YEAP CHAN AIK v. YEAP CHAN HOE & ORS

YEAP CHAN AIK v. YEAP CHAN HOE & ORS
MAHKAMAH TINGGI, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD J
GUAMAN SIVIL NO 22-153 OF 1998
12 NOVEMBER 1999
[1999] 1 LNS 143
PEWARISAN
Legislation referred to:
Akta Pembahagian 1958 s 3
Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952
Akta Pengangkatan 1952
Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 A 24 k 16, A 18 k 19(1)(b), (c), (d)
Ordinan Pendaftaran Anak Angkat 1952 s 7
Counsel:
John Khoo Boo Lai (Ismail Khoo & Associates) untuk pihak plaintif.
Wong King Fun (Wong-Chooi & Mohd Nor) untuk pihak defendan-defendan.
Abdul Hamid Mohamed H
Seperti banyak tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, kes ini juga berbangkit daripada perbalahan di antara ahli keluarga mengenai harta pusaka. Pernyataan tuntutan, pembelaan dan tuntutan balas dan pembelaan kepada tuntutan balas telah difailkan.
Pada 19 Mac 1999 defendan-defendan pertama, ketiga dan keempat memfailkan saman dalam kamar memohon perintah supaya tuntutan plaintif dan pembelaannya kepada tuntutan balas defendan-defendan ditolak dan penghakiman diberi mengikut tuntutan balas defendan-defendan pertama dan ketiga. Permohonan dibuat di bawah A 24 k 16 dan/atau A 18 k 19(1)(b) dan/atau (c) dan/atau (d) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (‘KMT 1980’).
Perlu disebut bahawa mengikut A 24 k 16:
(1) If any party who is required by any of the foregoing rules, or by any order made thereunder, to make discovery of documents or to produce any documents for the purpose of inspection or any other purpose fails to comply with any provision of that rule or with that order, as the case may be, then, without prejudice, in the case of a failure to comply with any such provision, to rr 3(2) and 11(1), the court may make such order as it thinks just including, in particular, an order that the action be dismissed or, as the case may be, an order that the defence be struck out and judgement be entered accordingly.
Defendan-defendan telah pun pada 27 November 1998 menyerahkan kepada plaintif, kedua-duanya melalui peguam masing-masing, notis menurut A 24 k 10 KMT 1980 menghendaki plaintif mengemukakan untuk pemeriksaan defendan-defendan apa yang didakwa oleh plaintif sebagai ‘dokumen-dokumen kerajaan’ yang mengikut plaintif mengesahkan hubungan rasmi antara plaintif dengan si mati dan defendan ketiga. Tetapi plaintif gagal mengemukakan sebarang dokumen atau menjawab notis tersebut.
Tuntutan plaintif adalah berasaskan bahawa dia adalah anak lelaki bongsu si mati. Tidak dipertikaikan bahawa defendan pertama adalah anak lelaki sulung si mati, defendan kedua adalah anak perempuan si mati, defendan ketiga balu (isteri) si mati dan defendan keempat adalah anak lelaki abang si mati. Defendan-defendan mengatakan bahawa plaintif sebenarnya bukanlah anak si mati.
Daripada dokumen-dokumen yang dikemukakan tidak boleh dipertikaikan bahawa plaintif adalah anak angkat si mati. Ini dapat dilihat daripada ‘Salinan yang diperakui bagi catitan dalam daftar’ — eksh YCH-3 Lamp 13. Catatan itu dibuat menurut s 7 Ordinan Pendaftaran Anak Angkat 1952 (sekarang diberi nama Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Registration of Adoptions Act 1952)). Pendaftaran dibuat pada 19 Julai 1972. Permohonan pendaftaran itu disokong oleh satu akuan berkanun oleh ibu dan bapa sebenar plaintif yang nama asalnya ialah Quah Theam Lye mengikut nama keluarga bapa sebenarnya, Quah Oo Keong. Akuan berkanun itu mengatakan bahawa bapa dan ibu sebenar plaintif memberi plaintif kepada si mati dan isterinya (defendan keempat) untuk menjadi anak angkat dan kanak-kanak itu (plaintif) diberi nama baru Yeap Chan Aik mengikut nama keluarga si mati. Itulah hakikatnya.
Tetapi, menurut defendan-defendan, mereka telah melayani plaintif dengan baik hinggakan selepas si mati meninggal dunia dan semasa hendak memohon surat kuasa mentadbir mereka menganggapnya sebagai salah seorang benefisiari dan berhak menjadi salah seorang pentadbir pusaka si mati dan memberitahu peguamcara mereka bahawa plaintif adalah salah seorang anak si mati. Tetapi mereka amat kecewa dengan tindakan plaintif. Maka mereka mendedahkan hal yang sebenarnya.
Persoalannya ialah sama ada mengikut peruntukan s 3 Akta Pembahagian 1958 (Distribution Act 1958) seorang anak angkat itu tergolong dalam tafsiran ‘child’. Seksyen 3 memperuntukkan:
In this Act, unless the context otherwise requires — ‘child’ means a legitimate child and where the deceased is permitted by his personal law a plurality of wives includes a child by any of such wives, but does not include an adopted child other than a child adopted under the provisions of the Adoption Act 1952.
Adalah jelas bahawa seorang kanak-kanak yang diambil menjadi anak angkat menurut Akta Pengangkatan 1952 adalah seorang ‘child’ mengikut peruntukan ini. Adakah tafsiran itu meliputi seorang kanak-kanak yang didaftarkan mengikut Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952?
Pada pandangan saya, tidak. Peruntukan itu terlalu jelas untuk diberi makna selain daripada apa yang disebutnya. Saya kurang jelas mengapa Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 itu diadakan memandangkan bahawa Akta Pengangkatan 1952 juga ada. Akta itu cuma mengatakan ‘An Act to provide for the registration of Adoption.’ Daripada peruntukan s 6 Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952, nampaknya ia membolehkan ‘de facto adoption’ didaftarkan. Seksyen 11 pula mengatakan bahawa keesahan sesuatu ‘adoption’ itu tidak akan terjejas kerana pendaftaran atau ketiadaan pendaftaran. Perlu juga disebut bahawa untuk mendaftar di bawah Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 tersebut cuma satu akuan berkanun sahaja yang diperlukan.
Sebaliknya, Akta Pengangkatan 1952 adalah Akta induk mengenai pengambilan anak angkat dan kesannya. Ia adalah undang-undang substantif mengenai pengambilan anak angkat. Perintah mahkamah diperlukan. Seorang kanak-kanak yang diambil menjadi anak angkat mengikut perintah mahkamah di bawah Akta Pengangkatan 1952 mempunyai hak-hak seperti anak kandung seseorang. Mungkin sebab itulah maka Akta Pembahagian 1958 cuma mengiktiraf seorang anak angkat yang diambil mengikut Akta Pengangkatan 1952 sebagai seorang ‘child’ untuk tujuan penerimaan pusaka.
Peguam plaintif menghujahkan bahawa soal sama ada plaintif anak si mati atau tidak sudah menjadi ‘res judicata’ kerana defendan-defendan telah memfail afidavit dalam prosiding yang lebih awal bahawa plaintif adalah anak si mati.
Saya tidak bersetuju dengan hujah itu. Jika defendan-defendan mengikrar afidavit palsu, mereka adalah terdedah kepada pendakwaan. Itu adalah persoalan lain. (Malah sebab mereka berbuat demikian dijelaskan oleh mereka, iaitu secara ringkas, mereka sudi plaintif menerima sebahagian daripada pusaka si mati seolah-olah dia anak sebenar si mati). Tetapi perbuatan mereka itu tidak boleh mengatasi peruntukan undang-undang, khususnya s 3 Akta Pembahagian 1958. Mereka tidak boleh meminda undang-undang. Jika mereka bersetuju memberi sebahagian daripada pusaka itu kepada plaintif terserahlah kepada mereka. Mereka tidak boleh dipaksa berbuat demikian.
Kesimpulannya adalah jelas bahawa mengikut peruntukan s 3 Akta Pembahagian 1958, plaintif bukanlah seorang ‘child’ yang berhak mewarisi pusaka itu. Dalam keadaan ini tindakan plaintif adalah remeh dan menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah, seperti yang diperuntukkan oleh A 18 k 19(b) dan (d). Permohonan defendan-defendan ini juga patut dibenarkan di bawah A 24 k 16(1) KMT 1980.
Atas alasan ini, saya meluluskan permohonan defendan-defendan seperti permohonan 1. Saya juga memberi perintah yang dipohon dalam permohonan 2 seperti yang dituntut dalam perenggan 30(1) tuntutan balas defendan-defendan pertama dan ketiga. Saya juga memerintah plaintif membayar kos.

184 visits