PER: MEERA HUSSAIN BIN T M MOHAMED MYDIN (NO K/P 5562783) EX PARTE: SYARIKAT ABU HANIFFA

PER: MEERA HUSSAIN BIN T M MOHAMED MYDIN (NO K/P 5562783) EX PARTE: SYARIKAT ABU HANIFFA
HIGH COURT, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMED J
KEBANKRAPAN NO 29-1189-1998
12 NOVEMBER 1999
[1999] 1 LNS 304
BANKRUPTCY
Counsel:
Darshan Singh Khaira (M/s Darshan Singh & Co), Abu Haniffa Md Abdullah (M/s Sykt Abu Haniffa)

ALASAN PENGHAKIMAN (LAMPIRAN 21 DAN 22)

Syarikat Abu Haniffa (Pemiutang Penghakiman dalam Petisyen Kebankrapan ini) yang mendakwa sebagai sebuah firma memperolehi penghakiman terhadap Meera Hussain bin T.M. Mohamed Mydin (Penghutang Penghakiman) berjumlah RM66,981.35 di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada 6 Ogos 1998.
Pada 9 September 1998 Pemiutang Penghakiman mengeluarkan satu Notis Kebankrapan terhadap Penghutang Penghakiman untuk jumlah sebanyak RM68,274.35 yang termasuk kos – Lampiran 2.
Petisyen Pemiutang difail pada 8 Oktober 1998 – Lampiran 6.
Pada 15 Januari 1999 Penghutang Penghakiman memfail Saman dalam Kamar memohon perintah bahawa Notis Kebankrapan itu diketepikan dan juga [2] perlanjutan masa untuk memfail permohonan itu – Lampiran 11.
Pada 26 Januari 1991, Penghutang Penghakiman memfail notis untuk menentang Petisyen itu – Lampiran 19.
Pada 27 Februari 1999 Penolong Kanan Pendaftar menolak permohonan Penghutang Penghakiman untuk mengenepikan Notis Kebankrapan – Lampiran 11. Penghutang Penghakiman merayu – Lampiran 21.
Pada 5 April 1999 Penolong Kanan Pendaftar mendengar Petisyen Pemiutang (Lampiran 6) dan menghakimkan Penghutang Penghakiman menjadi seorang bankrap. Penghutang Penghakiman merayu – Lampiran 22.
Pada 20 Ogos 1999, saya membenarkan rayuan Penghutang Penghakiman dan mengenepikan Notis Kebankrapan itu. Memandangkan kepada keputusan saya bagi Lampiran 21 itu, maka saya membenarkan rayuan Penghutang Penghakiman terhadap penghakiman kebankrapannya (rayuan di Lampiran 22). Lampiran 21
Perlu disebut bahawa permohonan ini dibuat di bawah Kaedah 18, Kaedah-kaedah Kebankrapan 1969 dan bukan di bawah Kaedah 95, Kaedah-kaedah itu. Oleh itu syarat tujuh hari dan lain-lain yang berkenaan dengan kaedah 95 itu tidaklah terpakai.
Isu pertama yang dihujahkan oleh peguam Penghutang Penghakiman ialah Notis itu tidak sah kerana ianya dibuat dalam Bahasa Inggeris dan [3] tidak dalam Bahasa Kebangsaan. Beliau merujuk kepada seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan juga kepada Arahan Ketua Hakim Negara bertarikh 22 Oktober 1998.
Saya menolak hujah ini kerana walau pun Kaedah-kaedah Kebankrapan 1969 ada naskhah Bahasa Malaysianya (ejaan lama dan sukar diperolehi), ia bukanlah naskhah sahih. Naskhah sahih adalah naskhah Bahasa Inggeris. Selain dari itu, Akta Kebankrapan 1967 pun tidak mempunyai naskhah Bahasa Malaysia dan naskhah sahihnya adalah naskhah Bahasa Inggeris.
Saya khuatir jika terdapat percangggahan antara peruntukan dalam Akta dalam Bahasa Inggeris dan dalam Kaedah-Kaedah dalam Bahasa Kebangsaan, maka masalah akan timbul. Dalam keadaan ini saya memutuskan bahawa Notis Kebankrapan boleh dibuat dalam Bahasa Inggeris.
Encik Abu Haniffa, pemilik tunggal Syarikat Abu Haniffa yang juga mewakili firma itu dalam petisyen ini menghujahkan bahawa terdapat kelambatan di pihak Penghutang Penghakiman membuat permohonan ini, yang difail lebih kurang 3 1/2 bulan daripada penyampaian Notis Kebankrapan.
Saya tidak fikir tempoh itu satu tempoh yang tidak munasabah dan menolak bantahan atas alasan itu.
Hujah peguam Penghutang Penghakiman yang paling bernas ialah bahawa Syarikat Abu Haniffa, sebagai sebuah firma (sebenarnya firma peguam) [4] tidak boleh mendakwa (sue) atas nama firma, walau pun dakwaan boleh dibuat (may be sued) atas nama firma itu. Prinsip ini telah dipakai begitu lama, di England mahu pun di Malaysia – lihat Malaysian High Court Practice (1998) Jilid 1, muka surat 5093 perenggan 77.1.8, di mana kes Mason v MogridgeMason v Mogridge (1891-92) 8 TLR 805. dan Wee Tiang Kheng & Ors. v Ngu Nii Soon & OrsWee Tiang Kheng & Ors v Ngu Nii Soon & Ors (1989) 1 MLJ 252.
Rasional prinsip ini tidak sukar difahami. Seseorang yang berniaga atas nama lain daripada namanya sebenar tentu tahu apa nama sebenarnya. Sebaliknya seorang yang berurusan dengan firma itu mungkin tidak tahu nama sebenar pemiliknya, yang mungkin juga sengaja hendak disorok. Maka adalah adil menghendaki dia memulakan tindakan atas namanya sendiri, tetapi orang lain boleh memulakan tindakan terhadapnya atas nama firmanya.
Dalam kes ini tindakan Pemiutang Penghakiman di Mahkamah Sesyen atas nama firmanya. Mengikut nas yang dirujuk tadi, ianya tidak betul. Saya berpendapat mahkammah di peringkat ini pun boleh mengambil maklum ketidaksahan itu kerana ianya adalah suatu perkara yang nyata dan fakta mengenainya tidak dan tidak boleh dipertikaikan. Menunggu sehingga pendengaran petisyen hanya akan melambatkan keputusan mengenai bantahan ini. Ia juga akan melibatkan lebih banyak kos selain daripada melambatkan Pemiutang Penghakiman mengambil tindakan untuk membetulkan kesilapan itu. [5]
Atas alasan ini saya meluluskan rayuan Penghutang Penghakiman dan mengenepikan Notis Kebankrapan itu. Lampiran 22
Lampiran 22 adalah rayuan terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar berkenaan Lampiran 6. Lampiran 6 adalah Petisyen Pemiutang. Penolong Kanan Pendaftar memberi perintah Penghakiman dan Penerimaan. Ertinya Penghutang Penghakiman dihukum bankrap. Penghutang Penghakiman merayu.
Disebabkan oleh keputusan saya yang mengenepikan Notis Kebankrapan, maka perintah Penolong Kanan Pendaftar itu perlulah dibatalkan.

123 visits