RE KHAW SIEW SUAN; EX PARTE ASIA COMMERCIAL FINANCE (M) BHD

RE KHAW SIEW SUAN; EX PARTE ASIA COMMERCIAL FINANCE (M) BHD
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD H
KEBANKRAPAN NO: 29-1196-1992
17 JULAI 2000
[2000] 8 CLJ 371

KEBANGKRAPAN: Notis kebangkrapan – Permohonan untuk mengenepikan – Samada alasan-alasan untuk pengenepian notis kebangkrapan difailkan dengan betul – Kaedah-kaedah Kebangkrapan 1969, kk. 18, 95

KEBANGKRAPAN: Notis kebangkrapan – Jumlah hutang melebihi jumlah hutang sebenar – Samada notis dan bantahan difailkan dengan betul – Akta Kebangkrapan 1967, s. 3(2)(ii) – Kaedah-kaedah Kebangkrapan 1969, k. 18

Ini adalah rayuan mengenai permohonan penghutang penghakiman untuk mengenepikan satu notis kebangkrapan yang difailkan terhadapnya. Rayuan ini adalah mengenai lampiran 13 iaitu afidavit di bawah k. 95 Kaedah-kaedah Kebangkrapan 1969 (‘KK 1969′) yang menghujahkan bahawa notis kebangkrapan tersebut patut diketepikan kerana: (i) penghakiman itu tidak jelas mengenai tarikh bermula pengiraan “overdue interest”; (ii) pengiraan “overdue interest” tidak betul; dan (iii) terdapat suatu “deed of assignment” untuk menjelaskan hutang-hutang syarikat-syarikat penghutang penghakiman kepada pemiutang penghakiman. Penghutang penghakiman juga memfailkan lampiran 23 iaitu saman dalam kamar mengikut k. 18 KK 1969 untuk mengenepikan notis kebangkrapan tersebut atas alasan bahawa “deed of assignment” yang dihujah di dalam lampiran 13 merupakan suatu tolakan dan pemiutang penghakiman tertahan daripada memfail prosiding kebankrapan ini.
Diputuskan:
[1] Jika alasan mengenai “deed of assignment” adalah suatu tolakan (“set-off”) seperti yang dihujahkan oleh peguam penghutang penghakiman, lampiran 23 kenalah ditolak kerana alasan tersebut sepatutnya dimasukkan dalam lampiran 13 kerana lampiran 23 (di bawah k. 18 KK 1969) adalah untuk bantahan atas alasan-alasan lain selain daripada kewujudan tuntutan balas, tolakan atau kenabayar balas.
[2] Selain daripada alasan bahawa jumlah hutang yang disebut dalam notis kebangkrapan itu melebihi hutang sebenar, lain-lain alasan hendaklah dimasukkan di dalam permohonan melalui saman dalam kamar di bawah k. 18 KK 1969, bukan seperti yang dilakukan dalam kes ini, iaitu melalui afidavit di bawah k. 95 KK 1969.
[3] Notis di bawah s. 3(2)(ii) Akta Kebangkrapan 1967 tidak diberi dan bantahan ini tidak dibuat (selepas memberi notis itu dalam tempoh tujuh hari yang ditetapkan itu) melalui saman dalam kamar di bawah k. 18 KK 1969. Oleh itu, hujah mengenai jumlah hutang yang berlebihan itu sepatutnya ditolak atas alasan itu sahaja. Walaubagaimanapun, jika pandangan ini tidak betul dan kiraan itu silap, ia masih boleh dibetulkan semasa pemiutang penghakiman memfail bukti hutang.
Perundangan yang dirujuk:
Bankruptcy Act 1967, s. 3(1)(i), (2)(ii)
Bankruptcy Rules 1969, rr. 18, 95, 117
Bagi pihak penghutang penghakiman/perayu – Mahinder Singh (Harjit Singh);T/n Harjit Singh Sangay & Co
Bagi pihak pemiutang penghakiman – Khoo Guat Kim; T/n Chew Tan & Lim
Dilaporkan oleh Suresh Nathan

Case(s) referred to:
Datuk Lim Kheng Kim v. Malayan Banking Bhd [1993] 3 CLJ 324 (dirujuk)
Datuk Ong Kean Seng; ex p Development & Commercial Bank Bhd [1993] 4 CLJ 285 (dirujuk)
J Raju M Kerpaya v. Commerce International Merchant Bankers Bhd [2000] 3 CLJ 104 (dirujuk)
Mok Force v. MUI Finance Bhd [1997]4 CLJ Supp 248 (dirujuk)
Re Arunachalam [1967] 1 LNS 142, [1968] 1 MLJ 89 (dirujuk)
Re Dato’ Loh Fook Yan, ex p Malayan United Finance Bhd [1989] 1 CLJ 453 (Rep) [1989] 1 CLJ, [1988] 3 MLJ 499 (dirujuk)
Re Ismail Daud & Anor; ex p Universal Life & General Insurance Sdn Bhd [1989] 1 CLJ 617 (Rep) [1989] 2 CLJ 1043, [1990] 1 MLJ 118 (dirujuk)
Re Ley Boon Hee [1989] 1 LNS 160;[1990] 2 MLJ 508 (dirujuk)
Re Loh Kok Huah; ex p Ban Hin Lee Bank Bhd [1991] 3 CLJ 183 (Rep) [1991] 3 CLJ 1817 (dirujuk)
Re Mohd Tajuddin Mohd Jali; ex p Perwira Habib Bank Malaysia Bhd [2000] 5 CLJ 526 (dirujuk)
Re Ngan Ching Wen; ex p Moscow Narodny Bank Ltd [1996] 2 CLJ 943 (dirujuk)
Tan Chong Keat v. Asia Commercial Finance (M) Bhd [1997] 4 CLJ Supp 355 (dirujuk)
Tan Chong Keat v. Asia Commercial Finance (M) Bhd [2000] 2 CLJ 737 (dirujuk)
PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamad H:
Ini adalah salah satu daripada berbelas-belas (jika tidak berpuluh-puluh) kes, dari pelbagai jenis yang melibatkan Tan Chong Keat, isterinya dan syarikat-syarikatnya di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, dan juga di mahkamah-mahkamah lain. Setiap satu berlarutan disebabkan oleh pelbagai permohonan dan rayuan.
Dalam kes ini, notis kebankrapan telah dikeluarkan terhadap Khaw Siew Suan, isteri Tan Chong Keat. Hutang yang terlibat adalah sebanyak RM586,207.19. Ia berdasarkan penghakiman yang telah diberi pada 18 Ogos 1986 oleh Edgar Joseph Jr. (H) yang selepas itu telah menjadi Hakim Mahkamah Agung/Persekutuan dan telah pun bersara. Tan Chong Keat adalah salah seorang defendan dalam kes itu. Notis tersebut terpaksa disampaikan melalui penyampaian ganti, antaranya disiarkan dalam akhbar “The Star” pada 12 Ogos 1993. Pada 19 Ogos 1993, penghutang penghakiman memfail “Affidavit on an application to set aside the bankruptcy notice” Kandungan 13. Beberapa banyak afidavit difail selepas itu oleh penghutang penghakiman.
Pada 24 Jun 1994 penghutang penghakiman memfail saman dalam kamar memohon, setelah prayer (a) untuk “interim stay of proceedings” ditarik balik, kebenaran untuk menyoalbalas pengikrar afidavit pemiutang penghakiman Kandungan 20.
Pada 11 Julai 1994 penghutang penghakiman memfail saman dalam kamar untuk “membantah dan menentang” notis kebankrapan yang sama, kali ini di bawah k. 18 Kaedah-kaedah Kebankrapan 1969 dan untuk mengenepikan notis kebankrapan itu Kandungan 23.
Sementara itu, afidavit-afidavit terus difail.
Pada 10 April 1996, penghutang penghakiman memfail satu lagi saman dalam kamar, kali ini memohon “stay of proceedings and execution” pula Kandungan 30. Afidavit-afidavit terus difail.
Kandungan 13, 23 dan 30 didengar oleh Penolong Kanan Pendaftar. Pada 17 Oktober 1996 beliau menolak ketiga-tiga permohonan itu. Penghutang penghakiman merayu kepada hakim dalam kamar Kandungan 40.
Rayuan itu ditangguh beberapa kali atas permintaan peguam penghutang penghakiman dan dipersetujui oleh peguam pemiutang penghakiman kerana menunggu keputusan rayuan ke Mahkamah Rayuan dan tindakan-tindakan lain yang berkaitan di mahkamah-mahkamah lain, dan juga untuk penyelesaian. Akhirnya pada 8 Julai atas desakan saya, kedua belah pihak berhujah. Pada hari yang sama, peguam penghutang penghakiman yang baru menarik balik rayuan mengenai Kandungan 30 dan saya membatalkannya dengan kos. Saya menangguh kepada 13 Ogos 1999 untuk keputusan. Selepas itu peguam penghutang penghakiman memohon supaya keputusan mengenai Kandungan 40 ditangguh untuk menunggu keputusan Mahkamah Rayuan dalam rayuan-rayuan yang berkaitan. Pada 17 September 1999 saya memutuskan bahawa saya tetap akan memberi keputusan pada 13 Oktober 1999 sama ada Mahkamah Rayuan memberi keputusannya atau tidak sebelum itu. Ini kerana pertukaran saya ke Kuala Lumpur. Maka pada 13 Oktober 1999, saya memberi keputusan menolak rayuan-rayuan itu. Penghutang penghakiman merayu rayuan ini.
Keputusan saya yang terhadapnya rayuan ini dibuat adalah mengenai rayuan daripada keputusan Penolong Kanan Pendaftar mengenai Kandungan 13 dan 23.
Kandungan 13 adalah afidavit permohonan untuk mengenepikan notis kebankrapan, di bawah k. 95 (Borang 7). Dalam afidavit ini beliau memasukkan pelbagai alasan bagi mengenepikan notis kebankrapan itu, antaranya termasuklah tiga perkara yang dihujahkan oleh peguam penghutang penghakiman iaitu pertama, penghakiman itu tidak jelas mengenai tarikh bermula pengiraan “overdue interest” dan kadarnya. Kedua, pengiraan “overdue interest” itu tidak betul dan jumlahnya terlalu besar. Ketiga, bahawa terdapat suatu “Deed of Assignment” bertarikh 4 Julai 1990 antara Ladang Dahan Setia Sdn. Bhd. (sebuah syarikat yang berkait dengan pemiutang penghakiman) dan Ever Point (M) Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang berkait dengan Island Rentals (M) Bhd., defendan pertama dalam Guaman Sivil No. 23-193-86 yang menjadi asas prosiding kebankrapan ini. Mengikut penghutang penghakiman “Deed of Assignment” itu adalah untuk menjelaskan hutang-hutang syarikat-syarikat penghutang penghakiman kepada pemiutang penghakiman.
Lampiran 23 pula adalah saman dalam kamar yang difail mengikut k. 18 Kaedah-kaedah Kebankrapan 1969, juga untuk mengenepikan notis kebankrapan itu atas “alasan-alasan lain”. Dalam afidavit menyokong permohonan itu “alasan lain” itu adalah mengenai “Deed of Assignment” bertarikh 4 Julai 1990 yang telah disebut dalam Lampiran 13 itu.
Saya percaya Lampiran 23 difail memandangkan kepada penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Datuk Lim Kheng Kim v. Malayan Banking Bhd [1993] 3 CLJ 324 Kes itu memutuskan bahawa afidavit di bawah k. 95 Kaedah-kaedah Kebankrapan 1969 (Borang 7) hanyalah terpakai untuk mencabar notis kebankrapan atas alasan bahawa penghutang penghakiman mempunyai tuntutan balas, tolakan atau kena bayar balas yang sama banyaknya atau melebihi tuntutan pemiutang penghakiman yang tidak boleh dibangkitkan dalam tindakan yang membawa kepada penghakiman yang menjadi asas prosiding kebankrapan itu seperti yang diperuntukkan oleh s. 3(1)(i) Akta Kebankrapan 1967. Satu lagi perkara yang boleh dibangkitkan dalam afidavit mengikut Borang 7 itu ialah bahawa penghutang penghakiman telah pun menjelaskan sepenuhnya hutang itu.
Ertinya dengan memfail Lampiran 23 itu penghutang penghakiman mengakui bahawa alasan yang berkaitan dengan “Deed of Assignment” iaitu bukanlah satu tuntutan balas, tolakan atau kena bayar balas dan oleh itu tidak boleh dimuatkan dalam Lampiran 13. Sebaliknya ia adalah “alasan lain” yang hanya boleh dikemukakan melalui saman dalam kamar di bawah k. 18 Kaedah-kaedah Kebankrapan 1969. Sebab itulah Lampiran 23 difail.
Saya akan bincangkan alasan mengenai “Deed of Assignment” ini dulu. Ringkasnya melalui satu perjanjian jual-beli bertarikh 22 Jun 1990, Ever Point (M) Sdn. Bhd. telah menjual dua keping tanah kepada Ladang Dahan Setia Sdn. Bhd. dengan harga RM3,300,000. Selepas itu, melalui “Deed of Assignment” bertarikh 4 Julai 1990, kedua-dua keping tanah itu telah diserahak (“assigned”) kepada pemiutang penghakiman. RM2,500,000 akan dibayar kepada MUI Finance Berhad untuk menebus gadaian kedua-dua lot tanah itu dan bakinya sebanyak RM800,000 akan dibayar kepada pemiutang penghakiman untuk menyelesaikan semua hutang satu kumpulan penghutang termasuk penghutang penghakiman.
Mengikut peguam penghutang penghakiman ini menunjukkan, pertama, bahawa penghutang penghakiman mempunyai tolakan (“set-off”) dan kedua, pemiutang penghakiman tertahan (“estopped”) daripada memfail prosiding kebankrapan ini.
Hujah mengenai kewujudan tolakan itu agak ganjil. Kalau ia suatu tolakan, ia sepatutnya menjadi alasan dalam Lampiran 13. Tetapi, setelah memasukkan alasan itu dalam Lampiran 13, penghutang penghakiman memfail pula Lampiran 23 khusus untuk memasukkan alasan itu sebagai “alasan lain”. Andaian yang munasabah, seperti yang saya telah sebut, ialah bahawa peguam penghutang penghakiman tidak menganggapnya sebagai satu tolakan (“set-off”).
Jika ia suatu tolakan (“set-off”) seperti yang dihujahkan oleh peguam penghutang penghakiman, maka Lampiran 23 kenalah ditolak atas alasan bahawa alasan yang diberi bagi permohonan itu sepatutnya dimasukkan dalam Lampiran 13, dan bukan dalam Lampiran 23, kerana Lampiran 23 (di bawah k. 18 Kaedah-kaedah Kebankrapan 1969) adalah untuk bantahan atas “alasan-alasan lain” selain daripada kewujudan tuntutan balas, tolakan dan kena bayar balas. Atas alasan ini sahaja saya boleh menolak hujah ini.
Walau bagaimanapun, biarlah saya bincang sama ada kewujudan “Deed of Assignment” dan usahasama itu merupakan suatu alasan untuk mengenepikan notis kebankrapan ini. Dalam kata-kata lain, saya membincangnya atas asas seperti yang dihujahkan oleh peguam penghutang penghakiman bahawa ia adalah suatu tolakan yang boleh menjadi alasan dalam Lampiran 13.
Isu ini telah pun dibangkitkan dalam kes Tan Chong Keat v. Asia Commercial Finance (M) Bhd [1997] 4 CLJ Supp 355 Dalam kes itu pemiutang penghakiman (Asia Commercial Finance (M) Bhd. ) mengambil prosiding kebankrapan terhadap Tan Chong Keat, defendan kedua dalam Guaman Sivil 23-193-86 yang menjadi asas prosiding kebankrapan sekarang. Saya telah menolak alasan itu. Untuk alasan saya, lihat [1997] 4 CLJ Supp 355.
Tan Chong Keat merayu ke Mahkamah Rayuan. Untuk menunggu keputusan Mahkamah Rayuan itulah kes ini ditangguh beberapa kali atas permintaan peguam penghutang penghakiman.
Tetapi pada 17 April 2000, Mahkamah Rayuan telah mengeluarkan penghakimannya lihat [2000] 2 CLJ 737. Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan itu. Siti Norma Yaakob HMR yang menulis penghakiman Mahkamah Rayuan itu telah membincang dengan panjang lebar isu ini, dan saya tidak akan memetiknya. Memadailah dikatakan bahawa kesimpulannya ialah bahawa perjanjian itu tidak menghalang pengeluaran notis kebankrapan yang dikeluarkan terhadap Tan Chong Keat dalam prosiding itu. Ertinya penghakiman saya menolak permohonan Tan Chong Keat untuk mengenepikan notis kebankrapan dalam kes itu atas alasan itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan.
Sekarang hujah yang sama berdasarkan perjanjian yang sama dikemukakan untuk mengenepikan notis kebankrapan terhadap isteri Tan Chong Keat (defendan ketiga dalam kes sivil yang sama) dalam kes ini. Memandangkan kepada penghakiman Mahkamah Rayuan itu, semestinya hujah itu tidak boleh dikemukakan lagi.
Sekarang saya akan bincangkan hujah selanjutnya, iaitu pengiraan faedah seperti yang tersebut dalam notis kebankrapan itu tidak betul dan berlebihan, tidak mengikut penghakiman dan tarikh bermula pengiraan “overdue interest” tidak disebut dalam penghakiman itu.
Semua persolan ini dibangkitkan dalam Lampiran 13, bukan Lampiran 23. Seperti yang telah disebut, Lampiran 13 adalah afidavit di bawah k. 95 Kaedah-kaedah Kebankrapan 1969 (Borang 7). Adalah jelas bahawa alasan ini bukanlah berupa suatu tuntutan balas, tolakan atau kena bayar balas seperti yang diperuntukkan oleh s. 3(1)(i) Akta Kebankrapan 1967. Penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Datuk Lim Kheng Kim adalah jelas bahawa hanyalah cabaran atas alasan bahawa penghutang penghakiman mempunyai tuntutan balas, tolakan dan kena bayar balas sahaja yang boleh dikemukakan melalui afidavit di bawah k. 95 (Borang 7). Yang lainnya hendaklah dilakukan melalui saman dalam kamar di bawah k. 18. Itulah asas penghakiman itu.
Pandangan ini disokong oleh Mahkamah Rayuan dalam kes J Raju M Kerpaya v. Commerce International Merchant Bankers Bhd [2000] 3 CLJ 104 yang saya baru sahaja menerima laporannya.
Jadi selain daripada alasan bahawa jumlah hutang yang disebut dalam notis kebankrapan itu melebihi hutang sebenar, lain-lain alasan itu, atas autori-autori ini hendaklah dimasukkan di dalam permohonan melalui saman dalam kamar di bawah k. 18, bukan seperti yang dilakukan dalam kes ini, melalui afidavit di bawah k. 95 (Borang 7). Atas alasan ini sahaja, alasan-alasan itu patut ditolak.
Mengenai alasan bahawa jumlah hutang yang disebut dalam notis kebankrapan itu melebihi jumlah hutang sebenar, undang-undang mengenai cara membangkitkan bantahan atas alasan itu agak mengelirukan. Apakah yang dimaksudkan dengan kata-kata “gives notice to the creditor that he disputes the validity of the notice on the ground of such mistake”?
Dalam kes Re Arunachalam [1967] 1 LNS 142[1968] 1 MLJ 89 Chang Min Tat H (pada masa itu) memutuskan bahawa sepucuk surat yang dihantar oleh penghutang penghakiman kepada peguamcara pemiutang penghakiman yang mengatakan:
With reference to your notice dated 13th July 1967, I do not admit that I owe your clients the sum stated in the notice.
Therefore please take notice that your notice is not valid.
adalah “sufficient notice to comply with the proviso to s. 3(2)…”
Ertinya notis itu boleh diberi melalui surat kepada pemiutang penghakiman.
Dalam kes Re Dato’ Loh Fook Yan, ex p Malayan United Finance Bhd [1989] 1 CLJ 453 (Rep) [1989] 1 CLJ[1988] 3 MLJ 499 notis itu diberi melalui notis usul dan afidavit sokongan. Ini adalah prosedur di bawah k. 18, sebelum dipinda (sekarang saman dalam kamar). Ertinya bukan melalui surat dan bukan melalui afidavit di bawah k. 95 (Borang 7). LC Vohrah H memutuskan bahawa afidavit menyokong notis usul itu adalah “sufficient notice” di bawah s. 3(2) Akta Kebankrapan 1967, tetapi menolaknya sebab ia disampaikan di luar tempoh tujuh hari.
Masalah yang timbul daripada pemakaian prosedur di bawah k. 18 untuk memberi notis di bawah s. 3(2) proviso (ii) ialah notis itu perlu diberi dalam tempoh tujuh hari sedangkan saman dalam kamar di bawah k. 18 tidak mempunyai had masa untuk memfailnya.
Dalam kes Datuk Ong Kean Seng; ex p Development & Commercial Bank Bhd [1993] 4 CLJ 285Zakaria Yatim H (pada masa itu) memutuskan:
From the passage quoted above, it is clear that where no notice was given by the debtor alleging that the sum demanded was in excess of the actual sum due, the notice remained valid only be reason of the excess.
In my view, although the debtor did not give notice to dispute the bankruptcy notice within the specified times, he was entitled to oppose the petition on the ground that the bankruptcy notice was bad in law.
Ertinya “notis”, baik dengan apa caranya sekali pun, tidak perlu diberi. Dengan hormat, ini bercanggah dengan peruntukan s. 3(2) proviso (ii) Akta Kebankrapan 1967.
Dalam kes Re Ngan Ching Wen; ex p Moscow Narodny Bank Ltd [1996] 2 CLJ 943 persoalan yang disebut dalam proviso (ii) kepada s. 3(2) Akta Kebankrapan 1967 cuma dibangkitkan buat pertama kali dalam afidavit yang difail bersama-sama “notice of intention to oppose the petition ” (tekanan ditambah). Tiada notis di bawah proviso (ii) kepada s. 3(2) atau afidavit di bawah k. 95 (Borang 7) atau saman dalam kamar di bawah A. 18 difail. James Foong (H) memutuskan bahawa bantahan itu masih boleh didengar dan membatalkan notis kebankrapan dan juga petisyen itu.
Nampaknya seolah-olah notis kebankrapan boleh dibatalkan atas alasan yang terdapat dalam proviso (ii) s. 3(2) hanya dengan memfail notis hajat untuk menentang petisyen yang disokong oleh afidavit, walaupun difail di luar tempoh tujuh hari itu.
Kes ini diikuti oleh Low Hop Bing H dalam kes Re Mohd Tajuddin Mohd Jali; ex p Perwira Habib Bank Malaysia Bhd [2000] 5 CLJ 526
Kesimpulan daripada kes-kes ini, nampaknya adalah bahawa tidak perlu diberi sebarang notis dalam apa bentuknya pun dan dalam masa tujuh hari untuk membangkitkan bantahan bahawa jumlah yang disebut dalam notis kebankrapanitu melebihi hutang sebenar. Memadai hanya dengan memfail notis hujah untuk menentang petisyen untuk membantah keesahan notis kebankrapan atas alasan itu.
Ini nyata bercanggah dengan peruntukan s. 3(2) proviso (ii) Akta Kebankrapan 1967 dan keputusan-keputusan lain.
Dalam kesRe Ismail Daud & Anor; ex p Universal Life & General Insurance Sdn Bhd [1989] 1 CLJ 617 (Rep) [1989] 2 CLJ 1043[1990] 1 MLJ 118 penghutang penghakiman tidak hadir semasa pendengaran petisyen dan tidak memfail apa-apa permohonan atau afidavit untuk menentang notis kebankrapan atau petisyen. Tetapi, semasa pendengaran petisyen Pegawai Pemegang Harta menarik perhatian mahkamah bahawa notis kebankrapan tidak sah atas beberapa sebab. Mengenai alasan bahawa jumlah hutang yang disebut dalam notis kebankrapan melebihi jumlah hutang sebenar, VC George H (pada masa itu) berkata:
I agree with counsel that if the amount specified in the notice is quantified or is quantifiable then even if the amount demanded exceeds the amount actually due such a notice will not per se be invalidated unless the debtor within the prescribed seven days gives notice to the creditor that he disputes the validity of the notice on the ground of the mistake.
Dalam kesRe Ley Boon Hee [1989] 1 LNS 160;[1990] 2 MLJ 508 penghutang cuma memfail notis hasrat untuk membantah petisyen di bawah k. 117. Haidar H (pada masa itu) memutuskan oleh sebab notis tidak diberi dalam tempoh tujuh hari, maka notis kebankrapan tidak menjadi tidak sah atas alasan bahawa jumlah yang disebut dalam notis kebankrapan itu silap atau melebihi hutang sebenar.
Dalam kes Re Loh Kok Huah; ex p Ban Hin Lee Bank Bhd [1991] 3 CLJ 183 (Rep) [1991] 3 CLJ 1817 Mohamed Dzaiddin H (pada masa itu) memutuskan, oleh sebab notis di bawah proviso (ii) s. 3(2) tidak diberi, penghutang tidak boleh dibenarkan membangkit alasan bahawa jumlah hutang yang disebut dalam notis kebankrapan itu tidak betul. Sayugia diambil perhatian bahawa dalam kes itu penghutang cuma cuba membangkitkan persoalan itu semasa pendengaran petisyen.
Dalam kes Mok Force v. MUI Finance Bhd [1997]4 CLJ Supp 248 (dirujuk) Idris Yusuff H memutuskan bahawa untuk mencabar notis kebankrapan atas alasan bahawa jumlah yang dituntut melebihi hutang sebenar notis di bawah proviso (ii) kepada s. 3(2) mestilah diberi dalam tempoh tujuh hari yang ditetapkan itu.
Sedang saya menulis alasan penghakiman ini, penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes J. Raju a/l M. Kerpaya v. Commerce International Merchant BankersBerhad dilaporkan dalam [2000] 3 CLJ 104.
Penghakiman ini menjelaskan cara membantah sesuatu notis kebankrapan:
(a) Seseorang penghutang yang berhak membantah mengenai keesahan suatu notis kebankrapan atas alasan bahawa dia mempunyai tuntutan balas, tolakan atau kena bayar balas yang jumlahnya sama banyak atau melebihi hutang penghakiman yang tidak boleh dibangkitkan dalam tindakan yang membawa kepada penghakiman itu, boleh melakukannya dengan memfail afidavit (Borang 7) mengikut k. 95 dalam tempoh tujuh hari yang ditetapkan.
(b) Seseorang penghutang yang hendak mencabar notis kebankrapan atas alasan bahawa jumlah hutang yang disebut dalam notis kebankrapan melebihi jumlah hutang sebenar hendaklah melakukannya dengan memberi notis kepada pemiutang penghakiman dalam tempoh tujuh hari yang ditetapkan itu proviso (ii) s. 3(2) Akta Kebankrapan 1967.
(c) Seseorang penghutang yang hendak mencabar notis kebankrapan atas alasan-alasan lain termasuk alasan bahawa notis kebankrapan itu tidak mengikuti terma-terma penghakiman, melakukannya dengan memfail saman dalam kamar di bawah k. 18. Had masa tujuh hari itu tidak terpakai dalam permohonan ini.
Ini jelas, melainkan satu perkara mengenai (b), iaitu mengenai notis di bawah proviso (ii) s. 3(2). Pertama, apakah bentuk notis itu? Kedua, jika notis cuma diberi kepada pemiutang penghakiman dan tidak akan apa-apa permohonan difail, jika pemiutang penghakiman tidak bersetuju dengan bantahan itu, bagaimanakah dan bilakah bantahan itu akan didengar oleh mahkamah? Sebab, tidak ada permohonan untuk didengar oleh mahkamah. Mungkin satu cara keluar ialah, setelah memberi notis kepada pemiutang penghakiman, penghutang akan fail afidavit (Borang 7) dalam tempoh tujuh hari itu juga. Tetapi, masalahnya ialah, mengikut peruntukan yang ada sekarang, penggunaan afidavit (Borang 7) itu hanyalah terhad kepada alasan mengenai kewujudan tuntutan balas dan sebagainya lihat Datuk Lim Kheng Kim v. Malayan Banking Bhd [1993] 3 CLJ 324(MA).
Mungkin satu cara lagi ialah setelah memberi notis itu kepada pemiutang penghakiman dalam tempoh tujuh hari, penghutang memfail saman dalam kamar di bawah k. 18 (yang boleh dilakukan di luar tempoh tujuh hari itu) membangkitkan bantahan atas alasan itu. Ini nampaknya lebih sesuai.
Saya berpendapat, berdasarkan undang-undang yang ada sekarang adalah tidak betul mengatakan bahawa tidak ada sebarang notis perlu diberi, tidak ada sebarang permohonan (baik mengikut k. 95 ataupun k. 18) perlu difail untuk mencabar notis kebankrapan atas alasan itu. Saya juga tidak bersetuju bahawa bantahan atas alasan itu boleh dibangkitkan diperingkat pendengaran petisyen, seperti yang diputuskan dalam beberapa kes yang saya telah sebutkan sebelum ini. Ini kerana, dalam sesuatu prosiding kebankrapan ada dua peringkat, pertama peringkat notis dan kedua, peringkat petisyen. Bantahan terhadap notis hendaklah dibuat diperingkat notis, bukan diperingkat petisyen. Sebab jika notis itu tidak sah, perbuatan kebankrapan (the act of bankruptcy) tidak berlaku dan petisyen pun tidak sah difailkan. Dan, petisyen tidak sepatutnya difail selagi bantahan mengenai keesahan notis kebankrapan belum diputuskan. Saya juga berpendapat, dalam keadaan undang-undang yang ada sekarang, setelah memberi notis kepada pemiutang penghakiman dalam tempoh tujuh hari, penghutang penghakiman hendaklah memfail saman dalam kamar di bawah k. 18 untuk diputuskan oleh mahkamah. Afidavit di bawah k. 95 (Borang 7) tidak boleh dipakai kerana ia cuma terhad kepada tuntutan balas, tolakan dan kena bayar balas.
Saya mesti akui bahawa undang-undang yang ada sekarang memang bercelaru. Maka peguam-peguam mengambil jalan selamat dengan memfail petisyen walaupun bantahan-bantahan terhadap notis kebankrapan belum diputuskan, kerana khuatir tempoh untuknya akan luput.
Dalam keadaan ini rasanya tidaklah keterlaluan jika saya mengesyorkan sekali lagi bahawa prosedur mengenai bantahan terhadap notis kebankrapan itu dikaji semula. Saya berpendapat ia patut diringkas dan dimudahkan. Bantahan atas semua alasan hendaklah dibuat dalam satu permohonan sahaja, iaitu di bawah k. 18. Perbuatan kebankrapan tidak akan bermula sehingga permohonan itu diputuskan oleh mahkamah dan petisyen tidak sepatutnya difail sebelum itu.
Pada pandangan saya ada dua faedah besar kepada cara ini. Pertama, penghutang penghakiman akan mempunyai tempoh yang munasabah untuk melakukannya. Tempoh tujuh hari yang diperuntukkan sekarang untuk penghutang penghakiman memfail afidavit (Borang 7) dan didengar setelah memberi notis tiga hari genap kepada pemiutang penghakiman adalah tidak munasabah. Ertinya, dalam tempoh tujuh hari, penghutang penghakiman perlu mendapatkan perkhidmatan peguam, peguam itu perlu menyediakan afidavit, memfailnya, pendaftar perlu beri notis tiga hari genap kepada pemiutang penghakiman dan mendengar permohonan itu semua dalam tempoh tujuh hari. Ini tidak boleh dilakukan dan tidak pernah dilakukan. Tidak ada gunanya membuat prosedur yang tidak boleh dipatuhi.
Kedua, dengan adanya satu permohonan sahaja bilangan permohonan yang difail di mahkamah akan berkurangan. Masa untuk mahkamah mendengarnya lebih singkat. Rayuan akan dikurangkan kepada satu sahaja. Kos akan dapat dikurangkan. Pendengaran petisyen akan dapat didengar lebih awal.
Dalam kes ini notis di bawah s. 3(2) proviso (ii) tidak diberi dan bantahan ini tidak dibuat (selepas memberi notis itu dalam tempoh tujuh hari yang ditetapkan itu) melalui saman dalam kamar di bawah k. 18. Maka hujah mengenai jumlah hutang yang berlebihan itu sepatutnya ditolak atas alasan itu sahaja.
Walau bagaimanapun, jika pandangan ini tidak betul, saya tidak ada sebab mencurigai pengiraannya. Sayugia diambil perhatian bahawa, walaupun penghakiman telah diperolehi semenjak tahun 1986 (sudah hampir 14 tahun hingga tarikh saya menulis alasan penghakiman ini) tetapi penghutang penghakiman cuma menuntut faedah selama enam tahun sahaja daripada tarikh penghakiman. Jika kiraan itu silap pun ia masih boleh dibetulkan semasa pemiutang penghakiman memfail bukti hutang.
Saya menolak rayuan ini dengan kos.

281 visits