ANTARA ELEKTRIK SDN BHD lwn. BELL & ORDER BHD

ANTARA ELEKTRIK SDN BHD lwn. BELL & ORDER BHD
MAHKAMAH TINGGI, KUALA LUMPUR
ABDUL HAMID MOHAMAD H
PENGGULUNGAN SYARIKAT NO: D8-28-1101 OF 1999
24 MEI 2000
[2000] 1 LNS 196

Case(s) referred to:
Buildcon-Cimaco Concrete Sdn Bhd v. Filotek Trading Sdn Bhd [1999] 4 CLJ 135; [1999] 4 AMR 4374 (dirujuk)
Si & Si Sdn Bhd v. Hazrabina Sdn Bhd [1996] 3 CLJ 657; [1996] 2 MLJ 509 (dirujuk)

Legislation referred to:
Akta Syarikat 1965, s. 221(2) (f)
Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980, A. 14, A. 18 k. 19(1) (a), (b), (d)
Counsel:
Bagi pihak pempetisyen – Paul Ong & SS Tieh; Paul Ong & Associates
Bagi pihak responden – K Goik; Malik & Partners
SYARIKAT DAN PERBADANAN:

Abdul Hamid Mohamad H:

Pempetisyen memfail petisyen ini pada 29 Disember 1999. Tarikh pendengaran yang diberi ialah pada 3 Februari 2000. Pada tarikh tersebut petisyen ini tidak dapat didengar kerana ia belum diserahkan kepada responden. Saya memberi tarikh baru iaitu pada 13 April 2000. Pada 14 Mac 2000 responden memfail usul pemula (kandungan 6) memohon supaya petisyen ini dibatalkan mengikut A. 18 k. 19 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (‘KMT 1980’), bidangkuasa sedia ada mahkamah dan/atau s. 221(2) (f) Akta Syarikat 1965. Alasan-alasan yang diberi adalah seperti yang terkandung dalam A. 18 k. 19(1) (a), (b) dan (d) KMT 1980. Notis usul itu ditetapkan untuk didengar pada 30 Mac 2000. Pada 30 Mac 2000 itu, notis usul itu tidak dapat didengar kerana pempetisyen perlu memfail afidavit jawapan kepada afidavit responden yang menyokong notis usul itu. Maka notis usul itu ditetapkan untuk didengar pada 7 April 2000. Ia didengar pada 7 April 2000 dan saya memberi keputusan pada 21 April 2000. Sementara itu petisyen (kandungan 1) yang telah ditetapkan untuk didengar pada 13 April 2000 itu terpaksa ditangguh sehingga selepas keputusan mengenai kandungan 6 itu diberi.

Pada 21 April 2000, saya memberi keputusan mengenai kandungan 6 ini (notis usul). Saya menolak permohonan itu dan menetapkan bahawa petisyen itu (kandungan 1) didengar pada 24 Jun 2000 yang telah ditetapkan pada 13 April 2000. Responden merayu terhadap keputusan saya itu.

Dengan adanya rayuan ini, besar kemungkinan petisyen itu tidak dapat didengar pada 29 Jun 2000, malah sehingga rayuan ini atau rayuan selanjutnya diputuskan.

Perkara seperti inilah yang melambatkan pendengaran sesuatu petisyen penggulungan syarikat, malah lain-lain jenis guaman di Mahkamah Tinggi. Dalam kes Buildcon-Cimaco Concrete Sdn Bhd v. Filotek Trading Sdn Bhd [1999] 4 CLJ 135; [1999] 4 AMR 4374, saya telah membincang dengan panjang lebar kesesuaian permohonan seperti ini dan kesannya kepada perjalanan pendengaran sesuatu petisyen itu, dengan harapan mahkamah yang lebih tinggi dapat memberi keputusan atau pandangan mengenainya. Malangnya, mengikut rekod saya, rayuan itu telah dibatalkan, mungkin kerana responden/perayu dalam kes itu tidak meneruskan rayuannya setelah membaca alasan penghakiman saya. Akibatnya peluang itu telah terlepas.

Sementara itu kita terus menerima permohonan-permohonan yang serupa, mendengar hujahan serupa, membuat keputusan dan menulis alasan penghakiman yang serupa mengenai persoalan itu. Walau bagaimanapun adalah diharapkan bahawa ke sini akan memberi peluang baru untuk persoalan itu diputuskan.
Saya tidak hendak mengulangi hujah-hujah yang saya telah kemukakan dalam petisyen itu mengenai persoalan-persoalan itu sekali lagi. Oleh sebab rayuan itu telah dibatalkan yang bererti bahawa penghakiman saya itu disahkan (‘confirmed’) dan bukan ditolak (‘overruled’), maka saya masih boleh memakai pandangan-pandangan yang saya telah berikan dalam kes itu. Pandangan-pandangan yang saya telah berikan dalam kes itu bolehlah diringkaskan seperti berikut:-

(a) Walaupun pada pandangan saya A. 18 k. 19 KMT 1980 tidak sepatutnya dipakai dalam petisyen penggulungan syarikat, memandangkan bahawa Mahkamah-mahkamah Tinggi pernah membuat keputusan berdasarkan aturan dan kaedah itu, walaupun tanpa membincang dengan mendalam tentang kesesuaian pemakaiannya (kerana tidak dihujahkan), maka mahkamah ini terikat dengan penghakiman-penghakiman itu dan kenalah menerima pemakaian A. 18 k. 19 KMT 1980 dalam petisyen penggulungan syarikat.

(b) Walaupun, memandangkan kepada pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan melalui Akta A704 yang berkuatkuasa mulai 10 Jun 1988 saya ragu-ragu sama ada mahkamah di Malaysia masih mempunyai kuasa sedia ada selain daripada yang diperuntukkan oleh undang-undang Persekutuan, mahkamah ini terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Si & Si Sdn Bhd v. Hazrabina Sdn Bhd [1996] 3 CLJ 657; [1996] 2 MLJ 509 yang mengatakan bahawa mahkamah di Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk membatalkan petisyen pengulungan syarikat di bawah bidang kuasa sedia ada, walaupun sumber bidang kuasa itu tidak disebut dalam kes itu.

(c) Dengan hormat, saya tidak bersetuju bahawa s. 221(2) (f) Akta Syarikat 1965 memberi kuasa kepada mahkamah untuk membatalkan sesuatu petisyen penggulungan syarikat sebelum petisyen itu sendiri didengar.
Hujah-hujah saya mengenai persoalan-persoalan ini telah dikemukakan dengan panjang lebar dalam kes Buildcon-Cimaco Concrete Sdn Bhd v. Filotek Trading Sdn Bhd. Saya harap rujukan akan dibuat kepadanya jika persoalan-persoalan itu kelak akan dihujah dan diputuskan.

Untuk tujuan kes sekarang, saya membuat keputusan berdasarkan pandangan-pandangan saya dalam kes itu yang saya telah ringkaskan itu.

Cuma saya ingin menekankan bahawa kes ini sekali lagi membuktikan bahawa perjalanan ringkas dan penyelesaian segera sesuatu petisyen penggulungan syarikat boleh digagalkan oleh responden dengan membuat permohonan untuk membatalkan petisyen itu, seperti dalam kes ini. Adakah itu yang dihajati oleh Kaedah-Kaedah Penggulungan Syarikat 1972?

Kembali kepada kes ini. Dalam kes ini beberapa hujah telah dikemukakan oleh responden mengapa petisyen ini patut dibatalkan tanpa ianya didengar. Kita sedia maklum, semasa mendengar petisyen penggulungan syarikat yang difail tanpa mendapat penghakiman terlebih dahulu, jika didapati ada keterangan dan alasan bahawa hutang yang dikatakan itu dipertikaikan, maka petisyen itu patut ditolak. Ertinya, dari segi itu kedudukan suatu petisyen penggulungan syarikat yang difail tanpa mendapat penghakiman terlebih dahulu lebih kurang sama seperti dalam suatu permohonan penghakiman terus di bawah A. 14 dan A. 18 k. 19 KMT 1980.

Tetapi, apabila permohonan untuk membatalkan petisyen dibuat seperti dalam kes ini, maka kesannya agak ganjil. Adakah mahkamah akan memutuskan sama ada hutang itu dipertikaikan atau tidak? Itu adalah soalan yang patut diputuskan semasa mendengar petisyen itu. Oleh itu nampaknya, apa yang kena diputuskan oleh mahkamah di peringkat ini hanyalah sama ada terdapat persoalan yang mematutkan petisyen itu didengar untuk memutuskan sama ada hutang itu dipertikaikan atau tidak. Lihatlah keganjilan akibat membawa masuk prosedur itu dalam suatu prosiding penggulungan syarikat yang difail tanpa mendapat penghakiman terlebih dahulu.
Dalam kes ini responden menghujahkan bahawa, pertama, perbalahan ini patut dirujukkan kepada penimbangtara. Kedua, sama ada responden perlu membayar ganti rugi yang ditetapkan. Ketiga mengenai cara bayaran: Pempetisyen mengatakan bayaran adalah mengikut perjanjian PAM, manakala responden mengatakan mengikut perjanjian PAM dan juga kontrak utama (main contract).

Kedua-dua belah pihak telah menghujahkan seolah-olah mereka menghujahkan petisyen itu sendiri, sedangkan apa yang didengar hanyalah permohonan untuk membatalkannya, sebelum ia didengar. Adalah jelas bahawa kekeliruan ini berbangkit daripada pemakaian prosedur dalam tindakan sivil yang tidak sesuai bagi petisyen penggulungan ini.
Saya tidak akan memutuskan persoalan-persoalan itu dalam permohonan ini. Itu adalah persoalan-persoalan yang patut diputuskan dalam pendengaran petisyen ini. Soalan-soalan yang saya cuma patut putuskan dalam permohonan ini hanyalah sama ada perkara-perkara itu persoalan-persoalan yang patut dihujahkan (dalam petisyen penggulungan syarikat tidak ada perbicaraan dalam tindakan sivil) dalam pendengaran petisyen itu. Adalah tidak betul jika mahkamah ini, dalam permohonan ini, memutuskan persoalan-persoalan yang patut diputuskan dalam pendengaran ini.

Untuk menjawab soalan-soalan yang perlu dijawab dalam permohonan ini, tidaklah perlu bagi saya membincangnya secara terperinci, seperti yang saya patut lakukan dalam pendengaran petisyen ini. Juga saya tidak mahu memutuskan persoalan-persoalan yang saya tidak patut putuskan, lebih awal. Adalah jelas daripada afidavit-afidavit yang difail oleh kedua belah pihak bahawa petisyen ini bukanlah sesuatu yang tidak mendedahkan apa-apa kausa tindakan, mengaibkan, remeh atau menyusahkan atau suatu penyalahan proses mahkamah. Sebenarnya notis usul inilah yang remeh, menyusahkan, menjejaskan, menghalang atau melengahkan pendengaran petisyen ini dan juga suatu penyalahan proses mahkamah. Dengan adanya rayuan ini pula tidaklah diketahui entah berapa tahun lagi baru petisyen ini dapat didengar. Perkara-perkara seperti inilah yang melambatkan penyelesaian kes di mahkamah. Malangnya yang kerap dipersalahkan adalah mahkamah. Saya berpendapat sudahlah tiba masanya mahkamah yang lebih tinggi memberi kata putus mengenai pemakaian prosedur ini dalam prosiding penggulungan syarikat.

Saya menolak permohonan ini dengan kos.

107 visits