membuat sesuatu kenyataan secara sukarela. Jika kedua-dua seksyen itu dibaca bersama, maka kenyataan yang dibuat di bawah s. 112 mestilah suatu kenyataan yang dibuat dengan sukarela. Jika tidak kenyataan itu akan hilang nilainya (“loses its value”).
Seterusnya beliau membuat kesimpulan:
I am therefore of the view that a statement recorded under s. 112 must have been voluntarily made before it can have any value as evidence. This is significant in a prosecution for perjury as such a statement will form the foundation of the case. If the police statement was not voluntary it may well be that the testimony given in court is true (see Nayeb v. R 38 CWN 636). Thus I am unable to agree with the view expressed in PP v. Abdullah Ambek [1984] 1 CLJ 189 that the voluntariness of a police statement in a prosecution for perjury may be relevant only in mitigation of sentence.
Seterusnya beliau menimbang soalan atas pihak manakah beban membuktikan kesukarelaan itu terletak. Setelah membincangnya dengan panjang lebar beliau memutuskan bahawa kenyataan di bawah s. 112yang dibuat selepas pindaan kepada KAJ (oleh Akta A324 berkuatkuasa mulai 10 Januari 1976) boleh di terima sebagai “keterangan” di bawah s. 80 Akta Keterangan. Oleh itu, andaian yang diperuntukkan dalam s. 80 itu terpakai. Kesannya ialah bahawa beban membuktikan kesukarelaan terletak ke atas tertuduh.
Maka terdapat dua persoalan pokok di sini. Pertama, adakah soal kesukarelaan itu satu isu yang relevan kepada kenyataan di bawah s. 112 yang hendak digunakan dalam suatu perbicaraan di bawah s. 193 Kanun Keseksaan? Kedua, jika relevan, di atas pihak manakah terletak beban membuktikannya?
Kami akan cuba menjawab soalan pertama dahulu.
Seksyen 112, sebelum dipinda, antara lain, memberi kuasa kepada seorang pegawai polis yang membuat siasatan polis memeriksa secara lisan seseorang yang difikirkan mengetahui mengenai fakta dan keadaan kes itu dan hendaklah merekodkan secara bertulis apa-apa kenyataan yang dibuat oleh orang itu. Orang itu hendaklah menjawab semua soalan yang diajukan kepadanya, melainkan jika jawapan kepada soalan itu mungkin mendedahkannya kepada suatu pertuduhan jenayah, penalti atau “forfeiture”. Orang itu hendaklah memberi jawapan yang benar.
Seksyen 113, sebelum dipinda, antara lain, memperuntukan bahawa kenyataan tersebut tidak dikehendaki ditandatangani dan ia tidak boleh digunakan sebagai keterangan. Tetapi, kenyataan orang itu boleh digunakan untuk mencabar kebolehpercayaannya jika dia menjadi saksi. Kenyataan itu boleh juga digunakan jika dia dituduh atas satu kesalahan berkenaan pembuatan atau isi kandungan kenyataan itu. Satu misalan ialah pertuduhan di bawah s. 193 Kanun Keseksaan.
Boleh diperhatikan bahawa di bawah peruntukan-peruntukan sebelum pindaan itu, soal kesukarelaan tidak timbul langsung di bawah s. 112 dan s. 113. Sebabnya ialah kerana kenyataan itu tidak boleh dan tidak akan digunakan sebagai keterangan dalam perbicaraan, melainkan untuk mencabar kebolehpercayaan seorang saksi. Kenyataan yang bersifat pengakuan (“confession”) cuma boleh direkodkan oleh seorang majistret di bawah s. 115. Hanya dalam seksyen itu terdapat peruntukan mengenai kesukarelaan. Pengakuan ini boleh digunakan sebagai keterangan dalam perbicaraan dan untuk tujuan itulah perbicaraan dalam perbicaraan perlu diadakan untuk membuktikan kesukarelaan pengakuan itu.
Setelah dipinda, secara ringkas, kenyataan di bawah s. 112 itu, seberapa yang boleh, hendaklah diambil secara bertulis, ditandatangani atau dicop jari oleh pembuatnya, setelah ia dibaca balik dan setelah dia diberi peluang membetulkannya.
Seksyen 113 telah dimansuhkan dan digantikan dengan peruntukan baru. Secara ringkas, s. 113 baru itu memperuntukkan, dimana seseorang itu dituduh dengan sesuatu pertuduhan, kenyataannya boleh diterima sebagai keterangan dalam perbicaraannya, dan, jika orang yang dituduh itu menjadi saksi kenyataannya boleh digunakan untuk menyoal-balasnya dan untuk mencabar kebolehpercayaannya, dengan syarat, antara lain, kenyataan itu dibuat secara sukarela. (Perlu diambil perhatian bahawa “tertuduh” dalam s. 113 itu adalah tertuduh dalam kes asal yang siasatan mengenainya dibuat, bukan orang lain yang menjadi saksi dalam perbicaraan itu. Dalam konteks kes ini “tertuduh” itu adalah Datuk Sahar Arpan, bukan perayu).
Jadi, selepas pindaan, terdapat dua jenis kenyataan, satu yang diambil mengikut s. 112 dan satu lagi yang diambil mengikut s. 113. Kenyataan di bawah s. 112 adalah kenyataan yang diambil dalam penyiasatan polis. Kenyataan di bawah s. 113 boleh diambil bila-bila masa. Ertinya, dalam hal ini s. 113 adalah lebih luas daripada s. 112.
Kenyataan di bawah s. 112 boleh diambil oleh pegawai penyiasat yang, mengikut s. 109 adalah pegawai polis yang berpangkat Sarjan ke atas atau pegawai yang menjaga balai polis. Sebaliknya kenyataan di bawah s. 113 cuma boleh diambil oleh pegawai polis yang berpangkat Inspektor ke atas.
Kenyataan di bawah s. 112 boleh diambil daripada mana-mana orang (“any person”), termasuk seorang yang kemudiannya dituduh. Tetapi, jika seseorang itu berkemungkinan dituduh, adalah lebih baik bagi pihak polis mengambil kenyataannya di bawah s. 113 kerana ia mungkin boleh digunakan sebagai keterangan terhadapnya. Jika seseorang itu hanya dikehendaki menjadi saksi tidak ada keperluan untuk mengambil kenyataan di bawah s. 113.
Kenyataan di bawah s. 112 dikehendaki diambil secara bertulis. Sebaliknya kenyataan di bawah s. 113 hendaklah dirakamkan secara bertulis seberapa yang boleh (“wherever possible”) – lihat Jayaraman & Ors v. PP[1982] CLJ 130 (Rep), [1982] CLJ 464.
Seksyen 113 menyebut bahawa kenyataan seseorang tertuduh boleh digunakan untuk mencabar kebolehpercayaannya. Seksyen 112 tidak menyebut perkara ini. Ini tidak bererti bahawa kenyataan di bawah s. 112 tidak boleh digunakan untuk mencabar pembuatnya yang bukan tertuduh, kerana seseorang yang membuat kenyataan di bawah s. 112 dikehendaki bercakap benar. Maka, seperti dalam kes ini, jika dia kemudiannya memberi keterangan yang bercanggah, juga dalam sumpah untuk bercakap benar, kebolehpercayaannya boleh dicabar dan dia dituduh di bawah s. 193.
Seksyen 112 tidak menghendaki suatu amaran (“caution”) seperti yang diperuntukkan dalam s. 113 diberi sebelum kenyataan dirakamkan. Seksyen 113 menghendaki amaran seperti itu diambil jika kenyataan itu dibuat selepas pembuatnya ditangkap. (Lihat Mimi Kamariah Majid dalam bukunya “Civil Procedure in Malaysia” ms 119 hingga 120).
Dari sini dapat dilihat bahawa kenyataan yang diambil di bawah s. 112 adalah kenyataan yang diambil dalam penyiasatan, daripada orang-orang yang difikirkan boleh menjadi saksi, bukan dengan tujuan untuk menggunakannya sebagai keterangan terhadap pembuatnya. Sebab itu, antara lain, soal amaran dan kesukarelaan tidak timbul.
Sebaliknya, kenyataan di bawah s. 113 diambil daripada orang-orang yang berkemungkinan akan dituduh dan kenyataannya itu digunakan sebagai keterangan terhadapnya. Sebab itulah amaran dan kesukarelaannya perlu.
Menghujahkan bahawa untuk kenyataan di bawah s. 112 digunakan untuk mencabar kebolehpercayaan seseorang saksi atau menuduhnya di bawah s. 193 mestilah dibuktikan kesukarelaannya terlebih dahulu, bererti memakai syarat-syarat dalam s. 113 kepada kenyataan di bawah s. 112. Pada pandangan kami ini tidak wajar kerana, pertama, syarat-syarat itu adalah berkenaan pengunaan kenyataan seseorang yang dituduh atas kesalahan dalam siasatan asal dalam perbicaraannya mengenai pertuduhan itu, sedangkan kenyataan di bawah s. 112 bukan diambil untuk tujuan itu. Kedua, jika syarat di bawah s. 113 mengenai kesukarelaan perlu dipakai, maka syarat-syarat lain dalam s. 113 juga perlu dipakai, misalnya, berkenaan pangkat pegawai polis yang merakam kenyataan itu dan syarat mengenai amaran. Ini akan bererti, antara lain, ada kenyataan di bawah s. 112 yang tidak langsung boleh dipakai untuk mencabar kebolehpercayaan seorang saksi kerana pegawai yang merakamnya bukan berpangkat Inspektor ke atas atau amaran tidak diberi. Ini tidak munasabah kerana s. 112 itu sendiri menghendaki pembuat kenyataan itu bercakap benar.
Jika demikian, maka soal kesukarelaan adalah tidak relevan bagi kenyataan di bawah s. 112. Maka dalam kes ini, di mana seorang saksi kemudiannya dituduh di bawah s. 193 Kanun Keseksaanberdasarkan, salah satu daripadanya, kenyataannya di bawah s. 112, tidaklah perlu bagi pendakwaan membuktikan kesukarelaan sebelum kenyataan itu boleh diterima sebagai keterangan. Juga tidaklah perlu bagi mahkamah mengadakan perbicaraan dalam perbicaraan.
Tetapi itu tidak bererti bahawa perayu tidak boleh membangkitkan pembelaan, misalnya, dia tidak membuat kenyataan itu atau dia dipaksa membuatnya sedemikian rupa. Adalah amat tidak adil malah tidak munasabah menafikannya membangkitkan pembelaan-pembelaan seperti itu.
Ini membawa kita kepada soalan kedua, atas siapa beban itu terletak? Jawapannya sudah menjadi mudah. Jika itulah pembelaan seseorang tertuduh, maka beban membuktikan semestilah terletak di atasnya.
Kami dapati bahawa hujah peguam perayu mengenai alasan ini juga tidak berasas.
Alasan Ke 10 Petisyen Rayuan; Penjelasan Kepada Percanggahan
Peguam-peguam menghujahkan bahawa perayu telah memberi penjelasan yang munasabah kepada kenyataan dan keterangan yang bercanggah itu.
Untuk menyokong hujahnya beliau merujuk kepada keterangannya di mahkamah seperti yang diperturunkan dalam perenggan (a) pertuduhan:
(a) Semasa saya pengarah urusan Ivory Heights saya ada tulis surat kepada Pentadbir Tanah Daerah Melaka Tengah. Saya cam dokumen ini (ID 8A).
Dalam kenyataannya, dia berkata:
a) Berdasarkan dari surat yang dirujuk kepada saya seperti di atas (Permohonan Tanah Kerajaan di Mukim Bachang dan Bertam… Saya menafikan ada menghantar surat dari Ivory Heights Sdn. Bhd. kepada Pentadbir Tanah dan Daerah Melaka Tengah…
Dalam keterangannya semasa membela diri dia berkata:
Mengenai isu dalam para (a) dalam pertuduhan, semasa statement direkodkan, saya ditanya mengenai penghantaran surat itu. Dia tidak tanya mengenai tulisan surat. Tapi dalam Mahkamah Tinggi, soalan penghantaran surat tidak ditanya. Tapi apa yang ditanya adalah tentang tulisan surat itu saja.
Sebenarnya saya ada menulis surat itu, tapi saya tidak menghantar surat itu….
Hakim Mahkamah Sesyen, dalam alasan penghakimannya, berkata:
The crux of the matter is whether the accused did write the said letter. In his statement in the witness box, he had stated that he had written the letter and put his signature to it. But in his statement to the BPR, he stated that he did not send the letter and that the signature on it was not his, implying clearly that he did not write the said letter. I find the two statements to be contradictory and altogether irreconcilable.
Nampaknya di sini perayu cuma bermain dengan perkataan “menulis” dan “menghantar”. Memanglah kalau dilihat makna perkataan-perkataan itu secara berasingan dalam kamus maknanya berlainan. Tetapi, dalam sesuatu percakapan, penggunaan sesuatu perkataan itu hendaklah dilihat dari segi konteknya. Kalau seorang itu berkata “saya ada tulis surat kepada Pentadbir Tanah Daerah Melaka Tengah”, semestinya ayat itu mempunyai satu makna, iaitu dia ada menulis dan menghantar surat itu kepada pegawai itu. Demikian juga jika seseorang itu berkata “Saya ada menghantar surat kepada…” ertinya juga hanya satu, iaitu dia ada menulis dan menghantarnya. Ertinya dalam konteks ayat itu dalam percakapan harian (bukan sebagai seorang peguam yang menggubal suatu rang undang-undang, perjanjian atau pliding), perkataan “ada tulis” atau “menulis” itu termasuk menghantar. Demikian juga “menghantar” termasuk menulis. Surat itu mungkin ditaip, dimasukkan ke dalam sarung surat, di bawa ke pejabat pos dan dimasukkan ke dalam peti surat oleh orang lain, tetapi ia tetap surat yang “ditulis” dan “dihantar” oleh orang yang menandatanganinya, dalam kes ini perayu.
Hujah yang serupa juga dikemukakan mengenai keterangan dan kenyataan dalam perenggan-perenggan lain dalam pertuduhan. Tidaklah perlu kami membincangnya satu persatu, kerana pandangan kami juga sama.
Kesimpulannya kami dapati bahawa hujah-hujah yang dikemukakan oleh peguam perayu dalam mencabar penghakiman-penghakiman Hakim Mahkamah Sesyen dan Hakim Mahkamah Tinggi, mengenai sabitan terhadap perayu tidak berasas.
Mengenai hukuman, walau pun ia dibangkitkan dalam penghujah bertulisnya yang diberikan kepada kami, peguam perayu tidak menghujahnya dalam mahkamah. Namun demikian, kami telah menimbang alasan-alasan yang diberikan oleh kedua-dua Hakim Mahkamah Sesyen dan Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar rayuan perayu. Kami dapati bahawa semua faktor-faktor yang patut diambil kira telah diambil kira. Mereka tidak melakukan apa-apa kesilapan fakta atau undang-undang dan hukuman yang dijatuhkan juga bukanlah keterlaluan, malah amat munasabah dalam keadaan kes ini.
Atas alasan-alasan ini kami menolak rayuan perayu dan mengesahkan sabitan dan hukuman terhadapnya.

378 visits