DURABLE CONCRETE SDN BHD lwn. TH UNIVERSAL BUILDERS SDN BHD

DURABLE CONCRETE SDN BHD lwn. TH UNIVERSAL BUILDERS SDN BHD
MAHKAMAH TINGGI, KUALA LUMPUR
ABDUL HAMID MOHAMAD H
SAMAN PEMULA NO: D8-24-386-99
24 MAC 2000
[2000] 6 CLJ 469
PROSEDUR SIVIL: Pliding – Pengenepian – Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980, A. 18 k. 9- Saman Pemula – Saman Pemula difailkan selepas tindakan writ atas hal perkara yang sama – Sama ada penyalahgunaan proses mahkamah – Tindakan writ oleh defendan – Sama ada res judicata – Sama ada tindakan writ lebih sesuai untuk menyelesaikan perbalahan – Sama ada tindakan writ patut digabungkan dengan Saman Pemula – Sama ada Saman Pemula patut ditukar menjadi suatu tindakan writ

Di dalam kes ini, defendan memohon perintah bahawa Saman Pemula plaintif dibuang menurut A. 18 k. 9(1)(b), (c) dan (d) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (‘KMT’). Ini adalah kerana defendan telah pun memulakan satu tindakan writ dan perintah-perintah yang dipohon oleh defendan dalam tindakan itu adalah serupa dengan apa yang dipohon oleh plaintif dalam Saman Pemula ini.
Justerunya, isu-isu yang timbul ialah: (i) sama ada tindakan writ lebih sesuai daripada saman pemula untuk menyelesaikan perbalahan antara plaintif dengan defendan; (ii) sama ada tindakan writ tersebut patut digantungkan sehingga penyelesaian saman pemula tersebut; (iii) sama ada saman pemula tersebut patut digantungkan sehingga tindakan writ tersebut diputuskan; (iii) sama ada saman pemula tersebut patut digabungkan dengan tindakan writ tersebut; dan (iv) sama ada saman pemula tersebut patut ditukar menjadi suatu tindakan writ.
Diputuskan:
[1] Daripada peristiwa dan fakta yang dipamerkan, adalah jelas bahawa, sebelum saman pemula ini difailkan telah pun wujud satu tindakan writ mengenai perkara yang sama. Plaintif tidak memilih untuk memfail tuntutan balas dalam tindakan itu tetapi memilih untuk memfail saman dalam kamar memohon perintah-perintah yang dikehendakinya itu. Permohonannya ditolak dan sebelum rayuannya didengar, plaintif memfail saman pemula ini memohon perintah-perintah yang pada hakikatnya adalah sama dengan perintah yang dipohon dalam saman dalam kamar itu. Perbuatan ini adalah jelas suatu penyalahgunaan proses mahkamah.
[2] Perkara-perkara yang dipohon dalam saman pemula ini adalah res judicata kerana ia telah pun diputuskan dalam guaman sivil yang satu lagi di mana penghakiman itu masih berkuatkuasa hari ini. Saman pemula ini juga merupakan pergandaan tindakan.
[3] Disebabkan pertelingkahan fakta yang serius, tindakan writ adalah lebih sesuai daripada saman pemula dalam perbalahan ini. Saman pemula ini adalah menyusahkan A. 18 k. 19(1)(c) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980.
[4] Mahkamah tidak patut menggantungkan tindakan writ itu sehingga penyelesaian saman pemula kerana: (i) sebarang permohonan untuk mengantungnya sepatut dibuat dalam tindakan/mahkamah itu; (ii) tindakan writ itu telah difail lebih awal dan dengan itu, tidak sepatutnya digantung sehingga saman pemula ini diputuskan; (iii) tindakan writ adalah lebih sesuai dalam perbalahan ini; dan (iv) menggantungnya hanya akan melambatkan lagi penyelesaian tindakan itu dan perbalahan antara kedua belah pihak.
[5] Dalam perbalahan ini, saman pemula adalah tidak sesuai langsung. Malah, melalui keterangan afidavit perbalahan antara mereka tidak mungkin dapat diputuskan langsung.
[6] Segala isu yang berbangkit dalam perbalahan ini boleh dan lebih sesuai dibicarakan dalam tindakan writ itu. Tidak ada sebab langsung mengapa saman pemula ini patut dikekalkan melalui penggantungan prosiding. Apabila tindakan writ itu diputuskan, saman pemula ini tidak akan berguna lagi. Mengekalkannya hanya menambah bilangan kes yang tertunggak.
[7] Persoalan yang dibangkitkan dalam saman pemula ini adalah serupa dengan apa yang dibangkitkan atau boleh dibangkitkan dalam tindakan writ itu kerana ia mengenai fakta dan perkara yang sama. Sebarang tuntutan yang hendak dibuat oleh plaintif boleh dibuat melalui tuntutan balas dalam tindakan writ itu. Selain daripada itu, cara mengemukakan keterangan dalam tindakan writ adalah berlainan daripada dalam saman pemula. Dengan itu, tidak ada sebab mengapa kedua-dua saman pemula dan tindakan writ patut digabungkan.
[8] Saman pemula ini tidak patut ditukar menjadi suatu tindakan writ mengikut A. 28 k. 8(1) KMT 1980 oleh kerana jika dilaksanakan, ia akan menimbulkan lebih banyak masalah daripada faedah.
[9]Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 memperuntukkan perkara seperti mana patut dimulakan melalui tindakan writ dan perkara seperti mana patut dimulakan melalui saman pemula. Adalah menjadi tanggungjawab peguam memilih jalan yang sesuai. Jika mereka memilih jalan yang tidak sesuai, adalah menjadi tanggungjawab mereka kembali ke pangkal jalan dan memulakan semula perjalanan mereka (jika berkenaan). Bukanlah tanggungjawab mahkamah untuk mengubah jalan dan jambatan mereka untuk membolehkan mereka meneruskan perjalanan mereka.
[10] Lebih lagi, oleh kerana tindakan writ sudah pun ada, saman pemula ini tidak patut ditukar menjadi tindakan writ.
[Permohonan defendan dibenarkan; Saman Pemula dibatalkan dengan kos.]

Kes yang dirujuk:
Lai Kim Loi v. Dato’ Lai Fook Kim & Anor [1989] 2 MLJ 290 (dirujuk)

Other source(s) referred to:
Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980, A. 18 k. 9(1)(b), (c), (d),
A. 28 k. 8(1)
Counsel:
Bagi pihak plaintif – KW Teng; T/n Micheal Lim & Wong
Bagi pihak defendan – Saseedharan Menon; T/n Rajendram AssocsDilaporkan oleh Usha Thiagarajah

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamad H:
Melalui saman pemula plaintif memohon, secara ringkas:
(a) deklarasi bahawa penyingkiran plaintif oleh defendan daripada penyertaan lanjut dalam usahasama mengikut fasal 15.1.2(ii), perjanjian usahasama bertarikh 18 Ogos 1997 adalah tidak sah;
(b) deklarasi bahawa penyingkiran itu salah disisi undang-undang;
(c) suatu perintah bahawa defendan dikehendaki dalam tempoh tujuh hari menyerahkan penguasaan, pentadbiran dan pengurusan projek usahasama itu kepada plaintif; menyerahkan semua dokumen, suratcara, akaun dan lain-lain kepada plaintif; menyerahkan semua kereta, loji, peralatan dan lain-lain yang berkenaan dengan projek itu kepada plaintif; mematuhi semua kewajipan dan obligasinya di bawah fasal 15.2 perjanjian usahasama tersebut, dan membuat semua perkara lain yang perlu untuk memberi kesan kepada penggunaan fasal 15.1.2(ii) perjanjian Usahasama itu;
(d) injunksi menghalang defendan daripada campur tangan dalam hal projek tersebut;
(e) gantirugi; dan (f) kos.
Melalui saman dalam kamar (lampiran 6), defendan memohon perintah, yang lebih penting, bahawa saman pemula plaintif itu dibuang menurut A. 18 k. 9(1)(b), (c) dan (d) Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (KMT 1980). Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak saya membenarkan permohonan defendan itu.
Undang-undang mengenai permohonan seperti ini amat jelas. Saya tidak akan mengulanginya. Malah fakta kes ini pun tidak perlu disebut secara terperinci, dalam keadaan kes ini.
Walaupun plaintif tidak langsung menyebutnya dalam afidavit menyokong saman pemulanya, tetapi apabila dibangkitkan, peguam plaintif mengakui bahawa defendan (sekarang) telah pun memulakan satu tindakan writ dalam tahun 1998 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Guaman No. D5-22-4802- 88. Dalam tindakan itu plaintif sekarang adalah defendan dan defendan sekarang adalah plaintif. Dalam alasan penghakiman ini saya akan menggunakan perkataan-perkataan “plaintif” dan “defendan” sebagai bermaksud plaintif dan defendan dalam saman pemula ini. Dalam tindakan itu defendan telah memohon perintah-perintah berikut, secara ringkas:
(a) deklarasi bahawa plaintif telah memungkiri perjanjian usahasama yang sama dan bahawa plaintif dilarang daripada menyertai dan/atau meneruskan penyertaan dalam projek itu;
(b) deklarasi bahawa defendan sebagai “continuing party” telah membuka satu Akaun Usahasama No. 10100195853 atas nama Usahasama di Bank Islam Malaysia pada 20 Julai 1998;
(c) deklarasi bahawa defendan berhak mengendalikan akaun tersebut;
(d) injunksi melarang plaintif campur tangan dalam pengendalian akaun itu;
(e) injunksi melarang plaintif campur tangan dalam hal usahasama itu;
(f) gantirugi; dan
(g) kos.
Adalah jelas bahawa perintah-perintah yang dipohon oleh defendan dalam tindakan itu adalah serupa dengan apa yang dipohon oleh plaintif dalam saman pemula ini.
Defendan juga dalam tindakan itu (lampiran 4) telah memohon melalui saman dalam kamar, perintah-perintah berikut, secara ringkas: (a) bahawa defendan diberi kebebasan untuk mengendalikan akaun usahasama itu;
(b) injunksi sementara melarang plaintif daripada campur tangan dalam pengendalian akaun itu; dan
(c) injunksi sementara melarang plaintif daripada campur tangan dalam projek itu.
Plaintif juga telah memfail saman dalam kamar dalam tindakan itu (lampiran 8), memohon perintah-perintah, secara ringkas:
(1) injunksi menghalang defendan daripada membuka atau meneruskan dengan pengendalian sebarang akaun bank atau kemudahan perbankan di bawah nama Usahasama TH Universal Builders-Durable Concrete atau apa-apa nama yang hampir-hampir sama tanpa plaintif dijadikan sebagai penandatangan bersama sehingga pertikaian di antara plaintif dan defendan dilupuskan melalui suatu forum berbidangkuasa atau perintah seterusnya.
(2) bahawa defendan hendaklah membenarkan plaintif, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai, kakitangan dan agen-agennya akses terhadap kesemua akaun, dokumen dan sebagainya sehingga pertikaian antara plaintif dan defendan dilupuskan oleh suatu forum berbidangkuasa atau sehingga perintah seterusnya.
(3) Defendan hendaklah membenarkan plaintif mengambil bahagian dalam pentadbiran pengurusan dan kawalan usahasama tersebut sebagaimana yang terkandung dalam perjanjian usahasama tersebut sehingga pertikaian antara plaintif dengan defendan dilupuskan oleh suatu forum berbidangkuasa atau sehingga perintah seterusnya.
(4) bahawa defendan hendaklah melakukan segala yang perlu untuk memberi kesan kepada semua terma-terma perjanjian usahasama itu seolah-olah tiada pihak yang disingkir daripada mengambil bahagian seterusnya dalam usahasama tersebut sehingga pertikaian antara plaintif dan defendan dilupuskan oleh suatu forum yang berbidangkuasa atau sehingga perintah seterusnya.
(5) bahawa tindakan ini digantungkan sehingga perintah seterusnya.
Beberapa banyak afidavit telah difail oleh kedua belah pihak menyokong dan menentang permohonan-permohonan dalam tindakan itu.
Pada 21 Julai 1999 Steve LK Shim H memberi perintah seperti berikut:
(i) [Defendan] diberi kebebasan untuk mengendalikan Akaun Bank Usahasama No. 10100195853 dengan Bank Islam Malaysia Berhad;
(ii) [Plaintif], sama ada secara dirinya sendiri, pengarah-pengarahnya, pegawaipegawainya, pekerja-pekerjanya dan/atau agennya secara apapun dilarang mencampurtangan dalam hal [Defendan] mengendalikan Akaun Bank Usahasama No. Akaun 10100195853 dengan Bank Islam Malaysia Berhad sehingga perbicaraan tindakan ini;
(iii) [Plaintif] dilarang sama ada bercampur tangan dalam hal usahasama yang dikenali dengan Seleksi Joint Venture sehingga perbicaraan tindakan ini; dan
(iv) Kos.
Perlu diambil perhatian bahawa perintah itu adalah mengenai dua lampiran iaitu lampiran 4 dan 8. Lampiran 4 adalah permohonan oleh defendan (sekarang) dan lampiran 8 adalah permohonan oleh plaintif (sekarang).
Plaintif tidak puas hati dengan keputusan itu dan pada 30 Julai 1999 telah memasukkan notis rayuan, merayu ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu. Rayuan itu belum didengar.
Selepas itu plaintif telah memfail penyataan pembelaannya dalam tindakan itu, tetapi tidak memfail tuntutan balas. Perkara-perkara yang dibangkitkan dalam pembelaan itu adalah serupa dengan apa yang dibangkitkan oleh plaintif dalam saman pemula ini.
Selepas semua itu berlaku dan dilakukan, pada 19 November 1999, plaintif memfail saman pemula ini, memohon perintah-perintah yang saya telah sebut di awal alasan penghakiman ini.
Daripada peristiwa dan fakta yang dipamerkan ini adalah jelas bahawa, pertama, sebelum saman pemula ini difail, telah pun wujud satu tindakan writ mengenai perkara yang sama. Plaintif telah memilih untuk tidak memfail tuntutan balas dalam tindakan itu. Sebaliknya plaintif telah memilih untuk memfail saman dalam kamar memohon perintah-perintah yang dikehendakinya itu. Permohonannya ditolak, ia merayu ke Mahkamah Rayuan. Sebelum rayuan itu didengar, plaintif memfail saman pemula ini memohon perintah-perintah yang, pada hakikatnya adalah sama dengan perintah yang dipohon dalam saman dalam kamar itu.
Perbuatan ini adalah jelas suatu penyalahgunaan proses mahkamah. Juga, pada masa ini perkara-perkara yang dipohon dalam saman pemula ini adalah res judicata kerana ia telah pun diputuskan oleh Steve LK Shim H dalam Guaman Sivil DS-22-4802-88. Penghakiman itu masih berkuatkuasa hari ini.
Saman pemula ini juga merupakan pergandaan tindakan (“multiplicity of actions”). Satu misalan di mana mahkamah membatalkan satu tindakan atas alasan pergandaan tindakan ialah penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Lai Kim Loi v. Dato’ Lai Fook Kim & Anor[1989] 1 CLJ 61 (Rep). Dalam kes itu pempetisyen telah memfail petisyen penggulungan syarikat terhadap responden kedua (syarikat). Sehari kemudian pempetisyen memfailkan pula satu writ saman dan penyataan tuntutan terhadap responden pertama berasaskan fakta yang sama dengan yang dikatakan dalam petisyen itu dan memohon perintah-perintah yang kebanyakannya serupa dengan apa yang dipohon dalam petisyen itu. Hakim Mahkamah Tinggi membatalkan petisyen itu. Rayuan terhadap keputusan itu ditolak oleh Mahkamah Agung. Mengenai persoalan pergandaan tindakan mahkamah itu memutuskan:
On the question of multiplicity, Mr Lim has conceded that the issues raised and the relief sought in Suit No. S235 of 1985 have been largely duplicated in the said petition. Although the issues raised and the relief sought are not totally similar yet we consider that the substantial duplication of issues and relief sought in both actions amounted to multiplicity of actions and in all the circumstances of this case, the petition presented is vexatious and is an abuse of the process of the court and ought to be struck out as the learned judge has done and not stayed or the petition be allowed to be amended as suggested by counsel for the petitioner. We were satisfied that the learned judge had exercised his discretion correctly in striking out the petition and we therefore dismissed the appeal with costs.
Selain daripada itu, walaupun peguam plaintif apabila disoal oleh mahkamah, tidak mahu mengakuinya, tidak boleh dinafikan bahawa perbalahan ini, tindakan writ adalah lebih sesuai daripada saman pemula. Ini disebabkan oleh pertelingkahan fakta yang serius yang dapat dilihat daripada sekian banyak afidavit yang difail dalam tindakan writ yang lebih awal itu dan juga dalam saman pemula ini. Pertelingkahan fakta itu semestinya tidak boleh diputuskan melalui keterangan afidavit dalam saman pemula ini. Saman Pemula ini adalah “menyusahkan” – A. 18 k. 19(1)(c).
Patutkah mahkamah menggantungkan tindakan writ itu sehingga penyelesaian saman pemula ini? Pertama, tindakan writ itu difail di mahkamah lain. Sebarang permohonan untuk menggantungnya patut dibuat dalam tindakan itu, di mahkamah itu. Kedua, tindakan itu telah difail lebih awal. Tidak sepatutnya ia digantung sehingga saman pemula ini diputuskan. Ketiga, dalam perbalahan ini tindakan writ adalah lebih sesuai. Keempat, menggantungnya hanya akan melambatkan lagi penyelesaian tindakan itu dan perbalahan antara kedua belah pihak.
Patutkah saman pemula ini digantung sehingga tindakan writ itu diputuskan? Plaintif memfail saman pemula ini untuk mengelak atau membantut perjalanan tindakan writ itu. Kata peguam plaintif, saman pemula lebih cepat. Dalam perbalahan ini, saman pemula adalah tidak sesuai langsung. Malah, melalui keterangan afidavit, perbalahan antara mereka tidak mungkin dapat diputuskan langsung.
Segala isu yang berbangkit dalam perbalahan ini boleh dan lebih sesuai dibicarakan dalam tindakan writ itu. Tidak ada sebab langsung mengapa saman pemula ini patut dikekalkan melalui penggantungan prosiding. Apabila tindakan writ itu diputuskan, saman pemula ini tidak akan berguna lagi. Mengekalkannya hanya menambah bilangan kes yang tertunggak.
Patutkah saman pemula ini digabungkan dengan tindakan writ itu? Pada pandangan saya ia cuma akan menyusahkan tanpa sebarang faedah. Persoalan yang dibangkitkan dalam saman pemula ini adalah serupa dengan apa yang dibangkitkan atau boleh dibangkitkan dalam tindakan writ itu, kerana ia mengenai fakta dan perkara yang sama. Sebarang tuntutan yang hendak dibuat oleh plaintif boleh dibuat melalui tuntutan balas dalam tindakan writ itu.
Selain daripada itu, cara mengemukakan keterangan dalam tindakan writ adalah berlainan daripada dalam saman pemula. Dalam saman pemula cuma melalui afidavit manakala dalam tindakan writ melalui keterangan lisan.
Dalam keadaan kes ini tidak ada sebab mengapa kedua-duanya patut digabungkan.
Patutkah saman pemula ini ditukar menjadi suatu tindakan writ?
Memang betul A. 28 k. 8(1) KMT 1980 memperuntukkan dan saya petik naskhah sahih dalam Bahasa Inggeris:
8(1) Where, in the case of a cause or matter begun by originating summons, it appears to the Court at any stage of the proceedings that the proceedings should for any reason be continued as if the cause or matter had been begun by writ, it may order the proceedings to continue as if the cause or matter had been so begun and may, in particular, order that any affidavits shall stand as pleadings, with or without liberty to any of the parties to add thereto or to apply for particulars thereof.
Bunyinya mudah. Tetapi melaksanakannya menimbulkan lebih banyak masalah daripada faedah. Pertama, statistik kes-kes di mahkamah akan menjadi lintangpukang. Saman pemula yang telah didaftarkan tidak akan menunjukkan ia telah diselesaikan. Tindakan writ yang tidak difail dan didaftarkan tiba-tiba wujud. Jika diberi nombor di bawah kod “guaman sivil”, bagaimana dengan “fees”nya (court fees)? Hendak dikutip tidak ada tindakan writ yang difail. Tidak dikutip akan memberi gambaran bahawa ada tindakan sibil yang didaftarkan tetapi “fees”nya tidak dikutip.
Kedua, peruntukan itu mengatakan bahawa mahkamah boleh memerintah supaya mana-mana afidavit dijadikan sebagai pliding. Sekali lagi bunyinya mudah. Tetapi melakukannya akan menimbulkan masalah. Pertama, pliding mengandungi pernyataan fakta dan isu yang menjadi sandaran masing-masing pihak. Pliding tidak sepatutnya mengandungi keterangan. Afidavit mengandungi keterangan termasuk dokumen-dokumen, malah gambar-gambar. Bagaimana afidavit hendak dijadikan pliding? Juga, seperti dalam kes ini, di mana afidavit dan ekshibit-ekshibitnya mungkin telah mencecah seribu muka surat (saya tidak mengiranya), adalah tidak bersesuaian menjadikannya pliding. Jika, selepas berbuat demikian, jika dibuat demikian, kes ini digabungkan pula dengan tindakan writ yang telah ada, bayangkan kekeliruan (confusion) yang akan berbangkit. Dalam satu kes plidingnya adalah penyataan tuntutan dan penyataan pembelaan dan dalam satu kes lagi afidavit-afidavit dan ekshibit-ekshibit adalah pliding dan kedua-duanya hendak dibicarakan bersama.
Selain daripada itu,KMT 1980 memperuntukkan perkara seperti mana patut dimulakan melalui tindakan writ dan perkara seperti mana patut dimulakan melalui saman pemula. Adalah menjadi tanggungjawab peguam memilih jalan yang sesuai. Jika mereka memilih jalan yang tidak sesuai, adalah menjadi tanggungjawab mereka kembali ke pangkal jalan dan memulakan semula perjalanan mereka (jika berkenaan) dan bukanlah tanggungjawab mahkamah untuk mengubah jalan dan jambatan untuk membolehkan mereka meneruskan perjalanan mereka.
Akhir sekali, untuk apa saman pemula ini hendak ditukar menjadi tindakan writ pada hal tindakan writ sudah pun ada?
Atas alasan-alasan ini saya membenarkan permohonan defendan dan membatalkan saman pemula ini dengan kos.

Read 89 times